Akhirnya Cinta Ku Berbalas

Assalamualaikum semua, moga sihat sentiasa hendaknya. Nama aku Harun Ajis dan sudah tentulah bukan nama sebenar, hehe.

Apa yang aku ingin ceritakan ini hanyalah pengalaman daripada secebis kisah hidup diriku. Aku harap ada pengajaran dan manfaat yang boleh diambil bersama.

Aku menuntut di salah sebuah IPTA top 5 dalam negara. Ketika pengajian aku memasuki tahun ke-2 atau ke-3 (aku tak berapa ingat), aku ada minat kat seorang junior tahun 1 ni (aku gelarkan dia S).

Pada pandangan mataku ini, S seorang yang comel, manis dan sopan. Pada waktu tu S berpurdah dan berpakaian menutup aurat. Kira kalau solat on the spot tu tak perlu risau kalau takda telekung.

Aku ni pula bukanlah senior yang terlalu menonjol. Aku seorang yang pendiam dan pemalu cuma berperangai ‘gila-gila’ bila bersama rakan-rakan yang akrab sahaja. Aku mula menegur S ni di FB sahaja.

Kami sering saling bertukar-tukar pandangan mengenai pelajaran. S pernah meminjam buku-buku rujukanku untuk difotokopi. Hati aku ni berbunga-bunga mekar bagai dibajai oleh najis yang berkualiti tinggi.

Beberapa bulan berkenalan, aku mula mencucuk jarum berbenangkan keikhlasan menjahit dua hati ini agar tercantum dijinjang pelamin nanti (angan-angan budak tahun akhir haha).

Aku mulakan whatsapp dengan soalan paling popular,

“Kita whatsapp ni pakwe tak marah ke?” aku menaip dengan penuh debaran.

“Taklah.. takda siapa nak marah pun..” jawabnya ringkas.

“Owh.. ada ‘can’ la ni.. hehe..” aku mula menggatal.

“Hurm… ‘can’ apa tu?” soal si S pura-pura tak tahu.

“Hurm kalau awak sudi, boleh ke kalau saya berhasrat nak jadikan awak sebagai calon isteri? Saya betul-betul serius dengan hasrat saya ni…”

Iya aku ini jenis berterus-terang. Kalau aku serius memang takda berdolak-dalih. Perkahwinan memang tujuan utama aku dalam perkenalan ini.

“Hurm tapi saya tak sedia lagi… dan saya dah anggap abang macam abang saya sendiri” balas si S tak lama kemudian. Hantaran whatsapp itu sekali gus memusnahkan angan-anganku selama dua minit itu.

“Oh damn… friendzone lagi…. Ini bukan friendzone ni tapi abang zone” getus hatiku merasa sedikit kesal. Bukan sekali dua aku kena friendzone sepanjang hayat aku ni tapi berkali-kali juga huhu. Nak kata tak kacak, ada la iras Jehan Miskin. Badan katang macam Aaron Aziz.

Selepas aku di”friendzone”kan oleh si S, aku masih juga menyimpan harapan dan berusaha untuk menawan hatinya.

Aku cuba mengambil berat tentang dirinya, bertanya khabar, guna orang tengah untuk pujuk dan bermacam lagi cara namun masih juga tidak berjaya. Istilah ‘perempuan nak lihat usaha lelaki’ tu tak berkesan dalam kisah ni.

Masa pun berlalu. Hari demi hari, bulan silih berganti. Kehidupan kami sebagai pelajar universiti sibuk dengan pembelajaran dan program di sana sini. Aku jarang berpeluang untuk terserempak dengan si S. Hanya beberapa kali sahaja terjumpa di pertengahan jalan dalam fakulti.

Itu pun hanya berbalas senyuman sahaja. Aku hanya kerap melihat si S melalui media sosial sahaja. Dia sudah menanggalkan purdahnya.

Bergaya seperti kebanyakkan gadis biasa. Tudung sudah berbagai rupa dan nama dicuba. Adakala mencuba kain kebaya yang menampakkan bentuk tubuhnya. Dia tidak lagi seperti dulu.

Aku melihat si S sudah menunjukkan tanda mengikuti ideologi berhaluan kiri. Aku menjangka si S sudah dijangkiti virus feminis dan sedikit liberal. Entahlah, aku hanya melihat tanda itu dengan kadar ruang lingkup ilmuku yang tidak seberapa.

Akhirnya di facebooknya kelihatan beberapa gambar si dia bersama lelaki yang tidak aku kenali. Mungkin satu fakulti.

Aku menjangkakan itu teman lelakinya. Dan iya sangkaan aku benar. Bergambar agak rapat. Aku sedikit kesal dengan perubahan ‘crush’ aku tu. Si gadis yang dulunya berpurdah dan kini gayanya agak terdedah.

Kadang kala aku sengaja bertanya khabar melalui whatsapp, namun tidak lagi dibalas. Owh mungkin si S ini sudah berjanji setia dengan teman lelakinya.

Namun setiap kali masalah cintanya melanda, akulah orang yang dicari. Demi mendapatkan kata-kata nasihat atau semangat kembali.

Aku dijadikan tempat meluah perasaan dan mengubati kelukaan. Dalam fikiran, aku masih lagi mengharapkan cinta ini berbalas. Kadang kala aku mencucuk jarum. Aku nyatakan hasratku pada dia kembali.

“Owh maaf saya tak boleh terima abang lebih sebagai kawan. Saya dah anggap abang macam abang sendiri”, balas si S berdalih dengan alasan kebiasaannya.

Aku terima dan bodohnya aku kerana masih membuang masa menjadi tempat luahan perasaan si S setiap kali bergaduh dengan teman lelakinya.

Si S kerap juga bertukar teman lelaki. Putus yang ini, sambung pula bercinta dengan yang lain. Pernah juga aku melihat dia bercuti ke luar Negara dan bergambar dengan teman lelaki yang entah ke berapa pun aku tak tahu.

“Owh mungkin dia tidur lain-lain bilik”, baik pula aku untuk bersangka baik.

Hendak diringkaskan kisah, beberapa tahun telah pun berlalu. Aku telah pun bergraduasi dan menempuh alam pekerjaan sebagai kuli untuk beberapa seketika.

Beberapa tahun selepas itu, aku diterima bekerja sebagai pegawai kerajaan. Tidak lama kemudian, aku dihubungi semula oleh S. Kami bertanya khabar dan bercerita mengenai perkembangan diri masing-masing. S sudah pun berada di tahun akhir pengajian.

“Abang masih ada hati pada saya?” tanya S pada aku. Aku seolah melihat sedikit pancaran cahaya harapan di situ (cahaya skrin telefon sebenarnya hehe)

“Erm ya abang masih ada hati pada awak. Ada can ke ni?”, aku membalas.

“Kalau macam tu saya terima. Usia dah makin meningkat, saya nak serius untuk berkahwin.” Pehhh bagai orang mengantuk disorongkan bantal, si S crush yang aku idam dan mimpikan selama ini ajak aku bercinta bahkan ajak aku membina masjid!

Aku dalam delima. Aku tahu ada sesuatu yang tidak kena tapi aku terima ajakkan si S tu. Secara rasminya aku diterima sebagai kekasihnya.

Aku beritahu pada dia bahawa elok kita ambil masa berkenalan dahulu. Aku sendiri sebenarnya takda masalah dah nak dirikan rumah tangga. Dah ada kerjaya, simpanan untuk kahwin pun dah ada.

Aku tahu si S waktu itu single dah. Dia sendiri cerita padaku. Aku tahu dia dah ‘tak suci’ dah walaupun dia tak cerita pada aku. Hei hei korang ingat orang perempuan je ke ada so called firasat? Kami pun ada la hehe.

Akhirnya satu hari tu kami dari hati ke hati bercerita mengenai hal yang sulit ini. Ya benar dia telah pun menyerahkan kehormatan diri pada bekas teman lelakinya. Entah yang mana aku pun tak tahu. Reaksi aku tenang sahaja kerana aku sudah pun menjangkakannya.

“Erm boleh saya tahu berapa banyak kali awak terlanjur? Tapi kalau awak tak nak kongsi dan tak selesa takpalah.. tak perlu jawab”, aku menyoal dengan sopan dan berhati-hati. Tak mahu aku melukakan kekasih pengarang jantung yang sorang ni.

“Erm lebih 50 kali… saya kotor… dan sebenarnya kali pertama saya serahkan dara ini pada kaum sejenis saya sendiri..”, si S mula berterus-terang. Aku terkejut membaca pengakuannya. Tak sangka terjebak juga dia dengan hubungan songsang. Apa dia ni? Lesbian atau biseksual?

Namun sebahagian besar perbuatan terlanjur itu adalah apabila si S bersama dengan bekas teman-teman lelakinya.

“Ish lebih 50 kali? Kalau sekali dua terlanjur tu mungkin aku boleh terima atau tutup sebelah mata saja” aku bermonolog sendirian.

Berperang dengan perasaan. Mengapa aku sebagai lelaki yang tidak pernah menyentuh mana-mana wanita bukan mahram perlu menerima dan reda dengan situasi ini?

“Pantang pemuda memakan sisa”, tiba-tiba dialog yang entah dari filem mana terpacul dalam mindaku. Aku cuba berfikiran positif.

Mungkin dengan kemunculan aku dalam hidupnya dapat membimbing si S untuk menjadi orang yang baik.

Hendak diringkaskan cerita, satu hari tu aku perlu ke suatu negeri bagi menghadiri mesyuarat kerja beberapa hari. Negeri itulah terletaknya universiti tempat aku menimba ilmu atau erti kata lain aku berpeluang berjumpa dengan S yang waktu itu di tahun akhir pengajian.

Aku mengajak S untuk berjumpa pada waktu malam di kampus. Seusai aku sampai dan solat maghrib di masjid kampus, aku menunggu si S di perkarangan masjid. Si S ketika itu sedang bersiap di rumah sewanya yang berdekatan sahaja dengan kampus. Waktu itu bulan Ramadan.

Sewaktu menunggu itu, aku termenung berfikir. Timbul rasa berdosa pula ajak dating waktu bulan Ramadan ni, patutnya aku sambung terawih kan lebih elok. Macam mana pula kalau kami terlanjur juga buat benda tak elok? Boleh sahaja aku bawa balik dia ke bilik hotelku.

Hotel pula bukan jenis hotel bajet, pasti takda siapa kacau. Pelbagai persoalan timbul dalam fikiranku. Aku berperang dengan nafsu sendiri.

Si S pula gayanya seorang yang manja.

Kadang-kala dia suka bagitahu bahawa jika kami dah berumah tangga, dia suka dipeluklah, suka bermanja di dapurlah dll. Walau pun berbahasa kiasan tapi mesej-mesej sebegitu memang lain macam rasanya.

Tanpa membuang masa aku terus whatsapp kawan-kawan pengajian aku dulu yang sememangnya tinggal berdekatan kampus.

“Weh ko ada mana? Aku ada kat masjid kampus ni… jom ah lepak mamak pas teraweh nanti. Aku tunggu ko kat sini”.

Mujur kawan aku tu balas whatsapp aku dan free pula time tu. Aku segera whatsapp si S, aku mengatakan tak jadi dating sebab ada hal kecemasan yang tak dapat aku elakkan.

Seperti yang aku jangkakan, si S kecewa dan agak marah denganku. Aku meminta maaf dan terus sahaja melangkah masuk ke masjid untuk sambung terawih. Kejam bukan?

Setelah beberapa bulan kejadian itu, kami masih lagi berhubung. Si S kerap juga bertanya kepadaku bilakah aku akan masuk meminang?

Hinggalah satu hari tu aku rasa aku perlu buat keputusan. Aku sudah fikir sedalamnya bahawa aku tak mampu terima dia sebagai teman hidupku kerana kisah silamnya.

Aku sering berperang dalam diri sama ada ingin terima dia untuk dibimbing atau sebaliknya. Setiap kali aku berfikiran positif pasti akan timbul persoalan ini,

Kenapa aku perlu terima dia saat aku punya segala? Kenapa dia tak menerima aku saat aku menagih cintanya dahulu? Kenapa dulu dia jadikan aku hanya tempat persinggahan saat bergaduh dengan teman lelakinya kemudian tinggalkan aku setelah berbaik semula?

Hatta aku menghantar mesej sebagai kawan pun tak pernah dibalas. Adakah aku ini hanya dijadikan sebagai pak sanggup setelah dia ditinggalkan oleh bekas teman lelakinya? Setelah dibolos lebih 50 kali??

Tidak! Aku dah buat keputusan. Aku tak akan terima dia sebagai isteriku. Bukan niatku untuk menghina si S tetapi aku juga mencari orang yang benar-benar ikhlas menerimaku sejak dari awal lagi. Aku nak teman hidupku mencintaiku kerana diriku sendiri bukan kerana alasan yang lain.

Akhirnya aku memutuskan perhubungan kami. Si S kecewa dengan tindakanku. Walau pun perhubungan kami hanya beberapa bulan tetapi sedikit sebanyak meninggalkan kesan buat kami.

Aku kejam? Ya mungkin di mata sesetengah orang aku kelihatan kejam tetapi mungkin ada kebaikan dalam jangka masa yang panjang nanti.

Bak kata Zainuddin terhadap Hayati dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick sewaktu Hayati meminta maaf setelah meninggalkan Zainuddin,

Zainuddin: Maaf? Kau regas segenap pucuk pengharapanku. Kau patahkan. Kau minta maaf..

Hayati: Sudah hilangkah tentang kita dari hatimu? Janganlah kau jatuhkan hukuman, kasihanilah perempuan yang ditimpa musibah berganti-ganti ini.

Zainuddin: Demikianlah perempuan, ia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya walau pun kecil dan ia lupa kekejamannya sendiri pada orang lain padahal begitu besarnya.

Bukankah kau yang telah berjanji ketika saya diusir oleh Ninik Mamakmu kerana saya asalnya tidak tentu, orang hina, tidak tulen Minangkabau,

Ketika itu kau hantarkan saya di simpang jalan, kau berjanji akan menunggu kedatanganku berapapun lamanya, tapi kemudian kau berpaling ke yang lebih gagah kaya raya, berbangsa, beradat, berlembaga, berketurunan, kau kawin dengan dia.

Kau sendiri yang bilang padaku bahwa pernikahan itu bukan terpaksa oleh paksaan orang lain tetapi pilihan hati kau sendiri. Hampir saya mati menanggung cinta Hayati!

Panjang dah aku menulis. Kisah ini pun sudah hampir 10 tahun yang lalu. Aku harapkan si S temui kebahagiaanya dan berubah kearah yang lebih baik.

Harap netizen tidak mengecam si S atau aku kerna aku menulis cerita ini sekadar mengisi kekosongan waktu dan untuk diambil pengajaran (kalau ada). Wassalam.

– Harun Ajis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *