Aku Atau Ibumu

Aku anak perempuan sulung dalam keluargaku. Bawahku juga perempuan. Kami dua orang beradik sahaja.

Ibu dan ayah aku sangat menjaga kami adik beradik. Kata orang seperti menatang minyak yang penuh.

Jadi dengan itu, mereka juga menitikberatkan soal kami adik beradik mencari pasangan hidup. Mereka sama sekali tidak mengongkong. Mereka bersikap terbuka dengan pilihan hati anak-anak.

Nak dijadikan cerita, aku sudah masuk pertengahan 20-an. Sebagai seorang anak perempuan sudah acap kali aku diperdengarkan dengan soalan-soalan dari saudara-mara juga orang tuaku sendiri berkenaan, “bila nak kawin?”.

Aku sudah bosan dengan semua itu. Aku bukannya tidak punya calon, ada tu memang lah ada, tapi ada cerita di sebaliknya.

Aku dan dia baru bersama dalam lingkungan setahun. Tapi dia sangat serius dengan hubungan ini jadi dia membawa aku bertemu keluarganya sewaktu 6 bulan kami bercinta.

Lupa aku beritahu, dia berasal dari negeri Pantai Timur (Kelantan). Aku pula berasal dari Selangor. Bermacam-macam perkara yang terlintas di fikiran aku ni apabila ada pasangan dari Kelantan ni.

Sewaktu aku dan keluarganya dipertemukan waktu makan malam dia sebuah restaurant. Memandang raut wajah ibunya yang muram membuat aku semakin berdebar.

Bapanya riak bersahaja, tidak banyak mulut juga. Adik beradik nya, nampak ok ok saja.

Aku masih bersahaja tidak mahu terlihat terlalu kekok atau melebih. Begitulah sampai selesai kami makan, ibunya tampak muram. Sepatah sepatah sahaja menjawab pertanyaanku.

Aku menyedapkan hatiku mungkin kerana baru pertama kali kami bertemu.

Selang beberapa hari, aku terbaca mesej si dia bersama ibunya. Ibunya berkata bahawa dia tidak berkenan bermenantukan orang dari negeri luar. Yakni selain negeri Kelantan.

Ibunya juga tampak tidak senang dengan hubungan kami. Bermacam alasan diberikan. Jauhlah, susah berkomunikasi lah, susah nak nak ngam lah. Ramai lagi mek kelate yang boleh dijadikan isteri lah.

Padahal aku tahu semua itu hanyalah semata kerana aku bukanlah menantu pilihannya.

Namun si dia bertegas bahawa akulah wanita yang dia inginkan, akulah yang mampu menjaga dirinya serta orang tua nya kelak.

Kami cuba berbincang secara baik antara aku dan si dia tetapi dia seolah menyebelahi ibunya.

“Saya lebih kenal ibu saya itu seperti apa, tak mungkin ibu tak menyukai awak’’. Hati saya luluh.

Sejak dari itu si dia tidak lagi menceritakan tentang aku kepada ibunya, kerana itu seakan menjadi punca pergaduhan dua beranak itu.

Ibunya sering sentap atau merajuk sekiranya anaknya mempertahankan aku dalam setiap topik pergaduhan yang ibunya sendiri bangkitkan.

Bermacam cara aku cuba untuk mengambil hati ibunya, membelikan hadiah, buah tangan, pernah juga wang ringgit tetapi tidak juga ibunya lebih positif untuk menerimaku, sebaliknya dia mencarikan calon menantu yang menjadi pilihannya dan memuji wanita itu berkali-kali.

Aku mulai penat..

Si dia ada mengatakan kepada keluarganya bahawa kami berencana untuk menikah, namun ibunya mengatakan anak lelakinya itu belum cukup membalas jasa orang tuanya lagi, kenapa mahu berkahwin sedangkan baru beberapa tahun bekerja.

Sebanyak apa lagi agaknya yang ibunya mahukan?

Gelang emas kah atau sebiji rumah?

Aku berkata di dalam hati geram.

Aku tahu si dia bekerja keras mengumpul duit kahwin serta memberi duit kepada orang tuanya tiap bulan tidak pernah lupa.

Ibunya juga akan mengungkit sekiranya anaknya mengeluarkan duit untukku sedangkan kami makan sahaja berkira, jarang sekali makan mahal, nasi bujang juga menjadi santapan hampir tiap hari.

Apa ibunya membayangkan aku ini memboros harta anaknya? Shopping sana sini makan mewah setiap hari?.. Allah… Aku sebaiknya mahu bersama-sama dengan si dia melewati hari-hari apa adanya tanpa cerewet.

Aku sering mempersoal diri ini, apakah aku mahu merisikokan diri memilih untuk bertahan di dalam hubungan yang sebegini. Aku tahu akan lebih banyak jiwa yang makan hati.

Entahkan aku ataupun ibunya sendiri. Tapi apalah hak aku menidakkan tanggungjawab si dia sebagai seorang anak.

Namun tidak juga aku kuat menelan segalanya sekarang mahupun akan datang. Perlukah aku bertahan atas dasar cinta, atau mengalah asalkan hatiku bahagia.

Sekarang aku sedar, tidak semua orang beruntung dalam percintaan. Entahkan masalah itu datang dari segi kewangan, masalah dari pasangannya, mahupun ahli keluarga.

Perlu kuatkan hati tetapi sampai bila akan bertahan, itu menjadi persoalannya?.. Mampukah bakal suamiku itu nanti bersikap adil buat dua wanita ini. Mana tak nya, tidak akan ada dua permaisuri dalam satu mahligai kan?..

Buat masa ini aku cuma berharap ibunya akan menerimaku suatu hari nanti, aku cuma ingin ibunya tahu, aku bukanlah mahu mengambil anaknya, namun mahu menumpang kasih dan sayang sahaja. Tidak lebih dari itu, wahai ibu dirimu tetap ibunya sehingga dia mati.

Aku cuma ingin menjadi sebahagian dari hidupnya juga hidupmu. Kasihanilah aku wahai ibu.

Kasihanilah anakmu, dia begitu terjerat kerana kamu membuatnya perlu memilih. pilihan yang terlalu berat buatnya kerana keduanya juga dia cintai.

Juga pilihan yang tidak mahu aku ungkapkan kepadanya iaitu, aku atau Ibumu?

– Dian Sofya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *