“Kakak tak takut ke hidup dalam gelap?”
Soalan itu pernah ditanya oleh seorang anak kecil ketika aku duduk termenung di bangku taman, menghadap langit senja yang aku sudah tidak mampu nikmati dengan mata zahir. Aku hanya tersenyum, lalu menoleh perlahan ke arah suaranya.
“Tak, dik. Gelap ini ajar kakak melihat dengan hati,” balasku lembut.
Dia terdiam — mungkin belum mengerti. Tapi aku percaya, suatu hari nanti dia akan faham: ada cahaya yang lebih terang daripada cahaya mentari — iaitu cahaya jiwa yang tidak pernah padam.
Semoga penulisan ini menjadi cahaya kecil yang menyala tenang di pelusuk jiwa mereka yang sedang menyusuri lorong sepi dalam perjuangan dunia OKU Penglihatan — sebuah dunia yang tidak lagi bergantung kepada cahaya fizikal untuk melihat, tetapi membina penglihatan dari hati dan kefahaman yang mendalam.
Aku masih ingat, suatu ketika dahulu, aku menikmati dunia dengan penuh warna — birunya langit, hijaunya dedaunan, senyuman mesra wajah manusia.
Namun takdir hadir seperti angin senja yang menutup tirai perlahan-lahan. Penglihatan ini rupanya hanya pinjaman, dan seperti semua pinjaman, ia akan dipulangkan.
“Mengapa aku?”
“Kenapa aku?”
Persoalan-persoalan itu pernah bergema dalam jiwa. Namun, lama-kelamaan ia lenyap, seperti debu ditiup angin. Dan di situlah, aku mula membina keyakinan — sebagai hamba yang menyerahkan seluruh takdirnya kepada Allah Yang Maha Mengetahui.
Langit hidupku mula mendung. Dunia di hadapanku kabur dalam kelipan masa. Aku masih mampu melihat dalam terang mentari, tetapi dalam ruang tertutup — walaupun disinari cahaya lampu — semuanya menjadi samar. Seolah-olah hanya mentari yang diberi kuasa untuk menyentuh retina mataku.
Bila matahari mula berlabuh di ufuk petang, kegelisahan menyelubungi dada. Siang aku hidup sebagai insan celik. Malam, aku menjadi pengembara dalam dunia kelam — tanpa tongkat, tanpa panduan, tanpa ilmu tentang realiti kehidupan baharu yang menanti.
“Kakak tak guna tongkat ke?”
Aku hanya menggeleng, tersenyum tawar.
“Kakak tak tahu cara…”
Aku diam. Kerana aku tahu — tidak semua orang celik mampu memahami dunia orang buta.
Meskipun dikelilingi ramai, jiwaku sepi. Ada waktu aku cuba berikhtiar — dari rawatan moden hingga tradisional, dari hospital ke surau — namun akhirnya usaha itu terhenti apabila kewangan menjadi dinding yang tinggi dan tidak mampu kupanjat.
Dan pada satu titik waktu, ketika aku sangka hidupku tidak lagi akan disinari mentari, aku temui satu anugerah yang lebih berharga daripada cahaya — iaitu harapan. Ia tidak datang dalam bentuk besar. Tidak bergemerlapan. Ia hadir sebagai satu bisikan lembut ke dalam kalbu:
“Bangkitlah. Kamu masih bernyawa.”
Dalam celahan kekecewaan itu, ada juga tangan-tangan yang hadir membawa kebaikan. Ada yang membantu dengan tulus, ada juga yang sekadar memandang dengan sinis. Aku hargai semuanya. Walau kecil, setiap bantuan itu adalah lentera kecil di lorong gelap yang kulalui.
Daripada serpihan harapan yang berselerakan, aku kumpulkan sedikit demi sedikit untuk membina kekuatan baharu. Aku tahu jalan ini tidak lurus, tidak mudah.
Namun langkah pertama tetap harus diambil, kerana keyakinanku kini bergantung sepenuhnya kepada tangan Tuhan yang sentiasa ada untuk membimbing ke arah cahaya.
Setiap langkah mencipta bab baharu dalam diari kehidupanku. Aku belajar mengenal semula dunia — bermula dari rumah sendiri. Menghafal susun atur perabot, mengenal pakaian melalui tekstur, menyenduk makanan dengan tangan hati. Perlahan-lahan aku keluar dari rumah, menjejak dunia luar.
Awalnya aku bergantung kepada insan celik. Tetapi aku tahu, kebergantungan itu hanya sementara. Sampai masanya, aku perlu berdiri sendiri — walaupun langkahku masih bertatih.
Aku juga sedar bahawa manusia itu punyai citarasa. Dan aku tidak terkecuali. Pernah aku teringin nasi lemak Pak Atan, tetapi yang dibeli adalah nasi lemak Pak Jehan.
“Sama saja, kan?” kata mereka.
Tapi tidak bagi aku. Ada beza yang orang tidak lihat — kerana sesetengah pilihan itu adalah simbol kecil rasa dihargai.
Akhirnya aku sedar, aku tidak mahu lagi hidup di bawah kepompong simpati. Aku mahu keluar, berdikari, menjadi aku yang sebenar. Perjalanan ini tidak mudah. Sokongan tidak datang dari semua arah. Kadang hanya sunyi yang menemani.
Namun aku dekatkan diri kepada Allah. Aku cari mereka yang membawa harapan. Dan aku mula mempelajari teknologi — Grab, InDrive, e-wallet, perbankan atas talian — semua ini kini menjadi alat kemerdekaanku.
Aku menyertai komuniti kecil, tetapi jiwanya besar. Kami berkongsi luka, menganyam harapan, dan menjadi sandaran antara satu sama lain. Dari mereka aku belajar bahawa dunia ini tidak pernah benar-benar gelap — ia hanya menanti untuk diterangi oleh cahaya semangat yang tidak pernah padam.
Aku menyentuh tulisan Braille buat kali pertama — dunia timbul yang penuh rahsia. Jari-jariku masih lambat membaca, tidak sepantas mereka yang lahir dengan kemahiran itu. Namun aku tetap mencuba, kerana aku tahu, tiada usaha yang sia-sia jika disertai dengan kesabaran dan doa.
Teknologi menjadi temanku. Pembaca skrin yang setia membacakan dunia digital, telefon pintar yang seolah-olah menjadi sahabat akrab, dan aplikasi-aplikasi yang menjadi mata serta telinga keduaku. Keterbatasan itu masih ada — tapi aku percaya, ia boleh dikurangkan dengan ilmu, usaha dan doa.
Aku pernah jatuh. Pernah rebah dalam kecewa. Namun kini aku lebih kuat. Kerana aku belajar — setiap jatuh bukanlah penghujung. Ia hanyalah permulaan kepada versi diriku yang lebih kuat dan tabah.
Dan aku berpesan pada diriku — berkali-kali.
Perjalanan ini tidak mudah. Tapi aku yakin, setiap titisan air mata akan diganti dengan ketenangan. Setiap luka akan menjadi pelajaran. Selagi mana hubungan dengan Allah dan manusia dijaga, pasti ada jalan keluar dari belenggu hidup.
Aku belajar membina diriku — dari emosi yang pernah runtuh, fikiran yang pernah kabur, hingga kepada kemahiran yang kini perlahan-lahan menjadi kekuatan. Aku percaya pada janji Tuhan. Aku pilih untuk hidup menelusuri jejak para Nabi, para sahabat dan golongan soleh.
Selagi nafasku masih bersisa, aku akan terus melangkah. Kerana biarpun aku hidup dalam gelap… aku tahu, aku sedang membawa cahaya.
– BunGa RaYa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit