Aku Bukan Gila, Aku Cuma Terluka

Ini sambungan dari dua confession sebelum ni “Isteri Mental”, (https://iiumc.com/isteri-mental/) tentang hidup aku sebagai isteri yang ada BPD, dan “Tajul Rosakkan Imej BPD”, (https://iiumc.com/tajul-rosakkan-imej-bpd/) tentang macam mana satu drama salah tunjuk watak BPD sebagai pendera.

Dalam dua confession tu, aku pernah cakap yang aku sendiri pun ambil masa lama nak faham kenapa aku jadi macam ni. Dan semua tu sebenarnya bermula dari luka-luka yang aku bawa sejak kecil.

Aku tak dibesarkan dalam rumah yang penuh dengan keganasan. Tapi luka tu tetap ada. Sebab trauma bukan semata dari luka fizikal kadang-kadang dia datang dari suara yang tak pernah didengar, dari emosi yang selalu diperlekeh, dan dari rasa ingin disayangi yang dianggap menyusahkan.

Rumah aku bukan macam rumah Tajul. Tapi tetap lahirkan seorang anak yang membesar dengan jiwa yang luka dan semua tu perlahan-lahan membentuk aku jadi diri aku hari ni.

Semua memori ni, walaupun dah berpuluh tahun berlalu, masih terakam jelas seolah-olah tak pernah pergi. Masih hidup dalam fikiran, dalam hati, dan dalam cara aku belajar untuk bertahan.

Sebab bagi aku, ini bukan sekadar kenangan. Ini luka pertama yang ajar aku erti kasih sayang bersyarat bila suara aku cuma didengar bila aku diam dan ikut, bila kewujudan aku cuma dihargai bila aku menyenangkan hati. Dari situlah hati aku mula bina tembok yang tak nampak, semata-mata untuk terus bertahan.

Aku dibuli keluarga sendiri hanya sebab kulit aku gelap, semuanya sebab aku banyak main panas. Tapi yang paling sedih, mak aku sendiri pun ikut sama. Panggil aku “tambi,” “hitam,” “negro”. Tak ada siapa pun yang pertahankan aku. Tak ada siapa pun yang kata, “Dah lah, cukup hina dia.”

Trauma tu aku bawa lama, sampai aku percaya yang dulu aku memang hodoh. Walaupun sekarang dah tak hitam macam dulu. Tapi perasaan marah diejek tu masih kekal dalam kepala aku.

Aku pernah dihukum hanya sebab satu kesilapan kecil. Masa tu aku masih sekolah rendah. Tapi mak bagi tanggungjawab penuh kat aku jaga bubur kacang atas dapur.

Aku cuma budak, mana aku tahu sangat. Aku terlupa nak tutup, sampai bubur tu hangus. Bila mak tahu, dia terus mengamuk. Jerit, kejar aku keliling rumah sambil bawa periuk tu nak simbah aku.

Aku pernah kena halau dari rumah masa sekolah rendah. Sebab aku bersuara bila mak suruh aku buat kerja rumah. Aku cakap, “Asyik aku je yang disuruh. Mak pilih kasih. Buat pun macam tak guna. Buat pun mak tetap marah. Buat pun mak tak pernah hargai.”

Aku cuma luah rasa yang dah lama terbuku rasa penat, rasa tak dihargai langsung. Tapi mak terus campak baju aku, dan halau aku keluar dari rumah.

Aku ingat lagi satu hari, mak buat pulut kuning makanan favourite aku. Tapi hari tu, diorang raikan sesuatu dengan keluarga, tak pasti sambut apa. Semua orang makan sama-sama… kecuali aku.

Aku tak diajak atas alasan nak bagi pengajaran sebab melawan. Lepas semua kenyang, baru lebihan bagi kat aku. Aku makan sorang-sorang sambil tahan air mata.

Di masa yang lain, aku juga pernah langsung tak diberi makan. Waktu tu, kakak aku je yang berani diam-diam hulurkan makanan. Makan la aku sambil bergenang air mata. Sedihnya rasa, macam aku bukan sebahagian dari keluarga.

Mak pernah malukan aku depan jiran, cerita aku malas, tak buat kerja rumah, macam-macam lagi semua tu depan aku sendiri. Sampai aku tegur, “Kenapa mak aibkan aku depan orang?” Tapi dia tak peduli.

Masa tu aku rasa malu dan terhina. Sampai jiran pun pernah tegur aku supaya rajin sikit tolong mak. Sedangkan bila aku tolong pun, tetap kena marah. Ada je yang tak kena.

Ada juga masa tu jiran buat jamuan. Lepas makan, aku, mak dan abang kedua balik sama-sama, tapi aku sengaja ditinggal kat belakang. Diorang lari nak kunci pintu, aku sampai-sampai terus tahan pintu sambil menangis, minta nak masuk. Baru diorang lepaskan.

Bagi aku, itu bukan gurau. Tak semua benda patut dijadikan bahan gurauan, terutama bila yang jadi mangsa tu cuma budak kecil yang tengah ketakutan ditinggalkan.

Aku pernah ada satu diari masa darjah 6. Dalam tu cuma catatan budak-budak akronim rahsia yang aku dan kawan cipta untuk luah tak puas hati. Diari tu berkunci. Tapi bila abang aku jumpa, dia paksa aku buka depan mak. Aku dimalukan macam aku buat dosa besar. Sebab bagi diorang, aku cuma budak kurang ajar.

Sampai ke besar aku dibuli, masa tu aku baru balik dari sekolah menengah, tiba-tiba mak dengan abang serbu dan soal siasat aku. Diorang tunjuk bil telefon, tanya aku call siapa lama sangat.

Aku jawab, kawan… bincang kerja sekolah. Tapi diorang tak percaya. Mungkin ingat aku tengah bercinta. Aku cuba jelaskan, tapi suara aku makin tinggi sebab marah dah jelaskan banyak kali tapi masih tak nak percaya.

Tiba-tiba abang tanya mak, “Mak, nak lempang tak budak ni?” Mak balas, “Lempanglah.” Dan dia terus lempang aku sekuat hati sampai hidung aku berdarah.

Rasa pedih sangat bila mak sendiri yang sanggup benarkan perkara tu berlaku. Masa tu aku belajar satu benda suara aku tak ada harga. Kebenaran aku tak penting. Yang penting, diorang puas tengok aku dibuli.

Bila aku sedih dan rasa terpinggir, aku selalu duduk sorang-sorang kat dapur, atau panjat pokok jambu belakang rumah. Itu cara aku hadapi kesedihan. Nak menumpang kasih, tak ada siapa yang peduli. Jadi aku diam dan hilang sekejap. Yang sedihnya, tak ada siapa pun yang cari, tak ada siapa pun yang perasan.

Bila aku marah, aku tumbuk almari. Aku tumbuk pokok pisang. Tak ada siapa tahu. Tu je cara aku lepaskan kemarahan di hati sebab tak ada siapa yang fahami.

Bila aku mula rapat dengan orang luar jiran, kawan, colleague, aku dituduh suka menempel. Cakap aku tak ada keluarga. Tapi hakikatnya… orang luar lebih terasa keluarga berbanding keluarga sendiri. Dan aku cuma nak rasa selamat. Nak rasa diterima. Sebab orang luar lebih faham aku, boleh sayang aku dan layan aku jauh lebih baik.

Sejak remaja lagi, aku mudah ‘attach’ dengan orang yang layan aku baik. Bila ada yang caring, aku jadi sayang sangat. Terlalu bergantung.

Dan bila aku rasa orang tu makin jauh, aku rasa dunia aku gelap. Aku menangis dalam diam. Sampai sesak nafas. Lepas tu aku paksa diri aku berhenti sayang dengan tanam rasa benci. Supaya aku tak sakit lagi.

Itulah corak yang aku ulang, tanpa sedar… sampai akhirnya aku disahkan BPD. Sebab tu aku juga ada anxiety.

Cuma bezanya, kali ni ada seseorang yang boleh terima, sayang dan faham aku suami aku sendiri.

Banyak lagi yang aku lalui sebenarnya. Tapi cukuplah ni, takut nanti orang pun letih nak hadam semua.

Aku dah tak salahkan mak sepenuhnya, mak pun dah mintak maaf pada aku lepas aku luah semuanya, mak aku jadi macam tu pun sebab dia dulu juga diperlakukan sama, tak kenal erti kasih sayang dan perlu dewasa sebelum usia. Mungkin juga tekanan kerana nak menjaga anak yang ramai.

Apa yang aku cuba sampaikan, aku bukan gila. Aku cuma terluka.

Semua ni bukan datang sekali. Tapi perlahan-lahan terkumpul jadi luka, jadi beban, jadi cara aku belajar untuk bertahan. Dan akhirnya, aku mula faham kenapa aku jadi begini.

– Syaz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *