Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-bukan-gay-tapi/).
Assalamualaikum, pembaca budiman. Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang sudi beri nasihat dan mendoakan aku untuk terus berubah.
Tak lupa juga kepada yang menghentam diri ini atas dosa dan keburukan yang aku pernah lalui.
Aku doakan agar kamu yang menghentam dan mengata itu diampuni dan Semoga Allah menjauhkan kalian dari bahana dosa ini.
Sungguh, apa yang aku lalui ini adalah satu derita yang tak siapa akan faham sehinggalah dia merasainya sendiri. Na’udzubillahi min zalik.
Aku juga ingin menegaskan, arwah kakak aku langsung tak bersalah dalam hal aku menjadi seorang maknyah.
Semasa dia membenarkan aku memakai baju dalamnya dulu, dia hanya seorang kanak-kanak. Semoga Allah mengampuni dia dan meredai dirinya serta memasukkannya ke dalam syurga.
Aku tak sangka, pengakuan ini mendapat perhatian Dr Rusyainie. Terima kasih, Dr sebab sudi beri nasihat dan cadangan. Saya amat menghargai nasihat Dr. Begitu juga yang lain-lain.
Untuk pengetahuan semua, aku baru je daftar diri dengan unit psikologi di sebuah pejabat kesihatan daerah, namun bukan daerah aku.
Aku malu hendak berdepan dengan orang yang mungkin akan mengenali aku, jadi aku ambil keputusan untuk pergi daerah sebelah.
Alhamdulillah, oleh kerana tidak ramai orang, jadi aku dapat menjalani sesi kaunseling yang pertama beberapa hari lepas aku mendaftar.
Untuk pengetahuan semua juga, tidak pernah aku merasa lapang dada seperti kini. Aku akui, dulu kakak adalah orang yang pernah aku rujuki ketika kami masing-masing masih kanak-kanak.
Namun sebaik dia meningkat remaja, kakak pun jarang di rumah kerana bersekolah asrama, jadi aku sendirian dalam dunia aku. Baru sekaranglah aku mempunyai seseorang untuk mendengar ceritaku.
Tentang jodoh yang ibu hendak kenalkan kepada aku juga, aku sudah beritahu ibu yang aku belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami.
Aku katakan, aku masih mahu bekerja dan menikmati zaman bujangku. Namun, ada sesuatu yang hampir merentap jantungku. Ibu bertanya, adakah benar sebab itu sahaja?
Aku tanya, kenapa ibu soal begitu? Rupanya, selama ini ibu merasa ragu dan mengesyaki aku. Katanya, semasa aku masih belajar dulu, ibu pernah terjumpa pakaian dalamku di ampaian.
Dia tahu, itu bukan miliknya dan bukan juga milik kakak kerana ketika itu kakak tiada di rumah.
Bukan sekali tetapi beberapa kali ibu lihat ada pakaian dalam yang asing.
Namun dia tidak sampai hati hendak bertanya aku lalu membiarkan dahulu sehinggalah dia melihat sendiri aku mengambilnya dari ampaian dan menyembunyikannya.
Oleh kerana ibu sudah tahu, aku akhirnya mengaku pada ibu yang aku memang memakai baju dalam perempuan dan telah mengambil pil hormon sehingga merubah bentuk tubuhku di beberapa bahagian.
Ibu beristighfar apabila mengetahui perkara ini. Ibu turut menangis bila mengetahui apa yang aku lakukan selama ini.
Tidak, aku tidak beritahu ibu tentang masa silamku yang gelap itu. Aku tidak mahu ibu dan ayah aku menangis lebih hebat jika mengetahui, anak lelaki mereka ini pernah menjadi ‘isteri’ kepada lelaki lain.
Apa yang aku janjikan pada ibu, aku mahu menghentikan semua itu dan mahu menjadi lelaki sejati. Segala yang berlaku itu aku dah buang dari hidup aku. Termasukkah segala maksiat itu.
Apa yang aku harapkan daripada pembaca, janganlah sekali-kali kalian mencacihina orang seperti aku.
Dan jangan ada sesiapa yang mengusik golongan lelaki lembut seakan anda melihat mereka ini seperti perempuan.
Ini akan buatkan mereka perasan jika mereka ini adalah wanita dan memang normal lelaki suka usik wanita. Sebaliknya, Nasihatilah mereka agar menjauhi perbuatan ini.
Dan yang terakhir, beristighfar banyak-banyak jika anda pernah mengeji golongan seperti kami ini.
Kami diuji begini kerana Allah tahu kami mampu lalui walaupun ramai juga yang terkandas.
Berdoalah agar keturunan kalian juga terpelihara dari maksiat seperti yang kami pernah lakukan. Aamiin.
Terima kasih,
– Haniz (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit