Aku Budak Kampung

Saya Nuhas, bercita2 ingin menjadi penulis selepas hilang kerja ketika pandemik.

IIUM Confession adalah tempat saya mengasah bakat penulisan saya. Menggunakan banyak nama samaran agar tidak dikenali, bimbang hilang privasi. Cukuplah menjadi penulis misteri di page ini.

Kali ni saya ingin berkongsi cerita zaman kanak2 saya. Mengimbas memori hidup di kampung. Kata family dan rakan2 yang mengenali, gaya penceritaan saya seperti sebuah novel sastera. Sungguh, ia satu pujian yang sangat saya hargai.

Mungkin kerana hobi saya suka membaca buku2 termasuk buku sastera sejak kecil, mempengaruhi gaya penulisan saya. Saya alu2kan perkongsian pembaca tentang zaman kanak2 masing2.

Jom layan kisah zaman kanak2 zaman dulu2. sebuah karya bertajuk ‘Aku Budak Kampung 1’.

Melihat pemandangan sawah padi menghijau dikampungku ini mengingatkan saya bertahun yang lalu ketika masih kanak2 sekitar usia 4 ke 6 tahun. Masih ada secebis memori menggamit kenangan yang melekat di minda.

Di sini, tempat saya dan rakan sebaya bermain suatu masa dulu. Dulu sawah padi ini milik arwah nenek moyang kemudian diperturunkan kepada orang tua kami. Tempat mak ayah mencari rezeki untuk anak2.

Bermacam kerja mereka buat. Meskipun kami bukan orang senang, mak ayah pastikan kami sentiasa cukup makan, sentiasa ada lauk dan sayur di atas meja. Tidak pernah saya makan nasi kosong.

Dulu, ada parit kecil di tepi sawah. Airnya sangat jernih mengalir tenang mengairi sawah. Kami budak2 kampung akan mandi manda di dalam parit. Airnya sejuk.

Ada banyak ikan kecil hitam berbelang kuning berenang2 dengan riangnya di dalam parit. Kami suka merendam kaki dalam parit air, menarik perhatian ikan belang datang berenang2 di kaki.

Waktu pagi, kami ikut mak ayah ke sawah. Bukan untuk bekerja, tetapi untuk bermain2. Sebelum ke sawah, mak siap2kan dulu bekal untuk minum pagi dan masukkan dalam bakul.

Mak suka tanak pulut yang dimasak di atas dapur kayu, mak parut kelapa muda dan gaul dengan garam kemudian goreng ikan gelama atau ikan selayang yang direbus dalam minyak masak yang diperbuat daripada buah kelapa.

Mak buat air kopi o, isi dalam termos berwarna merah. Sekitar jam 10 pagi, mak ayah berhenti rehat dan melepaskan lelah di bawah teduhan pohon nyiur dan menghampar tikar.

Selalunya masa mak ayah bekerja, kami bermain, mandi manda dan mencari ikan laga di parit air. Apabila mak ayah berhenti untuk rehat dan makan, kami pun turut sama bersila di atas tikar yang dihampar.

Mak hidang bekal dalam pinggan, kopi panas dituang ke dalam cawan. Aroma semerbak naik ke udara, asap nipis menerobos masuk ke hidung menghantar isyarat ke otak dan otak menafsirnya sebagai bau wangi yang membangkitkan selera makan.

Kami makan dengan selera di bawah teduhan pohon nyiur yang ayah tanam. Dengan bayu pagi jam 10 bertiup sepoi2 bahasa, membuatkan pohon nyiur meliuk lentok. Adakalanya boleh terlelap apabila perut telah kenyang dengan angin lembut menyentuh pipi.

Waktu tengah hari, saya berpakat dengan rakan sepermainan membungkus nasi, lauk dan sayur untuk berkelah makan di atas titi sambil menikmati pemandangan sawah padi.

Saya paling suka sayur lemak putih dan ikan selayang rebus goreng. Sehingga hari ini saya masih menyukainya.

Selepas musim menuai, jerami padi di kumpul dan dibakar. Masa ni suasana sawah jadi lapang, boleh jadi tempat bermain seperti padang yang sangat luas.

Selalunya orang bermain layang2 atau dipanggil wau. Bermacam jenis wau direka. Di sesetengah tempat, diadakan pertandingan bermain wau selepas musim menuai.

Wau yang paling kreatif rekabentuknya dan terbang paling tinggi dikira sebagai pemenang. Itulah hiburan orang dulu2. Rugi budak2 sekarang tidak merasai pengalaman manis seperti ini lagi.

Padi yang telah dituai tadi di simpan di suatu tempat khas dipanggil rumah padi atau jelapang padi. Di hadapan rumah lama saya di sebelah kanan, ada rumah padi (sekarang jadi tapak rumah baru menggantikan rumah lama).

Padi2 akan dijemur di tengah panas untuk proses pengeringan dan menghilangkan kelembapan. Proses pengeringan ini penting untuk memastikan padi boleh tahan lama disimpan dan tidak rosak.

Padi yang telah telah dikeringkan tadi akan dianginkan di dalam bekas yang di panggil nyiru untuk mengasingkan hampas atau padi yang rosak sebelum dihantar ke kilang memproses padi menjadi beras.

Di bawah rumah padi, mak saudara saya membela itik2nya dalam kawasan berpagar. Setiap pagi selepas subuh, saya selalu tolong dia kutip telur itik di atas tanah dan dicelah2 pokok pisang. Seronok sangat mengutip telur itik.

Kakak cerita, dulu ayah bela banyak kerbau. Sebelum teknologi berkembang dengan penggunaan jentera dan mesin, kerbau diguna untuk membajak/menggala tanah sawah.

Kerbau kami mati terjatuh dalam tali air, ada yang mati disembelih untuk hidangan dan juga kenduri kawin kakak2.

Saya paling suka musim tengkujuh sebab musim banjir. Boleh main air. Rumah kami selalu dimasuki air separas paha kanak2. Kami selalu main air dan berenang di kawasan rumah.

Waktu pagi atau petang, duduk di beranda melihat hujan turun sambil menikmati kayu ubi rebus cicah gula dan kopi o panas.

Ayah suka menangkap ikan di musim tengkujuh. Ada ikan puyu, haruan, keli, sepat atau belida dan lampam.

Tugas kami anak2 adalah bergotong royong menyiangnya untuk dijadikan lauk. Ada yang mak buat pekasam. Kadang2 mak goreng, kadang2 mak buat gulai.

Paling seronok bila mak bakar tawar ikan puyu, ratah atau bubuh dalam budu cicah dengan ulam. Ikan puyu paling sedap sebab isinya manis dan lembut. Mak suka cincang pelam telur yang muda, bubuh dalam budu.

Rasa masin dari budu, masam daripada pelam dan manis daripada ikan puyu bakar bercampur didalam mulut, meransang saliva dan membangkitkan selera apabila dimakan dengan nasi panas. Memang tak sah kalau tidak bertambah nasi.

Kadang2 ayah bawa kami ke sungai di kampung bersebelahan, untuk menemaninya menangkap ikan dan mencari etok, sejenis lokan bersaiz kecil.

Sebagai anak kampung, kami tidak takut dengan lintah mahupun pacat. Zaman kanak2, lintah dengan pacat bagaikan mainan kami. Kalau sekarang, ada jugak terasa gelinya.

Etok merupakan makanan kegemaran sebahagian besar masyarakat Kelantan, macam jajan. Etok salai paling sedap dimakan. Etok salai dimasak dengan cara disalai di atas bara api kemudian dijemur kering di tengah panas cahaya matahari.

Bahan2 untuk membuat etok salai adalah serai, bawang putih, bawang besar dan garam yang ditumbuk lumat dan digaul dengan etok sehingga sebati.

Etok juga boleh dimasak dengan cara rebus dengan serai, bawang putih dan bawang merah. Boleh juga dibuat digulai lemak atau masak sambal tumis.

Boleh dijadikan lauk. Tetapi biasanya diratah kerana isinya sangat kecil, tidak berbaloi dibuat lauk.

Datuk sebelah mak tinggal di kampung sebelah, setiap petang khamis dia akan datang melawat kami. Kami panggil dia Tok Ayah.

Saya paling suka bertandang ke rumahnya yang menghadap sawah padi. Tenang dan nyaman. Dapur rumah tok ayah diperbuat daripada buluh, macam rumah zaman dulu2.

Bawah rumahnya, tok ayah buat sarang tempat ayam bertelur.

Sarang ni diperbuat daripada buluh yang bahagian hujungnya dibelah2 kemudian diikat membentuk lengkungan yang muat untuk ayam duduk di dalamnya untuk bertelur dan mengeram. Sarang ini diikat ditiang2 rumah.

Pada waktu lain, kami budak2 kampung tangkap belalang, sama ada menggunakan tangan ataupun membuat alat menangkap belalang.

Alat menangkap dibuat menggunakan plastik pembungkus bersaiz kecil diikat dihujung ranting atau buluh kecil, bila nampak belalang, serkup menggunakan alat tersebut. Bagi masyarakat Kelantan dulu2, memakan belalang adalah perkara biasa.

Selepas ditangkap, belalang dimasukkan dalam botol kaca (selalunya botol minuman air oren berwarna coklat gelap) dan ditutup. Kami bawa pulang, masukkan air panas dalam botol berisi belalang untuk mematikannya.

Kami siang dengan mencabut kepala dan isi perut. Kami gaul dengan garam dan kunyit kemudian goreng dalam minyak panas sehingga garing.

Rasanya seperti mengunyah keropok rangup krup krap krup krap bunyinya. Seiring perubahan zaman, generasi sekarang kini tidak lagi makan belalang sebagai snack. Saya juga sudah tidak berselera melihat belalang.

Sekian coretan Nuhas si penglipur lara. Yang menulis dari hati, bukan kerana nama. Saya akan sambung cerita di episod 2 nanti. jika episod 1 tentang sawah padi, episod 2 tentang kebun getah pula.

Hukum makan belalang secara umumnya adalah harus, dan ia disebut dalam banyak hadith, antaranya riwayat daripada Ibn ‘Umar R.’Anhuma, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai: ikan dan belalang (Sunan Ibn Majah: 3218)

Berdasarkan hadith ini Imam al-Nawawi memfatwakan keharusan memakan ikan dan belalang meskipun tidak melalui proses penyembelihan.

Hal ini kerana kedua-dua jenis binatang tersebut adalah mustahil untuk disembelih, maka syarat sembelihan itu gugur. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 9/72).

– Nuhas (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *