Aku disahkan eczema mula dari umur 18 tahun. Masa tu teruk satu badan. Then, aku kena warded hospital swasta, sembuhlah kejap. Walaupun ada parut, aku tak kisah yang penting tak gatal.
5 tahun aku bahagia dengan kulit yang tak gatal.
Tapi lepas 5 tahun, sekarang ni dia naik balik dah. Buntu aku dibuatnya. Kenapa dia naik balik? Aku stress sangat kut, atau tak jaga pemakanan.
Sekarang, macam-macam cara dah aku ikut, ada yang suruh pantang makan, ada yang jual produk tu produk ini. Aku cuba semuanya.
Tapi tak baik-baik.
Habis aku garu semuanya. Yelah, gatal gila kut! Kulit aku dah jadi macam badan gajah pun ada, tebal tempat digaru tu. Malu jugalah dengan family.
Tiap-tiap malam tak lena tidur dibuatnya. Aku makan ubat untuk tahan gatal, tiba-tiba terjaga sebab gatal yang teramat.
Dan sebab inilah setiap malam aku menangis nak tidur. Mata takyah ceritalah. Dah macam mata panda. Hitam lingkaran bawah mata dah jelas-jelas nampak.
Aku akan tertidur pagi-pagi lepas subuh, itupun sebab badan aku terlampau penat menahan tak boleh tidur dan jugak sebab gatal.
Sebelum subuh, aku bangun solat malam juga sambil menahan gatal tu. Aku betul-betul merayu pada Allah. Aku penat ya Allah.
Masa nilah, aku solat betul. Doa betul-betul. Sebab aku percaya apa ustazah aku pernah sebut dulu.
Doa pada waktu ini, diibaratkan kita panah satu busur, dan panahan tu tepat terkena ditengah-tengah sasarannya. Aku percaya itu.
Aku setiap kali mandi, akan menangis, tengok satu badan aku tak serupa kulit wanita-wanita lain. Ya, aku stress. Aku tertekan dengan keadaan ni.
Aku cerita dengan keluarga, family aku semua sibuk. Ayah aku dengan kerja dia, mak pun. Aku pula dah dewasa, jadi pandai-pandailah berdikari cari solusi sendiri.
Aku sedih, tapi tak tahu nak mengadu pada siapa.
Aku dah pergi klinik. Mula tu aku tunjuk yang ada kat tangan je, sambil aku cerita yang kena dekat kaki semua. Tapi, doktor just bagi ubat makan, sapu dan mandi saja.
Aku pun ikut lah saranan dia. Tapi tak menjadi juga.
Seminggu lepas tu, ubat aku habis, aku ke klinik lagi, masa ni aku dapat doktor lain.
Masa ni, aku dah tak fikir malu dah, aku cerita semuanya. Aku tunjuk je bahagian-bahagian yang memalukan semuanya.
Dan doktor yang kali ni terkejut. Dia kata, yang ni dah memang betul-betul teruk, jadi dia refer hospital terus.
Masa tulah aku borak dengan doktor ni, dia memang sangat empati orangnya. Disebabkan orang beginilah, aku terbuka nak cerita selama ni yang terbuku dalam hati aku.
Aku ceritalah, kawan-kawan sebaya aku, semuanya dah kahwin. Aku je belum. Orang mungkin fikir yang aku ni tak laku. Tapi maaf, bukan ya.
Ramai yang nak je dengan aku, tapi semuanya aku reject. Sebab aku rasa aku tak sempurna, aku tak cantik. Aku comot. Itulah yang aku bagitahu doktor.
Diorang berdua gelak. Dalam bilik ni, ada dua doktor.
Salah seorang doktor ni kata;
“You jangan tengok dalam TV tu semua. Itu semua dongeng. Tak semua orang cantik macam yang you sangka, mulai sekarang jangan tengok TV, mungkin luar you nampak cantik, dalam you tak tahu. Dia mana boleh tunjuk..”
Doktor sebelah terangguk-angguk membenarkan.
“Yelah, wanita kan kena cantik. Itulah definisi wanita kan?” Aku membalas hujah doktor tadi.
“You dengar i cakap, kalau lelaki yang nak you sebab kecantikan you, orang tu bukan yang betul-betul untuk you.”
Aku melepaskan keluhan. Susah, apa yang bermain dalam kepala aku ni lebih rumit dari yang mereka kata.
“Tapi, saya taknak jugak kahwin. Sebab saya rasa tak sempurna.”
Tiba-tiba doktor sebelah mencelah;
“Cuba awak ingat balik kisah Nabi Ayyub, baginda kan sakit kulit? Macam baginda sabar dengan penyakitnya?”
Allah! Kali ni betul-betul aku terasa.
Benar, Nabi Ayyub ujiannya ditimpa penyakit kulit, tapi baginda sabar dengan sebenar-benar sabar.
Disebabkan penyakit itu juga, menguatkan hubungan Nabi Ayyub dengan Allah.
Malah, Nabi tak merungut, tapi dia tetap sabar, bersyukur, memuji Allah dan hanya mengharapkan pahala dari Allah. Walaupun orang-orang kelilingnya tak mahu mendekatinya.
Kalau seorang Nabi ditimpa penyakit baginda boleh sabar, kenapa aku tak boleh? Kalau Nabi boleh bersyukur dengan penyakitnya, kenapa aku tak boleh?
Mulai hari ini, aku akan pegang doa Nabi Ayub sepertimana firman Allah SWT;
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
“Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.
(Surah al-Anbiya’: 83)
Doakan aku sabar. Doakan aku sembuh.
– Nur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit