Setelah hampir 20 jam penerbangan dari Malaysia, aku tiba di lapangan terbang sebuah negara asing untuk meneruskan pengajian di sini. Dari lapangan terbang, aku dan seorang teman, Lili, menaiki teksi untuk ke rumah sewa kami yang memakan masa lebih kurang 30-40 minit perjalanan. Aku duduk bersebelahan Mark, pemandu teksi berumur linkungan 50-60 tahun. Mark sangat peramah orangnya. Sungguh rancak kami berbual sepanjang perjalanan tersebut.
Beliau asyik menceritakan pengalamannya sepanjang mengembara ke serata dunia. Mengembara atau melancong merupakan hobi Mark. Beliau sudah pernah berpijak ke seluruh benua dunia, termasuk Asia. Tiba-tiba Mark bertanya,
“ Saya pernah pergi ke marata-rata tempat di muka bumi ni. Awak nak tahu tak, ada satu tempat yang saya dilarang masuk sama sekali. Semasa di Arab Saudi, saya tiba di sempadan untuk masuk ke “sacred place(tanah haram)”, pengawal di sana dengan keras melarang saya masuk. Bila ditanya, awak nak tahu jawapan dia? Dia kata tanah suci ini hanya untuk orang-orang ‘suci’. Siapa orang-orang suci ni? Muslim sahaja yang suci?”
Riak wajah Mark berubah, kelihatan kecewa dengan istilah ‘suci’ tersebut. Aku kaget. Terdiam sambil cuba berfikir menyusun kata-kata. Tiba-tiba, Lili yang dari tadi diam, mencelah,
“ Menurut kitab suci kami Al-Quran, tanah haram iaitu Makkah dan Madinah khas untuk umat Islam. Tempat itu suci dan mulia, hanya orang islam boleh masuk ke sana.”
“Jadi, Muslim hanya merasakan diri mereka sahaja ‘suci’ dan orang lain tak suci?”. Soal Mark dengan suara agak tinggi, sambil mendengus kecewa. Oleh kerana aku duduk di sebelah beliau, aku dapat mengesan bahawa Mark sangat tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Aku? Sama sekali tidak menyalahkan beliau untuk berasa sedemikian. Aku cuba meletakkan diriku di situasi beliau. Cuba bayangkan, jika di lapangan terbang tadi, aku dilarang masuk ke negara ini kerana aku Muslim, terrorist? Pedih juga rasanya.
Teksi berhenti di hadapan rumah sewa Lili. Sambil Mark membantu Lili mengangkat bagasi, otak aku ligat memikirkan jawapan untuk persoalan beliau. Aku dan Lili tinggal di rumah yang berlainan. Jarak rumah kami cuma 1-2minit berjalan kaki.
Tinggalah aku seorang di dalam teksi bersama Mark. Aku hanya berdiam, masih tidak berani bersuara melihatkan wajah Mark yang merah padam mungkin kerana perasaan marah. Tiba di hadapan rumah , beliau menahan aku daripada keluar dari kereta.
“Baiklah, saya benar-benar mahukan jawapan dari awak. Adakah tidak ‘suci’ menjadi alasan kami tidak dibenarkan masuk ke tanah haram? Saya teringin sangat nak masuk dan tengok apa yang istimewa sangat dengan tempat suci ini. Itu sahaja tempat yang belum pernah saya lawati.”
Aku menarik nafas sedalam mungkin, mula berbicara cuba menghuraikan jawapan ringkas Lili sebentar tadi.
“Mark, awak pernah ke lihat gambar Makkah atau Madinah di internet?” Beliau menggangguk, lantas aku menyambung , “ Kota-kota ni tak pernah tidur. Sentiasa hidup dengan ritual ibadah orang-orang islam. Sesak. Saban tahun, berpusu-pusa umat islam dari seluruh dunia datang ke sini untuk menunaikan ritual ini. Ianya wajib(haji). Saya sendiri belum pernah ke sana. Kerajaan Malaysia perlu hadkan bilangan orang yang boleh ke sana setiap tahun bagi mengelakkan kesesakkan melampau. Saya sendiri selaku muslim, kalau ikut ‘turn’ entah bila berpeluang ke sana. Tanah itu suci dengan ibadah. Kami tidak pergi ke sana hanya untuk melancong semata-mata. Ada kewajipan yang perlu dilaksanakan.”
Aku cuba memahamkan Mark bahawa tanah suci itu bukan sekadar tempat lawatan. Ianya istimewa kerana adanya ketaatan umat islam kepada Allah dan rasul. Jika umat islam sendiri dihadkan untuk masuk pada waktu-waku tertentu, apatah lagi orang bukan islam yang tidak ada kepentingan untuk ke sana.
Alhamdulillah, Mark mengangguk faham dan kelihatan berpuas hati dengan penerangan aku. Tetapi, beliau masih tidak membenarkan aku keluar dari kereta. Wang tambang yang dihulur, tidak diambil tanda beliau masih mahu berbual dengan aku. Sungguh aku tidak selesa berdua-duan dengan lelaki yang baru dikenali 20 minit tadi, dalam keadaan kereta dikunci. Malah, beliau berada di kerusi pemandu dan berkuasa untuk membawaku ke mana saja beliau mahu. Kalau tidak kerana hari siang dan kereta betul-betul berhenti di depan rumah, dah lama aku menjerit suruh dia lepaskan aku.
Mark mula bertanya usia dan hal-hal peribadi yang lain seperti latar belakang keluarga dan tujuan aku tinggal di negaranya. Tanpa disedari, telah hampir sejam setengah aku berborak bersama Mark melayankan soalan beliau berkenaan Islam.
“ Awak nak tahu, awak ni masih muda, cantik. Kenapa awak pakai bertutup litup hanya kerana itu arahan agama awak. Saya kasihan dengan nasib gadis-gadis muda seperti awak yang berhijab dan tak bebas merasai nikmatnya dunia ini hanya kerana kepercayaan agama. Apa yang awak dapat dari ketaatan mengarut ini. Taat kepada tuhan yang awak tak pernah lihat???? Semua manusia berhak untuk bebas dan memilih apa yang mereka mahu lakukan. Dengar sini, sekarang awak berada jauh dari ibu bapa awak. Tolonglah sekali sahaja, ikut kata hati, dan merasai manisnya dunia ini. Awak berhak. Jangan takut, mak ayah awak takkan tahu. Tak susah, awak cuma perlu pilih satu hari, pakai pakaian apa sahaja yang awak mahu, pergi ke bar(kelab malam) dan ‘enjoy’.”
‘Nasihat’ Mark kepadaku. Persis seorang ayah yang bersungguh-sungguh mahu melihat anaknya gembira menjalani zaman remaja. Homesick aku dibuatnya teringat mak ayah di kampung. Puas aku menjelaskan kepada Mark berkenaan hawa nafsu serta pemakaian hijab sebagai pilihan aku sendiri dan bukannya paksaan sesiapa termasuk ibubapa. Aku meyakinkan beliau bahawa aku sangat-sangat gembira dan tenang dengan pilihan aku. Tak pernah aku terasa seperti dikongkong. Aku bebas mengembara mencari ilmu di negara asing, sama sekali islam tak pernah menzalimi kaum wanitanya. Aku sempat bercerita mengenai sifat Allah yang maha melihat perbuatan hambaNya tak kira di bumi mana aku berada.
Mark kecewa lagi kerana tidak berjaya meyakinkan aku untuk keluar merasai ‘nikmat hidup’. Aku? Lagi kecewa kerana tidak dapat meyakinkan Mark untuk merasai islam sebagai agama yang menyuluh jalan hidup menuju hari akhirat. Akhirnya aku mula bertindak mengajak Mark mengingati mati.
“Mark, awak percaya ‘life hereafter(akhirat)’? hari dimana semua manusia yang mati dibangkitkan semula? Muslim sangat mempercayai hari akhirat dimana segala perbuatan kita akan diadili. Dunia memang tak pernah adil, sebab itu nilainya sangat kecil berbanding hari kemudian nanti. Sebab tu saya yakin segala ketaatan saya nanti ada balasannya di sana. Jadi saya tak pernah rasa rugi memilih keimanan ini.”
Kedua-dua kami mula sentap dan bermuhasabah mengenai diri setelah isu kematian dibangkitkan. Tambahan lagi aku, mulut yang berucap yang paling terasa sebenarnya. Kematian berlaku kepada semua makhluk, tiada siapa yang bisa lari dari kematian yang sentiasa mengejar. Adakah kita bersedia? Ataupun kita menganggap kematian itu pengakhiran dan tiada lagi sambungannya?
Perbualan kami berakhir dengan penuh melankolik. Masing-masing terdiam memikir mati. Aku minta izin untuk masuk ke rumah. Mark memohon maaf kerana telah mengambil hampir 2 jam masaku untuk berborak dengannya di dalam teksi itu. Sambil membayar tambang dan menurunkan bagasi dari teksi, aku mengucapkan terima kasih kepada Mark kerana sudi berkongsi cerita dan nasihat seperti seorang bapa. Aku luahkan rasa rinduku buat ibu ayah di Malaysia dan menganggap kehadirannya telah sedikit mengubati kerinduan ini. Aku ucapkan penghargaan yang tinggi kepada beliau kerana menyedarkan aku dengan akhirat.
Sebagai manusia yang lahir dalam islam, kita kadang-kadang lupa erti sebenar kita menganut islam. Aku yakin, Allah hantarkan Mark kepada aku hari itu untuk aku berfikir dan muhasabah. Soalan-soalan dan hasutan beliau membuat aku bangun dari lena dan berazam untuk terus berusaha menjadi muslim yang baik. Aku banyak dosa dan khilaf, tapi ini bukan alasan untuk aku berpeluk tubuh dari memilih jalan yang diredhai. Aku nak tampilkan kepada semua, terutama buat mereka yang masih mencari, bahawa islam itu penyelesaiannya. Hidup kita bukan untuk mengikut kata manusia, sebaliknya mengikut al-quran dan sunnah. Tidak lupa juga, jangan sekali kita abaikan nasihat penuh hikmah dan kasih-sayang dari insan-insan yang berpegang kepada kedua panduan hidup ini.
Entah kenapa aku terasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan Mark hari itu. Masih banyak perihal islam yang ingin aku ceritakan kepada beliau. Sayang, aku terlupa meminta nombor telefon Mark supaya kami dapat bertemu kembali nanti sekiranya dia mahu tahu lebih berkenaan islam dan hidup. Dua tahun lepas, aku berpeluang menunaikan umrah. Setiap kali melalui sempadan masuk ke tanah haram, aku asyik teringatkan Mark. Dalam sujud, aku doakan agar suatu hari nanti Mark berpeluang untuk berpijak ke tanah haram(masuk islam) dan merasai nikmatnya hidup bertuhan, berpaksikan hari akhirat melebihi dunia.
– aku
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit