Aku dan Gender Dysphoria

Kanak-kanak:

Aku lahir 4 tahun selepas akak. Aku tak tahu apa yang mak doa masa hamilkan aku. Mungkin inginkan anak lelaki, atau mungkin sekadar anak yang sihat. Seingat aku, kebanyakan permainan aku, permainan budak lelaki macam pistol & kereta. Baju juga lebih kepada baju budak lelaki. Beberapa tahun kemudian, adik lelaki aku lahir. Anak lelaki idaman mak dan ayah.

Sekolah:

Aku sekolah disekolah semuanya pelajar perempuan. Dari darjah satu sampai tingkatan 5. Masa sekolah rendah aku bukannya rajin sangat. Kerja sekolah selalu tak buat dan dah mula nak memberontak. Waktu ni juga akak dah mula tak bercakap dengan aku. Sebab apa, aku tak tau. Menginjak sekolah menengah, kami masih tak bercakap dan satu hari aku ke kelas dia. Kawan-kawan dia terkejut yang dia ada adik berada dalam satu sekolah. Yang mereka tahu, dia cuma ada adik lelaki. Masa tu aku sedar, rupanya aku tak wujud dalam keluarga sendiri. Bermulalah hidup aku, masa aku hanya untuk kawan-kawan. Selepas akil baligh, personaliti aku juga berubah. Aku jadi seorang yang panas baran dan keras hati. Aku tak suka tengok diri sendiri kat cermin dan bila marah, aku cederakan diri sendiri. Aku benci duduk dirumah, sebab aku rasa tak ada siapa dalam rumah tu yang sayang aku. Aku belajar sungguh-sungguh untuk PMR, dengan harapan aku dapat ke asrama tingkatan 4 nanti. Usaha aku berhasil bila aku dapat 8A dalam PMR. Dengan sepenuh harapan aku tunggu panggilan dari SPB atau MRSM. Masa berlalu, panggilan ke SPB berakhir dan yang tinggal hanya rayuan ke MRSM. Aku sabar menunggu. Aku minta mak buat rayuan ke MRSM, balasan pegawai MARA “Maaf puan, kami tak dapat terima anak puan sebab perempuan. Kalau pelajar lelaki walaupun 5A kami terima.” Masa tu aku dah mula persoalkan kembali, kenapa aku bukan lelaki.

IPT:

Selepas SPM, aku ke kolej matrikulasi dan kemudian ke IPTA dengan jurusan pilihan pertama aku iaitu kejuruteraan. Jurusan pengkhususan yang aku ambil ini hanya ada 2 orang pelajar perempuan. Walaupun aku dari sekolah semua perempuan, aku tak ada masalah untuk bergaul dengan lelaki walaupun agak kekok pada mulanya. Tak dapat dinafikan, aku lebih selesa dengan perempuan. Sewaktu mencari tempat untuk latihan industri, sekali lagi ujian datang. Aku gagal ditempatkan dalam industri kerana kata mereka persekitaran kerja tidak sesuai untuk perempuan. Pada saat terakhir baru aku mendapat tempat disebuah jabatan kerajaan.

Kerja:

Cita-cita aku untuk bekerja diatas kapal laut. Sehingga aku dapat peluang tu, aku mencuba dari satu kerja ke kerja lain. Semuanya tak serasi. Hinggalah satu hari, aku mendapat tawaran untuk menghadiri temuduga untuk program jurutera marin. Daripada 50 calon, hanya aku calon perempuan. Temuduga yang terdiri dari 5 sesi, dan aku dan 15 yang lain terpilih ke sesi terakhir. Beberapa minggu kemudian aku mendapat perkhabaran gembira, aku terpilih! Tapi tanpa mendapat biasiswa. Aku buat panggilan kepada syarikat tersebut dan aku diberitahu hanya aku perlu membayar sendiri kerana tidak mendapat tajaan. Sekali lagi, kerana syarikat perkapalan tak nak menanggung risiko menaja calon perempuan. Aku merayu pada mak dan ayah untuk membantu membiayai kos program tersebut. Mereka enggan dengan alasan, aku takkan mampu bertahan. Apa lagi yang harus aku buktikan. Aku berkali-kali dinafikan hak aku kerana aku perempuan. Aku menjadi bertambah benci pada diri sendiri.

Aku cemburu pada lelaki. Kenapa aku tak dilahirkan seperti mereka.

Tapi lama-kelamaan aku sedar. Aku sedang diuji. Walaupun banyak hakikat yang sakit untuk aku terima, aku harus redha. Aku harus terima yang secara fitrahnya, aku adalah perempuan. Semakin diikutkan naluri, aku akan jadi semakin hanyut. Semoga Allah sentiasa memandu aku tetap pada jalan yang diredhaiNya..

– D’satirah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *