Peristiwa ini berlaku sewaktu aku ditempatkan di jabatan nefrologi, iaitu jabatan buah pinggang di sebuah hospital kira-kira 4 tahun yang lepas.
Wad tersebut bernama wad 4 Delima (bukan nama wad yang sebenar). Jika di wad ini, aku memang seringkali diperkatakan sebagai seorang doktor yang happy-go-lucky, suka kepoh and bising.
Pendek kata semua jururawat and pembantu pegawai perubatan (MA) di situ, termasuk yang duduk bilik Hemodialisis and CAPD boleh kenal la suara aku. Kepoh dan kecoh memanjang. Satu-satunya masa untuk aku senyap adalah ketika doktor pakar membuat round, itu pun kadang-kadang terkepoh juga.
Aku selalu sibuk nak menjawab segala soalan yang ditanya oleh doktor pakar walaupun kadang-kadang salah, dan kadang-kadang betul. Aku rasa, sebab mengapa aku sebegitu adalah untuk meluahkan fikiran yang terlalu berkecamuk dalam minda aku.
Aku juga sebenarnya suka dengan pesakit-pesakit yang diletakkan di bawah jagaan (kubikel) aku. Sekiranya pesakit itu berusia, maka, aku akan jaga mereka seperti aku menjaga ibu bapa aku, dan sekiranya muda, aku menjaga mereka seperti adik-beradik aku.
Kisah yang berlaku ini bermula dengan seorang pesakit yang bernama Azmi (bukan nama sebenar) dimasukkan ke wad dan diletakkan di kubikel pesakit acute yang diletakkan di bawah jagaan aku.
Pesakit ini merupakan seorang lelaki yang baru sahaja berumur 57 tahun, dan mengikut keputusan darah berdasarkan ujian yang dibuat, dia mengalami kegagalan buah pinggang yang akut (acute) akibat daripada jangkitan kuman di kakinya.
Pada hari kedua, keadaannya Azmi amat tenat. Dia memerlukan bantuan ubat untuk menstabilkan tekanan darahnya yang tersangat rendah. Inotropes, itulah kelas ubat yang digunakan untuk pesakit kritikal dan medical officer aku telah pun memasukkan femoral catheter untuk memulakan rawatan dialisis sementara.
(Fakta Perubatan Mula)
Untuk pengetahuan para pembaca, sesetengah pesakit yang mengalami acute renal failure dan gagal memberikan respon yang baik terhadap air garam yang dimasukkan menerusi kaedah intravena, mereka memerlukan rawatan dialisis.
Dalam ke sini, jangkitan kuman tersebut menyebabkan pesakit tersebut mengalami penurunan daripada segi tekanan darahnya (hypotension) kerana respon badan kita terhadap jangkitan kuman yang melarat ke seluruh badan.
Respon daripada segi pengembangan salur darah (vasodilation) dan pembukaan ruang antara sel-sel endothelium mengakibatkan kandungan plasma dalam darah gagal untuk kekal di dalam salur darah. Hal ini mengakibatkan kesan penurunan tekanan darah secara keseluruhannya.
Bukan itu sahaja, penurunan tekanan darah ini juga mengakibatkan kurang darah yang sampai kepada buah pinggang dan sekiranya teruk, buah pinggang seseorang pesakit itu akan gagal secara cepat (acute).
Kegagalan buah pinggang ini juga akan mengakibatkan kandungan toksik di dalam darah kita gagal disingkirkan.
Dengan keadaan jangkitan kuman yang teruk dan sudah pun tersebar ke dalam sistem peredaran darah (sepsis/septicaemic shock) pesakit, ditambah pula dengan kesan pengumpulan bahan-bahan toksik ini meletakkan pesakit dalam situasi yang amat berbahaya dan boleh mengakibatkan kematian.
Disebabkan itu, antibiotik yang paling kuat diberikan secara terus melalui intravena kepada pesakit. Untuk menangguhkan masa menunggu kesan antibiotik tersebut, maka, rawatan sokongan seperti haemodialisis diperlukan untuk mengambil alih tugas buah pinggang yang gagal.
Juga, kegagalan buah pinggang secara akut ini sebenarnya mempunyai prognosis yang baik untuk ianya kembali pulih sejurus sahaja kita berjaya membunuh kuman tersebut serta menangani respon pertahanan badan pesakit yang memerlukan masa untuk sembuh dan menaikkan semula tekanan darah mereka.
(Fakta Perubatan Tamat)
Akan tetapi, walaupun wad nefrologi ini mempunyai pakar dalam merawat masalah jangkitan kuman, namun, lokasi dan jenis jangkitan kuman yang menunjukkan pembengkakkan kaki pesakit dan bernanah. Oleh yang sedemikian, Azmi perlu dirujuk ke pakar tulang iaitu pakar orthopaedic (ortopedik).
Bukan itu sahaja, Azmi juga memerlukan wad yang membolehkan staf jururawat membuat pemantauan yang rapi, iaitu wad rawatan rapi atau ICU.
Malangnya, sewaktu itu tiada katil kosong yang berada di ICU dan High Dependency Ward (HDW). Mahu tak mahu, Azmi perlu dikekalkan di wad nefrologi sehinggalah terdapat katil yang kosong di 2 wad rawatan rapi tersebut.
Rawatan hemodialisis sementara kelihatan seperti gagal untuk banyak membantu pesakit. Walaupun kandungan garam berbahaya seperti urea dan kalium menunjukkan penurunan, namun, sel darah putihnya masih lagi tinggi (menunjukkan jangkitan kuman masih ada lagi).
Azmi masih lagi demam dan pembengkakkan kakinya yang berasa suam apabila disentuh memerlukan rawatan pembedahan secepat mungkin.
Pada hari ketiga, setelah aku membuat panggilan untuk merujuk pesakit ke pakar tulang, seorang doktor daripada bahagian ortopedik datang bersama house officer (HO) mereka untuk memeriksa Azmi.
Pemeriksaan ultrasound dibuat oleh mereka dan diagnosis yang diletakkan kepada Azmi sewaktu itu adalah Deep Vein Thrombosis (DVT). DVT adalah sejenis kondisi di mana terdapat pembekuan darah di dalam salir darah vena yang biasanya terletak di kaki pesakit.
Darah beku ini terjadi atas pelbagai jenis faktor. Darah beku ini juga boleh pecah dan bergerak ke atas badan pesakit mengikut kepada pengaliran darah menuju ke jantung dan kemudiannya ke paru-paru pesakit.
Sekiranya berlaku di paru-paru pesakit, maka ianya boleh menyebabkan penyakit Pulmonary Embolisme. Pulmonary Embolisme mempunyai prognosis yang sangat teruk daripada segi kadar kematiannya.
Aku segera ke katilnya semula. Azmi masih lagi sedar tetapi amat lemah dan tenat. Pernafasannya juga nampak tercungap-cungap di kala tekanan darahnya pun masih lagi sukar untuk normal walaupun dengan bantuan ubat-ubatan inotropes.
Walau bagaimanapun, aku gembira melihat sokongan yang diberikan oleh waris pesakit. Isterinya sentiasa ada bersama dia dan anak-anaknya yang berumur dalam lingkungan 14 – 17 tahun sentiasa berada di sisinya saat waktu melawat.
Setelah membaca apa yang ditulis di dalam fail pesakit, aku jadi nak marah. Marah akan diagnosis dan pelan yang mereka tulis. Kepala otak aku ketika itu dihujani dengan pelbagai jenis soalan. Mengapa mereka tak nak intervene apa-apa? Kenapa mereka tak letakkan pelan untuk membuat pembedahan kepada pesakit?
Bukankah sudah terang lagi bersuluh bahawa DVT bukan masalahnya memandangkan bacaan sel darah putih pesakit tinggi dan kaki pesakit menunjukkan tanda-tanda keradangan.
Aku mencapai telefon untuk bertanya lebih lanjut terhadap apa yang ditulis oleh doktor daripada jabatan ortopedik. Aku berasa tidak berpuas hati ketika itu, namun, aku memang sedar apa yang aku lakukan ketika itu agak biadap dan tidak menghormati doktor tersebut. Namun, ketika itu tindakan aku lebih kepada emosi tanpa berfikir dengan rasional.
Kemudiannya, aku memburukkan lagi keadaan dengan membuat panggilan kepada doktor pakar di wad aku. Sekali lagi aku membentangkan kes tersebut serta menyampaikan informasi tentang apa yang ditulis dan pelan rawatan daripada jabatan ortopedik dan mencadangkan supaya dia menghubungi ketua jabatan tersebut mengenai kes ini.
Aku ditegur oleh doktor pakar aku kerana perbuatan aku yang seolah-olah merendah-rendahkan doktor lain. Tetapi, begitulah sifat aku sewaktu itu. Aku tidak kisah dibenci. Dalam fikiran aku, biarlah kena benci, biarlah kena marah, asalkan pesakit dapat diselamatkan.
Kes ini hampir menjadi drama jam 7.00 malam kerana aku betul-betul mahukan rawatan yang sepatutnya diberikan. Habis sahaja sesi klinik di jabatan pesakit luar, doktor pakar nefrologi terus menuju ke wad dan aku terus membawanya ke katil Azmi.
Aku juga terkejut apabila yang datang ke wad pada waktu yang sama adalah doktor pakar ortopedik yang merupakan ketua jabatan.
Mereka berbincang di hadapan pesakit bersama dengan MO dan rakan sekerja aku yang juga HO. Untuk aspek perubatan dan nefrologi, kami semua sudah pun melaksanakan rawatan terhadap pesakit tersebut iaitu pemilihan antibiotik yang terkuat di samping rawatan dialisis.
Doktor pakar tulang kemudiannya memberitahu kami bahawa andai kata ianya jangkitan kuman seperti abscess atau cellulitis sekalipun, ianya menjadi mustahil untuk dibedah kerana keadaan pesakit yang terlalu tenat tidak akan dapat bertahan dengan ubat bius yang akan digunakan untuk pembedahan kelak.
Selepas itu, aku mengucapkan ribuan terima kasih terhadap doktor pakar tulang tersebut seraya memohon kemaafan kerana perbuatan aku yang kurang ajar itu. Dia mengatakan kepada aku bahawa dia faham ‘kedegilan’ dan perlakuan aku itu semata-mata untuk pesakit sahaja.
Doktor pakar nefrologi kemudiannya mengisukan Death In-Line kepada Azmi. Dia menerangkan kepada isteri pesakit tentang keadaan Azmi. Aku berasa amat sedih dan terus berdiri di balik tirai kerana sewaktu itu, aku dapat rasakan bahawa aku langsung tidak dapat melihat muka Azmi mahupun isterinya yang amat baik dengan aku.
Penerangan doktor pakar itu disambut dengan tangisan buat Azmi dan isterinya. Selepas itu, kami meneruskan round ke pesakit yang seterusnya.
Pada jam 3.00 petang, round wad tersebut sudah pun habis. Aku mulai membuat pelan dan rawatan yang dirancangkan oleh doktor pakar. Setibanya aku di katil Azmi, isterinya menghampiri aku yang sedang berdiri berhampiran dengan cardiac tablenya.
“Tak mengapalah doktor, doktor dah buat yang terbaik, kami berserah je kepada Allah” sambil menangis teresak-esak.
Aku mendiamkan diri sepenuhnya, cuba menahan kesedihan yang amat. Aku rasakan diri aku sebagai seorang yang gagal kerana aku tidak melakukan yang terbaik. Pakcik Azmi yang masih lagi memakai face mask menolehkan kepalanya kepada aku sambul memanggil aku untuk berada dekat dengannya kerana suaranya amat perlahan.
“Doktor, pakcik nak balik…Doktor dah berhempas pulas nak tolong pakcik, 3-4 hari pakcik tengok doktor temankan pakcik sampai malam dan pakcik ucapkan terima kasih sangat-sangat. Doktor, rasanya sudah tiba masanya untuk pakcik pergi, dan pakcik nak minta tolong satu lagi perkara sahaja boleh tak?”
Aku mengangguk perlahan dan tidak menjawab kerana aku tahu, aku tidak akan dapat menahan kesedihan andai kata aku mulai membuka mulut aku.
“Boleh tak kalau pakcik nak mati di rumah pakcik? Rumah tu dah bertahun-tahun pakcik kerja dan syukur alhamdulillah sebab pakcik berjaya bina rumah tersebut untuk isteri dan anak-anak pakcik”
Aku mengangguk sekali lagi dan mengatakan bahawa aku perlu bertanya kepada MO aku untuk memenuhi permintaannya yang pada aku, yang terakhir. Aku berjalan laju dan terus memasuki bilik hemodialisis dan duduk di satu tempat yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai.
Aku memang terlalu sedih dan jadi macam orang gila sewaktu itu. Aku teringat kali terakhir aku menangis sebegitu teruk adalah ketika bapa aku meninggal dunia. Teruknya aku menangis sehinggakan staf-staf hemodialisis tak berani nak tegur atau bertanya.
Maklumlah, orang yang selama ini happy go lucky tiba-tiba berubah jadi macam tu. Setelah aku masuk bilik on-call, mencuci muka aku dan menampar pipi aku sendiri 3-4 kali, aku bersedia semula untuk dengan pesakit tersebut. Kata-kata semangat dan doa sahajalah yang boleh dilakukan sewaktu itu oleh pesakit, waris-waris pesakit dan diri aku sendiri.
Sehari kemudian, tidak sempat untuk memindahkannya ke ICU, Pakcik Azmi meninggal dunia. Dia meninggalkan isteri serta 2 orang anaknya. Kes tersebut sedikit sebanyak mendewasakan diri aku. Segala amal bakti yang diberikan pesakit sudah tentu perlu diberikan sebaik mungkin, tetapi berpada-pada.
Ikatan emosi dengan pesakit seharusnya dibina untuk menjadikan pesakit mempunyai kepercayaan terhadap diri seorang perawat, tetapi tidak lebih dari itu.
Ikatan emosi yang terlalu kuat akan menjadikan seseorang itu sakit daripada segi mental dan emosi, dan hal ini akan disusuli dengan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan dalam merawat pesakit yang lain akibat diselubungi dengan perasaan yang tidak rasional.
Doktor, jururawat dan MA adalah manusia, bukan tuhan. Kita hanyalah hamba yang lemah dan mana mungkin boleh melewatkan atau mempercepatkan ajal seseorang pesakit.
Dalam bidang perubatan, nyawa pesakit yang akan melayang di hadapan mata kita berlaku hampir setiap hari. Pengajaran dan peristiwa yang hadir membolehkan kita belajar daripada kesilapan dan akhirnya tersemat di dalam jiwa kita sebagai suatu pengalaman. Pengalaman itulah yang paling berharga.
– ILZANNO SHARKY (https://www.facebook.com/drshark88)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit