Aku dan Kerja

Assalamualaikum semua. Nama aku Siti. Berumur lewat 20-an. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Aku nak berkongsi tentang alam pekerjaan yang aku sudah alami selepas habis ijazah. Hujung tahun 2015 lepas aku habis ijazah, aku menolong mak aku di kedai makan masakan panas miliknya. Kedai makan sendiri, depan rumah.

Pada masa itu, aku dapat juga panggilan temuduga jawatan cikgu di sekolah cina swasta. Tapi jauh di JB, manakala aku di Selangor. Mak aku tak benarkan. Dapat juga panggilan temuduga daripada Pengangkutan Awam Johor, tetap mak aku tak benarkan. Mak aku minta aku cari kerja dekat-dekat dengan rumah. Senang nak tolong dia.

Awal tahun 2016, aku diterima bekerja di syarikat retails berdekatan dengan rumah. Alhamdulillah. Pada waktu siang 8 pagi hingga 5.30 petang aku bekerja sebagai executive di syarikat tersebut. Balik kerja terus aku tolong mak aku di kedai makan sampailah pukul 12 tengah malam. Tapi aku tak bertahan lama di syarikat tu.

Sebelum masuk kerja dulu, Manager dan boss aku larang aku untuk berkawan dengan officemate yang lain. Nak dipendekkan cerita aku dilarang berborak dengan mereka, sampaikan nak bercakap dengan orang sebelah pun, aku gunakan surat. Ya, aku tahu mereka boleh pantau aku daripada cctv.

Aku tak ada banyak kerja masa office hour. Pukul 12 manager aku masuk, baru dapat tugasan daripada dia. Kadang pukul 5 petang baru dapat tugasan daripada dia dan bawa sampailah ke malam. Bukan aku tak tanya pasal tugasan, pagi-pagi lagi dah call dia tanya apa tugasan hari ni, tapi dia selalu cakap. “sabar, tunggu saya masuk”. bila kerja sampai malam, dia tak nak bayar duit OT sebab jawatan aku memang tak ada OT. Malam tu hanya aku dan dia saja di office.

Oh, lupa beritahu, manager aku ni lelaki. Ada satu malam tu dia start acah-acah pegang mouse computer aku yang aku tengah pegang (gaya peluk dari belakang, aku pun tak tahu nak explain macam mana). Masa tu tiba-tiba phone aku bunyi. Ayah aku call kenapa tak balik-balik lagi dah pukul 9 malam. Terus aku cabut lari balik. Seminggu lepas tu aku resign. Mesti semua tanya kenapa aku nak resign sedangkan aku boleh je mengadu kat boss. Aku tak boleh mengadu sebab dia adalah anak saudara kesayangan boss.

Pertengahan tahun, aku diterima bekerja sebagai site clerk. Sama juga rutin seperti biasa, siang aku bekerja di office dan malam aku akan tolong mak aku di kedai. Bekerja di situ pun tak tahan lama hanya 3 bulan sebab perebutan kuasa oleh main-con. Main-con baru yang ambil alih tapak pembinaan tu. Kami semua dibuang kerja, gaji akhir pun tak dibayar. Aku tetap terus tolong mak aku berniaga di kedai makan.

Hujung tahun 2016, aku berkahwin dan berpindah ke JB, Alhamdulillah. Salah satu peluang untuk aku bekerja. Bulan 12, aku diterima bekerja sebagai guru sains dan matematik di sekolah tahfiz. Tapi aku perlu hadirkan diri pada 25hb (majlis resepsi sebelah lelaki). Puas aku minta tangguh, tapi tak dibenarkan. Aku redha lepaskan peluang tu dan berharap ada peluang lain akan muncul.

Awal tahun 2017, aku bekerja sebagai guru tadika. Itu pun tak bertahan lama. Tapak kaki aku sakit dan bengkak. Seminggu lepas aku berhenti, baru aku dapat tahu aku mengandung, Alhamdulillah. Alahan agak teruk, aku bedrest saja di rumah. Aku berniat untuk cari kerja lepas bersalin nanti. Waktu pun berlalu pergi, sehinggalah anak aku berumur 1tahun 5bulan. Sepanjang membesarkan anak aku, aku sudah pergi banyak temuduga tapi tak membuahkan hasil. Sehinggalah awal tahun ini, aku diterima di sebuah syarikat travel agency di Setia Tropika.

Aku dah pasang niat awal-awal, aku nak bertahan lama dan bersungguh dalam syarikat ni. Masa bekerja 9pagi hingga 5.30 petang. Aku selalu datang kerja pukul 8.30-8.40 pagi. Balik pukul 5.40-6.00 petang. Kadang lunch bawa bekal, makan cepat-cepat, solat. Tak sampai lagi pukul 2, aku dah duduk depan computer semula untuk sambung kerja. Hampir setiap hari, akulah orang yang paling akhir untuk kunci semua pintu office. Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Manager aku nak berhenti kerja dan Dato’ dapat tahu. Dia sangat marah. Dia arahkan staff yang lain berhenti juga termasuklah aku. 1 April, Dato’ tu minta kami serahkan surat perletakan jawatan masing-masing. Satu office kena berhenti kerja. Kami tak puas hati sebab Dato’ perlakukan kami sedemikian.

Manager call dato’ tu dan pasang “loud speaker” untuk satu office dengar (sebenarnya dato’ tak tahu pun kami dengar semua perbualan dia). Kami dikatakan staff tak guna, makan gaji buta, besar kepala sebab kami tak nak resign. Kami tak nak serahkan surat resign sehingga gaji kami dibayar, tapi Dato’ tu warning untuk bawa ke mahkamah.

Aku betul-betul hampa dan kecewa dengan sikap dato’ tu. Sesungguhnya hari tu aku sedang berpuasa. Aku rasa sungguh teraniaya. Malam tu manager KL call untuk terangkan bahawa dato’ hanya nak beri pengajaran kepada manager tu saja. “nanti dato’ ambil kamu semua balik” – inilah ayat daripada 3 orang staff dato’. Esoknya staff dato’ menyampaikan kata-kata dato’. “siapa yang nak kerja dengan saya lagi, whatsapp saya untuk kerja balik”.

Aku tunggu dato’ tu sendiri berikan penjelasan dan mohon maaf, tapi egonya dia, buat kami semua macam pengemis untuk minta kerja dengan dia balik. Terkilan sungguh dengan perangai dato’ ni. Semua staff jb yang diberhentikan tak nak lagi bekerja dengan dato’ ni. aku masih ingat lagi seminggu sebelum berhenti, dato’ tu minta kami jangan berkira tentang masa bekerja.

Dia sampai malam di office, tapi kami staff yang lain dah balik dulu. Sebelum ni aku tak pernah berkira langsung untuk datang awal dan balik lambat, kerja lebih masa, aku ikhlaskan semua. Rupanya dato tak nampak semua tu. Yang dia nampak kami datang kerja tepat pukul 9 dan balik tepat pukul 5.30 petang.

Sekarang ni aku hanya memandang kosong dengan resume aku. Sungguh tak cantiknya pengalaman bekerja aku. Sekarang ni aku masih lagi mencari kerja, begitu juga dengan staff-staff yang lain. Doakan aku dapat kerja ye. Aamiiinn.

– Siti

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *