Untuk part I, (https://iiumc.com/akibat-yang-mementingkan-diri/).
Salam kepada admin dan pembaca sekalian. Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan confession aku yang pertama.
Bukan niatku untuk kembali kepada Z (ex lama). tetapi telah aku nyatakan pada awalnya bahawa tujuan penulisan aku ini adalah sebagai pengajaran dan iktibar kepada para perempuan di luar sana.
Agar mereka dapat membuka hati dengan lebih menghargai orang yang jujur, setia, rela bersabar dan berkorban demi anda (tapi berhati-hati dengan lelaki yang manis mulut dan lelaki yang mengambil kesempatan dalam kesempitan).
Segala kisah yang aku ceritakan ini benar-benar berlaku kepada diriku sebagai satu ujian untuk mematangkan aku (waktu darah muda memang semua buat ikut kepala sendiri).
Dan kebanyakan perkara yang aku lakukan memang atas kebodohanku yang tidak berfikir panjang (hanya fikir dapat selesaikan masalah). Jadi aku harapkan para perempuan muda tolong jangan ulangi kebodohanku ini lagi ya…
Kisah perhubungan aku dengan Z hanya bertahan selama setahun dan hingga kini aku hanya mendapat khabar berita (sekadar melihat status kawan-kawan Z) yang menyatakan Z akan terus single sehingga akhir hayat.
Sebelum kami berpisah dahulu, Z pernah menyatakan bahawa dia menganggap aku telah mati untuk selamanya daripada hatinya.
Dan dia akan terus setia dengan cintanya yang lalu (maksudnya pada kenangan manis lalu, bukan lagi pada diriku yang masih hidup ini).
Rasa berdosaku padanya hanya kepada Allah aku mohon ampun kerana aku memang tidak akan berupaya menghubunginya untuk selamanya kerana aku perlu menumpukan kepada pilihan keluargaku kini.
Seterusnya berbalik semula kepada situasi lelaki yang mengambil kesempatan dalam kesempitan seorang perempuan yang clingy seperti aku.
Cerita ini aku tidak sempat untuk tuliskan di confession pertama kerana fikiran yang terlalu berkecamuk. Jadi para perempuan yang clingy tolong ambil perhatian untuk bahagian ini.
Ketika itu aku baru sahaja ditugaskan ke sebuah kawasan yang jauh daripada keluargaku. Pada permulaannya aku ditempatkan di sebuah kuarters milik kakitangan awam yang berdekatan dengan tempat kerjaku bagi memudahkan ulang-alik.
Mak dan ayahku ketika itu tidak pula mencadangkan aku mencari rumah sewa kerana memikirkan terdapat kemudahan kuarters yang berdekatan maka aku pun menuruti saja kehendak mereka.
Pada awalnya segala urusan kerja dan kehidupan seharianku berjalan tanpa sebarang masalah. Aku menggunakan kereta milik keluarga untuk berulang-alik dari tempat kerja ke kuarters.
Untuk pengetahuan pembaca juga, mak dan ayahku bertugas di negeri lain yang memerlukan penggunaan penerbangan ke sesebuah destinasi.
Kiranya aku bersendirian tanpa saudara-mara di tempat aku bertugas. Beberapa bulan kemudian, tempat kerjaku ketika itu telah didatangi oleh seorang pekerja pejabat yang baru (despatch) dalam lingkungan usia 40an.
Aku ketika itu dalam lingkungan umur 24 tahun. Seperti yang sedia maklum, aku adalah perempuan yang clingy (mudah bergantung kepada orang yang menolongku serta inginkan pujian. Aku pun tak tahu kenapa aku macam ni. Tapi aku bukan gedik ya…).
Aku namakan despatch tersebut sebagai Abang Lan. Pada awalnya hubungan kami hanyalah sebagai rakan sekerja. Namun Abang Lan merupakan orang yang berpengalaman terhadap perempuan. Dia dapat merasakan aku jenis perempuan yang boleh diajak berbual dan bergurau.
Aku pada mulanya agak segan dan malu-malu. Tapi naluri kewanitaanku sebenarnya suka dipuji dan diberi perhatian. Abang Lan ketika itu banyak menegurku dan membantu aku sama ada dalam urusan pejabat mahu pun apa saja yang ku perlukan.
Sehinggakan setiap kali ada barangan pos atau kiriman yang dialamatkan kepadaku, dia sendiri yang akan menghantarkannya di hadapanku. Perempuan clingy kalau selalu diberi perhatian sekian rupa lama-kelamaan akan cair juga.
Hubungan kami semakin rapat kerana Abang Lan jenis lelaki yang pandai berkata-kata (manis mulut, pandai menyusun ayat mengambil hati).
Walaupun aku ketahui Abang Lan telah berkahwin, namun aku tidak pernah beranggapan bahawa aku akan terpikat kepadanya kerana jarak usia kami yang jauh.
Namun kerana kebodohanku melayan mesej kata-kata manis Abang Lan telah mengakibatkan konflik rumahtangga mereka semakin parah. Sehinggakan aku dipergunakan oleh Abang Lan sebagai modal untuk menceraikan isterinya.
Isterinya mengadu kepada pengarahku bahawa Abang Lan tergila-gilakan aku sehingga fotoku dijadikan wallpaper telefon Abang Lan.
Akhirnya, aku dipanggil oleh pengarah dan disuruh menceritakan hal sebenar. Pengarah juga bertanyakan kepadaku mengapa setiap malam kereta Abang Lan ada di kawasan parking kuarters kediamanku.
Aku menyatakan dia hanya meletakkan kenderaannya di situ tetapi tidak pernah masuk ke rumahku.
Kami pergi keluar makan bersama pada waktu malam kerana aku ingin menghilangkan kebosanan dan stress berikutan tiada sesiapa yang mempedulikan kehidupanku di sini selain Abang Lan.
Pengarah berasa sungguh sedih dan marah atas tindakanku yang begitu tidak menjaga batas pergaulan sehingga menimbulkan fitnah.
Apakah pemikiranku begitu naif atau aku begitu bodoh dipergunakan orang? Aku sendiri tidak tahu apakah perbuatanku betul atau salah? Semua yang ku lakukan hanya menurut rasa hati tanpa berfikir panjang.
Perkara ini juga telah sampai ke pengetahuan mak ayahku. Aku bercadang bernikah dengan Abang Lan (waktu itu sudah bercerai dengan isterinya). Tapi ditolak mentah-mentah oleh keluargaku dengan alasan itu tetap suami orang.
Dalam fikiranku hanya Abang Lan lelaki yang banyak membantuku dalam kesusahan dan tiada orang lain yang mengambil berat padaku.
Mak ayahku sangat marah dan mereka memutuskan untuk menikahkan aku dengan calon pilihan mereka. Dan calon tersebut adalah anak kepada kawan ibuku juga orang sekampung denganku. Itulah Fendi. Boleh baca di confession aku yang pertama.
Telah aku ceritakan dengan terpaksa aku melukakan hati Z atas segala ketidakjujuran, ketidaksetiaanku, dan pengkhianatanku padanya
(Kerana sepanjang berlakunya perkara ini sehingga pertunanganku dengan Fendi aku masih melayan mesej dan panggilan telefon Z walaupun tidak sekerap dahulu).
Bukan niatku mempermainkan hati siapa-siapa. Tapi aku memang clingy dan memerlukan seseorang selalu di sisi menolongku dan menemaniku. Aku hanya dari luaran kelihatan seperti perempuan yang berdikari tapi pada hakikatnya hatiku sangat dahagakan tempat bergantung.
Bagi perempuan yang clingy, aku harap jangan meletakkan kebergantungan anda pada sebarangan lelaki seperti yang ku alami.
Mungkin kita hanya akan melihat segala kebaikan jasa lelaki yang banyak menolong dan mengambil berat serta melayan mesej kita. Tapi hakikatnya kebodohan dan kenaifan kita dipergunakan hanya untuk tujuan tersembunyi lelaki sebegini.
Aku pada awalnya mempertahankan Abang Lan sebagai satu-satunya bintang penolongku di masa susah.
Namun setelah usiaku meningkat dan semakin matang, aku dapati bahawa seandainya seorang lelaki boleh menceraikan isterinya demi perempuan lain, apakah suatu hari nanti aku tidak mungkin diceraikan Abang Lan sekiranya aku berkahwin dengannnya?
Namun cinta itu buta. Memang hati aku benar-benar buta ketika itu. Aku hanya melihat kebaikan dan bantuan Abang Lan padaku selama ini.
Belajarlah menerima lelaki yang tidak bermanis mulut atau lelaki yang sengaja mengambil berat pasal anda kerana setiap kata-kata manis dan tindakan menolong selalunya penuh dengan penipuan serta kepalsuan.
Pilihlah lelaki seperti Z. Apabila lelaki tersebut ikhlas menjadikan dirimu bidadari dunia & akhirat, dia akan berusaha bertemu dengan mak ayah perempuan. Cumanya aku ketika itu tidak mengizinkan Z bertemu mak ayahku (itupun kerana kebodohan dan kejahilanku).
Wahai wanita para bidadari dunia, janganlah kalian ditipu oleh kata-kata manis pujian konon-kononnya mengambil berat akan kesusahan dirimu…
Wahai wanita para bidadari dunia, janganlah kalian ditipu oleh segala bantuan dan pertolongan yang diberikan semata-mata kepadamu kerana cinta yang ikhlas dan suci tetap berlandaskan kesungguhan pertemuan lelaki dengan mak ayah pihak perempuan…
Dan yang paling penting JAGAlah solat di AWAL waktu kerana hanya menjaga solat yang sempurna, Allah akan selesaikan segala keperluan hidup kita semua….
Sebarkanlah kedua-dua coretanku ini ke segenap media sosial. Daripada anda viral perkara yang entah apa-apa lebih baik selamatkan jiwa kami perempuan daripada dibodohkan lagi oleh lelaki yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Terima kasih dan maafkan aku….
– Iza Hana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit