Assalamualaikum dan hai sebelumnya aku ingin menyatakan cuma mahu berkongsi perasaan gembiraku mendapatkan pekerjaan.
Nama aku C. Aku berumur 24 tahun, lepasan graduan dari salah sebuah universiti yang terletak di bahagian Borneo. Di sini aku mahu berkongsi bagaimana aku berjaya lulus temuduga dan ditawarkan pekerjaan selepas bersedekah. Aku percaya asbab bersedekah tu, Allah balas aku dengan rezeki yang aku tidak sangka-sangka.
Aku merupakan anak sulung dari 4 beradik. Ayahku bekerja biasa-biasa sahaja dengan gaji cukup-cukup makan dan ibuku seorang suri rumah. Sebagai anak sulung, aku tahu ayah dan ibu meletakkan harapan tinggi kepada aku untuk menjadi contoh kepada adik-adik. Sebab tu aku usaha belajar sampai universiti, supaya diorang boleh contohi aku, dan aku boleh dapatkan kerja yang bagus untuk membantu meringankan beban kedua orang tuaku.
Namun, kita merancang, Allah merancang dan Allah juga sebaik-baik perancang. Alhamdulillah aku bergelar graduan universiti pada November tahun lepas. Dari sebelum konvokesyen, aku sudah berusaha memohon pekerjaan menggunakan transkrip peperiksaan terakhirku di universiti. Walaubagaimanapun, selepas 6 bulan bergraduasi, aku masih belum ditawarkan apa-apa pekerjaan.
Sebulan selepas bergraduasi, aku dipanggil menghadiri temuduga untuk jawatan sebagai Admin di sebuah syarikat. Walaubagaimanapun, aku gagal atas alasan kelulusan akademikku melebihi syarat yang mereka tetapkan. Mereka cuma mahu lulusan STPM/Diploma dan mempunyai pengalaman bekerja lebih kurang setahun.
Aku tetap tidak berputus asa. Aku ‘sign-up’ akaun di LinkedIn, Jobstreet, Jobsmalaysia, Indeed, Jobstore, Maukerja dan bermacam lagi laman web untuk mencari pekerjaan. Setiap hari aku akan memohon sekurang-kurangnya 5 jawatan dari aplikasi mencari kerja tersebut.
Dari satu temuduga ke temuduga yang lain, sedar tidak sedar sudah banyak temuduga yang aku hadiri selama 6 bulan aku bergelar lepasan graduan dan penanam anggur berjaya. Sejujurnya, sakit memang sakit. Duit simpanan pula hampir habis kerana membiayai perbelanjaan menghadiri temuduga di sana sini. Tetapi aku tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk dipanggil temuduga dan menimba pengalaman dari setiap temuduga yang aku hadiri.
Suatu hari, aku menerima berita bahawa keputusan permohonan jawatan yang telah lama aku pohon sudah boleh disemak. Allahu Allah, aku terpilih untuk menghadiri temuduga. Alhamdulillah syukur. Masa tu, aku bertekad dalam hati, ‘Okay C, this is it. Kau mesti dapatkan pekerjaan ni.’
Dari hari pertama persediaan untuk menghadiri temuduga, sujudku sewaktu solat semakin lama. Aku minta sungguh-sungguh dengan Allah. Kalau sebelum-sebelum ni aku hanya berdoa panjang selepas solat, kali ini aku top-up amalan-amalanku dengan solat sunat taubat dan solat sunat hajat. Aku juga turut bernazar sekiranya aku berjaya temuduga tersebut (nazar aku rahsiakan).
Pada hari aku bertolak untuk menghadiri temuduga, aku sempat singgah ke surau airport untuk menunaikan solat Asar. Setelah selesai solat, tiba-tiba aku tergerak hati untuk memasukkan duit ke dalam tabung surau. Malangnya, dompetku sudah ku tinggalkan dengan ibuku sebelum menapak ke surau tadi. Aku berdoa dalam hati, ‘Ya Allah, sepulangnya aku dari temuduga nanti, ingatkan aku untuk menderma di surau ini.’ Selepas itu, aku bergegas keluar kerana waktu penerbanganku hampir tiba.
Dua hari aku di tempat orang, mencuba nasib menghadiri temuduga yang mana beratus orang turut menghadirinya, tawakalku hanya kepada Allah. Bahkan semasa sesi temuduga, aku banyak tergagap ketika berbicara kerana terlalu gugup dan terlalu mencuba untuk menarik perhatian penemuduga supaya memilih aku. Sepulangnya aku dari temuduga, sejujurnya aku rasa sedih sebab aku rasa aku tidak akan dapat jawatan tersebut tetapi aku cuba kuatkan hati, usaha sudah, doa sudah, sekarang cuma tinggal tawakal.
Aku pulang ke kampung halamanku sehari selepas temuduga. Alhamdulillah, penerbanganku sampai lebih awal daripada yang dijangkakan dan aku terus menapak ke surau untuk menunaikan solat zohor dan menunggu waktu asar. Ibu bapaku juga yang biasanya tiba sejam lebih awal untuk menjemputku terlewat datang kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan.
Kali ini aku ada peluang berlama-lama di surau. Selesai kedua-dua solat, tiba-tiba aku teringat doaku beberapa hari yang lalu sebelum aku menaiki penerbangan ke tempat temudugaku. Ku buka dompetku dan mengeluarkan sekeping note RM5. Ya, cuma RM5 yang aku sedekahkan kawan-kawan :’)
Tiga bulan selepas tarikh temuduga, aku menerima emel yang dimulakan dengan, ‘Sukacita dimaklumkan anda….’. Menangis aku lantas sujud syukur kepada Tuhan. Aku dah dapat kerja, alhamdulillah ya Allah.
Aku tahu tempoh pengangguranku tidaklah lama jika dibandingkan dengan orang lain yang ada sampai bertahun tidak dapat pekerjaan tetapi setiap orang ada jalan cerita hidupnya masing-masing, kan? Dan aku cukup kasihan melihat orang tuaku berhempas pulas bekerja untuk menanggung perbelanjaan kami sekeluarga.
Aku yakin kejayaanku dalam temuduga kali ini asbab sedekahku dan amalan-amalan sunatku yang telah aku lakukan. Doakan aku jadi muslim yang istiqamah, yang sentiasa mengingat Allah ketika senang mahupun susah, dan semoga doa itu berbalik kepada kalian juga. Di sini aku sertakan sepotong ayat tentang bersedekah:
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Aku doakan rakan-rakan yang masih berjuang mencari pekerjaan semoga urusan kamu dipermudahkan, dan dapat mencari rezeki yang berkat untuk membantu keluarga.
May your JOB APPLICATIONS be approved so that you can change the situation at HOME.
Yang ikhlas,
– C (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit