Bismillah dan assalamualaikum semua pembaca. IIUM Confession merupakan satu platform bacaan yang menjadi favourite aku kerana disebalik kisah dan pengalaman penulis, banyak membuat aku rasa bersyukur tentang hidup ni. Kali ni aku ingin berkongsi satu cerita yang simple berkenaan ajaibnya ucapan terima kasih.
Sebelum tu, aku merupakan seorang surirumah dan alhamdulillah dikurniakan sepasang anak yang berusia 5 dan 2 tahun. Dalam tempoh usia begini, aku rasa korang juga pasti setuju jika aku katakan yang mereka sedang seronok menerokai pelbagai alam aktiviti kanak-kanak. Ruang tamu baru siap dikemas, aku ke dapur untuk memasak. Setelah ke ruang tamu balik, rumah yang tersusun telah bertukar menjadi khemah dan kubu pertahanan buat mereka.
Setiap hari pasti ada projek baru yang akan mereka lakukan. Jika terlupa simpan bedak di tempat tinggi, maka terjadilah syurga mainan buat mereka. Kesudahannya semua putih tinggal biji mata je yang hitam. Begitu juga jika terlupa lock almari bekas tipuware, maka berpesta la mereka dengan bekas tipuware kepunyaan ibu mereka. Sedikit tip dari aku buat ibu-ibu baru, jika anak anda diam, intai-intai la ye kerana pasti ada projek menarik sedang mereka terokai. Hihihi…
Seawal subuh aku sudah mula punch card untuk menyediakan bekal dan sarapan buat suami dan anak. Kemudian akan disusuli kerja-kerja rumah rutin yang lain. Bohonglah sekiranya aku katakan aku tidak penat menguruskan tugas-tugas ini tapi cerita aku kali ni bukan ingin aku tekankan tentang penat dan lelah kita semua kerana aku percaya setiap kita punya level penat yang berbeza. Ada yang penat otak.. penat tenaga.. dan banyak lagi.
Dalam aku sibuk menguruskan anak dan rumahtangga, satu hari, suamiku balik dari kerja. Aku seperti kebiasaan, akan sibuk untuk menguruskan makan malam dan menyiapkan anak untuk mandi dan pergi mengaji. Tiba-tiba, satu hari tu, suamiku datang dan ucap satu perkataan yang nampak simple tapi masyaallah, mampu buat aku rasa dihargai dan berbunga-bunga. Semua penat lelah aku umpama hilang dibawa angin. Suamiku cakap, “terima kasih kerana menjaga saya dan anak-anak dengan baik.”
Ye, nampak mudah je kan perkataan terima kasih tu tapi kadang-kadang kita terlupa untuk mengucapkannya. Kadang-kadang perkara yang kita anggap kecil tu sebenarnya boleh jadi besar pada si penerima. So, tak semestinya suami sahaja yang perlu ucapkan terima kasih pada isteri. Ucaplah terima kasih pada semua walau sekecil-kecil perbuatan mereka kepada kita kerana perkataan terima kasih memang mempunyai keajaibannya yang istimewa dan tersendiri. So apa lagi, cepat-cepat ucap terima kasih.
Terima kasih,
– I.A
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit