Assalamualaikum, Jannah anakku. Kurang sebulan kamu meninggalkan kami. Jika mak meninggal, kita dikira yatim. Jika anak meninggal? Kita dipanggil apa? Rasa terkilan sangat.
Masa terasa terlalu singkat. Dalam masa 24 jam selepas jumpa Dr, anak saya hilang dari rahimku dan terus berjumpa dengan penciptanya. Tak adil.
Saya duduk di pedalaman atas keperluan kerja suami. Saya sudah lama TTC. Jadi ini dikira “precious child” kami. Inilah anak yang kami doakan sepanjang 6 tahun perkahwinan.
Apakan daya, hanya 6 bulan Allah pinjamkan di dalam rahim ini. Malangnya anak saya dikira anak yang tidak boleh diselamatkan dan akhirnya dengan sisa kudratnya yang terakhir, dia hanya bertahan selama 3 jam bersama kami.
Sepanjang mengandung, banyak alahan saya. Ada juga kes keluar masuk emergency kerana dehydrated.
Tapi saya hargai waktu2 itu sebab kehadirannya bermaksud saya tidak kesunyian. Saya selalu berborak dengan dia. Semua benda saya meluah dengan dia terutama bila melibatkan suami saya. Memang kerjanya membuatkan dia kurang masa bersama-sama kami.
Saya faham, itulah realiti kerjanya tapi kenyataannya saya jadi sunyi. Saya berdamai dengan takdir, berhenti PJJ dan ikut suami ke kawasan pedalaman.
Sangat susah nak berkawan sebab semua penduduk dah saling kenal dari muda. Saya sering rasa tersisih dari kenalan dan merasakan diri ni sunyi.
Tapi kehadiran anakku mengisi hidup dengan tawa. Semua omelanku bukanlah beban. Tapi bila dia diambil Allah, saya kembali rasa sunyi. Sekarang baru sebulan berpantang tapi susah nak bercerita dengan keluarga mahupun suami. Saya rasa seperti beban.
Bila meluah, dipaksa redha dan pasrah tetapi anak baru lagi dikuburkan. Luka saya masih lagi terasa. Apabila meluah, saya dianggap meroyan. Saya dianggap beban.
Akhirnya saya kembali sunyi. Jika berterusan begini. Memang saya akan meroyan. Mohon doakan kekuatan buatku. Saya rasa penat.
Meluah kepada suami pun rasa seperti tiada perubahan. Sedih saya tak dilayan. Padahal dia berjanji untuk melayan saya setiap kali teringat anakku (selalunya sehari sekali). Tapi dia tak berborak pun dengan saya. Dia hanya dengar begitu. Saya tidak berasa aman.
Adakah sebab saya yang melahirkan jadi hanya saya yang selalu teringat? Jadi anak yang gugur ni langsung tidak disayangi ayahnya ke? Adakah selama ini kasih sayang dia pada anaknya kurang?
Saya tak faham lelaki. Saya cuma nak kata semangat tapi dia tidak melayan saya. Tak apalah, mungkin saya memang ditakdirkan sunyi. Saya memang ditakdirkan untuk rasa sendirian walaupun di sekeliling orang lain.
Tidak adil. Kenalan saya yang terlanjur boleh beranak elok saja.. tapi saya yang menunggu ni gugur.
Dunia ini tak adil. Saya hanya nak kawan tapi diambilnya pula. Kesal. Penat. Sakit. Sedih.
– Ummu jannah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit