Aku Anxiety dan Depression

Hi aku Zana. Anak kedua dari 4 orang adik beradik. Ayah berkerja, ibu pula surirumah sahaja. Aku dah 2 tahun berkahwin, alhamdulillah dah pun ada seorang cahaya mata perempuan, pelengkap rumahtangga kami.

Walaupun dikira aku agak lambat berkahwin kalau dibanding dengan kakak sulung aku. Aku nak share lah kisah hidup aku yang agak mencabar lah tapi mungkin ada lagi yang mencabar dari aku.

Cuma aku rasa mungkin boleh beri pengajaran atau dorongan pada sesiapa yang masih lagi fight dari masalah mental.

Ya, aku didiagnose menghidap “Mixed Anxiety & Depression” 4 tahun yang lalu, yang sebenarnya dah pun sebati dalam hidup aku dari zaman kecil, cuma mula dilihat dalam masa terdekat ini disebabkan hal2 yang berlaku dalam beberapa tahun ini.

Bermula dengan seperti “heart attack” ketika memandu, ketika itu aku masih lagi belum berkahwin. Dengan segera aku telefon abah minta untuk hantar ke hospital. Bila sampai sahaja di emergency, pihak hospital terus check jantung.

Mereka beritahu yang jantung aku normal, tiada apa yang ganjil.

Aku terus ditahan untuk pemeriksaan selanjutnya dan mendapat tiada apa yang ganjil, mungkin gastrik aku menyerang. Beberapa kali aku keluar masuk hospital, buat pemeriksaan tapi semuanya normal, tiada masalah.

Sehinggalah ada seorang kawan beri cadangan untuk menjawab DASS.. dan keputusannya, ya aku depresi. Jadi mulalah episod menyerahkan diri pada psychiatrist, dan mulalah segalanya terungkap kenapa aku depresi.

Dari kecil aku memang seorang yang pendiam. Kalau dalam keluarga aku ikutkan saja sebab tak mahu bergaduh. Jadi kalau ada masalah memang tak akan luahkan pada sesiapa. Aku memang selalu dibuli disekolah, dari sekolah rendah.

Tiap- tiap tahun ada saja manusia yang cuba mencari masalah dengan aku. Semasa darjah 4, aku ada seorang kawan baik. Memang akrab.

Dia tinggal dekat dengan rumah aku, jadi setiap petang memang suka luangkan masa bersama dia.

Selain aku, dia ada berkawan dengan sekumpulan pelajar yang lain. Mereka tak sukakan aku. Nak dijadikan cerita guru kelas lantik aku jadi pengawas, mereka semua tak suka.

Ada satu hari tu tiba-tiba abah datang ke sekolah, cari aku dan suruh aku jelaskan aku ke yang paksa cikgu lantik aku jadi pengawas. Abah memang marah sebab perkara melibatkan cikgu. Aku menafikan, memang bukan aku yang nak, cikgu yang lantik.

Rupa-rupanya kawan baik aku yang menyebarkan cerita kepada maknya, dan maknya cerita pada mak aku. Disebabkan perkara ini agak serius dan melibatkan guru, abah ambil keputusan untuk berjumpa dengan guru tersebut.

Guru aku menegaskan yang dia difitnah dan aku tidak sekalipun memaksa dia untuk melantik aku sebagai pengawas. Rupanya kawan baik aku sendiri tikam belakang, sampai sekarang aku masih lagi tidak dapat lupakan apa yang sudah dia lakukan pada aku.

Maaf kawan, aku masih lagi tidak dapat memaafkan kau. Disebabkan kau juga masa-masa kecil terbuang begitu sahaja, tersebar cerita yang tak elok sehingga orang pandang serong pada aku.

Semasa sekolah menengah pula, hampir setiap tahun ada sahaja manusia yang cari masalah. Walaupun ada yang tak suka, masih lagi ada beberapa orang jadi kawan baik aku, hingga sekarang. Penat mental melayan orang yang tak suka aku.

Aku cuba tanya kenapa korang tak suka kat aku ya. Jawapannya, mereka tak sukakan suara aku. Memang tak logik, tapi itulah realitinya.

Kadang-kadang mereka sanggup meracuni fikiran guru-guru untuk membenci aku. Tapi seperti biasa, aku hanya memendam perasaan.

Malas melayan orang sebegini. Tapi tak sangka perkara seperti ini yang membuatkan diri aku rosak, mental rosak. Kawan baik aku juga musykil kenapa ada saja manusia yang suka cari pasal. Tiap-tiap tahun ada saja masalah.

Bila sudah habis sekolah, habis melanjutkan pelajaran, sambung pula bila bekerja. Senior aku pula yang bermasalah.

Aku cuba positifkan diri, tapi itu juga memakan diri. Akhirnya tumpas. Rujuk pada psy, didiagnose depresi dan mulalah rutin makan ubat tiap malam.

Mungkin satu pengajaran yang aku nak kongsi, cuba untuk melawan. jangan berdiam diri sahaja, cuba untuk pertahankan diri. Dan aku masih lagi perlukan pandangan sesiapa yang membaca, apa yang boleh membantu aku terus bertahan.

Kalau nak cerita berapa kali aku cuba nak tamatkan riwayat hidup aku, banyak kali sebenarnya. Sampailah sekarang.. Doakan aku supaya terus kuat.

Buat masa sekarang, keluarga, suami dan anak penguat semangat aku. Bila rasa tu datang, terus aku peluk cium anak aku, ingat yang anak aku masih lagi perlukan aku.

Moga aku kuat menempuh hidup ini. Doakan aku, semua.

– Zana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *