Aku Anak Perempuan

Assalamualaikum. Dah lama aku terasa nak menulis di sini tapi belum ada kekuatan. Namun, apabila aku membaca artikel Hati Anak Sulung Perempuan di page ini terasa terpanggil untuk aku berkongsi kisah aku.

Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/hati-anak-sulung-perempuan/).

Pertama kalinya, aku ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada admin yang sudi siarkan tulisan aku yang tak seberapa ni dan terima kasih pada yang sudi membaca kisah aku sebagai anak sulung perempuan.

Ya seperti aku terangkan di atas, aku anak sulung perempuan. Di bawah aku ada tiga adik iaitu yang kedua juga perempuan dan dua seterusnya ialah lelaki. Sejak kecil seawal umur aku 10 tahun aku dah mula masuk dapur. Masa tu aku belum pandai memasak tapi aku tetap masuk dapur sebab aku sangat takut dengan mak.

Mak aku sangat garang. Lepas subuh aku dah mula buang kulit-kulit bawang. Aku buat je banyak-banyak sebab aku tak berani tanya mak, nanti kena marah. Aku siang ikan, siang sayur semua siap-siap. Mak aku cuma masak je. Lepas habis kerja di dapur aku akan basuh baju, sidai baju, basuh kasut sekolah adik-adik, gosok baju.

Kalau aku tak buat atau terlambat buat, mak aku akan mengamuk. Mak aku akan naik angin, sumpah seranah semua keluar, mak aku akan pukul aku, hentak kepala aku di sinki dapur, pulaukan aku dekat atuk nenek dan saudara mara aku cakap aku malas dan macam-macam lagi. Semuanya berterusan sampai aku masuk universiti.

Di univeristi untuk pertama kalinya aku rasa hidup aku tenang tapi benda sama berlaku bila aku cuti semester. Aku akan lalui benda yang sama. Mana adik-adik aku? Semuanya ditatang bak raja dan permaisuri atas alasan aku anak sulung jadi semua aku kena buat.

Mak aku tak pernah cakap baik-baik dengan aku. Sampaikan hari aku grad pun mak aku masih cakap macam-macam untuk sakitkan hati aku. Mak aku cakap dia tak heran pun aku grad sebab anak orang lain jauh lebih pandai dari aku.

Ya sepanjang majlis konvokesyen mak aku tak bertegur sapa pun dengan aku. Mak aku selalu burukkan aku dekat rakan-rakan sekerja mak. Cakap aku malas, aku kurang ajar, aku tak pedulikan mak dan macam-macam lagi yang buat aku sampai sekarang tak nak jumpa kawan-kawan mak sebab aku malu. Apa yang aku malas pun aku tak tahu sebab aku sentiasa buat kerja rumah sebab aku takut pada mak..

Masa aku baru baik dari operation pun aku masih bangun buat kerja rumah, masak walau aku masih sakit sebab mak suruh aku buat juga. Aku tak membantah pun tapi mak tetap burukkan aku pada semua orang. Bila aku jumpa saudara mara, mesti diaorang akan nasihatkan aku macam-macam atas kesalahan yang aku tak buat. Semua sebab mulut mak.

Aku cepatkan cerita kalau tak memang lagi panjang. Sekarang aku dah berkahwin dan dah bekerja. Mak aku mewajibkan aku memberi sejumlah amaun pada mak tiap-tiap bulan dan ya aku akur atas tanggungjawab aku sebagai anak. Bukan itu saja, apa saja keperluan mak seperti baju baru, skincare yang mahal, handphone baru, bil-bil rumah aku perlu tunaikan.

Sekarang aku sedang kumpul duit sebab mak nak pergi umrah lagi. Begitu juga dengan kemahuan adik-adik lelaki aku. Nak handphone baru, jam baru, kasut baru mak akan cari aku. Kalau aku tak tunaikan, maki hamun sumpah seranah aku akan dapat. Mak akan ungkit habis semua yang dia lakukan untuk membesarkan aku. Tapi kenapa hanya aku?

Adik lelaki aku memang anak kesayangan mak. Mak hadiahkan diaorang motor dan kereta. Adik-adik aku berjanji bila kerja diaorang akan bayar bulan-bulan kereta masing-masing. Tapi, janji tinggal janji walau masing-masing dah bekerja. Akhirnya mak aku tanggung sendiri, mak tak marah diaorang dan tak minta atas alasan diaorang baru bekerja.

Tapi aku yang mak akan cari untuk selesaikan bahagian-bahagian yang mak tak mampu selesaikan. Belum lagi mak paksa aku buat pinjaman untuk selesaikan hutang-hutang mak. Dah tiga pinjaman aku buat untuk mak. Aku turutkan atas dasar tanggungjawab tapi jujur aku akui aku dah sangat-sangat tak mampu penuhi semua kehendak keluarga.

Kadang-kadang bila aku berterus terang, mak minta aku pinjam duit dari suami aku. Sebab kesiankan aku suami aku sentiasa turutkan sebab hanya dia yang tahu macam mana susah payah aku cari duit untuk membahagiakan mak aku.

Tapi apa saja yang aku buat, mak tak pernah nampak. Aku hadiahkan dia baju mahal, dia tak pakai dia kata buruk. Aku hadiahkan tudung mahal dia bagi pada orang lain, aku belanja makan sambut birthday di restoran mewah pun mak aku marahkan aku atas alasan menu yang dia suka aku order sikit. Pendek kata semua yang melibatkan aku tak kena di mata mak.

Aku pernah minta tolong mak temankan anak aku yang bongsu sebab anak sulung aku kena masuk wad tak ada orang jaga si adik. Aku sanggup sponsor tiket flight mak datang ke rumah. Tapi mak menolak dan mak cakap “tu anak kau kan.. jagalah sendiri”. Sedih sangat aku masa tu tapi aku sedar diri yang aku tak pernah ada tempat di hati mak.

Masa aku berpantang di rumah mak, mak tak pernah tidur dengan aku bila malam. Aku berjaga sendiri bila anak bangun malam nangis. Alasan mak nanti dia akan sakit kepala kalau terjaga bila anak aku nangis. Tapi masa adik aku berpantang, mak aku teman dia tidur malam.

Aku banyak kali menangis sepanjang berpantang di rumah mak sebab siang malam hadap maki hamun mak. Sampai aku hampir meroyan. Aku pernah suruh mak aku diam masa mak tengah maki hamun aku sebab aku rasa nak baling anak yang aku sedang pangku masa tu sebab dah tak tahan. Tapi mak aku tak peduli pun.

Aku hanya mampu berzikir masa tu supaya aku boleh kawal perasaan. Aku tak habis pantang 44 hari di rumah mak sebab suami aku tak bagi. Dia takut aku betul-betul meroyan dan anak seterusnya aku berpantang sendiri di rumah dengan bantuan pembantu yang suami aku upah.

Sampai ke saat ini mak tak pernah tunjuk sayang dia pada aku walau macam-macam aku buat untuk gembirakan dia. Apa yang aku buat sekarang adalah aku jarang balik rumah mak. Adakah aku berdosa sebab jarang balik jenguk mak dan adakah aku berdosa sebab ada dendam pada mak sendiri?

Aku tak benci mak.. Aku sayang mak tapi aku tak boleh lupa apa yang aku lalui dari aku kecil sampai sekarang.

– Orked (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *