Aku Berkahwin & Songsang

Assalamualaikum, aku Q umur 38 tahun, perempuan. Aku sudah berkahwin selama 11 tahun, dan mempunyai seorang anak. Aku nak cerita kisah aku, aku songsang sejak kecil. Cerita aku ni sedikit panjang.

Mak aku cerita semasa mengandungkan aku mereka ingat aku anak lelaki, sebab aku tersangat aktif dalam perut mak. Bila aku lahir, rupanya anak perempuan.

Sejak kecil, aku tak suka berambut panjang aku akan rasa gatal dan rimas kalau rambut aku panjang. Aku akan menangis supaya rambut aku digunting pendek seperti lelaki. Dan aku juga tak gemar berpakaian perempuan.. aku lebih suka pakai seluar dan t shirt.

Aku seorang yang aktif, minat aku cenderung kepada semua perkara yang budak lelaki suka buat. Contohnya alat permainan aku lori, kereta, robot dan set permainan askar. Aku tak suka main anak patung, atau main masak-masak seperti perempuan. Aku akan main angkut tanah, pasir dengan lori, lawan askar dan robot. Segala permainan budak perempuan tak pernah menarik minat aku.

Aku ada baca kalau songsang sejak kecil mungkin kerana masalah genetik atau hormon sejak dari dalam kandungan, sebab tu naluri kelakian dalam diri bermula sejak kecil.

Bila aku besar, aku suka memancing, main bola sepak, mandi sungai, panjat bukit dan berkawan dengan budak lelaki sampai orang fikir aku budak lelaki kerana perwatakan dan penampilan aku.

Mak ayah aku bukan tak pernah marah, mereka selalu marah aku kenapa aku suka apa yang budak lelaki suka main, kenapa aku suka pakai pakaian budak lelaki, kenapa aku suka berkawan dengan budak lelaki.. aku selalu kena bebel tapi itulah aku sendiri memang tak boleh nak jelaskan, dah itu yang aku selesa, suka dan minat.

Aku songsang pun aku tak tahu. Ketika umur 9 tahun aku suka anak jiran kami, perempuan. Budak perempuan ni umur 8 tahun. Aku sukakan dia sebab dia bijak dan cantik.

Waktu tu aku tak tahu perempuan suka perempuan tak boleh. Tak ada siapa yang beritahu aku tentang perkara ni. Setahun juga aku suka budak tu, aku selalu admire dia kata dia cantik, aku cakap dia awek aku. Dan aku lupakan dia selepas dia pindah ke tempat lain.

Aku dimasukkan ke sekolah menengah berasrama. Semasa aku di sekolah menengah aku sangat aktif bersukan. Aku seorang pelajar yang agak popular, popular kerana aku seorang tomboy yang mempunyai rupa paras dan perwatakan yang menarik dan aku juga popular kerana aku pelajar yang pandai.

Aku sangat minat belajar dan aku suka membaca. Masa aku banyak dihabiskan dengan belajar. Aku susah pedulikan orang walau ramai yang ingin rapat dengan aku.. nak jadikan aku adik angkat, kakak angkat, girlfriend, boyfriend semualah kan…. banyak surat aku dapat…. aku buat tak tahu je.

Apabila berada di luar, orang tak boleh nak cam aku perempuan, kerap orang di taman perumahan tempat kami tinggal ingat aku budak lelaki bila aku keluar.

Ada yang ajak aku bermain bola sepak bila aku melepak di tepi padang sambil tengok sekumpulan budak lelaki bermain bola di padang bola. Yelah aku memang menyerupai seorang budak lelaki. Aku berkulit putih, tinggi, berambut pendek dan berbadan tegap seperti lelaki sebab itulah orang selalu tertukar aku lelaki.

Aku sukakan perempuan sekali lagi masa usia aku 16 tahun. Masa ini aku sudah tahu perasaan suka sejenis ini salah dan berdosa besar. Tetapi aku tak boleh nak melawan perasaan yang terlalu kuat sukakan perempuan. Aku suka classmate aku, aku crush dengan dia dari form 4 sehingga kami sama-sama masuk ke matrikulasi.

Semasa di matrikulasi aku confess perasaan aku pada dia, dia cakap dia sudah lama sedar aku sukakan dia. Dan dia pun sangat sayangkan aku tetapi hanya sayang sebagai seorang kawan baik kerana dia bukan bernaluri songsang macam aku.

Buat kali pertama aku menangis kecewa perasaan aku ditolak.. masa ni aku mula persoalkan kenapa Allah bagi aku naluri macam ni. Aku menangis betapa sakit hati aku.. dan aku menangis kerana aku tak normal, sangat berat aku rasa ujian ini pada aku.

Semasa tahun pertama di universiti, aku kenal seorang perempuan, A. Kami satu kolej, aku mula jatuh cinta teruk pada A.. lagi teruk daripada aku sukakan kawan sekolah aku dulu.

Aku dah cuba lawan perasaan aku, aku dah cuba benci A, cuba jauhkan diri dari dia.. aku cuba tahan perasaan aku, tetapi makin lama perasaan tu semakin bercambah semakin menyakitkan untuk aku pendam…aku lemah, aku tak mampu.

Aku sangat suka perempuan yang ada ciri-ciri ni… Bijak, Tegas, Cantik, dan Pandai Berdikari. A ada semua tu. Aku confess dekat A, ternyata A memang tak suka golongan seperti aku,

Dan apabila dia tahu aku suka dia, dia sangat bencikan aku. Macam-macam dia hina aku. Tak pernah orang kutuk hina aku sebegitu. Dia orang pertama yang mencelakakan aku, dan lain-lain lagi perkataan tak elok dia ucapkan kepada aku.

Aku pun tak mahu dilahirkan songsang, aku tak memilih untuk ada perasaan begini. Ini adalah ujian terberat Allah kepada aku. Aku bukan tak menolak perasaan ni, aku tak pernah tinggal solat, aku faham semua hukum-hukum agama, aku tahu cerita balasan Allah untuk umat dahulu.. macam-macam aku buat untuk menidakkan perasaan sukakan perempuan, aku memang tak mampu.

Hampir setiap malam aku tidur dengan airmata mengenangkan aku ditakdirkan punya perasaan songsang begini, sangat sakit rasa tu. Sebelum nak salahkan ibubapa aku, aku nak tegaskan mak ayah aku tak pernah tak tegur aku, mereka sudah bagi aku cukup didikan agama.

Aku anak yang taat pada agama, aku tak pernah tinggal solat, aku khatam Quran, aku pun suka baca buku-buku agama, sejarah Islam semua aku tahu. Aku jaga semua yang agama larang tapi bab yang satu ni memang aku susah sangat nak jauhkan diri.

Entah berapa kali, sudah tak terkira aku teresak-esak menangis dalam solat, basah telekung aku minta Allah jadikan naluri aku normal, buang perasaan aku yang songsang ni pada A.

Aku jadi semakin tergila-gilakan A. Setiap hari aku nak tengok dia. Aku confess pada dia pun dengan harapan cinta aku berbalas. Gilakan aku. Bukan tak ada orang lelaki menaruh hati kepada aku. Aku memang tak ada perasaan terhadap lelaki.

Sudah hampir setahun sejak aku confess kepada A, selama itu dia tak pernah pedulikan aku. Aku tak pernah move on, dan A masih tetap benci aku. Macam-macam cara aku buat untuk ambil hati dia, aku nak pulihkan hubungan kami yang teruk.

Aku fikir kalau dia tak boleh balas perasaan aku, cukup kami hanya sekadar berkawan. Tetapi memandang aku pun dia tak sudi, umpama aku seperti bangkai di tepi jalan gamaknya bila dia dan aku bertembung. Memang aku tersangatlah sedih, aku sentiasa persoalkan kepada Allah kenapa ujian aku macam ni.

Aku masih terlalu muda sudah diuji ujian seberat ni. Aku tak mampu nak lawan, sakit sangat dalam dada aku bila tahan perasaan ni. Aku gelisah aku tak tenang. Semua yang aku belajar satu pun tak masuk dalam kepala aku. Aku nak sangat dibawa jumpa ustaz ke ustazah ke supaya mereka doakan aku bagi jiwa aku tenang.

Masa aku dah tekad lupakan A. Aku pun dah tak contact A langsung, aku jauhkan diri dari dia. Aku dah sedar diri. A yang hina aku dulu tiba-tiba cari aku dan A beritahu aku yang aku boleh sayang dia sebanyak mana aku mahu. Dia cakap dia terlalu kecewa dengan lelaki. Rupanya dia baru putus cinta.

Aku agak dia tak ikhlas untuk berkawan dengan aku, aku cakap dekat dia jangan berkawan dengan aku sebab dia kecewa dengan lelaki. Ya boyfriend dia curang dan tinggalkan dia. Dia menangis beritahu aku yang dia dah letih sayang orang tapi orang selalu tak hargai dia dan tinggalkan dia.

Dia bagi aku kata putus, sama ada aku nak ke tak nak dekat dia. Kalau aku nak, jangan pernah tinggalkan dia. Kalau aku tak nak, jangan berkawan langsung dengan dia. Aku jadi serba salah, aku memang nak dia sebab aku masih cintakan dia.

Kalau aku terima dia, ini kali pertama aku bercinta dengan perempuan. Aku memang tak fikir panjang pun, walau sebenarnya aku dah tekad lupakan dia tapi aku tak sampai hati nak tak tolak dia. Tak tahu apa yang merasuk diri dia sampai dia nak terima aku. Yelah selama ni dia benci aku.

Selepas tu, kami berdua jadi seperti sepasang kekasih yang sangat bahagia. 2 tahun kami couple. Aku dan dia memang dilamun cinta, aku pun tak sangka dia akan balas perasaan aku sedalam itu. Dia memang betul-betul sangat sayangkan aku. Dia ajak aku tinggal di luar negara bila kami habis belajar nanti supaya kami dapat hidup bebas sebagai pasangan sejenis.

Tinggal di luar negara?? aku jadi terfikir. Aku tiba tiba jadi takut, aku tak sedia untuk tinggalkan mak ayah aku. Aku mula terfikir yang aku orang islam, aku tak patut buat perkara macam tu sekali. Aku mula persoalkan selama mana aku nak berdosa macam ni. Aku dah jauh sangat. Hampir 2 tahun sudah hubungan aku dengan A.

Allah memang jentik hati aku supaya aku tak terus lalai. Aku yang sedang bahagia, ada girlfriend yang sangat cantik dan bijak. A sangat sempurna dimata aku. A pun sangat sayangkan aku, aku memang tengah tenggelam dalam cinta kaum sejenis yang sangat indah.

Hidup kami seperti suami isteri selama ni. Aku tak pernah mengajar dia semua perkara ni, dia pun sama. Segalanya baru buat aku dan dia. Dari cuma usikan gurauan jadi ketagihan. Bila ada dua orang yang saling berkasih, orang ketiga adalah syaitan. Tetapi aku mula gelisah, aku takut dengan gaya hidup aku.

Aku mula menolak dia, aku jadi takut akan balasan Allah pada aku. Aku takut untuk bertanggungjawab atas semua yang aku dah buat selama aku dengan dia.

Aku tersepit antara cinta aku kepada perempuan dan aku takut perbuatan aku sekarang. Aku nak tinggalkan A pun tak mampu kerana aku terlalu sayang dirinya. Tetapi aku sangat takut akan dosa-dosa aku.. Aku takut fikir masa depan aku dengan dia.

Apa sebenarnya yang aku nak dengan A? Bukan boleh nikah pun aku fikir, dah tu sampai bila nak macam ni? A menangis bila aku sudah tak seperti dulu. Dalam fikiran aku macam-macam aku fikir. Aku tak nak jadi orang yang tak bertanggungjawab, aku juga tak mahu lagi hidup macam ni. Aku sudah penat. Jiwa aku tak tenteram, aku takut fikirkan aku dan dia yang hidup penuh dosa.

Aku menangis. Berkali-kali aku salahkan takdir kenapa aku jadi seorang perempuan, kenapa aku bukan seorang lelaki. Kalau aku seorang lelaki aku akan berkahwin dengan A. Aku takkan jalani hidup penuh dosa macam ni dengan dia. Aku orang yang baik, dari keturunan yang baik-baik, A pun sama.

Aku rasa aku yang salah atas semua yang jadi pada A. Aku rasa aku kena bertanggungjawab ke atas dia tapi macam mana aku nak bertanggungjawab aku perempuan???!!! Kami banyak bergaduh, hari-hari stress sebab bergaduh, tak macam dulu ketika kami saling memahami. Aku mahu berpisah. Tetapi A tetap mahukan aku, aku sudah sampai limit.

Aku sudah tak nak lagi hidup macam ni. Aku tak nak buat semua tu lagi, tapi kalau aku ada dengan dia pasti kami akan buat perkara tersebut dan aku tak mampu untuk menolak setiap godaan dari dia.

A tak tahu dalam hati aku, aku terlalu cintakan dia, aku nak hidup dengan dia, bahagiakan dia tetapi bukan cara macam ni. Dan aku tak mampu nak buat semua tu sebab kami sejenis.

Aku tak mampu untuk menyunting dia menjadi pasangan hidup aku yang halal. Hubungan kami hubungan terlarang yang dilaknat Allah. Akhirnya kami putus setelah terjadi banyak pergaduhan antara kami. Dendam dan marah dia pada aku memang banyak.

A selalu menangis merayu aku kembali kepada dia. A cakap aku tinggalkan dia disaat dia tak mampu nak lawan gelora nafsu dia. A rasa sangat jijik dengan diri sendiri kerana merayu-rayu inginkan aku untuk buat perkara tu. Dia cakap dia nak hanya aku, dia tak mahu orang lain.

Puas aku minta maaf pada dia, aku pun suruh dia berubah tetapi dia tetap salahkan aku kerana kecewakan hati dia. Aku cuma nak berkawan dengan dia je, aku bukan buang dia terus sebab aku tak nak kami terlanjur lagi. Macam mana pun kami perjuangkan kami tetap tak boleh bersama kerana kami tak normal.

Akhirnya, kami jadi macam musuh. A sangat bencikan aku kerana bagi dia aku tinggalkan dia selepas aku dapat apa aku nak, habis madu sepah dibuang katanya. Aku dah puas beritahu kenapa kami kena berpisah, bagi dia aku tetap paling jahat.

Kami berdua tamat belajar dan jalani hidup masing-masing selepas tu tanpa ada apa-apa hubungan dengan dia, walaupun seorang kawan tetap dia tak boleh terima aku. Aku redha.

Lepas kami habis belajar, masing-masing sudah ada pasangan. Aku nikah dulu, bila A tahu aku dah nak berkahwin dia ajak jumpa dan dia menangis. A maafkan semua salah aku dan aku pun sama.

Kemudian A tanya aku “adakah aku masih cintakan dia? adakah cinta aku masih bersisa pada dia?” “Kenapa aku tak lahir sebagai seorang lelaki kerana dia cintakan aku dia tak nak kehilangan aku”….. aku menangis. Aku tak mampu cakap apa-apa.

Aku tak lama lagi nak jadi isteri orang. Aku memang sayangkan dia dan aku masih cintakan dia. Tapi aku dah tak boleh cakap tentang perasaan aku lagi kerana aku sudah memilih untuk berubah dan akan berkahwin.

Akhirnya kisah kami berdua betul-betul berakhir, dan beberapa tahun selepas tu, Allah pertemukan kami semula dan sekarang kami berkawan baik tanpa sedikit pun ada perasaan sayang dan cinta seperti dulu, kami dah melupakan apa yang pernah terjadi antara kami.

Alhamdulillah A juga dah bertemu jodoh selepas 3 tahun aku berkahwin. Aku perempuan pertama dan terakhir yang dia suka.

Selepas tu A juga berubah dan jadi isteri yang solehah, sekarang dia mempunyai 4 orang cahaya mata dan suami yang sangat baik. Aku gembira melihat dia bahagia, perasaan cinta dan sayang aku pada dia pun sudah hilang. Allah memang sayangkan kami berdua, kami bertaubat dan lupakan kisah silam.

Aku dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki yang terlalu cintakan aku. Suami aku, F. Dia sangat baik hati. Dia juga lelaki yang soft spoken dan sopan. Bukan tak ada perempuan lain yang suka dia, dia nak hanya aku katanya. Masa aku belajar di universiti dulu dia sudah sukakan aku, aku je yang menolak cinta dia. Yelah masa tu aku tengah hangat bercinta dengan A.

F tak pernah lupakan aku walau sudah bertahun aku menolak cintanya. Dan apabila kami sudah habis belajar dan bekerja, kami dipertemukan balik oleh Allah. F ajak aku berkahwin. Mula-mula aku menolak. Aku tak mampu nak cintakan orang lain, dalam hati aku hanya ada A.

F tahu aku bernaluri songsang. Tetapi dia tetap suka aku. Macam-macam usaha F buat untuk ambil hati aku, akhirnya aku terima F. Aku fikir sampai bila aku nak macam ni, aku yakinkan diri aku terima lamaran dia, dan akhirnya kami berkahwin.

Aku memang sangat bahagia dengan suami aku. Pada tahun ke 4 perkahwinan, kami dikurniakan seorang zuriat penghibur rumahtangga kami. Cinta F kepada aku tak pernah surut, dia sentiasa obses dengan aku walau kami sudah berkahwin selama 11 tahun tahun ni.

Dari awal kahwin sampai sekarang F tak pernah boleh berenggang dengan aku, selain pergi kerja kehidupan dia hanya bersama dengan aku dan anak kami.

F layan aku seperti seorang puteri. Kerja rumah, jaga anak semua F yang buat. Bila dia tengok aku buat kerja rumah, dia cepat-cepat tolong aku.. mulutnya tak henti akan tanya aku penat tak? Masa anak kami masih bayi dulu, dia yang banyak jaga anak kami. Dia risau aku penat katanya. F sangat bahagia boleh hidup bersama dengan aku.

Aku pun memang bersyukur dikurniakan suami seperti dia, yang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Aku juga bersyukur ada seorang anak lelaki yang sangat cerdik dan baik. Rumahtangga kami sangat bahagia. Ini barangkali hikmah Allah nak bagi pada aku, walau aku diuji berat semasa aku muda. Allah masih sayangkan aku dengan bagi ini semua. Aku bersyukur…. Alhamdulillah.

Tetapi, ujian aku tetap masih ada….Allah bagi aku keluarga yang sempurna. Dan Allah uji aku bahagian ni…. perasaan tu… perasaan songsang tu masih ada. Yelah mana ada manusia di dunia ni yang tak diuji kan, dunia ni memang tempat ujian.

Kerap kali hati aku bergetar bila aku kenal perempuan yang mempunyai ciri-ciri yang aku minat…tegas, lawa, pandai berdikari dan bijak… Sedaya upaya aku melawan perasaan songsang aku supaya aku tak terjerumus lagi.

Tetapi 4 tahun lepas, aku tak mampu nak tolak. Allah uji aku lagi. Aku jatuh cinta lagi, kali ini pada kenalan sekerja aku, aku namakan dia H. Dia ada semua ciri-ciri perempuan yang aku suka. Hati aku berdebar setiap kali melihat dia. Mungkin kerana aku dan dia kerja sekali yang membuatkan aku susah untuk menepis perasaan ni.

Aku mula menaruh hati kepada dia. Aku cuba lawan perasaan aku sendiri. Aku cuba ingat muka suami aku yang innocent, aku ingat anak aku yang comel. Aku istighfar banyak-banyak bila kerap kali bayang wajah H tu hadir difikiran aku. Aku menangis kerana perasan terhadap H terlalu kuat, rasa sangat sakit di dada aku. Kalau aku melayan, confirm aku akan terjerumus semula.

Aku tak tahu selama mana Allah nak uji aku dengan perasaan songsang ini. Aku sangat takut bila aku jatuh cinta dengan sejenis. Aku rasa perkara ini normal, sedangkan perkara ini salah.

Bila aku jatuh cinta, aku jadi angau rindu sayang, rasa ingin memiliki mencintai orang tersebut. Rasa ingin berkahwin dengannya tetapi hanya dalam mimpi je mampu. Sangat menyakitkan bila tak mampu nak buat apa-apa.

Perasaan tu sama dengan orang normal jatuh cinta lawan jenis… perasaan rindukan sang kekasih… perasaan nak rapat nak berkawan dengan si dia, rasa nak ada hubungan yang istimewa dengan si dia.

Macam tu juga kami rasa tetapi kami terbatas untuk buat semua tu kerana kami sejenis, umpama nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapak. Perasaan tu sangat menyakitkan bila kita tak mampu untuk perjuangkan pun perasaan tu.

Aku nak menjawab sedikit tentang salah faham orang normal tentang kami yang berperasaan songsang. Ramai beranggapan kalau ada perasaan ni mesti nak berhubungan badan. Tak semua orang macam tu. Nafsu tu semua orang ada. Sama ada pandai atau tak kita menjaga batasan-batasan kearah kemaksiatan tu.

Sama juga dengan orang yang normal. Apabila perasaan kasih sayang tu saling berbalas, orang ketiga adalah syaitan. Sebab tu kita dilarang untuk bercouple dalam islam supaya dijauhkan daripada zina, maksiat.

Orang seperti kami lagi kuat godaan syaitan bila kami saling jatuh cinta, yelah apabila duduk berduaan maka jadilah hubungan terlarang.

2 orang manusia yang saling mencintai, sejenis, tempat sunyi dan syaitan. Kenapa ada homoseksual boleh bertukar-tukar pasangan? Sama je dengan orang normal, dah namanya playgirl playboy sama jugak dengan LGBT ada yang suka bertukar-tukar pasangan, ada yang setia cuma pada seorang.

Aku sendiri tak nak perempuan lain kecuali pada perempuan yang aku suka je walau godaan dari perempuan lain tu ada, aku langsung tak melayan. Godaan tu banyak, aku pernah dicium dan dipeluk oleh perempuan-perempuan yang sukakan aku. Aku memang tak suka ambil kesempatan dan aku tak boleh. Aku akan tepis semua tu.

Dulu semasa aku di universiti, tak ada siapa melarang aku dan A tinggal sekali. Mana orang nak curiga perempuan dengan perempuan orang sekeliling pun tak syak apa-apa. Apabila duduk sekali kami hanyut, yelah boleh tinggal dengan yang tersayang. Berdua-duaan, tengah kemaruk rindu cinta dan nafsu muda yang bergelora. Kami tewas kami tak mampu untuk menolak. Kami manusia lemah.

Suami aku tahu aku dulu pernah couple dengan perempuan semasa zaman belajar. Aku pernah beritahu dia semasa dia confess dulu, aku reject dia dan aku kata aku tak minat lelaki. Tetapi dia tak pernah sebut atau bertanyakan perihal perkara ini kepada aku langsung. Dia memang tahu aku macam mana, penampilan dan perwatakan aku bukan perempuan yang lemah lembut, aku perempuan kasar.

Pemakaian aku simple tak macam perempuan lain yang berbaju cantik, penuh gaya kewanitaan. Suami aku cakap, dia sayang dan cintakan aku kerana diri aku. Kalau dia nak perempuan yang berpakaian macam tu, dia dah lama pilih tetapi hati dia pada aku. Segala yang ada pada aku dia suka.

Setakat ni je kisah aku. Tentang perasaan aku terhadap H tu, dah hilang. 3 tahun jugalah untuk aku lupakan H. Mungkin sebab aku ada suami dan anak, aku banyak fikirkan kesan kepada mereka kalau aku jadi macam dulu.

Dan paling aku takut, aku takut kalau aku ulang semula dosa-dosa lalu. Aku syukur aku kuat kali ni, aku tak pernah confess dan dekati H lebih dari seorang kawan sekerja. Dan akhirnya aku boleh lupakan dia.

Aku harap cukuplah ujian Allah pada aku setakat ni je. Yang suka menghina orang bernaluri songsang macam aku, aku nak pesan 1 je…cakap, nasihat dan doa baik-baik supaya kami berubah, kami kuat dengan ujian ni. Kami pun tak nak jadi macam ni, kami pun nak bernaluri normal tapi ini ujian kami di dunia ni.

Dan aku nak pesan kepada siapa yang nak berkahwin dengan orang yang bernaluri macam aku, bagi aku risiko sangat tinggi. Kena betul-betul berserah dan tawakal kepada Allah. Doa banyak-banyak supaya Allah jaga pasangan korang, supaya dia diberikan hidayah. Allah je yang boleh jaga dia.

Dan kepada yang ada naluri macam aku, kalau kau orang boleh jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami, kahwinlah. Niat untuk berubah. Jangan aniaya pasangan. Bila dalam hubungan yang halal, kau orang akan rasa tenang. Sayangi pasangan kau orang betul-betul walau ada perasaan lain dalam diri tengah bergelora. Ingatlah selama mana kita nak hidup macam tu.

Ujian ni dari Allah, kita kena lawan betul-betul rasa tu.. kita mampu untuk hidup normal, semuanya atas diri sendiri. Tak ada siapa boleh tolong kita kecuali diri kita sendiri.

– Qay Black (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Alhamdulillah, awk boleh mngawal perasaan dan keadaan yg awak seorang je yg tahu mcmne nk ‘kawal’.. bnyak2 lah berdia agar awak ‘istiqomah’ dgn pendirian agama.. hanya iman dan taqwa jadi pembenteng utama.. ingatlah jasa suami yg sanggup memperisterikan awk, w/pon dia tahu sejarah silam dan nafsu ‘songsang’ dlm diri awk.. bersyukur bhw Allah masih sayangkn awk, diberikan kehidupan kluarga yg normal, ada anak dan tidak dibalas semasa melakukan perbuatan terlarang itu dgn musibah.. (klaw pd zaman Nabi Luth dlu, mrk telah diazab Allah sbb perbuatan mrk..), so bertaubatlah secara total dan jgn ulangi lagi.. wallahu a’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *