Assalamualaikum. Terima kasih admin andai sudi siarkan coretan saya ini.
**Peringatan awal!! Cerita ini sedikit panjang.. sudah cuba pendekkan tapi tak berjaya.. haha**
Ya betul. Memang tajuk drama pukul 7 tu yang sedang ditayangkan di tv. Sesiapa yang tak menonton cerita ni mesti akan anggap cerita ni klise macam cerita Megah Holding yang biasa dihidangkan pukul 7 tu.
Tapi, tuan2 dan puan2 silap, saya pun pada permulaannya fikir yang sama. Ye la, sebab cerita ni ada watak pemuda (Adam) yang mewarisi Megah Holding bernilai berbilion2, jatuh cinta dengan Aminah berasal dari kampung yang mana latar keluarganya beragama dan warak.
Bagai langit dengan bumi, selain berada, Adam jahil bab agama, malah berpenampilan berantai dan bertatu.
Dipendekkan cerita, suatu hari Aminah ditangkap basah bersama Adam kerana salah faham, sedangkan waktu itu Aminah secara kebetulan menolong Adam yang cedera akibat disamun.
Kejadian tersebut sampai ke pengetahuan keluarga Aminah, sehingga Aminah dipaksa berkahwin dengan Adam. Aminah hanya diberi 2 pilihan samada berkahwin dengan Adam atau dihalau keluarga.
Namun, Aminah memilih untuk keluar dari rumah kerana dia tahu dia tidak bersalah dan tidak rela berkahwin dengan orang yang langsung tidak dikenalinya serta beranggapan Adam bukan lelaki yang baik.
Kemudian, di KL Aminah membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian PHDnya dan gigih mencari pekerjaan untuk menanggung kehidupannya. Malah, Aminah dengan drastiknya membuka niqab, namun masih berpenampilan muslimah yang menutup aurat.
Secara kebetulan, Aminah bertemu 3 orang gadis iaitu Sally, Sam(Salmah) dan Zaza yang mana cara kehidupan mereka agak bebas pergaulan dan dari keluarga yang berada.
Walaupun begitu, merekalah yang membantu Aminah dari segi tempat tinggal dan pekerjaan. Maka Aminah rasa terhutang budi kerana mereka sudi berkawan dan membantunya semasa dia dalam kesusahan.
Aminah yang diterima bekerja di Megah Holding terkejut, rupanya Adam adalah anak pemilik syarikat itu. Maka, macam2 lah peristiwa yang berlaku antara mereka berdua (main tarik tali).
Biasa laa dalam mana2 drama, gaduh2 tapi sebenarnya dalam hati suka tanpa sedar kan. Aminah dengan egonya yang selalu menyalahkan Adam, yang dirinya berubah hingga membuka niqab kerana peristiwa hitam mereka dahulu.
Manakala Adam berusaha mendekati dan cuba pelbagai cara untuk Aminah jatuh cinta dengannya. Malah, Adam 3 kali telah melamar Aminah tetapi ditolak kerana Aminah menganggap lamaran itu tidak ikhlas.
Muncul pula watak Omar, yang sememangnya suka Aminah dari dahulu tapi tidak mengenali Aminah sebagai Miya yang sudah membuka niqab. Omar nampak seperti seorang yang mendalami agama dan merupakan seorang doktor.
Sam sahabat baru Aminah, suka dengan Omar pada mulanya tapi, berubah hati setelah nampak perangai Omar yang hipokrit dan berlagak baik, kerana baginya Omar berkawan rapat dengannya demi mendapatkan cinta Aminah.
Suatu hari semasa perjalanan dari kampung ke KL, Aminah kemalangan kereta akibat rasa sangat tertekan sebab merasakan keluarganya masih tidak memaafkan dan menerima perubahan drastik dirinya.
Setelah Aminah sedar di hospital, Aminah memohon maaf kepada keluarganya dan menganggap kemalangan itu satu balasan sebab telah mengingkari dan membelakangi keluarganya selama ini.
Tidak lama kemudian, Omar melamar Aminah. Setelah berfikir panjang, akhirnya lamaran itu diterima kerana Aminah merasakan itu yang terbaik untuk dirinya dan sangat direstui keluarganya. Malah, baginya itu salah satu cara untuk menebus salahnya terhadap keluarga.
Setelah berkahwin, Aminah tidak bahagia dengan Omar. Omar tidak melayan Aminah dengan baik sebagai seorang isteri, walaupun Aminah berusaha menjadi isteri yang baik.
Malahan, Omar berpura2 baik dan mesra dengan Aminah di depan keluarga Aminah, sedangkan hakikatnya Omar mempunyai isteri lain tanpa pengetahuan sesiapa.
Kemudian, bersambung…….. (episod seterusnya belum tayang lagi masa ni. Tontonlaa sendiri ya. hahaha
Persoalan-persoalan :
1) Judgemental (Menghakimi, Menilai)
-Adam, Sally, Zaza dan Sam semasa awal2 mengenali Aminah menganggap Aminah seorang ustazah kerana penampilan Aminah berniqab dan bertudung labuh.
-Aminah menganggap Adam bukan lelaki yang baik kerana berantai dan bertatu.
-Aminah, Sam, dan keluarga Aminah menganggap Omar lelaki yang baik kerana penampilan, pendidikan, kerjaya dan latar belakang yang baik.
**Kita sebagai manusia selalu menilai dan menghakimi orang lain walaupun langsung tidak mengenali seseorang itu dengan lebih mendalam. Manusia juga boleh berubah kearah kebaikan dan sebaliknya, serta ada juga manusia yang hipokrit**
2) Demi menjaga maruah keluarga.
-Keluarga Aminah memaksa Aminah berkahwin dengan Adam walaupun Aminah telah menjelaskan hal yang sebenar. Namun, akhirnya Aminah tetap dihalau keluarga kerana enggan berkahwin.
**Demi menutup malu, kita sanggup memaksa anak berkahwin dengan orang yang langsung tidak dikenali latar belakang dan perangai. Perkahwinan itu untuk seumur hidup, jika salah langkah, merana selamanya. **
3) Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik?
-Walaupun Adam pernah melamar Aminah sebanyak 3 kali, tetapi Adam tidak berani menghantar rombongan meminang kepada keluarga Aminah kerana merasakan dirinya tidak layak.
-Aminah menyukai Adam tetapi tidak menerima lamarannya kerana menganggap Adam tidak ikhlas dan bukan lelaki yang baik untuk dijadikan suami.
-Aminah menerima lamaran Omar kerana melihat Omar sebagai lelaki yang baik dan calon menantu kesukaan keluarganya.
** Hal ini memang tiada kepastian. Kita tidak boleh mengharapkan seseorang itu berubah baik selepas berkahwin. Begitu juga, jika seseorang itu nampak baik, selepas berkahwin baru tahu perangai buruk seseorang itu.
Oleh itu, sebaiknya kenalilah hati budi seseorang itu untuk sekian tempoh (berkawan dahulu ataupun bertunang) kemudian, barulah buat keputusan berkahwin. **
4) Jiwa memberontak (rebel), hilang arah dan keliru.
-Aminah membuka niqab kerana berasa sedih, kecewa setelah kejadian tangkap basah tersebut dan dia ingin mulakan hidup baru.
-Aminah mula berpakaian tidak mematuhi syariah dengan memakai tudung singkat dan pakaian tidak longgar seperti dahulu.
-Aminah juga pergi ke cafe hiburan (ada hiburan muzik dan menjual arak). Walaupun Aminah tidak minum arak, hanya sekadar melepak sambil dengar muzik, namun itu telah menjadi fitnah kepada dirinya dan agama kerana dia wanita muslimah.
-Aminah menjadi keras kepala dan sukar menerima teguran orang lain.
**Akibat rasa tekanan, marah, sedih, dan kecewa menyebabkan jiwa manusia memberontak dan boleh hilang pedoman terutama jika dibuang serta tidak mendapat sokongan dari keluarga, walaupun seseorang itu mempunyai ilmu agama yang tinggi. **
5) Manusia tidak sempurna, ada sisi baik dan buruk.
-Walaupun, Sally dan Zaza selalu bersangka buruk terhadap Aminah, tetapi Sam tetap melayan Aminah dengan baik dan ikhlas berkawan dengannya.
-Adam walaupun jahil agama, dia tidak setuju apabila Aminah melepak di cafe hiburan tersebut.
-Selepas mengenali Aminah, Sam dan Adam yang dahulunya jahil agama, mula mendalami agama Islam tanpa paksaan sesiapa.
*Manusia boleh berubah ke arah lebih baik atas dorongan seseorang atau mendapat hidayah dari Allah. Mungkin orang itu berubah jauh lebih baik dari kita. **
Sekian, sedikit coretan saya. Sedikit ke ni?haha.
Walaupun olahan dan jalan cerita drama ini bukanlah yang terbaik (yang terbaik bagi saya drama Nur Kasih-2009 arahan Khabir Bhatia), tetapi saya tertarik buat ulasan untuk drama ini kerana banyak isu, pengajaran dan persoalan yang berani diketengahkan penulis.
Hakikatnya, saya penggemar drama korea, kerana jalan cerita dan olahan yang menarik. Tetapi, saya masih tetap sokong drama tempatan kita kerana inikan seni budaya adat resam kita.
“Yang baik kita puji, yang kurang kita bagi kritikan membina, bukan mengkeji”.
Yang berjaya habiskan baca, saya tabik hormat. Tahniah! Sesungguhnya anda golongan yang rajin membaca, bukan yang suka baca tajuk menarik, lepas tu tiba2 komen tanpa baca, haha..
Sekian. Terima kasih.
– Sweet Honey (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit