Aku Bidadari Di Mata Hatimu II

Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-bidadari-di-mata-hatimu/).

Terima kasih aku ucapkan lagi kepada team admin IIUM Confession untuk penyiaran perjalanan hidupku yang biasa-biasa ini. Ini adalah sambungan confession sebelumnya.

Masa tu aku dan ex-boyfriend ku dah berusaha sehabis baik agar hubungan kami dapat diselamatkan. Namun segalanya dengan kehendak Allah yang mengizinkan kami untuk berpisah selamanya.

Kejadian itu seingat aku berlaku selepas tamat konvokesyen Degree dan akhirnya kami masing-masing membawa haluan sendiri.

Aku tak nafikan memang aku mempunyai rupa paras yang agak lawa dan ada lelaki yang ingin berkenalan malahan ingin meminang aku. Namun hati aku tegas dengan pendirianku untuk benar-benar bertaubat daripada kesilapan lalu.

Aku menolak semua salam perkenalan dan juga lamaran meminang dengan alasan aku masih mempunyai impian yang belum tercapai. Aku benar-benar ingin fokus memohon keampunan dan taubat daripada Allah masa tu.

Cemuhan, cacian, makian, kata-kata hinaan sudah lali di telinga ku. Antara ayat yang pernah dilemparkan padaku, “Budak freehair ni rajin pulak aku tengok derma kat masjid, entah solat, entah tak,”. “Nak tunjuk baik konon tolong orang, tapi aurat tak jaga,”.

Memang akan ada masa kita rasa sangat berduka kerana orang hanya akan menyalahkan zahir tanpa pernah membimbing. Bukan aku tak mahu berubah, hati aku masih belum terbuka masa tu.

Alhamdulillah aku diberi kekuatan menghadapi segalanya dengan adanya rakan-rakan yang sering memberi sokongan positif terutamanya mereka banyak menggalakkan aku membaca serta menghayati kisah para Nabi, para Rasul, pengorbanan para sahabat dan sahabiah zaman Nabi.

Dan masa terus berlalu sehingga aku menamatkan pengajian peringkat Master seterusnya bekerja dalam sektor yang agak stabil.

Ada sekali tu kereta yang biasa aku guna untuk pergi kerja mengalami kerosakan. Kena tahan di bengkel dalam seminggu lebih. Jadi kena naik pengangkutan awam ke tempat kerja.

Masa tu aku banyak naik LRT dan teksi. Dalam seminggu lebih tu aku perasan setiap kali aku naik LRT, akan ada seorang lelaki buta pakai kemeja panjang akan naik LRT yang sama.

Mulanya aku tak ada apa nak kisah sangat sebab ada orang lain akan tolong dia bawa masuk LRT & bagi tempat duduk. Cuma ada satu hari tu dia terlepas LRT sebab terlambat.

Aku nampak dia cuba jalan laju-laju dan berlari-lari anak untuk dapat masuk dalam LRT, tapi tetap terlambat dan pintu pun dah tutup. Jadi, dia kena tunggu LRT seterusnya. Aku pula masa tu saja tegur dan bagi tisu kat dia sebab tengok dia berpeluh-peluh terkejar-kejar tadi.

Dari situ kami mula berborak-borak biasa. Dia ni walaupun buta tapi memang cepat tertawa kalau berbicara. Sedikit sebanyak dia menceritakan dia buta dalam lingkungan umur 20-an sebab penyakit saraf mata.

Apa yang pasti setiap dugaan dan cabaran hidupnya dia selalu lihat dari sudut positif. Antara ayat yang selalu dia ulang, “Allah selalu sayangkan kita. Allah tak pernah lupakan kita. Setiap orang ada ujian masing-masing,”.

Bila LRT sampai, aku cuba nak tolong pimpin dia masuk. Tapi aku tak tahu cara nak tolong. Dia kata pegang siku dia dan jangan risau sebab tak bersentuh kulit dengan kulit ada lapik kain baju kemeja lengan panjang.

Dia pun beritahu kebanyakan perempuan non-Muslim sangat memahami dan menghormati isu bersentuhan kulit dan mereka sangat ringan tulang membantu orang buta.

Dalam LRT kami tak bercakap banyak dan turun ikut destinasi masing-masing lepas tu. Dalam perjalanan ke tempat kerja, ayat dia tadi selalu terngiang-ngiang dalam kepalaku. Allah selalu sayangkan kita. Allah tak pernah lupakan kita.

Aku ulang-ulang sebut ayat tu di mulut dan tanpa aku sedar aku rasa sebak sangat di dada. Aku rasa aku rindu sangat pada kasih sayang Allah. Aku sampai ke tempat kerja terus ke tandas untuk menangis dan mencuci muka.

Aku teruskan kerja macam biasa dan lepas balik rumah aku selalu ulang ayat tu dalam doa lepas solat. Aku rasakan satu ketenangan dan rasa kehambaan yang amat sangat bila diulang-ulang ayat tu.

Beberapa hari kemudian, aku terserempak lagi dengan lelaki buta tu di LRT. Dalam berborak tu dia bertanya padaku, “Maaf harap awak tak kecil hati. Saya Cuma nak tahu, awak ni freehair kan?”. Tergamam dan terlopong aku masa tu.

Aku balas bertanya, “Macam mana awak tahu?”. “Saya dah agak. Saya cium bau wangi rambut awak setiap kali awak lalu dekat saya. Maaf ya. Tapi saya tahu hati awak baik dan ikhlas dalam menolong orang walaupun memang akan ada manusia yang memperlekehkan awak.

Dalam hidup ini tiada siapa tahu bagaimana pengakhiran hidup kita sendiri. Yang penting teruskan istiqamah ke arah kebaikan kerana Allah. Pasti akan dibuka jalan keluar segala masalah,” dia balas sambil tersenyum.

Aku rasa macam nak terkeluar jantung daripada badan aku bila dengar ayat dia. Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke tempat kerja masing-masing seperti biasa.

Gerak hatiku kuat menyatakan dialah orangnya yang boleh bersama-sama membimbing aku ke arah jalan yang diredhai Allah.

Aku minta tolong sepupu lelaki ku yang boleh dipercayai dan amanah untuk merisik si lelaki buta tersebut.

Dari maklumat yang aku dapat, lelaki buta tu merupakan seorang yang beragama dan mampu berdikari dalam kehidupan seharian selain merupakan seorang yang bertanggungjawab.

Aku suarakan hasratku kepada mak ayahku. Aku terangkan segala apa mengenai lelaki buta itu. Pada mulanya mak ayahku menentang keras keinginanku. Tapi aku bukan jenis perempuan cepat mengalah. Aku ada pendirian aku. Aku bukan anak derhaka.

Tapi aku perlu tegas dan yakin selagi mana lelaki itu boleh bimbing aku dalam agama dan ke arah redha Allah, tak kisah dia buta, aku tetap akan usaha sampai Allah sendiri yang putuskan.

Selama sebulan lebih aku mohon petunjuk dari Allah. Bangun tak pernah tinggal solat tahajjud. Baca Yaasiin lepas Subuh.

Baca al-Mulk sebelum tidur. Dan alhamdulillah Allah izinkan kami untuk bertemu jodoh mengikut perancangan Allah jua. Kebanyakan pertemuan aku tu dibantu oleh sepupu lelaki ku yang memang seorang amanah dan dipercayai.

Alhamdulillah tidak lama kemudian kami selamat diijab kabul dalam suasana penuh kebahagiaan. Dalam hubungan sebagai suami isteri, mesti ada memberi dan menerima antara dua-dua pihak. Amalan bertolak ansur juga kena selalu ada. Jangan nak menang sendiri.

Kami sangat mementingkan untuk berbincang sebelum membuat sesuatu keputusan. Sama ada perkara kecil mahu pun perkara besar.

Semuanya kami selalu amalkan berbincang dari hati ke hati tanpa berahsia apa-apa. Suamiku juga sangat menitikberatkan solat berjemaah di samping makan pun berjemaah.

Kalau korang nak tahu, aku pun hanya beberapa kali makan guna tangan sendiri. Selalunya aku dan suami akan makan menggunakan pinggan yang sama.

Suami suap aku. Aku suap suami. Sampai habis makanan di pinggan. Air pun kami kongsi satu cawan. Suami minum sikit. Aku minum sikit. Sampai air habis.

Sampai sekarang dah beberapa tahun kami buat macam ni. Sweet kan? Cubalah korang buat setiap hari dengan suami tersayang.

Ada banyak lagi yang ingin aku kongsikan sebenarnya, tapi aku tak mampu nak tulis panjang-panjang. Rajin-rajinkan diri membaca dan menghayati kisah para Nabi dan para isteri Nabi dan para sahabat Nabi.

Sebelum aku akhiri perkongsian aku ini, ingin aku terangkan sedikit macam mana suami aku bekerja. Aku mula-mula pun kagum macam mana orang buta boleh jadi seorang yang berkerjaya sebegitu rupa.

Mereka banyak dibantu oleh teknologi juga. Contoh nak baca Whatsapps/ Telegram mereka ada screen reader di telefon yang sememangnya semua telefon pintar sekarang dibina di dalamnya.

Sama juga di komputer pun ada screen reader sendiri. Nanti korang Google la sendiri cari nama-nama ni JAWS (Job Access With Speech), NVDA, Voice Over, Talkback Android Accessibility Suite.

Wasalam.

– Puan S (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *