Assalamualaikum semua. Pertama sekali, aku minta maaf kalau luahan aku ini tidak menarik atau sekadar luahan remeh temeh. Aku cuma penat. Terlalu penat untuk mencari seseorang yang betul-betul boleh memberi aku jalan untuk keluar daripada masalah aku.
Aku, seorang anak, seorang isteri, seorang ibu dan seorang guru. Berumur 27 tahun, mempunyai seorang puteri berumur 9 bulan. Dianugerahkan seorang suami yang penyayang, manja dan baik hati.
Aku berasal daripada keluarga sederhana yang bahagia. Ayah, kakak, abang, saudara, mertua, saudara mertua juga seorang guru seperti aku. Ibu aku suri rumah. Penyayang, terlalu melindungi dan sangat cepat panik. Nampak hidup aku sangat smooth dan bahagia kan?
Aku perkenalkan sekali lagi diri aku.
Aku.. pesakit psikiatri yang disahkan oleh pakar dari sebuah hospital. Doktor psikiatri mengesahkan aku menghadapi kemurungan akibat tekanan kerja.
Aku perlu hidup dengan ubat. Tapi aku tak suka makan ubat itu sebab tenangnya cuma seketika. Tambahan lagi, ubat itu menghalang aku untuk menyusukan puteri aku. Aku sayang anak aku. Sangat.
Aku… Seorang guru yang tidak ikhlas dalam kerjaya. Aku tak suka berjumpa orang ramai. Aku jadi penat.
Aku tak suka dengan arahan arahan daripada orang atasan. Aku tak suka dengan kerja kerja perkeranian. Aku tak suka berada di sekolah. Aku tak suka masuk kelas. Aku tak suka!! Aku tak suka!!
Aku boleh mengajar, tapi aku tak boleh mendidik. Aku sekadar masuk kelas, habiskan pengajaran, loceng berbunyi aku keluar.
Sedangkan guru yang sebenar perlu memberi motivasi, menegur pelajar yang membuat salah, berusaha menarik minat pelajarnya, mengambil tahu akan latar belakang pelajarnya.
Tapi bukan aku. Aku bukan begitu. Aku cuba untuk berubah. Tapi entah. Aku tak dapat rasai kemanisan hubungan seorang guru dan pelajar itu. Aku guru yang teruk kan? Aku tak layak..
‘Kalau tak suka macam mana boleh jadi guru?’ tanya suami aku suatu ketika.
Aku dibesarkan dalam kalangan guru. Jadi sejak kecil, dalam fikiran aku kerjaya yang aku nampak hanyalah guru. Aku tak pernah tahu tentang skop kerjaya lain.
Yang aku tanam dalam minda sejak kecil, aku perlu jadi guru sebab semua orang menjadi guru. Malah ibu aku juga selalu menyebut ‘orang perempuan patut jadi guru.’
‘Macam mana boleh lepas interview kalau tak nak jadi guru?’ tanya suami aku lagi.
Rezeki. Sebab itu aku bukannya tak bersyukur, malah aku sangat-sangat bersyukur. Kalau aku imbas kembali waktu aku temu duga dulu, aku calon yang paling pendiam, salah jawab, tergagap gagap, jawapan terpesong.
Aku ingat lagi bila habis temu duga, aku tak mengharap untuk berjaya. Tapi rezeki. Aku dapat. Sebab itu aku bersyukur.
Tapi…
Adakah kerana perasaan bersyukur itu aku perlu korbankan kebahagiaan aku? Kegembiraan aku?
Adakah kerana perasaan bersyukur itu aku perlu makan ubat untuk seumur hidup aku?
Kemurungan aku..
Aku hampir mencederakan anak aku. Aku membayangkan aku bunuh anak aku. Menangis nangis aku berjumpa psikiatri. Aku takut. Aku takut sangat. Aku sayang anak aku.
‘Kenapa tak berhenti saja?’ aku tanya diri sendiri.
Duit. Aku perlukan duit dan aku takut dipersalahkan kemudian hari. Jika berlaku apa-apa dalam keluarga kecil aku, aku tak nak dipersalahkan.
Suami aku kerjanya terikat dengan kontrak, bukan tetap. Aku ada anak kecil, malah ibu aku juga berkali kali berpesan, walau sehebat mana sekalipun tekanan, jangan sesekali berhenti.
Itu belum jiwa aku dimomokkan dengan suami mungkin akan tinggalkan aku, suami mungkin ada perempuan lain kemudian hari,
Perempuan perlu ada duit sendiri, kerja kerajaan masa depan terjamin, ada pencen hari tua, susah nak dapat kerja, nanti hidup susah dan bla bla bla. Aku fade up! Aku berkahwin bukan untuk ditinggalkan!
Keadaan aku makin teruk. Setiap hari menangis sebab aku perlu ke sekolah. Aku perlu berjumpa ramai orang. Aku tak suka! Balik sekolah aku menangis sebab risau aku apa apa kan anak aku. Aku takut!
Bila berada di sekolah, jiwa aku terseksa. Gembira jauh sekali. Ikhlas? Entah ke mana hilang. Aku rasa hidup aku hilang berkat. Hubungan dengan Allah makin jauh.
Sekarang aku cuma mahu tidur, tidur, tidur. Aku tak nak buat apa-apa. Aku biarkan rumah bersepah, walhal aku cukup tak suka rumah bersepah, kotor.
Aku biarkan baju tak berbasuh, tak berjemur, berlipat. Pinggan mangkuk tak berbasuh. Teruk kan aku? Aku ibu dan isteri yang teruk. Aku tak mahu keluar rumah. Kenapa dengan aku?
Aku pernah bertanya kepada doktor, gilakah aku?
Katanya, ‘tiada istilah gila, cuma kemurungan yang dihadapi oleh semua orang. Bezanya antara teruk dengan tidak.’
Ya, aku tak gila. Tapi kenapa aku rasa sedih, tak guna, penat, fade up, bosan, benci, marah dengan diri sendiri?
Apa aku perlu buat? Kalau berhenti dikatakan tidak bersyukur. Dibawang bawangkan orang. Dipersalahkan kemudian hari.
Kalau tak berhenti… Aku mungkin gila.
Tolong. Tolong aku…
Allah…
– Aku
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit