Aku Belajar Erti Redha

Bismillah dan assalamualaikum. Kali ni aku terpanggil untuk kongsikan kisah hidup aku mengenai redha. Ketika mengandung anak yang kedua, sekitar usianya tujuh bulan, doktor telah scan dan memberitahuku bahawa anakku dalam kedudukan melintang iaitu kepala di sebelah kanan dan kaki di sebelah kiri.

Mendapat tahu perkhabaran tersebut, aku mulai gelabah dan risau. Apa yang aku buat, aku menemui bidan untuk betulkan kedudukan anakku malangnya bidan tersebut memberitahu bahawa anakku sudah selesa berada di situ. Setelah dibaiki, dia kembali berada di kedudukan yang sama.

Setelah menjalani chek up bulanan dan scan, anakku masih di kedudukan tersebut. Doktor mula memberitahu bahawa sekiranya berterusan, aku perlu dibedah ketika usia kandungan mencecah 38 minggu. Aku seorang yang sangat penakut. Tambah pula anak sulong dilahirkan secara normal, jadi aku juga mengharapkan agar anak yang kedua ini dapat dilahirkan secara biasa.

Dengan masa yang masih berbaki, aku mencari maklumat di internet. Pelbagai cara yang dikongsikan supaya anak dapat kembali kepada kedudukan asal termasuk si ibu perlu merangkak, menaikkan kaki ke atas, usap perut sambil bercakap dan memujuk anak serta menyuluh lampu di perut kononnya si anak akan mengikut cahaya tersebut. Dan kelakarnya, aku buat kesemua tips yang diberi kerana terlalu takut untuk melahirkan anak secara pembedahan.

Sehinggalah usia kandunganku hampir 9 bulan, doktor scan dan nampaknya anakku masih di kedudukan yang sama. Doktor mencadangkan aku memilih tarikh melahirkan secara pembedahan kerana sekiranya aku masih ingin melahirkan secara normal, doktor risau akan risiko anakku terbelit tali pusat.

Dengan berat hati, aku memilih hari Khamis, 12 Januari 2017, genap usianya 38 minggu. Sebelum tiba tarikh tersebut, aku masih berusaha termasuk minta dibuatkan minyak yang ditanak, masih menemui beberapa bidan kampung untuk betulkan kedudukan anakku tetapi masih gagal. Aku masih tidak redha untuk menerima kenyataan bahawa aku perlu dibedah.

Hari berlalu semakin pantas sehinggalah tiba hari untuk aku serah diri di hospital. Terasa seperti seret kakiku ini menjejak kaki ke hospital kerana aku seorang yang sangat penakut. Aku masih tidak redha dan sempat memberitahu doktor bahawa aku ingin discan balik sebelum pembedahan dan doktor setuju untuk berbuat demikian. Aku meminta discan balik konon-konon berharap anakku akan pusing last minit dan aku tidak perlu menjalani pembedahan yang menghantui hidupku ini.

Aku diminta berpuasa pada malamnya kerana keesokannya aku perlu menjalani pembedahan sekitar jam 9 pagi. Dek tahap takut aku ni tahap melampau, malam tu aku tak dapat lelapkan mata. Aku terasa seperti seorang banduan ingin dijatuhkan hukuman pada keesokan harinya. Alhamdulillah, aku menjalani pembedahan di hospital swasta dan suami dapat menemaniku dari di ward sehingga ke dalam bilik pembedahan.

Aku kejutkan suami dan beritahu bahawa aku tak boleh tidur. Aku takut nak kena operate esok hari. Suamiku memberitahuku untuk redha apa yang telah Allah tetapkan buat kita. Walaupun pelbagai usaha telah aku jalankan, jika Allah sudah tetapkan kelahiran anak kedua secara pembedahan, aku tidak mampu melawan kuasa dan takdirNYA.

Esokkan harinya, aku mula belajar untuk redha menerima semua ini. Walaupun gugup setelah diberi baju persalinan pembedahan, aku cuba munasabah diri untuk redha. Kedua mok ayah dan belah mertua datang menemuiku sebelum aku ditolak masuk ke bilik pembedahan. Sempatlah berlaku drama air mata sebelum aku ditolak masuk bilik O.T.

Seperti dijanjikan, doktor yang ambil kes aku scan sebelum aku dibedah. Dan nampaknya kedudukan anakku masih sama dan tidak berubah. Aku terus tarik nafas dalam-dalam dan redha untuk pembedaham ini. Pakar bius mula datang dan kenalkan diri. Setelah dibius, suami masuk menemaniku dan membaca surah yassin ditepiku. Aku sedar kerana dibius separuh. Aku mengikut suamiku membaca surah yassin bersama.

Masya Allah dan Alhamdulillah, setelah aku redha, hatiku lebih tenang untuk berdepan dengan situasi ini berbanding sebelum ini. Alhamdulillah juga pembedahan tidak mengalami sebarang komplikasi dan anakku selamat dilahirkan sekitar jam 10.30 pagi. Aku menangis kerana kelahiran kali ini banyak mengajarku erti usaha, sabar dan redha. Kadang-kadang kita ni manusia sering terlupa yang kita hanya mampu merancang dan Allah yang tentukan. Kita tidak punya kudrat melawan takdirNya dan aku tahu pasti ada Hikmah Allah aturkan aku begini.

Selepas itu, aku sering terbaca dan bersembang dengan ibu-ibu yang bakal dan sudah pun bersalin, ada antara mereka yang diuji lebih teruk dari aku. Pengalaman mereka membuatkan aku lebih bersyukur. Terima kasih Ya Allah. Alhamdulillah anak keduaku bakal berusia 2 tahun tak lama lagi. Moga Allah panjangkan usiamu, murahkan rezekimu dan sentiasa redha atas setiap aturannya buatmu. Moga Allah susun cantik perjalanan hidup mu nak dan berjaya dunia wa akhirat. Amin.

Buat semua ibu di seluruh dunia, anda semua adalah insan yang hebat. Moha Allah terus mudahkan jihad kita dalam melahir dan membesarkan anak-anak. Kepada saudara dan sahabat yang masih belum dikurniakan rezeki zuriat, kudoakan moga kalian terus berdoa dan bersabar. Sentiasalah bersangka baik dengan Allah kerana sesungguhnya Allah lagi tahu yang terbaik bua kita semua. Moga kita semua ‘redha’ akan apa jua ujian dariNYA. Amin Ya Rabal Alamin.

Ikhlas dari,

– I.A

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *