Assalamualaikum semua. Aku rasa terpanggil untuk sekadar meluahkan rasa dan bebanan emosi setelah sekian lama menjadi silent reader di ruangan IIUM Confessions ini.
Nama ku Atiqah. Berumur awal 40an. Berkahwin dan usia perkahwinan ku hampir mencecah 13 tahun. Dikurniakan anak-anak yang baik dan sihat. Mempunyai kerjaya yang baik di sektor kerajaan. Alhamdulillah diatas kurniaan rezeki ini.
Nampak macam bahagia bila mana usia perkahwinan hampir 13 tahun. Ada kerjaya dan ada anak-anak yang sihat. Tetapi jauh di sudut hati ku, hanya aku dan Allah saja mengetahui hakikat dan keperitan emosi aku alami.
Aku bertemu jodoh dengan suami ku kerana bekerja di kementerian yang sama. Dijadikan cerita suami ku mempunyai paras rupa yang elok dan dalam kategori handsome. Dengan susuk badan yang tegap, tinggi dan berkulit cerah.
Aku pula sebaliknya. Pendek, gemuk, hidung kemek dan berkulit gelap. Aku pun tak tahu macamana suamiku boleh terpikat dan berkahwin denganku.
Dipendekkan cerita pada awal perkahwinan kami dulu, suamiku pernah kantoi curang. Dia bermain cinta dengan bekas kekasihnya. Untuk makluman, semua bekas kekasih suamiku semuanya cantik-cantik belaka. Paras rupa elok dan fizikal yang slim dan tinggi.
Waktu suamiku curang tu, aku mengandung anak pertama. Hampir nak bercerai juga lah waktu tu tapi dia merayu memohon maaf, aku pun bagi peluang kedua untuk dia berubah. Dan Alhamdulillah dia berubah.
Cuma semenjak 4 tahun kebelakangan ini, semenjak kami PJJ (perkahwinan jarak jauh) mulut dia semakin berbisa. Di awal perkahwinan dulu dia tak pernah nak mengutuk kekurangan fizikal aku. Tapi semakin hari semakin pedas pula kutukan dan hinaan.
Untuk pengetahuan semua, dia ditugaskan berkhidmat di salah satu negeri di pantai timur. Aku dan anak-anak duduk di selatan. Setiap hujung bulan dia akan balik berjumpa aku dan anak-anak.
Setiap kali dia balik ke rumah, mesti akan ada benda dia tidak berpuas hati. Aku masak dia complain masakan masin, terlebih itu terlebih ini. Aku tak masak dia tarik muka merajuk.
Bukan itu saja, cara aku menjaga anak pun dia complain. Aku terlampau manjakan anak. Bagi makan itu makan ini. Semua dia bebelkan.
Itu belum lagi dia di depan anak-anak mengutuk hidung aku kemek, badan aku gemuk. Sampaikan anak bongsu aku pun sekarang dah pandai meniru ayat papa dia “ehh mama ni gemok la”.
Aku jadi low self-esteem. Sudahlah zaman kanak-kanak aku pun aku teruk kena body shaming dan kena kutuk oleh adik beradik aku. Sampaikan adik beradik aku cakap aku anak angkat disebabkan kekurangan fizikal aku.
Abang-abang aku siap kata aku anak Afrika disebabkan fizikal aku berbeza dari adik beradik yang lain. Dengan rambut keriting, kulit gelap dan hidung kemek,sedangkan yang lain cerah dan berhidung mancung.
Syukur lah emak dan bapa aku selalu memujuk dan memuji. At least, terbit rasa bahagia di dalam hati dan rasa disayangi walaupun adik beradik selalu mengutuk dan mencaci.
Kesan cacian dari kecil itu rupanya berbekas juga di hati ini. Memang tidak dinafikan air dicincang tak kan putus. Macamana dicaci dihina pun tetap juga sayang adik beradik. Cumanya berbekas di hati, ada parut.
Aku menjadi rasa rendah diri dan sehingga sekarang aku rasa malu nak bergaul dengan jiran atau orang lain. Kawan-kawan aku pun boleh aku kira berapa orang sahaja. Aku jadi tertutup. Tidak gemar beramah mesra.
Aku ingatkan cacian dan hinaan itu sewaktu aku kecil saja. Rupanya benda itu berulang lagi. Sekarang ni, aku dihina oleh suamiku pula.
Pernah juga aku bergaduh bermasam muka dan pernah slow talk berbicara dari hati ke hati dengan suamiku. Aku pernah utarakan hal menghina fizikal aku ni. Dan dia minta maaf. Tapi itulah, dia lupa atau buat-buat lupa. Dia ulang lagi dan lagi.
Dijadikan cerita baru-baru ini, dia ditugaskan sementara selama dua bulan di negeri tempat aku dan anak-anak ku. Jadi selama dua bulan ini juga, emosi aku jadi tidak tenteram.
Ada saja kutukan dan ada saja yang tidak kena di matanya. Sampaikan gaya tudung aku pun dia boleh complain. Asyik gaya tudung sama jer dari dulu tak pernah nak bergaya lilit shawl ker.
Dahlah muka tak cantik, bergaya la sikit. Zuppp terasa terus kat hati aku ni. Pilu beb. Bertakung air mata. Terus aku berkat a dalam hati, elok lagi dia duduk jauh. Aku tak sakit hati. Duduk dekat aku jadi sakit hati, kecewa dan sedih.
Selama 2 bulan inilah, aku tebalkan telinga aku. Tabahkan hati. Itu belum lagi dia mengutuk masakan aku hari-hari. Tapi makan elok jer bertambah dua pinggan.
Kadang rasa lali dah dengan kata-kata negative dari mulut dia. Tak pernah semenjak 4 tahun kebelakangan ini dia mengungkap kata-kata pujian. Di awal perkahwinan dulu jer pernah.
Nak kata dia curang lagi, macam tak. Sebab telefon dia memang tak ada password. Telefon pun senyap tak berbunyi dan tak ada whatsapp pelik. Ada pun mesej berkaitan kerja.
Tapi tak tahu la kalau dia ada phone lain. Tak tahu la malas dah nak ambik tahu. Biarlah kalau dia mampu, dia teruskan kalau dia nak ada isteri bharu yang cantik fizikalnya.
Sekarang ini, aku cuma berharap hati ini semoga dapat bertahan lagi. No wonder la, ramai yang bercerai walaupun usia perkahwinan masuk tahun ke 15, 20, 25 dan 30. Disebabkan hal macam ini.
Hal kecil seperti suka complain, suka mengutuk. Ada sesetengah kes pula masakan dan makanan ikut selera tekak suami jer. Selera si isteri, kemahuan isteri diketepikan.
Bagi orang mungkin nampak small matter, tapi dari small matter ini la lama-lama akan menjadi satu bom dan meletup.
Doakan yer semoga aku bertabah dan semoga suamiku boleh berubah. Rasa lega dapat meluahkan apa yang terpendam di hati ini sekian lama.
Semoga kita semua akan diberikan kebahagian di dunia dan akhirat. Aamiin..
Si hidung kemek,
– Atiqah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit