Basmalah dimulakan pembuka bicara. Dengan izin Nya saya berkongsi rasa.
Saya merupakan graduan lulusan fakulti seni gunaan dan kreatif.
Selepas tamat pengajian, di institusi awam di borneo saya mendapat peluang pekerjaan sebagai Video editor di sebuah syarikat bumiputera yang mengendalikan pengurusan acara; event management di Johor.
Dan saya rasa bersyukur apabila apa yang saya belajar di ipta dapat saya amalkan sehingga hari ini.
Oleh sebab itu saya tiada masalah untuk menulis cerita pendek, menyunting video dan membuat kerja graphic design.
Dan hasil gaji yang diterima waktu itu 1200 sebulan, dapatlah saya mengahwini isteri saya.
Seperti biasa, saya sangkakan panas berpanjangan, rupanya hujan di tengahari.
Faktor perkahwinan jarak jauh menyebabkan isteri saya mengalami masalah kekacauan emosi.
Setiap kali dia menyarankan saya berpindah di Kuala Lumpur, saya akan memintanya bersabar kerana pekerjaannya lebih stabil; Orang Gomen.
Dia mengugut mahu berhenti kerja sekiranya saya enggan menurut.
Perkara ini membuatkan saya dan isteri akan bertengkar di telefon apabila perkara itu dibangkitkan.
Perkara ini menyebabkan isteri saya melahirkan bayi pra matang, dan lebih malang lagi anak sulong kami meninggal dunia.
Menurut pakar perubatan, isteri saya kekurangan air ketuban sewaktu bayi berada dalam kandungan.
Sejak peristiwa itu saya nekad untuk berhenti kerja makan gaji dan mahu menjadi suami yang membahagiakan isterinya.
Alhamdulillah. Benarlah kata orang bijaksana, apabila kita cuba menjaga keluarga, kita akan dapat rezeki yang disangka-sangka.
Banyak permintaan dan tempahan daripada pelanggan yang berminat untuk menggunakan servis rekaan grafik.
Jangan tak percaya? Pelanggan yang hadir semuanya datang daripada media sosial; facebook.
Tahun 2020 sungguh mengejutkan seluruh dunia. Virus yang saya sangka hanya muncul di Wuhan China, rupa-rupanya melanda Malaysia juga.
Kesannya, banyak syarikat kedai percetakan (printing) ada gulong tikar dan Graphic Designer seperti saya mengalami kekurangan job design. Duit simpanan dan KWSP saya juga mula susut.
Dan sekarang ini saya semakin bertambah dilema kerana pelanggan saya sebelum ini juga sudah menutup perniagaan mereka.
Kadang saya rasa memang tertekan apabila kerja-kerja promosi tentang kewujudan servis graphic design saya seperti tidak mendatangkan impaks.
Saya ada juga mengajukan soalan kepada rakan-rakan Designer. Mereka juga mengakui yang mereka tidak lagi rancak membuat rekaan grafik.
Mungkin saya kena redha, kemunculan aplikasi Tik Tok membuatkan usahawan-usahawan Industri Kecil & Sederhana tidak nampak kepentingan Graphic Design.
Nak berkerja makan gaji tidak memungkinkan kerana seperti biasa isteri mahu kami membesarkan anak kami, jika tidak dia akan berhenti kerja.
Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dan suami pasca Covid ni.
Saya bimbang, saya akan menjadi Pra-Penganggur kalau permintaan Graphic Design saya semakin terus tiada.
Oh Tuhan…
– TAUFIX SKILO (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit