Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Nama aku L. Aku baru sahaja berkahwin dengan N pada tahun lepas. Kami berkahwin atas dasar cinta dan mendapat restu dari kedua-dua pihak.
Keluarga aku suka pada N dan keluaga N juga suka pada aku. Rumah tangga kami bahagia. N isteri yang baik. Walaupun kami masing-masing ada kekurangan, kami tetap mencintai satu sama lain.
Sebagai suami, aku rasa sangat beruntung. N mendapat didikan agama yang sempurna, bijak, cantik serta berperwatakan menarik.
Namun, ada satu sikap N yang buat aku rasa sedih iaitu N tak suka pada keluarga aku.
Untuk makluman pembaca, aku berasal dari keluarga biasa. Kami tidak terlalu kaya dan tidak pula terlalu miskin. Kehidupan kami mencukupi.
Aku ada ramai adik-beradik. Jadi, kami memang rapat antara satu sama lain sejak kecil. Rezeki dikongsi bersama. Masalah juga diselesaikan bersama.
Sejak aku kahwin dengan N, aku dapat rasakan N tak suka pada keluarga aku.
Apabila kami balik ke kampung aku, N akan beritahu awal-awal dia tak mahu kami berada di kampung lama-lama.
Selalunya, N minta kami di kampung sehari sahaja. Kalau aku tak mahu ikut, N akan mula menangis.
Sebagai suami, aku selalunya akan mengalah. Tapi dalam hati aku, aku rasa sangat sedih.
Sampaikan aku rasa hina sangatkah keluarga aku sampaikan isteri aku tak mahu duduk kampung melebihi sehari. Aku pun rindu pada ayah, ibu dan adik beradik.
Mereka jaga aku dari kecil, takkan aku perlu buang mereka dari hidup aku demi isteri? Aku berperang dengan perasaan aku.
Pernah aku cuba bincang dengan isteri tentang isu ini. Tapi isteri aku akan guna air mata sebagai senjata.
Dan aku, seperti biasa, mengalah dan memendam perasaan walaupun aku rasa tak adil.
Bagaimana dengan keluarga isteri aku? Pada sesiapa yang rasa aku tak luangkan masa di kampung isteri aku, anda semua salah. Kami selalu menyantuni keluarga isteri.
Sebelum kahwin, aku pernah berjanji dengan isteri yang aku takkan pisahkan dia dengan keluarga dia.
Jadinya, selepas kahwin kami selalu menyantuni keluarga isteri. Rumah saudara mara isteri semua kami pergi.
Dan aku sebagai menantu sedaya upaya menggembirakan hati keluarga isteri. Aku luangkan masa dengan mereka, layankan cerita mereka dan tolong mereka sewaktu di kampung.
Selalunya pagi-pagi lagi aku akan bangun. Tolong-tolong mengemas dan sediakan sarapan. Aku buat semua tu sebab aku suka dan aku hormat keluarga mertua. Sampaikan keluarga mertua aku memang suka dan selesa dengan aku.
Namun, kenapa isteri aku tak dapat buat perkara yang sama?
Aku tak minta isteri aku hormat melampau-lampau pada keluarga aku. Apa yang aku minta adalah supaya isteri aku berikan aku masa melepaskan rindu pada keluarga.
Aku juga ada perasan. Rindu dalam hati ini membuak buak. Kadangkala waktu bersendirian, aku menangis sebab rindukan keluarga. Aku rindu gelak tawa ayah, ibu dan adik beradik.
Kepada isteriku, fahamilah hatiku ini. Izinkan aku luangkan masa bersama keluarga. Usah jadikan air mata mu sebagai senjata untuk menghalang aku berjumpa dengan keluarga ku.
Sudah pasti, aku akan mengalah dengan air matamu. Akan ku buang keluarga ku demimu. Tetapi hatiku ini, berdarah menanggung rindu pada keluarga.
– Luqman (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit