Akibat Selfie

Assalamualaikum pembaca semua. Nama saya sarah (bukan nama sebenar). Terima kasih iium confession atas peluang ini. Saya adalah seorang perempuan berusia 27 tahun, telah berkahwin dan mempunyai anak. Secara luarannya, saya menutup aurat, berbaju labuh dan memaki stokin. Tudung juga berbidang besar.

Imbas kembali, zaman muda remaja dahulu, saya suka selfie, seperti juga remaja lainnya. Zaman itu zaman facebook baru bermula, instagram masih dalam perjalanannya mungkin. Saya suka ambil gambar sendiri, tapi masa tu saya tak tahu pun namanya selfie.

Macam-macam gayalah saya buat, perasan comel walaupun orang kata saya ada rupalah juga. Gambar yang diambil tentulah mengikut sudut yang membuatkan saya kelihatan cantik. Gambar yang buatkan saya kelihatan gemuk atau hodoh akan dipadam dengan kadar segera. Seram menengoknya.

Setelah puas berselfie, sampai penuh memory phone, maka membuak-buaklah keinginan untuk memuat naik ke laman sosial. Ya hati saya berkata,

“Aku ni boleh tahan cantiklah sekarang, rasa nak share gambar ni. Mesti kawan-kawan sekolah terkejut tengok perubahan aku yang makin cantik.”

Maka berbunga-bungala hati ini dipuji diri sendiri. Perasan sungguh.

Saat itulah juga ada suara lain yang bersuara,

“Riaklah, banggalah. Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi,”

Allah, tersentaklah sekejap diri ini. Rupanya iman yang senipis kulit bawang itu bersuara. Tiba-tiba terasa takut pula.

“Disebabkan gambar sekeping ni, tak boleh masuk syurga? Allah.”

Maka diri saya mengalah. Seksanya rasa nak berlawan dengan keinginan sendiri. Hati menangis pilu. Tambahan pula dalam diri saya masih ada rasa malu.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Saya masih lagi berlawan dengan diri sendiri. Sedihnya, geramnya, cemburunya melihat gadis-gadis lain memuat naik gambar mereka. Seolah-olah menjadi trend pula. Mungkin saya berfikir banyak sangat. Mungkin saya patut ikut saja trend. Alah muatnaik gambar je pun.

Mujur ada lagi sifat malu dalam diri saya. Sehinggalah setelah berkahwin, suami saya menceritakan sudut pandangan lelaki terhadap gadis-gadis selfie ni yang membuatkan saya jadi takut pula.

Adik-adik, rupanya kita ni tak dapat nak menyelami pandangan lelaki. Bagi kita, tak salah lah ambil gambar dan muatnaik ni, tak nak tengok sudah, sila unfriend atau unfollow. Mereka tak sebodoh itu.

Dah ada depan mata, takkanlah nak berpaling pula. Jejaka-jejaka zaman ini pun kebanyakannya (tidak semua) sudah termakan racun filem porno dan sebagainya yang membuatkan imaginasi mereka sudah tidak mampu dikawal. Perempuan cantik, ya mereka bukan sekadar melihat muka ya. Mereka lebih suka berimaginasi dan berfantasi. Takut sebenarnya jika kita perempuan tahu apa yang ada dalam fikiran mereka.

Sekarang ini, saya menjadi lebih berhati-hati. Saya adalah suri rumah sepenuh masa, namun jika saya terpaksa keluar sendiri mencari barang dapur, saya akan pastikan keadaan diri saya selamat dari pandangan lelaki. Walaupun secara zahirnya saya menutup aurat sepenuhnya (walaupun tidak berpurdah) tapi saya rasa risau sebab kita tak tahu sejauh mana seorang lelaki mampu berimaginasi. Jangan main-main ya, ini realiti dunia sekarang.

Jika terpaksa ke pasar yang rata-ratanya penjual lelaki, saya sanggup tidak turun jika tiada langsung pembeli wanita di situ. Ya, saya sanggup tidak beli barang itu lagi kerana tak sanggup jadi perhatian lelaki yang kita tak tahu tahap imannya bagaimana. Memang agak melampau tapi saya ada rasa malu yang amat sangat hingga tak mahu menjadi punca fitnah buat lelaki tu semua.

Saya faham keadaan wanita zaman sekarang, bukan mudah untuk menjaga diri dari pandangan lelaki tapi kita usahalah sehabis daya untuk tidak menjadi fitnah di akhir zaman ni. Termasuklah selfie dan sebagainya. Jadikan malu sebagai penyelamat diri kita.

Suami saya kata lagi, kadang-kadang perempuan yang pakai baju berfesyen muslimah tapi ada terbelah di bahagian depan (walaupun pakai kain lain di bawahnya) pun disalahtafsir oleh golongan lelaki. Entahlah saya, takut mengenangkan ini semua.

Saya sebenarnya bukan apa, terkesan sungguh dengan gadis-gadis sekarang yang suka selfie dan dimuat naik ke laman sosial. Risau saya, apalah pandangan lelaki2 di luar sana. Semoga Allah menjaga kita, dunia akhir zaman ini benar-benar menakutkan. Semoga anak-anak kita juga terlindung dari fitnah ini semua.

– Sarah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit