Aku Anak Kampung

AKU ANAK KAMPUNG

Langit indah tersergam. İtulah tanda kekuasaan Allah kepada manusia. Tanpa langit, angkasa akan terpampang luas menembusi teriknya sang mentari. Begitulah Allah yang sentiasa melengkapi antara satu sama lain. Aku dilahirkan dari keluarga sederhana. Berasal pula dari sebuah kampung di muka bumi Allah ini. Ceritaku bermula di saat aku dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kurang berpendidikan tetapi mempunyai kekuatan semangat yang tinggi. Al maklumlah, orang kampung memang sering dikategorikan dengan status ‘low standard’ and kurang ilmu bangsawan. Tetapi aku bangga menjadi orang kampung sebab aku belajar sesuatu yang tak ternilai. İaitu adab, disiplin dan kreativiti dalam sebuah kehidupan.

Hidupku tak seindah cerita orang lain. Aku dibesarkan dalam keadaan penuh disiplin dan ketegasan dalam keluargaku. Tiada senda gurau antara seorang anak dan ibu bapanya. Aku anak pertama dari enam adik beradik. İbu ayahku bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Kehidupan kami juga diuji dengan pelbagai cobaan. Aku tidak terlalu rapat dengan ibuku kerana dia seorang guru disiplin yang sangat tegas. Segala perintah dan arahannya harus dituruti jika tidak mahu tubuh disapa rotan. Ayahku pula seorang yang pendiam namun di satu sisi ketegasannya melebihi ibuku. Orang selalu kata, anak pertama memang sering menjadi mangsa kemarahan bagi ibu bapa mereka di saat berlakunya pertelingkahan. Menjadi kebiasaan sebagai anak sulung untuk menangis dalam diam walaupun kesalahan yang dibuat bukanlah dari dirinya.

İtulah aku di waktu kecilku. Aku antara mangsa yang sering menjadi tempat melepaskan marah bila ibu ayahku tidak sependapat. Sebatang rotan, segulung getah paip, penyangkut baju hanyalah santapan bagi tubuh kecilku di saat pengadilan buat adik-adikku yang melakukan kesalahan. Namun aku diam dan menagis tanpa sendu dari membantah kata-kata mereka. Ayat ‘kenapa kakak tak reti jaga adik-adik’, ‘kenapa kakak suka cari pasal’, ‘kenapa itu dan kenapa ini’ sudah terlalu lali untukku. Di peringkat umur yang baru nak belajar mengenal dunia, aku diletakkan di tempat saling mempersalahkan. Di saat diri ini tidak tahu untuk mempertahankan dirinya, di situ seribu kebisuan menjadi teman sejati untukku. Hanya kerana aku dibesarkan dengan cara sebegitu, pemikiranku sentiasa berfikir yang seorang ibu ayah itu tidak menunjukkan kasih sayangnya dari kata-kata secara terus. Maka sejak itu aku percaya bahawa tidak ada kata ‘sayang’ yang bakal tersingkat dari mulut mereka untuk aku.

Dari sekolah rendah lagi, kami diajar untuk pergi sendiri ke sekolah dengan basikal. Tak perlu dihantar dengan kereta melainkan waktu hujan. Tiada ungkapan hidup bermewah-mewahan dalam keluargaku. Waktu itu, aku memang cemburu melihat anak-anak orang lain yang ke sekolah menaiki kereta/van yang dihantar ibu bapa masing-masing. Diberi pula wang saku RM5-10 setiap hari. Ya, aku cemburu kerana wang saku kami waktu itu hanya RM2 paling banyak. İtu pun harus berkongsi dengan adik-adik yang lain. Kadang kalau terlupa diberi wang saku, kami akan diam tanpa meminta, kerana aku tahu mungkin waktu itu ayah juga tidak ada duit untuk diberi pada kami. Jadi sarapan yang berlebihan yang ada di rumah yang akan menjadi bekalan untuk kami bawa ke sekolah. Dan sudah semestinya menjadi seorang kanak-kanak yang masih tidak tahu menghargai nilai sebuah ‘wang’, menjadi kebiasaan pelajar sekolah untuk menghabiskan wang tersebut dengan membeli jajan dan makanan ringan di luar sekolah. Aku juga tidak terlepas seperti mereka. Tetapi hajat tersebut sering aku sembunyikan kerana aku tahu ibu ayah pasti tidak membenarkan kami menghabiskan wang yang diberi untuk perkara yang tidak berfaedah. Jadi setiap kali keinginan tersebut datang, aku akan pulang ke rumah dengan keadaan menagis dalam hati. Hati mana yang tidak sedih tetapi dengan keadaan keluargaku waktu itu, aku lebih sanggup menagis sendiri berbanding dirotan hanya kerana menghabiskan wang tanpa sebab yang muhasabah.

Aku tidak bercerita kepada adik-adikku kerana mereka terlalu kecil untuk berbicara soal hati dan perasaan. Ada satu ketika di waktu musim rambutan di kampungku, aku sering diajak kawan-kawan untuk memanjat pokok rambutan untuk dijual buahnya sedangkan pemiliknya tidak tahu. İtu antara perbuatan nakalku waktu kecil dulu. Dah menjadi kebiasaanku waktu kecil memanjat mana-mana pokok yang berbuah ranum. Kadang kami minta izin dulu dari pemiliknya, kadang-kadang tidak. Dari pokok rambutan, jambu batu,ceri, duku, langsat, kelapa, pulasan sampailah ke pokok koko, itulah target aku untuk panjat. Betapa lincahnya aku waktu kecil,hanya Allah sahaja yang tahu. Namun kelincahanku tidak berpanjangan kerana aku selalu disekat untuk duduk dirumah dan melakukan ulangkaji pelajaran. Menjadi contoh terbaik buat adik-adikku waktu itu bukanlah sesuatu yang mudah, Kerana naluri kanak-kanak yang ingin bermain dipaksa menjadi seorang ulat buku dalam keadaan terpaksa sangatlah susah. Bertekak lidah dan bertegang urat itu sudah menjadi kebiasaan dalam keluargaku kalau takde sefahaman yang baik. Tapi kesudahannya, semua akan diam dan buat kerja masing-masing.

Walaupun aku dibesarkan dengan rasa kurang kasih sayang tetapi ibuku juga seorang peniaga kuih muih kampung satu waktu dulu. Aku juga telah dididik untuk menjaja kuih muih yang dibuat dalam bakul plastik dari sebuah rumah ke rumah yang lain, dari pintu ke pintu di kampungku setiap hujung minggu. Hanya itu pendapatan kami kalau kami sekeluarga tidak cukup duit. İtu antara pengalaman kecilku yang sangat berharga. Sehingga sekarang, aku akan menitiskan airmata melihat kesusahan kami satu waktu dulu sehingga perlu menjaja kuih dan nasi lemak satu kampung. Aku dan adik-adikku akan bersepakat menjadi dua kumpulan untuk menjaja. Kadang aku menjadi malu dengan kawan sekampungku bila mereka melihat aku berjualan dari rumah ke rumah. Diejek itu sudah menjadi kebiasaan buatku. Dan kanak-kanak sebayaku hanya mampu menagis dan mencuba untuk menghabiskan jualanku untuk hari tersebut. Perkara yang paling aku nanti setelah menjaja adalah upah yang bakal diberi ibu kepadaku. Walaupun sedikit jumlahnya tetapi aku dan adik-adikku tetap gembira menerimanya. Kerana dari imbalan itulah, kami boleh membeli jajan dari kedai runcit bersebelahan rumah kami.

Aku hidup dengan cara yang tidak dianugerahkan kepada semua orang. Dari seorang kanak-kanak yang pemalu nak jual kuih menjadi seorang yang tebal muka. Dari seorang yang kuat menagis diam-diam menjadi seorang yang tak ada perasaan. İtulah aku. Aku dianugerahkan sebuah keluarga yang bahagia. Walaupun serba kekurangan, aku tahu Allah telah sediakan yang terbaik buat aku dan mereka. Pengalamanku bukan untuk minta simpati tetapi Allah mengajar aku bahawa betapa kuat dan tabahnya keluargaku disaat aku masih kecil dan membesarkan kami dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Jika seseorang itu diberi kesempatan untuk berada di tempatku, pastinya ku tahu dia akan putus asa dan mengalah untuk tidak berada di posisi itu. Syukur kerana aku adalah keluargaku. Di mana kesusahan dan kepayahan itu ada, di situlah Allah menghantar sebuah keajaiban.

Kini, aku telah berada di sebuah negara yang tak terfikir dek akal bahawa aku bisa menjejakinya. Aku dianugerahkan satu nikmat yang Allah sembunyikan padaku satu waktu dahulu. Aku kini menuntut di sebuah menara gading di luar negara. Bersama harapan yang tinggi dari keluargaku untuk menjadi seorang doktor yang terbilang dan berbakti pada mereka dan ummah. Berkat dari doa dan kesabaran, aku bakal mengakhiri perjuangan tanpa batas ini. Perjuanganku selama ini dibalas dengan berdetiknya waktu yang lalu. Mungkin tanpa kesusahan yang aku alami satu waktu dulu, belum tentu Allah s.w.t. akan meletakkan aku untuk sampai ke bumi penghujung asia ini. Sepanjang aku berada disini, Allah tak janji padaku bahawa semuanya akan mudah dan cantik-cantik belaka. Namun Allah janji bahawa aku akan menjadi lebih baik dari yang sebelum ini.

Berkat ilmu yang telah diturunkan dari ibuku, akhirnya aku menjejaki langkahnya dalam bidang usahawan kecil. Dalam meniti cita-citaku disini, aku juga telah berjaya menjadi seorang usahawan muda yang sedang meningkatkan perniagaan makanan kampung dan kuih muih melayu di negara yang aku duduki sekarang ini. Dalam kepayahan menuntut ilmu perubatan, pastinya kesukaran dalam kewangan juga akan berlaku. Malah itu bukan satu rungutan buatku. Kerana aku telah diajar waktu kecilku bahawa di setiap kesukaran pasti ada jalan. Maka dari kreativiti dan pengalaman yang telah diajar oleh ibuku satu waktu dulu, aku memulakan langkahku untuk buktikan bahawa aku tidak lemah. Berkat kesabaran dan pembaikan sepanjang menjadi usahawan, aku belajar turun naik kehidupan. Aku belajar mana sahabat dan mana lawan. Aku kenal erti hargai diri sendiri. Aku diuji mana cinta dan mana dendam. Aku mula ucapkan kata-kata sayang pada ibu dan ayah. Aku lebih mencintai Sang Penjaga Cinta. Dan nikmat manakah lagi yang aku dustai?

Namun kehidupanku itu tidak selalu mudah. Terlalu banyak manusia yang datang dan pergi dalam hidupku. Ada yang baik, ada yang jahat, ada yang bermuka-muka, ada yang ambil kesempatan, ada yang membantu dalam susah dan senang, ada yang melihat tanpa mengendahkan, ada yang benci, ada yang suka, ada yang dengki, ada yang dendam, ada yang peduli dan ada yang hargai sifatku dalam hidup mereka. Namun tak semua orang tahu cerita di sebalik kekuatan dan senyumanku ini. Bagi mereka, nikmat yang kukecapi hari ini hanyalah semata-mata dari kemewahan yang aku dapat dari keluargaku, sedangkan mereka tidak pernah tahu bahawa kami pernah makan bubur dengan kicap, kami pernah berjalan dalam hujan kerana kereta ditarik sebab tunggakan, kami pernah menjual makanan di pasar tani / pasar lambak / psasar malam untuk bagi duit belanja pada aku dan adik beradik. İtu semua bukan ukuran bagi mereka untuk menghukum siapa aku.

Aku kini menjadi diriku. Aku tahu Allah takkan sia-siakan hambanya. Kasih sayang dari seorang ibu dan ayah telah aku nampak sejak aku berjauhan dari mereka. Sekarang aku jauh di perantauan. Namun aku rindu pada mereka. Kasih sayang mereka tak pernah hilang walaupun mereka tak ucapkan terus padaku. Aku tahu jauh dari sudut hari mereka, mereka sedih sebab tak mampu tunaikan keinginan dan permintaan anak-anak. Ya, itulah ibu bapa yang kita nampak. Secara dasarnya, mereka tunjuk mereka kuat. Namun jauh di hati mereka, mereka juga menagis di kamar dan meluahkan kesedihan mereka secara senyap. Ya Allah, Engkau redhai dan tempatkanlah kedua ibu bapaku ini di syurga firdausiMu. Aku tak mampu membalas jasa-jasa mereka walaupun sampai titisan darah terakhir, tetapi aku janji untuk menjadi anak yang soleh untuk mereka.

Selama ini, aku merasa bahawa tangisanku sudah cukup banyak untuk merawat duka yang aku alami. Tetapi tangisan ibu ayahku sendiri lebih banyak tertumpah untuk besarkan kami anak-anak. Aku tidak tahu tangisan mereka yang mana yang bakal membawa aku ke nerakanya. Dan aku juga tidak tahu tangisan mereka yang mana bakal membawa aku ke syurganya. Sejak dari itu, niatku hanya satu. Cukuplah dengan mengembirakan dan membuat kedua ibu ayahku bahagia. Walau apa pun caranya, hanya itu janjiku. Kerana kebahagiaanku bukan segala-segalanya, kebahagiaan mereka adalah segala-galanya untukku.

Kini aku telah menjadi tunangan orang. Begitu dengan kehadiran tunangku,semuanya menjadi lebih baik. Kehadirannya membuat keduaKini aku telah menjadi tunangan orang. Begitu dengan kehadiran tunangku,semuanya menjadi lebih baik. Kehadirannya membuat kedua ibu ayahku begitu bahagia. Aku tidak tahu kenapa dan bagaimana namun raut wajah mereka telah membuatkanku tahu bahawa mereka cukup bahagia dengan kehadiran tunangku ini. Dan jika ditanya bagaimana aku mengenali tunangku, semestinya jawapanku adalah itu urusan Allah. Aku juga tidak kenal siapa dia seperti mana ramai orang mengenalinya. Dirinya adalah sebuah misteri buatku dan akan ku biarkan sebagai misteri selagi dia belum halal untukku. Jika berbicara tentang cinta, aku antara orang yang paling tidak percaya apa itu cinta. Kerana cinta manusia itu semuanya sama dan semuanya dusta. Jadi perkenalan kami bukanlah atas dasar cinta, tetapi atas dasar berkat dan redha keluarga semata-mata. Cukuplah aku menerima kehadirannya dirinya hanya kerana redha Allah dan redha keluargaku.

Bagiku cinta dunia terlalu mudah diperkatakan dan dipermainkan, jadi seandainya jodoh dijadikan ikatan, maka aku percaya bahawa Allah akan pertemukannya jua walau sesukar apa pun perjalanan itu. Kepada tunangku, diri ini bukan malaikat. Andainya engkau tahu kisah hidupku, aku jamin belum tentu engkau mampu menjadi setabah dan sekuat seperti diri ini. Cukuplah engkau menerima kelebihan dan kekurangan yang ku milik dan inshallah kita bakal melengkapi antara satu sama lain. Maaf andainya jarak memisahkan namun aku pasti perancangan Allah itu sebaik-baik perancangan. Jaga hati dan dirimu agar sentiasa dalam redha İlahi.

Aku hanyalah anak kampung dan aku jugalah diriku. Jangan menghukum cara dan sifatku andainya engkau tidak mengenali. İnilah kisahku dan perjalananku. Anak kampung bukanlah sehina seperti yang kalian fikirkan. Jangan kerana mereka dari kampung, perbezaan status membuatkan kita bermusuhan. Alhamdulillah kini aku dianugerahkan sebaik-baik ilmu dan sebuah keluarga yang harmoni. Nasihatku, hargailah walau seburuk mana pun keluargamu. Walau semiskin apa pun keluargamu. Walau tidak berpendidikan mana pun keluargamu, hargailah dan ucapkan kata-kata sayang pada mereka. Ya, itulah rahsia ikatan keluarga yang paling mujarab. Selagi mana tiada sesiapa yang mengucapkan kata-kata sayang dalam keluargamu,selagi itu engkau tidak merasa berkat dan bahagianya mempunyai ibu ayah dan adik-adik. Say it and you will feel the difference. Hanya kasih keluarga yang akan membawa engkau rasa bahagia. Percayalah. Bukan kata-kata sayang dari teman lelaki atau teman perempuan, bukan juga dari orang luar. Hanya keluargalah tempat engkau akan pulang ke pangkuan. Di situlah kasih sayang dan cinta sebenar yang dijaga dalam redha Allah.

Wallahu alam. –DolphinTelepathy-

– DolphinTelepathy

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *