Aku dan Laman Mencari Jodoh

Assalamualaikum. Peringatan terlebih dahulu, aku rasa confession aku sedikit panjang jadi aku bagitahu awal-awal takut ada yang bosan. Ini pun aku dah ringkaskan mana yang aku mampu. Dan aku harap admin ‘approve’ confession aku ni. Terima kasih admin.

Sebelum ni aku ada terbaca beberapa confession pasal pencarian jodoh di laman mencari jodoh ‘online’ dan kebanyakan yang aku baca tu pencarian diorang masih lagi tergantung dan belum bertemu yang sesuai.

Ada juga yang macam hampir berputus asa dan redha saja, ada jodoh ada, tak ada jodoh tak adalah. Kenapa aku ‘highlight-kan’ pasal usaha cari jodoh di laman mencari jodoh ‘online’ ni?

Sebenarnya, aku pun salah sorang daripada golongan yang menggunakan platform laman mencari jodoh ‘online’ untuk cari pasangan hidup aku. Memandangkan aku pun memang pembaca tegar ‘IIUM Confession’ ni, jadi aku pun tergerak hati nak kongsikan kisah aku.

Aku mula bekerja tahun 2018 dan hujung 2018 aku ada berkawan dengan seorang lelaki ni. Aku namakan dia sebagai si Meon.

Selama setahun lebih jugak aku kawan dengan dia tapi dia macam tak ada pun usaha nak ajak kawin ke apa. Tapi kami berhubung macam pasangan kekasih gitu.

Dia memang buat aku perasan habis la. Macam aku ni perempuan yang istimewa untuk dia. Awal tahun 2020 aku dapat tahu dia ada kawan dengan perempuan lain. Bila aku tanya perempuan tu siapa? Dia kata bukan siapa-siapa, hanya kawan dia sahaja.

Tapi rasa macam tak berapa cerdik la kalau aku percaya cakap dia sebab aku dengar perempuan tu panggil dia ‘babe’. Dia tetap menafikan hubungan dia dengan perempuan tu.

Asbab kecewa sangat dengan si Meon tu, aku ‘lose weight’ sebanyak 22kg,maka merasa la aku jadi perempuan yang kurus masa tu.

Di samping rasa kecewa tu, ada juga aku cuba untuk jaga pemakanan untuk turunkan berat badan. Alang-alang dah tak lalu makan tu, jadi aku pun diet la. Alhamdulillah, kurus!

Habis pasal si Meon. Selepas tu aku mulakan usaha pencarian aku ni dengan doa. Aku memang tak nampak jalan masa tu. Aku tak tahu pun sebenarnya nak mulakan dari mana usaha pencarian jodoh tu. Jadi, aku doa, aku minta Allah bukakan jalan untuk aku.

Sampailah satu hari ada sorang kawan perempuan aku, kami satu sekolah, cerita kat aku dia pernah cari kawan lelaki kat ‘facebook’ apps tu.

Dating kot nama dia, aku pun dah lupa. Dia juga yang bagi cadangan pada aku untuk cuba guna platform laman cari jodoh ‘online’.

Banyak portal cari jodoh ni tapi aku pilih satu saja. Aku cuba dulu Dating, apps yang kat ‘Facebook’ tu, tapi kat situ aku rasa tak selamat.

Lelaki-lelaki kat situ semua yang aku jumpa jenis nak main-main, setakat nak isi masa terluang, nak buat apa, buang masa aku saja. Jadi, aku delete benda tu.

Serabut aku datang entah apa-apa perangai lelaki masa tu. Aku pun beralih ke salah satu portal cari jodoh yang dicadangkan kawan aku tu, iaitu BJ.

Ini menurut kawan aku tu la, memandangkan BJ tu berbayar jadi selamat sikit la dia kata, dan kebanyakan lelaki kat sana yang serius saja.

Aku pun cuba ‘subscribe’ untuk beberapa bulan.

Pada mulanya aku macam nak cuba-cuba dulu. Aku tak pandai guna apps tu. Aku cuba belajar perlahan-lahan. Lelaki pertama yang aku kenal melalui BJ tu orang sama negeri asal aku. Namanya si Mail. Dia umur 32 tak silap. Aku memang lebih berminat dengan orang yang lebih tua daripada aku.

Yang lebih muda ni aku rasa macam adik-adik je diorang ni. Si mail ni awal perkenalan sangat bagus prestasi dia ni. Semasa kami kenal tu negara kita kembali PKP dan tak boleh rentas negeri. Aku di negeri lain, dia di negeri lain, jadi kami tak boleh nak jumpa antara satu sama lain.

Kami hanya berhubung melalui telefon, ‘what’sapp, dan ‘video call’. Tapi benda ni bertahan hanya sebulan sahaja. Tiba-tiba si Mail ni hilang tanpa jejak. Tiba-tiba tak reply ‘what’sapp’, tak angkat aku telefon. Aku pelik sangat. Senyap terus. Bukan ‘slow2’ tapi Tiba-tiba, sangat drastik.

Sampai aku tak larat nak fikir apa silap aku. Padahal dah janji lepas sempadan negeri dah buka nanti kami nak jumpa bersua muka, dan sama-sama nak jumpa keluarga masing-masing. Tapi berhenti macam tu sajalah hubungan kami. Aku agak terkilan tapi tak seteruk aku kecewa dengan si Meon tu.

Lelaki kedua aku kenal di BJ pulak si Malik. Malik ni bagi salam kat aku masa tu aku dah kenal dengan si Mail. Tapi aku balas saja salam si Malik ni. Si malik ni aku tak sengaja ter-‘swipe’ profile dia kat BJ tu. Aku tak reti lagi masa tu guna apps tu. Secara tak sengaja ter-‘swipe’ bagi salam.

Jadi sebenarnya aku yang bagi salam kat si Malik tu dulu tapi tanpa niat. Aku tak perasan. Niat aku masa tu nak kawan-kawan saja. Masa tu aku dah kenal si Mail tu tapi tak serius dan tak sepakat lagi nak jumpa keluarga masing-masing.

Bila aku dah sepakat dengan si Mail tu untuk jumpa keluarga masing-masing, baru aku berterus terang dengan si Malik tu yang aku sudah ada seseorang yang istimewa. Si Malik ni hormat keputusan aku dan dia pun macam menyepi dari aku.

Selama aku kenal dengan si Mail dan si Malik ni, ada la juga celah-celah tu beberapa orang yang hulurkan salam perkenalan dengan aku tapi macam tak serasi, rasa macam tak boleh masuk. Ada juga yang sembang sekejap pastu senyap terus pun ada.

Jadi yang celah-celah tu tak perlu nak huraikan la, tak penting. Aku fokus pada yang betul-betul serius sahaja. Sepanjang aku kenal si Mail ni ada juga dia senyap, alasan dia sebab dia ada kerja. Masa dia senyap tak ‘whatsapp’ aku tu, si Malik la yang banyak borak dengan aku.

Bila si Malik senyap lepas aku bagitahu aku sedang serius dengan lelaki lain, aku rasa macam tak senang duduk pula. Jadi, aku tanya la khabar si Malik tu, sihat ke tak?

Dia pun balas dan mula dari situ kami sambung berbalas ‘chat’. Aku selesa borak dengan si Malik ni. Sampaikan masalah aku dengan Si Mail ni aku ter-cerita pada dia.

Lepas si Mail menghilang tu, aku ada cerita dekat si Malik ni. Si Malik pun layan la masalah aku, rasa kecewa aku semua. Masa kami teruskan berkawan tu aku ada juga kenal-kenal dengan dua orang lagi lelaki. Juga daripada apps BJ tu. Lelaki ketiga ni aku namakan si Mamat.

Si Mamat ni tinggal satu negeri dengan tempat aku kerja. Jadi kami ada berjumpa dua kali sepanjang perkenalan kami.

Tapi aku rasa tak selesa dengan dia. Sebab si Mamat ni suka pegang-pegang tudung aku, sentuh-sentuh kepala aku walaupun berlapik. Aku tak suka. Dia dah bagi macam ‘bad impression’.

Pernah masa tengah ‘chat’, perbualan dia macam nak ke arah 18++ gitu. Aku pun tak layan. Aku buat keputusan untuk tak teruskan dengan si Mamat ni. Dia menyeramkan bagi aku walaupun dia kelihatan agak ‘lembut’ tapi tak sangka pula dia macam tu. So Mamat, ‘case close’.

Lelaki keempat ni si Duda anak dua. Dia juga satu negeri dengan tempat kerja aku. Tapi bila aku tahu dia duda anak dua, aku rasa macam was-was. Aku tanya juga mak aku. Setiap lelaki yang aku berkenalan ni aku cerita dekat mak aku juga.

Aku dengan mak memang rapat, kalau telefon memang bercakap sampai 2-3jam. Dan mak aku nasihat, tak payah la si Duda tu. Aku pun ikut cakap mak aku. Aku berterus terang dengan si Duda tu dan kami berhenti berhubung secara aman.

Si Mamat dan si Duda memang berhenti setakat itu sahaja. Tetapi Si Malik ni aku masih terus berhubung dan terus berkenalan dengan dia.

Selama tiga bulan aku berhubung dengan si Malik ni melalui telefon. Melalui telefon aku cuba kenal karakter dia, hal personal dia, begitu juga dengan dia.

Akhir sekali, kami buat keputusan untuk berjumpa. Kami ada matlamat yang sama. Ada tujuan yang sama. Jadi kami rasa macam tak perlu buang masa lebih lama lagi. Lagi pun masa tu si Malik da masuk 30 tahun. Aku pula 27 tahun masa tu. Aku suka cara si Malik ni.

Dia sangat matang dan ada perancangan masa depan yang realistik. Sangat bertentangan dengan sifat kebudak-budakan aku. Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan sempadan negeri dibuka, kami terus buat ‘plan’ untuk berjumpa.

Dan aku jemput dia datang ke kampung aku. Kami berjumpa di kampung aku. Pada mulanya dia bercadang nak bawa kawan dia teman untuk berjumpa dengan mak ayah aku, tapi kawan dia pula tak dapat cuti.

Jadi si Malik ni ambil keputusan untuk ambil ‘flight’ datang ke negeri aku dan menginap di hotel berdekatan kawasan rumah aku. Kampung aku pantai timur, dia pula pantai barat. Dengan yakinnya dia datang sendiri, naik ‘flight’ semata-mata nak jumpa dengan keluarga aku.

Hari yang si Malik ni mula-mula sampai di kampung aku, aku pinjam kereta abang aku untuk pergi jumpa dengan dia. Aku minta izin dengan mak aku dulu. Itu pertemuan pertama aku dengan dia.

Esoknya aku buat persiapan untuk dia datang rumah aku. Aku risau juga penerimaan abang aku dan ayah aku masa tu. Sebab mana pernah bawa lelaki balik rumah. Mak aku okay saja.

Dia dah tahu cerita dari A – Z. Tapi alhamdulillah, aku rasa Allah permudahkan urusan aku. Aku agak terkejut tengok abang aku dengan semangat keluar pagi-pagi pergi cari kuih untuk si Malik.

Aku tak pernah tengok abang aku bersungguh macam tu. Bagi aku itu satu petanda yang positif. Ayah aku pun sambut kedatangan si Malik dengan mesra. Aku rasa macam ‘wow!’.

Dipendekkan cerita, keluarga aku terima Malik seadanya. Dan Malik pun kembali ke pantai barat petang tu juga. Dan kami pun teruskan perbincangan kami ke arah pertunangan dan pernikahan memandangkan dua-dua belah pihak tiada halangan.

Sebenarnya Malik ni yatim piatu. Dia ada adik beradik, dia hanya bagitahu tentang kami kepada kakak dia sahaja. Dan kakak dia tiada tentangan pun dengan pilihan dia.

Selepas 5 bulan kami kenal, kami pun bertunang. Dan selepas 2 bulan bertunang, kami terus kahwin. Kami barkahwin awal tahun 2022.

Disebabkan sebelum kahwin kami sangat jarang bertemu mata, maka selepas kahwin la kami mula nak kenal-kenal antara satu sama lain dengan lebih mendalam. Maka akhirnya asbab laman cari jodohlah kami bertemu jodoh.

Aku kalau boleh malas nak cerita dekat orang yang aku bertemu jodoh dengan cara macam ni sebab ada saja yang akan bagi kata-kata kurang sedap telinga aku ni dengar. Sebaiknya doakan la yang baik-baik saja.

Sebelum aku bersetuju nak kahwin dengan si Malik ni, aku memang dah cuba cari tahu dia ni macam mana orangnya. Dan aku berserah pada Allah.

Aku memang selalu berdoa kalau dia baik untuk aku, tolong permudahkanlah urusan aku. Dan alhamdulillah semuanya mudah dan lancar. Sangat bersyukur.

Selepas aku kahwin, baru aku tahu rupa-rupanya ada saja kawan-kawan perempuan aku yang bertemu jodoh asbab laman cari jodoh macam aku,cuma lain-lain apps. Maksudnya, itu semua aturan Allah. Mungkin memang rezeki kami bertemu jodoh dengan cara sebegitu.

Bagi aku, yang penting, kena mulakan dengan doa. Untuk buat sesuatu perkara yang baik, kita sebaiknya mulakan dengan doa. Kita minta Allah tolong kita. Doa sungguh-sungguh dan dengan yakin walaupun masa tu kita tak nampak jalan.

Macam aku, masa aku mula serius nak cari jodoh, aku tak nampak jalan langsung, tapi lepas tu aku perasan, satu-satu Allah ‘guide’ aku.

Alhamdulillah. Aku bersyukur dengan apa yang Allah bagi pada aku. Aku bersyukur aku bertemu dengan Malik walau dengan apa cara sekali pun.

Cuma dugaan semasa bertunang itu betul ya, kawan-kawan. Dan selepas berkahwin ni, dugaan untuk mengenal pasangan itu juga memang ada.

Awal-awal kahwin memang ada masalah. Ada saja isu. Nak sambung dah panjang sangat, dah pening dah aku taip tengok skrin ni. Tapi tak apa, aku percaya setiap pasangan memang ada ujian masing-masing. Itu normal.

Baiklah. Kepada yang membaca sampai habis, doakan perkahwinan kami dipenuhi keberkatan, sakinah dan mawaddah. Doakan kami juga dimurahkan rezeki tak putus-putus dan dikurniakan zuriat yang soleh/solehah wa’afiat.

Sekian, terima kasih kerana sudi baca sampai habis.

– Si Melur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *