Aku, Anak, dan Adik Yang Bertuah

Assalamualaikum semua. Sudah lama rasanya saya tidak menulis di sini. Sebelum ni ada di kalangan pembaca yang komen2 positif terhadap confession saya yang menggalakkan saya terus menulis tentang pelbagai perkara positif.

Tak banyak yang saya boleh kongsi kerana sudah banyak saya confess tentang kisah hidup saya.

Sudah lama juga saya ingin menulis tentang keluarga saya. Tapi rasa teragak2 kerana bimbang menyedihkan mereka yang lahir dalam keluarga yang berpecah belah.

Niat saya hanya ingin berkongsi, dalam dunia yang semakin ramai orang pentingkan diri, masih ramai lagi insan baik untuk kita hargai, terutama adik beradik yang baik.

Tiap kali saya baca kisah mereka yang hidup dalam keluarga toksik, semakin buat saya bersyukur dan sayangkan adik beradik saya. Dulu, saya pernah rasa tidak gembira dengan adik beradik saya. Dalam 11 beradik, sulung dengan bongsu lelaki, ditengah2nya diapit 9 perempuan. Saya bongsu perempuan.

Saya tidak rapat dengan adik beradik kecuali kakak yang di atas saya iaitu kakak I. Itupun selepas dia berkahwin. Semasa kecil kami selalu bergaduh tarik rambut, perang mulut dan sebagainya. Saya pernah benci kakak saya, rasa dibuli memandangkan saya paling kecil.

Kakak2 yang atas lagi la saya tak rapat. Tak reti berborak kerana faktor usia terlalu jauh. Tiap kali mereka datang bertandang menziarah mak, saya lebih suka berkurung dalam bilik, buat2 tidur konon penat sebab kerja jauh, balik kampung nak rehat sebab cuti sekejap.

Kedua orang tua saya sudah meninggal kini. Semasa mak mulai uzur, saya selalu risau masa depan saya. Adik lelaki saya sudah berkahwin. Tinggal saya saje. Bagaimana saya nak teruskan hidup dan bergantung harap pada siapa?

Saya mengalami kemurungan apabila mak meninggal, bimbang hidup sebatang kara. Tiada siapa peduli kebajikan saya. Apatah lagi saya pula tidak mempunyai kerja tetap.

Kerisauan saya selepas mak meninggal rupanya tidak berasas. Rezeki saya dimurahkan oleh Allah, mungkin kerana niat ikhlas saya yang mengambil tanggungjawab menjaga mak ketika sakit, Allah gantikan dengan cara lain. Saya pindah ke rumah sendiri selepas mak meninggal kerana tidak mahu mengganggu family adik saya.

Hikmah yang ketara saya nampak, selepas mak meninggal dan saya hilang kerja, adik beradik saya sangat menjaga kebajikan saya dan tidak membuang saya.

Kerana saya satu2nya adik yang masih bujang dan tinggal bersendirian, adik beradik saya kerap datang bertandang dan bertanya khabar, termasuk anak2 sedara yang sudah besar. Rumah saya tidak sunyi, kerap didatangi tetamu di kalangan adik beradik dan rakan2.

Dulu semasa bekerja, saya tidak gemar berkunjung ke rumah mereka even pada hari raya kerana kami tidak rapat. Kalau pergi pun kerana terpaksa sebab ada jamuan dan dijemput dengan bersungguh2. Saya malas kerana tidak tahu nak borak apa.

Peliknya, selepas mak meninggal dan saya sudah berpindah ke rumah sendiri. Adik beradik suka berkumpul di rumah saya, mungkin faktor environment.

Rumah saya menghadap sawah padi yang mendamaikan, jauh daripada rumah orang kampung. 2 orang kakak saya yang jauh di perantauan juga akan balik dan tidur di rumah saya, bukan lagi rumah arwah mak.

Kami berkumpul beramai2 dan membuat majlis BBQ setiap hujung tahun di rumah saya. Kami tak banyak duit macam family orang lain pergi bercuti ramai2 bermalam di hotel atau pusat peranginan.

Kawasan halaman luas dan boleh parking banyak kereta berbanding rumah mak yang kini menjadi milik adik saya. Terletak di tepi jalan besar dan tiada kawasan parking. Mungkin juga kerana saya belum berkahwin, adik beradik berasa bebas seperti rumah sendiri.

Kawan2 saya selalu cakap, saya nampak bahagia walaupun tidak berkahwin. Saya cakap, kerana saya rasa saya sudah cukup disayangi dan dijaga oleh semua orang.

Abang sulung saya A, tempat saya mengadu jika ada masalah, terutama jika kereta saya ada masalah, saya akan hubungi abang atau adik lelaki saya K dulu. Abang, adik dan anak sedara saya tolong mesinkan rumput di halaman rumah saya.

Abang ipar B selalu tolong basuh kereta saya yang kotor tiap kali saya datang kerumahnya untuk membasuh kereta.

Rumah saya ada masalah dengan air, sebab tu saya basuh kereta dan selalu angkut air dari rumah adik beradik. Rajin hantar makanan dan datang jenguk saya di rumah. Kalau musim buah, pasti abang2 ipar yang ada kebun kutip buah2 bagi saya.

Abang ipar C dan D sudah meninggal tapi masa hidup mereka pun banyak tolong saya juga. Kakak saya C, surirumah tapi penah bagi duit RM200 masa saya nak pergi bercuti ke Singapore, padahal saya ada duit.

Tiap kali ke rumahnya, kereta saya penuh dengan makanan dibekalkan olehnya, nasi, lauk pauk, kuih muih, buah2an, siap bagi buah tangan untuk kawan2 saya sekali.

Abang ipar E hadiahkan saya dapur gas bila saya masuk rumah baru. Bila dapur tu rosak, dia bagi plak dapur lain sebagai ganti. Dia tolong tebang dan racun pokok2 kayu yang berada dekat rumah saya kerana bimbang tumbang menimpa rumah masa ribut kuat.

Settle masalah saya dan tak perlu upah orang tebang, jimat duit. Selalu belikan makanan dan bungkuskan makanan untuk saya.

Masa belajar dulu saya pernah menumpang tinggal di rumah kakak saya dan abang ipar F. Abang ipar yang tolong bawa peti sejuk dari rumahnya ketika saya tidak mampu beli peti sejuk di rumah sendiri. Kakak saya yang ni pun suka masak dan bawa makanan untuk saya.

Abang ipar G selalu tolong selesaikan masalah kereta saya jika saya tak dapat hubungi abang dan adik lelaki saya. Dia datang bawa kawannya seorang pomen jika kereta saya alami kerosakan. Saya tidak perlu pening kepala.

Lepas tamat belajar, saya menumpang tinggal di rumah kakak dan abang ipar H. Kakak saya tidak bekerja, abang ipar pernah bagi duit masa belajar. Selalu bagi nasihat pasal alam pekerjaan dan menggalakkan saya ikut jejak langkahnya.

Saya rapat dengan mak ayah abang ipar, dilayan macam anak sendiri sebab mereka tiada anak perempuan.

Abang ipar I penah sponsor saya bercuti ke europe, hadiahkan saya barang perhiasan wanita dan minyak wangi mahal. Rajin cek keadaan kereta saya dan bagi nasihat penjagaan kereta.

Kakak saya sponsor tiket kapal terbang 2 kali saya kerumahnya di Sabah, padahal saya sudah bekerja. Penah dulu, duit minyak kereta dan top up pun dia bagi masa awal2 kerja sebab saya cakap gaji saya sikit. Keluar makan, tak pernah saya keluarkan duit sesen pun.

Saya baik dengan adik ipar saya. Dulu masa kerja, setiap bulan saya bagi duit poket dan hadiahkan rantai emas. Sebagai balasan, dia selalu kemas bilik sebelum saya balik kampung.

Sekarang walaupun saya sudah tidak bekerja dan tidak lagi memberinya duit poket, dia tetap rajin memasak dan menghantar makanan ke rumah saya.

Emaknya dan sedara maranya juga melayan saya dengan baik. Selalu dapat makanan, pokok bunga dan macam2 hadiah. Cakaplah apa saja barang saya nak, adik ipar akan tolong carikan sampai jumpa dengan harga yang lebih murah. Saya cuma bayar duit saja.

Sejak tidak bekerja, hubungan saya dengan adik beradik semakin rapat. Saya kerap bertandang ke rumah mereka. Siap makan dan tapau makanan, tak payah susah2 masak. Jimat duit belanja dapur.

Masa arwah mak masih ada, mak selalu pesan suruh jaga hubungan adik beradik, jangan bergaduh, selalu kunjung mengunjung. Kami tidak kaya. Abang saya sudah bersara. Adik lelaki saya cuma bekerja kampung. Kakak saya pula cuma 2 orang bekerja sebagai guru. Yang lain semuanya surirumah saje.

Walaupun adik beradik saya tidak kaya, tidak berjaya macam orang lain, saya bangga dan gembira lahir dalam family ni.

Adik beradik saya menjaga kebajikan saya selepas mak meninggal, tidak membuang saya ketika saya susah, tiada kerja dan tiada duit. Tidak pernah meninggi suara dan sentiasa ambil berat hal saya, membantu ketika saya memerlukan bantuan.

Saya rasa sungguh bertuah, disayangi dan memiliki kebahagiaan. Meskipun Allah tidak menganugerahkan jodoh dan kerja tetap, Allah berikan saya adik beradik yang baik.

Saya bangga dengan mak dan ayah saya mendidik kami. Walaupun hanya 4 orang anak perempuannya memiliki ijazah, dua sahaja mempunyai kerjaya, mak ayah tetap bangga.

Tidak pernah mak ayah mengeluh semasa membesarkan kami. Tidak pernah menggunakan kata kesat dan kasar kepada anak2. Tidak pernah membezakan kasih sayang di antara anak2nya, walaupun saya rasa mak ayah paling sayang saya, tidak pernah adik beradik lain berdengki.

Adik beradik lain tahu saya dapat barang kemas lebih masa mak masih hidup. Tiada sorang pun pertikai.

Lepas mak meninggal pun, saya yang bacakan wasiat mak yang tidak bertulis. Tiada siapa pertikai, turut saja kata2 saya dan percaya cara saya urus harta mak meskipun saya anak perempuan bongsu, kata2 saya didengari, punya kuasa veto.

Semua duit sedekah pemberian orang kampung, khairat kematian, duit dalam tabung haji berbelas ribu atas nama abang semua diserah kepada saya untuk agihkan ikut wasiat mak.

Betapa banyak saya baca kisah sedih orang lain tentang family toksik, pasangan toksik. Kisah sedih kehidupan orang lain membuatkan saya bersyukur. Saya berusaha untuk menggembirakan ahli keluarga saya meskipun dengan usaha yang kecil.

Saya berikan buah tangan hasil tangan saya sendiri bercucuk tanam, saya masak makanan tertentu dan edarkan kepada adik beradik mengikut giliran.

Sempena hari lahir saya di bulan oktober ini, saya asingkan sedikit duit belanja saya untuk belikan hadiah kepada mereka. Cuma sudu kayu berharga RM3.50 sahaja. Saya balut dan ikat dengan riben untuk dihadiahkan kepada anak2 sedara.

Saya memberikan hadiah kecil sekadar termampu memandangkan sekarang saya tidak lagi bergaji. Pun sudah cukup buat mereka gembira. Kami sudah dilatih hidup sederhana, menghargai pemberian orang lain meskipun nilainya tidak seberapa.

Saya beli minuman dan makanan di kedai eco, bungkus dengan kain net dan ikat riben secantik mungkin, jadikan hamper dan berikan kepada adik beradik saya.

Anak sedara menjerit kegembiraan ‘comeynya hamper’ dengan wajah tersenyum ketika saya membawa hamper ke rumahnya walaupun hamper tersebut tidak sampai RM10 harganya. Itupun sudah menggembirakan mereka.

Kepada mereka yang masih punya family yang baik, hargailah mereka. Buatlah kebaikan dan berikanlah hadiah meskipun kecil sebagai tanda penghargaan. Tidak perlu hadiah yang mahal pun untuk menggembirakan orang lain, apalagi family sendiri.

Sebelum bersedekah kepada orang lain, sedekah kepada ahli keluarga mendapat 2 pahala (pahala sedekah dan erat silaturrahim) berbanding orang lain 1 pahala sahaja.

Kepada mereka yang diuji dengan keluarga toksik, saya tidak mampu memberi pandangan dan nasihat kerana tidak berada di tempat anda. Hanya boleh doakan semoga Allah beri kebahagiaan, kekuatan, kesabaran dan pahala yang banyak buat anda.

Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya. Semoga kisah saya memberi inspirasi untuk menghargai family kita, kawan2 kita dengan pemberian hadiah walaupun nilainya tidak seberapa.

Adakalanya, kebahagiaan itu bukanlah dengan memiliki banyak harta tetapi dengan limpahan kasih sayang dan penuh rasa syukur.

– Cik Bunga Dahlia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *