Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-bidadari-di-mata-hatimu/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/aku-bidadari-di-mata-hatimu-ii/).
Terima kasih kali ketiga aku ucapkan kepada team admin IIUM Confession atas penyiaran perkongsian aku bersama suami tersayang.
Aku sebenarnya ingin berhenti menulis pada confession kedua. Tapi suami cadangkan tulis satu lagi sebab bukan semua orang diberi rezeki untuk berkongsi kebahagiaan yang jarang dijumpa.
Nak upload video di youtube, suami tak bagi. Dia nak sweet moment tu dipraktikkan, bukan untuk jadi tontonan awam. Suami siap cubit-cubit manja pipi aku lagi masa aku cakap nak upload kat youtube. Hihihi!!!…
Sebelum aku lanjutkan perkongsian aku, aku nak maklumkan serba ringkas pasal dunia orang buta. Ni info dari suami aku ya.
Orang buta ni sama saja perangai dengan orang normal. Maksud suami aku ni katanya bukan semua orang buta ‘sempurna’. Nama manusia akan ada perangai entah apa-apa juga.
Ada saja orang buta yang mencuri, kaki mengumpat, tamak harta, korup, main sihir, curang, zina, dan senang kata apa yang orang normal buat, orang buta pun buat. Maaf ya part ni memang kasar.
Tapi suami aku nak masyarakat buka mata dan tidak terlalu ‘mengagung-agungkan’ bila seseorang tu buta ibarat seorang yang sempurna daripada dosa.
Dan suami aku tambahkan juga, sekolah untuk kanak-kanak buta dah lama ada di Malaysia. Antaranya SKPK Kuching, SKPK Kota Kinabalu, SKPK Jalan Batu KL, SKPK PES Johor, SKPK Alma dan lain-lain SKPK. Korang Google mesti ada punya.
Satu lagi disebut PPKI. Contoh PPKI Penglihatan Kota Tinggi, PPKI Penglihatan Ayer Keroh dan lain-lain. Jadi aku harap perkongsian info suami aku ni tak ada la anak-anak masalah penglihatan yang tercicir daripada persekolahan.
Next, mesti ramai tertanya-tanya macam mana suami aku jaga kami sekeluarga.
Sebelum aku tekadkan hati untuk jadikan dia suami aku, aku pernah cerita kat confession kedua tu yang aku ada buat beberapa amalan kan? Dari situ aku dapat jawapan sebenarnya.
Akan ada satu perasaan damai dalam hati. Perasaan tu bukan perasaan yang korang rasa tenang atau damai macam hari-hari biasa.
Tapi… Alamak! Maaf aku betul-betul tak dapat nak terangkan how it’s feel actually. Aku tak tahu la orang lain macam mana. Tapi itu yang aku alami. Sebab tu aku yakin untuk teruskan perkahwinan dan aku yakin Allah akan tolong aku.
Jujur kata ni la pengalaman pertama aku dengan orang buta. Suami aku yang banyak bimbing untuk handle orang buta. Tips ni secara umum la ya. Sebab lain orang lain perangai kan. Antara yang aku belajar daripada suami aku :
1. Jangan alihkan barang kepunyaan peribadi mereka sesuka hati.
Walaupun kita alih hanya dari kiri ke kanan, itu pun dah membingungkan mereka untuk mencari semula barang. Kalau nak alih juga, kena maklumkan mereka awal-awal, baru alihkan.
2. Rajin memberi penerangan deskriptif / terperinci.
Contoh bila jamuan makan di rumah saudara dan seumpamanya, kita cuba terangkan apa antara juadah yang disediakan.
Maksudnya ke mana sahaja kita pergi, kena rajin bercerita menerangkan apa ada di sekitar supaya suami dapat gambaran. Ini bergantung kepada individu la kalau dia tak nak diberi penjelasan terperinci setiap masa, jadi tak perlu la terangkan.
3. Bimbing dengan penerangan lisan dan pegang tangan suami untuk praktikkan..
Perkara ni berguna dalam situasi membimbing suami untuk berdepan pengalaman baru.
Contoh ajar suami memasak lauk tertentu atau sebarang perkara baru yang tidak pernah dilakukan sebelum ini kerana tiada gambaran. Tapi tak termasuk untuk ‘proses pembenihan’ ya. Mereka lagi pakar bab ni. Hihihi!….
Ok, seterusnya aku nak kongsikan macam mana aku dan suami berbicara dari hati ke hati dalam melayari bahtera kehidupan kami.
Aku mulakan dengan tempoh merisik bakal suamiku tersayang ni. Dalam tempoh berkenalan tu, selain berbicara soal hati dan karakter masing-masing, masuk la jugak part bincang masa depan lepas kahwin.
Alhamdulillah suami aku ni dah beli rumah sendiri. Aku pula dah ada kereta sendiri. Dah selesai satu bahagian.
Lepas kahwin, baru aku tahu suami aku ni memang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Dia kemas rumah, vakum lantai, mop lantai, basuh pinggan, masak sikit-sikit guna induction/ smart cooker.
Aku pula yang malu sebab tak rajin buat semua tu. Dari awal perkahwinan sehingga sekarang suami ajar aku makan satu pinggan yang sama dan saling bersuap antara kami. Makan lauk yang sama. Minum pun dari bekas bibir yang sama pada cawan. Sweet kan?
Oh ya! Sebut pasal makan, aku kagum suami aku tak pernah tercekik tulang ikan sepanjang kami makan. Aku pula yang kadang-kadang tercekik tulang walaupun aku dah hati-hati asingkan tulang ikan awal-awal. Memalukan betul aku ni. Hihihi!….
Masa aku sakit tak boleh nak pandu kereta, suami aku tempah Grab Car untuk pergi klinik atau hospital berdekatan. Sampai klinik, suami minta tolong orang sekeliling pimpin dia ke kaunter sambil dia bawa aku. Dia tak bagi orang pegang aku.
Punyalah sayang dia kat aku sampai macam tu sekali. Sampai selesai urusan di klinik, suamiku order Grab Car untuk balik. Sampai rumah, suami masak apa yang patut.
Kalau tak pun, dia order saja guna Grab Food dan lain-lain. Aku tak perlu risau langsung pasal kesihatan dan makan minum semua.
Kalau pergi shopping atau majlis tertentu, aku belajar cara untuk pimpin orang buta. Bukan main jalan & redah suka hati. Mata kita ni kena alert supaya suami tak terlanggar tiang ke, meja ke, kerusi ke, atau jatuh longkang.
Ada kawan-kawan yang bertanya, “Tak rimas ke ko bawa suami jalan berpaut macam tu?”. Aku balas, “Sweet kan? Bukan senang dapat suami yang 24jam pegang tangan bidadari ni. Ko ada?,” Hihihihi!……
Bila dah mula mengandung, ramai yang tertanya-tanya macam mana suami aku nak uruskan aku. Terutamanya mak ayah aku punyalah risau.
Sebab tu sebagai seorang perempuan, aku memang tegas dengan pendirian aku. Aku yakinkan mak ayah aku yang suami aku boleh jaga aku. Kita perempuan kena yakinkan mak ayah.
Bukan main ikut sesuka hati. Aku bukan anak derhaka tau. Cuma tegas pendirian. Aku ingat lagi masa mengandung anak pertama, kalau tak guna Grab Car, suami akan minta tolong jiran atau adik-beradik dan saudara-mara untuk tolong hantarkan kami buat follow up di klinik.
Aku sangat menghargai pengorbanan suamiku yang tetap berusaha walaupun dia tak dapat nak pandu kereta sendiri ke mana-mana. Tapi sifat tanggungjawabnya dan kesetiaannya menemani aku ke mana sahaja buat aku terharu menitiskan air mata.
Sampaikan staf klinik dan hospital pun dah kenal sangat kami setiap kali aku mengandung anak kedua dan seterusnya.
Alhamdulillah Allah mudahkan banyak urusan sepanjang proses bersalin. Tak ada sebarang komplikasi. Anak-anak semua sihat, gebu, comel, dan putih-putih macam ayah mereka.
Suamiku pun tak ada masalah nak tukar pampers bayi, bancuh susu, bagi mandi bayi, dan lain-lain.
Mula-mula aku yang akan bimbing dan tunjukkan cara. Pegang tangan suami. Kemudian terangkan kena buat macam ni, lepas tu macam ni. Lama-lama suami aku boleh handle anak-anak kami tanpa bantuan aku.
Suamiku setiap kali sebelum tidur, dia akan bacakan ayat Kursi, 4 Qul, dihembuskan ke tapak tangan dan disapu ke seluruh badan anak-anak kami. Itu antara amalan untuk pendinding sihir dan gangguan jin & syaitan.
Dengan aku sekali pun suami aku buat macam tu walaupun aku boleh buat sendiri. Anak-anak kami dari kecil dah diajar untuk memahami dan bertanggungjawab. Masing-masing berebut nak tolong ayah mereka.
“Ayah nak minum air? Nanti adik ambilkan air ya,”
“Nasi ni panas. Nanti ayah tiup-tiup dulu sebelum suap kat bidadari ayah,”
“Ayah nak basuh tangan ya? Abang bawa ayah ke sinki ya,”
“Adik letak ikan di pinggan ayah pukul 12 ya. Sayur pukul 9. Sambal pukul 3,”
Begitulah antara ragam anak-anak kami sehari-harian. Antara usaha aku dan suami buat sejak anak-anak ni dah boleh faham bahasa, kami ajar untuk cakap kebesaran Allah. Allah cipta matahari. Allah cipta bulan. Allah cipta manusia. Allah yang menghidupkan. Allah yang beri bahagia.
Allah yang beri kenyang. Kami selalu jadikan kebiasaan menceritakan kisah-kisah Nabi, isteri Nabi, sahabat Nabi, pahala dan dosa supaya ditanam dalam hati mereka , agar buat kerana Allah. Bukan sebab takut dimarah atau ingin dipuji manusia.
Aku rasa cukup sampai di sini perkongsian aku. Yang penting adalah bicara dari hati ke hati dan saling percaya tak kisah pasangan tu buta ke, pekak ke, cacat anggota ke.
Allah selalu sayangkan kita.
Allah tak pernah lupakan kita.
Wasalam.
– Puan S (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit