Aku baru saja berkahwin kurang daripada setahun, orang kata masih dalam fasa berbulan madu.
Aku dan suami kahwin atas kapasiti suka sama suka. Sebelum berkahwin aku dah sedia maklum yang suami ada PTSD dan Skizofrenia. Aku terima saja.
Sepanjang perkahwinan kami, aku nampak peningkatan dalam mood suami. Dia lebih ceria, banyak cuba perkara baru,
Kadang-kadang aku nampak sisi keanakan dia terutama waktu bulan puasa dan hari raya lepas bila aku berjaya hasut dia untuk bermain bunga api. Antara kenangan yang tak mungkin dapat aku padam.
Mood sepanjang kami hidup bersama ada turun naiknya, kerana suami baru nak beradaptasi hidup berdua dan aku pula yang aku fikir aku seorang yang keras sebelum ini bila dah berkahwin ya Allah sangat lah manja dan sensitif.
Kesian suami mungkin dia ada rimas tapi tak pandai nak luah. Tapi overall kami bahagia cara kami. Ada ketika suami ketawa serupa Pontianak baru lepas dapat lesen sebab perangai aku yang tak cukup sekupang ni.
Disebabkan keadaan kesihatan yang makin baik dia membuat keputusan untuk berhenti ambil ubat. Ini salah aku sebab tak betul-betul pujuk suami untuk terus ambil ubat waktu tu.
Sepanjang tiga bulan suami tak ambil ubat semua nampak baik saja, suami berjaya kawal simptom, ada masa dia akan delulu juga tapi alhamdulillah aku berjaya buat dia sedar balik.
Namun, panas tak sampai ke petang ada ribut di tengahhari. Beberapa minggu yang lepas karakter suami berubah sekelip mata, aku dah kehilangan suami yang sayang padaku.
Di depan aku sekarang seorang lelaki yang setiap saat pamerkan muka kosong dan kata-kata yang keluar daripada mulutnya hanya perpisahan.
Dunia aku kelam seketika dan aku tak nak cepat berputus asa, aku minta tolong keluarga mertua tapi takda apa yang boleh mereka bantu selain pujuk dan pujuk suami untuk ambil ubat.
Aku cuba hubungi kawan-kawan suami, bos dia semua kata suami normal saja bila dengan mereka aku makin buntu. Dia sakit ke tak ni.
Aku ulang alik pergi hospital dapatkan ubat untuk suami tapi tetap perpisahan tak pernah lekang daripada pemikiran dia.
Waktu dia mula-mula relapse ada ketika dia seperti kanak-kanak, seperti orang yang lupa diri aku mampu je nak jaga dia.
Tapi sekarang aku adalah manusia yang dibenci dia aku dah kehilangan suami aku sendiri. Setiap hari aku menangis rindukan suamiku tapi entah aku akan dapat dia balik atau pun tidak.
Keluarga mertua dah redha jika kami berpisah padahal aku masih mahu bertahan.
Setiap hari aku tak putus berdoa agar semua ini kembali pulih. Aku pun dah penat dan malu menyusahkan ramai pihak sepanjang beberapa minggu ini.
Aku dah tak tahu nak buat apa lagi, aku hanya boleh bertawakal saja setelah segala cara aku dah ikhtiar.
Memang senang orang cakap “Ala cerai je la, nanti mulakan hidup baru” hanya aku je tahu apa yang aku rasa.
Setiap hari aku mencari harapan baru supaya ada sinar untuk suamiku sembuh dan dia menjadi dia yang aku pernah kenal sebelum ini.
Jika perpisahan yang terbaik untuk kami aku mahu semuanya berlaku di saat dia menjadi dirinya.
– Inayaz (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Semoga diberikan kemudahan utk semua urusan dan ketenangan hati buat puan.
Ubat tu memang penting utk suami puan. Dia macam org yg nak bawak basikal tp dia tak pandai, jadi, dia perlukan support roda kecik yg kat tayar belakang tu utk bantu dia bawak basikal tu. Mcm tulah peranan ubat tu utk dia. Dia tak boleh tinggal terus. Semoga Allah beri kesembuhan buat suami puan.