Sejak ayah meninggal dunia, aku mengambil keputusan untuk duduk bersama ibuku di Muar. Aku amat bersyukur kerana berjaya mendapatkan pekerjaan di bandar Muar ini. Bukan mudah nak mendapatkan pekerjaan di sini.
Sesiapa yang berasal daripada Muar mesti tahu bahawa walaupun Muar ini telah digelar bandar, namun suasananya tak ubah seperti pekan kecil sahaja. Ada orang mengatakan bahawa Muar ini merupakan bandar pencen.
Maklumlah apabila malam mulai menjelma, bandar Muar jadi sunyi sepi, di mana kedai-kedainya di kawasan ini tutup seawal jam 6 hingga 7 petang lagi. Apabila malam menjelma, cuma ada 2 – 3 tempat sahaja yang meriah dan menjadi tempat anak-anak muda melepak.
Apabila keadaan bandar yang suasananya begini, agak sukar pada awalnya bagi diriku untuk mencari kerja di sini. Setahun setengah aku menganggur, duduk bersama ibuku sambil berdoa agar diberikan peluang untuk mendapat pekerjaan yang dekat dengan ibuku. Abangku, Mazlan merupakan satu-satunya lelaki dan seorang kakakku, Zafirah kesemuanya bekerja di Kuala Lumpur.
Aku merupakan anak bongsu dalam keluarga ini. Pekerjaan sebagai seorang akauntan di bandar ini sedikit sebanyak membolehkan aku mendapat gaji untuk menyara ibu. Sudah 2 tahun ayah meninggalkan kami semua. Ibu pula hanyalah seorang surirumah tangga sepenuh masa.
Finance department ini kau tahu-tahulah merupakan jabatan yang agak sibuk, di mana di kalangan rakan-rakan sekerja di dalam pejabat ini, aku bersama finance manager inilah yang pulang paling lewat. Adakalanya jam 7.00 petang, adakalanya jam 8 malam mengikut kepada tahap kesibukkan di pejabat kecil ini.
Bulan puasa juga tak banyak bezanya. Aku merupakan antara 3 orang Melayu yang bekerja di syarikat milik Cina ini. Jadi, apabila sesebuah pejabat ini yang majoritinya bukan Islam, sudah pasti tiada perbezaan dari segi waktu bekerjanya walaupun di bulan Ramadan.
Aku cukup gembira duduk bersama ibuku dirumah. Ibuku amat gemar memasak. Walau sesibuk mana sekalipun, dia pasti akan memasak untuk kami semua adik-beradik. Semasa ayahku hidup pun, tak pernah sehari dapur rumah kami ini tidak berasap. Kami bertiga ketika di bangku persekolahan ibarat tidak pernah merasai makan di luar, sama ada makan malam mahupun makan tengahari.
Ayam masak kicap, kari daging, kailan ikan masin, telur dadar, semuanya ibu masak untuk kami. Akan tetapi, makanan kegemaranku sudah tentunya Asam Pedas ikan pari. Di Muar ini, ada banyak gerai-gerai asam pedas daripada yang terletakdi Parit Jawa, sehinggalah yang terletak di Bandar Maharani ini namun tiada satu pun boleh menewaskan kesedapan masakan ibuku ini.
Aku rasa amat bertuah kini. Maklumlah, aku tidak perlu membeli makanan untuk berbuka di bazar Ramadan, sebaliknya, ibu masakkan baik lauk untuk sahur mahupun lauk untuk berbuka. Aku hanya perlu singgah membeli air dan kuih-muih sahaja di bazar Ramadan untuk kami berbuka bersama.
Seminggu sebelum Raya, adik-beradikku sudahpun membuat rancangan untuk balik. Aku teringat pada hari itu, hari Isnin di mana ibuku telah bersiap sedia menyambut kepulangan abang dan kakakku. Mereka bertolak dari Kuala Lumpur jam 5 petang, berkonvoi bersama-sama. Mereka dijangka tiba jam 7.00 malam, beberapa minit sebelum masuk waktu berbuka puasa.
Di pejabatku pada hari itu amat sibuk, memandangkan syarikat ini ingin membuat audit. Aku selalunya terpaksa berbuka di pejabat, adakalanya makan kuih muih mahupun apa-apa makanan yang ada. Selalunya aku makan ringan-ringan sahaja, sebelum pulang dan makan masakan ibu pula. Tanpa aku sedari pada hari tersebut, azan maghrib mula berkumandang. Aku langsung tidak perasan betapa cepatnya masa berlalu.
Aku pergi ke pantri pejabat untuk minum dan makan sedikit. Sedang aku baru sahaja nak makan, telefon bimbitku berbunyi. Nombor yang tidak dikenali. Tetapi aku jawab sahajalah walaupun terdetik sedikit perasaan marah kerana membuat panggilan pada waktu itu.
“Hello, ini Cik Zana ke?”
“Ya saya. Siapa ni ya?”
“Ni Mak Som ni”
“Eh, kenapa Mak Som”
“Ibu awak jatuh tadi. Mak Som hantar ke hospital, dia berada di wad kecemasan sekarang ni”
Hatiku berderau apabila Mak Som, jiran sebelah rumahku membuat panggilan memberitahu perkara sedemikian. Terus aku keluar, capai kunci motorsikalku untuk balik. Aku segera menghantar mesej kepada abang dan kakakku untuk ke hospital Muar dengan kadar segera. Aku memberitahu managerku bahawa aku terpaksa pergi atas urusan kecemasan. Dia mengangguk dan membenarkan aku pulang.
Jam 7.45 malam, aku tiba di wad kecemasan. Adik beradikku yang lain sudah berada di situ.
“Man, mak mana?”, aku bertanya sambil membuka helmetku.
“Mak dekat zon merah tu. Doktor kata dia kena angin ahmar”, jawab abang Man.
Aku menunggu sebentar, dan terus ke surau di hospital berkenaan memandangkan aku belum solat maghrib lagi. Kakakku menuruti aku dari belakang, dan Abang Man tunggu di sana takut-takut ada apa-apa yang hendak diberitahu oleh doktor ataupun petugas kesihatan di situ.
Aku segera mengambil wudhu dan solat. Saat aku sujud, tiba-tiba sahaja aku berasa teramat sebak. Tak semena-mena air mataku mulai luluh. Aku berdoa sepenuh hati di dalam sujudku. Aku nak ibuku sembuh dan sihat walafiat. Aku tahu aku banyak dosa kepada ibuku. Aku berjanji andaikata diberi peluang, aku berjanji dengan tuhan agar aku menjaga ibu sepenuh kasih sayang, lebih daripada sekarang.
Dalam surau yang lengang, kami adik-beradik berpelukkan satu sama lain. Masing-masing nak ibu selamat, nak ibu sihat dan nak ibu baik seperti sebelum ini. Aku rasakan malam itu, tidak pernah aku berdoa bersungguh-sungguh meminta kepada Allah. Aku tidak mampu kehilangan ibu kerana kesedihan dan kepiluan memikirkan ayah yang meninggalkan kami masih belum hilang lagi.
Aku turun setelah mengelap mukaku yang dibasahi air mata. Aku lihat Abang Man sedang duduk di kerusi berhampiran zon merah. Dia tunduk, menekup mukanya dengan kedua belah tangannya. Dia menangis teresak-esak. Aku mendekatinya, dan apabila dia menoleh kearahku dan kakakku, terus dia berkata,
“Zana, ibu dah tiada”.
Kata-kata demikian membuatkan kakiku berasa lemah gemalai. Aku terjelepok di atas lantai taktala mendengar perkhabaran berita sedemikian. Aku mula menahan diri daripada menangis, tetapi tidak boleh. Dalam esakkan kami bertiga di depan zon merah, abang Man memeluk tubuhku.
Seorang doktor perempuan menghampiri kami, menyerahkan borang kematian untuk diselesaikan urusan membawa pulang ibuku.
Aku mulai berfikir menyalahkan takdir dan ajal. Jika tuhan punyai perancangan, apakah ini dikira satu perancangan yang baik? Apakah tuhan tidak sayangkan hamba-hambanya kerana meletakkan dalam ujian kematian yang amat berat ini? Aku akui, aku tidak boleh berfikir dengan relevan. Otakku dibanting dan dihenyak-henyak bertubi-tubi oleh berita kehilangan ibuku.
Abang Man berjalan semula ke arahku. Dia hulurkan aku sebotol air mineral. Dia menyuruh aku minum dan makan sedikit. Tidak baik melewatkan berbuka katanya. Aku menuruti sahaja kehendaknya. Aku harus tabah menghadapi tekanan sebegini.
Seusai semua urusan menempah van jenazah dan borang-borang yang perlu diisi, kami semua pulang ke rumah, diiringi oleh van jenazah. Aku masuk ke dalam rumah, meletakkan beg dan helmetku. Abang Man, dan kak Irah turut masuk ke dalam rumah. Aku ke dapur, niat hati nak membuang botol air mineral tadi. Aku lihat ada makanan di bawah tudung saji. Aku buka dengan segera.
Hatikku yang sudahpun remuk menjadi berkecai bagai ditusuk-tusuk oleh sembilu apabila terpandang lauk Asam Pedas ikan pari yang dimasak oleh ibu memandangkan dia sudah bersedia untuk menyambut kepulangan adik-beradikku. Lauk kegemaran kakakku, kari daging dan abangku, ayam goreng turut dimasak oleh ibu, yang sudah menghafal makanan-makanan kegemaran kami semua.
Linangan air mata tak henti-henti mengalir, membasahi pipi ku. Esakkan dan sedu-seduan memenuhi ruangan dapur. Abang Man mengambil periuk nasi yang terisi dengan nasi panas. Dicedoknya sedikit demi sedikit di dalam pinggan, memberi aku dan kakakku makan.
Apabila aku menyuap sahaja nasi kedalam mulutku, serta merta terasa kesedapannya. Aku tahu, itulah masakan yang paling sedap dalam dunia. Tetapi, itulah kali terakhir aku dapat rasa masakan sesedap ini. Masakan air tangan ibu yang dimasak dengan penuh kasih sayang. Penuh rasa cinta dan kasih ibu yang tak pernah lekang oleh ibuku.
Aku melihat tangan kananku dan tubuhku, yang masih terasa kehangatan dakapan ibu pagi tadi sebelum aku ke tempat kerja. Terasa betapa sakitnya hati ini ibarat dicucuk dan dimamah taktala memori dan kenangan silam mula memenuhi ruang pemikiranku.
Aku melihat sekitar ruang tamu dan bilik-bilik di situ. Ibulah yang menjadikan rumah ini rumah kami adik beradik. Tanpa ibu, rumah ini hanyalah sekadar sebuah bangunan. Tiada bezanya dengan rumah-rumah lain tanpa kehadiran ibu. Hilanglah keceriaan dan warna-warni serta gelak tawa dan bual-bual kosong antara aku dengan ibu. Segalanya pudar dan hambar.
Aku bersyukur kepada Allah kerana meminjamkan aku seorang ibu macam ibu. Tahun ini, sudah pasti hari raya nanti disambut dengan hambar. Air tangan ibu tidak lagi aku dapat rasakan. Yang ada, hanyalah memori-memori dan kisah cerita antara aku dan ibuku.
TAMAT…
– Ilzanno Sharky
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit