Assalamualaikum readers. Saya terpanggil untuk menulis setelah saya terbaca confession, (https://iiumc.com/cinta-hati-
Kebetulan memang saya tengah hadapi masalah yang sama.
Buat pengetahuan readers, saya telah berkahwin genap setahun. Seharusnya di fasa pertama perkahwinan ini kami masih mesra dan romantis lagaknya seperti pengantin baharu.
Saya berkahwin dengan seorang duda dan bapa tunggal. Saya berstatus Miss J dan tiada anak. Saya pasti ‘Dia’ tahu saya yang menulis sebab ‘Dia’ follower tegar page ini. Saya namakan suami saya sebagai B.
Kami kenal secara online dalam masa yang cukup singkat jadi tidak cukup mengenali antara satu sama lain.
B masa mula-mula mendekati saya, dia terus nyatakan hasrat untuk mengambil saya sebagai isteri disebabkan tak mahu kawan main-main.
Disebabkan sewaktu itu saya tiada sesiapa dan saya fikir tiada sudah orang lain mahukan saya jadi pelawaannya saya terima dengan senyuman walau tak sepenuhnya rela.
Saya sebenarnya pernah bertunang dan mengenali seorang lelaki lain 5 tahun dulu saya namakan dia A sebelum saya jumpa suami saya sekarang. A memang memahami saya dan sayangkan saya sepenuh hatinya.
Cuma tak banyak saya ketahui pasalnya disebabkan dia bukan asal negeri saya dan tinggal sebatang kara. Atas sebab-sebab yang tak dapat saya ketahui secara tiba-tiba kami terputus hubungan.
Saya amat kecewa pada masa itu kerana dia tiba-tiba menghilang sedangkan saya sudah bersedia untuk menjadi isterinya.
Saya telah mengambil masa yang lama untuk pulih dan buka hati pada orang lain kerana hati ini hanya pada dia si A. Saya sibukkan hati dengan kerja dan tumpu pada mak ayah yang telah tua.
Alhamdulillah saya terima takdir Allah yang mahu saya jadi peneman setia orang tua saya. Saya sama sekali tidak terfikir bahawa A menderita dan menunggu saya.
Sapaan perkenalan B yang ingin serius dengan saya itu saya terima setelah bertanya dan meminta pendapat kepada orang tua saya.
Mereka tak mahu saya bersedih dan mahu ada yang menjaga saya setelah ketiadaan mereka. Mereka menyuruh saya terima sahaja B kerana faktor usia saya.
Silapnya saya adalah saya tak berdoa sungguh-sungguh minta petunjuk dari Allah. Maka berkahwinlah saya dengan si B. Kami PJJ atas faktor kerjaya dan berjumpa sebulan sekali atau dua kali.
Sewaktu saya menerima B di dalam hidup saya, saya tidak menyangka A ada dan lihat saya dari jauh. A sentiasa ada tapi dia tak dapat mendekati saya atas faktor-faktor yang tertentu.
Saya hanya menyedari dia ada saat dia muncul bila jiwa saya amat rapuh sedih dan perlukan sokongan.
B ni baik tapi dia tak memahami dan tidak cuba mengambil hati saya. Saat saya berada di titik paling lemah dalam hidup dia tiada dan tidak pedulikan saya.
Maka A pula sentiasa disisi dan menjadi pendengar setia. Saya faham perbuatan ini salah disebabkan status saya ini.
Tapi benarlah cinta itu tidak boleh dipaksa. Sejauh mana pun kita cuba untuk menerima dan redha akan takdir tetap juga hati tak dapat menipu.
Setelah perjumpaan kali kedua dengan A, saya tahu hati saya sepenuhnya milik dia. Dia menderita sakit dan tak mahu saya bersedih dan membebankan saya rupanya. Sebab itu dia menjauhkan diri.
Bila A dah sembuh, dia juga tak dapat menahan penderitaan berjauhan dengan saya insan yang dia cintai dan sayangi sepenuh hatinya.
Saya ambil keputusan mendahulukan kebahagiaan diri sendiri dari orang lain.
Saya tidak rela jadi seperti manusia yang tiada perasaan dan hidup dalam kepuraan.
Ya Allah saya tahu keputusan yang saya ambil ini melukakan B tapi keputusan berpisah ini membahagiakan saya dan A.
Saya tahu seumur hidup itu terlalu lama. Saya tak mahu tunggu selama itu untuk cari cinta sejati. Maafkan saya B. Doakan saya bahagia bersama A.
– Rose Pudar Warna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit