Aku dan Solat

Assalamualaikum. Aku tergerak jari nak menulis setelah baca confession tentang solat sebentar tadi. Kepada confessor, teruskan istiqamah awak. Walaupun bacaan merangkak, takpe, Allah mendengar dan mengasihani. Kita hamba yang hina dina ini, hanya boleh terus tawakal dan berusaha.

Berbalik kepada aku, apa yang aku nak ceritakan adalah berkaitan solatku. Memang dulu aku jahil tentang solat. Sebab dari kecil mak bapak aku tak tekankan tentang solat. Aku belajar tentang solat sewaktu di sekolah. Aku hafal cara solat dari buku cara sembahyang. Mak solat, tapi mak tak pernah ajak solat sekali, apatah lagi mengajar. Belajar sendiri di sekolah katanya. Aku pernah tegur bapak aku, kenapa bapak tak solat? Bapak aku marah aku balik, dia suruh aku pergi solat dulu sebelum mempersoalkan diri dia. Sedihkan? Tapi itu cerita dulu, sekarang bapak dah pulang ke jalan yang benar. Usia yang makin tua mungkin. Dan aku tak menyimpan rasa marah pada mak bapak aku sebab mereka hanya manusia yang tak sempurna dan mereka dah mengasihani aku, membesarkan aku dari kecil hingga aku besar begini menulis confession.

Dan aku melalui rona kehidupan yang tak mudah sejak kecil. Biasalah kehidupan seperti dilambung ombak..lebih-lebih lagi bila tak solat langsung. Solat on off. Solat sebab kawan di opis solat, dah tu pulak solat dihujung waktu Zuhur sebab taknak bersusah payah nak ambil wudhu sampai 2 kali. Jadi alang-alang dah solat Zuhur dihujung waktu, beberapa minit kemudian masuk waktu Asar. Rasanya rutin sebegini pemandangan biasa di surau-surau di kawasan pejabat. Mudahkan? Aah mudah untuk aku tapi betapa berat sebenarnya hati untuk solat bila dilambat-lambatkan waktu. Itu lah aku si pendosa. Jahil. Solat sebab taknak jadi orang asing dikalangan Islam. Solat sebab sedang kesusahan. Jahilnya aku..sedih!

Tapi, sejak berlaku satu perkara paling ulung dan tak boleh aku lupakan..aku mula sedar yang maut bila-bila boleh menjemputku dan aku taknak tinggalkan dunia ini begitu sahaja tanpa apa-apa bekalan. Betapa hebatnya kasih sayang Allah memberi aku peluang kedua untuk membaiki diri. Aku menangis sewaktu pertama kali menunaikan solatku dengan ikhlas. Aku menangis sebab betapa jahilnya aku dulu..aku yang lupa pada Dia. Selama beberapa hari aku berkeadaan begitu bila aku teringat betapa besarnya kuasa Dia aku akan menangis sedih sangat.

Sejak itu memang aku jaga solatku. Masa mula- mula aku istiqamah untuk solat penuh 5 waktu sehari semalam, aku melambatkan waktu solat. Tapi selepas beberapa hari, bila aku merasakan ringannya hati aku untuk solat, aku mula menantikan masuk waktu, dan aku akan solat di awal waktu. Lama kelamaan, ianya jadi habit, dan betapa nikmat dan manisnya bila solat diawal waktu. Terasa masa seperti panjang dan seolah-olah dah melunaskan tugas yang paling besar dan susah sebelum melunaskan tugas-tugas yang kecil. Pelik, tapi itu lah yang aku rasa.

Dan dalam masa yang sama, aku rasa bersyukur sebab inilah rezeki yang paling nikmat aku pernah terima. Mungkin berkat Al Waqiah yang aku selalu dengar setiap malam sebelum tidur. Mungkin juga sebab sewaktu aku solat on off dulu, aku sering berdoa semoga diberi petunjuk oleh Allah, supaya aku dapat menjadi anak yang soleh yang dapat mendoakan kedua mak bapak aku bila mereka diakhirat kelak, surah Al Fatihah dan selawat ke atas Rasullullah dan semua umat Islam pun aku tak pernah lupa baca. Sebab aku ingat lagi aku pernah baca, selepas solat berdoalah mintak lah apa kepadaNya, jangan sombong. Dan aku mintak, dan andainya memang benar Allah kurniakan aku petunjuk, aku berbesar hati menerimanya dan akan terus istiqamah.

Tapi, yang paling sedih aku rasa bila aku mula mengutamakan solat sebelum perkara-perkara lain, aku terasa seperti orang asing di dalam keluargaku, dikalangan orang seagamaku sendiri. Allahu, tak mudah rupanya nak menegaskan pada orang lain, walaupun suamiku sendiri bahawa solat itu tiang agama dan betapa pentingnya solat dan solat di awal waktu. Dan mulutku begitu ringan untuk bertanya suami & ahli keluarga samada mereka sudah menunaikan solat atau belum. Ya, ianya janggal dan asing bagi mereka.

Buat masa sekarang setiap kali lepas solat aku hanya mampu berdoa semoga Allah bukakan hati mereka supaya mudah menerima petunjukNya. InsyaAllah.

– Mrs. A

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *