Assalamualaikum dan hai semua! Aku tiba-tiba terpanggil lepas baca confession The Heartless; Aku Benci Hakikat Itu, (https://iiumc.com/aku-benci-hakikat-itu/).
Andai confession aku disiarkan, harapnya sedikit sebanyak dapat memberi kekuatan kepada kakak Heartless perihal ini.
Aku seorang gadis berusia 22 tahun. Alhamdulillah, selama 22 tahun aku hidup sebagai anak haram, anak luar nikah!
Untuk pengetahuan semua, aku dibesarkan oleh nenek dan datukku yang aku panggil Mak dan Abah. Dari sebesar dua jari tapak kakiku hingga da tak muat lima jari.. hahahahaha.
Pada aku, kakak Heartless sangat beruntung kerana mengetahui hal ini apabila dewasa dan matang.
Diberitahu oleh ibu dan ayah dengan rasa bersalah dan menyesal atas perbuatan mereka yang dulu.. tapi aku? Tidak.
Aku tahu siapa aku sewaktu aku berusia 7 tahun. Kecil bukan?
Aku seorang yang suka selongkar laci bilik mak, nak dijadikan cerita aku terselak sijil-sijil yang ada didalam sebuah fail dan ternampak sijil perkahwinan ibu dan ayahku. Mereka nikah 4 hari selepas aku dilahirkan.
Pada waktu itu, dunia aku gelap. Aku bingung seakan tidak percaya. Berhari-hari aku berkurung didalam bilik dan tidak bercakap dengan sesiapa pun dirumah.
Ibuku? Ibuku sangat jarang melawatku dirumah Mak. Terlalu jarang.
Mak yang membesarkan aku tahu aku dah berubah. Cucu kesayangan yang dianggap anak yang dulu riang, ceria, banyak cakap kini lebih gemar bersendiri.
Perlahan-lahan mak mendekatiku, dan akhirnya mak akui, mak tahu yang aku tahu siapa diri aku. Mak minta maaf atas perbuatan ibuku.
Tetapi ibuku? Tak pernah langsung meminta maaf atau menjelaskan perkara ini.
Aku masih ingat ketika aku Darjah 6. Pertama kali ingin membuat kad pengenalan. Aku mendapat kad pengenalan yang tiada binti (tiada nama bapa).
Rupa-rupanya baru aku tahu anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan atas nama bapa kandungnya kerana kelahiran luar nikah.
Dalam erti kata lain, aku tiada pertalian langsung dengan bapaku hatta harta pun aku tidak ada hak. Tetapi ibuku pada saat itu, riaksi wajahnya biasa sahaja. Boleh tersenyum. Langsung tidak meminta maaf atau berkata sesuatu yang menyejukkan hati.
Aku? Aku terpaksa berpura-pura tabah biarpun hati aku ini hancur berkecai! Ingin aku menangis, tetapi aku tahan! Aku tidak mahu ibu melihat aku lemah! Aku kuat! Kuat biarpun tanpa ibu!
Ya, dulu aku memang membenci ibu! tetapi kini, tidak. Aku sayang ibu hanya kerana dia ibu yang melahirkan aku dan anak kepada mak dan abahku. Itu sahaja.
Padaku, siapa aku ingin membenci dia? Aku pun turut ada dosa. Dosa yang tak terhitung nilainya. Tanpa dia, aku tak dapat merasa kasih sayang daripada mak dan abah.
Memang, sebagai anak tidak sah taraf aku tak nafikan yang aku terlalu merendah diri soal jodoh. Siapa jodohku? Ada atau tidak orang nak kat aku? Kalau ada, keluarga dia pula bagaimana?
Semua itu bermain dalam fikiranku. Tapi pada aku, bila kita redha dengan takdir Allah. Kita akan tenang.
Ambillah masa sebanyak mana untuk menelan kepahitan, tetapi jangan disalut rasa kebencian.
Mak dan abah selalu berpesan, walaupun perangai ibuku begitu, dia tetap ibuku. Yang melahirkan aku.
Aku tak nak dengan rasa benci aku terhadap ibuku, orang padang serong ke atas aku dan mak, abah.
Kalau diberi kesempatan, mungkin aku akan sambung perihal kehidupanku sebagai anak tidak sah taraf?
Bagaimana aku harungi dan siapa orang yang sentiasa tanpa jemu memberi aku sokongan dan dorangan.
Buat Heartless, bencilah pada dosanya, jangan benci pada pelakunya. Ingat, andai pelaku benar-benar bertaubat, tempat mereka di syurga namun, andai kita terus tebalkan rasa benci dihati, syurga akan jauh daripada kita.
Buat kakak Heartless,
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسَه
Allah takkan bebankan hambaNya, Allah sayang sis, sebab tu Allah uji.
Andai hati masih terluka dan bersedih, jangan terlalu sedih kerana syaitan ketika itu akan memasak perangkap untuk sis tidak redha dengan takdir Allah.
Pegang sentiasa rukun iman Percaya pada Qada dan Qadar. Perjalanan hidup sis insyaallah akan lebih tenang.
– Miss Mawar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit