Aku Faham Perasaan Along

Hai semua, aku Qistina, 29 tahun. Bila terbaca confession bertajuk “Mak Abah” (https://iiumc.com/mak-abah/), aku faham sangat sedih tu.

Kisah aku lebih kurang Along yang buat confession tu, bezanya aku ada 5 adik-beradik membuatkan rasa di ‘pilih kasih’ tu sangat ketara memandangkan aku sorang je yang tersisih.

Panjang kisah ni, sebab terlampau lama dipendam, jadi aku nak luahkan sebelum menutup mata. Mak dan ayah aku kakitangan kerajaan.

Aku ada sorang kakak, sorang abang, sorang adik perempuan dan sorang adik lelaki. Masing-masing aku panggil Kak Long, Angah, Aina dan Afiq.

1) PILIH KASIH MASA KECIK

Antara 5 beradik aku, aku dengan Aina macam ‘chinese look’ ikut muka arwah nenek kami.

Makcik aku pernah bagitau, masa aku masih bayi, pakcik aku (abang mak aku) ni takde anak, pakcik dan makcik nak ambik aku jadi anak angkat dia, nak bela lah sampai dewasa tapi ayah aku tak bagi sebab anak baru 3 orang, tak ramai.

Tapi bila aku dah darjah 3 dapat result exam masa tu, aku ada satu je A, lain B, Math C, terus mak ayah aku cakap,

Mak : nasib baik tak bagi kau dekat pak long dulu tau, buat malu kalau tahu kau tu tak pandai mana.

Sedara mara sebaya kau semua dapat banyak A. Anak-anak kawan mak semua pandai-pandai.

Kak Long dengan Angah pun pandai. Kau ni banyak main la ni.

Ayah : Dulu Mak kau jugak yang beria nak bagi kau dekat PakLong nya, Ayah pulak larang, memikirkan anak baru 3 orang. Ni dah 5, kalau tahu, elok bagi je masa tu.

Aku menangis masa dengar dorang cakap macam tu. Setakat Angah ulang sakat aku dengan ayat ‘kau tu ayah kutip dekat tepi jalan je’, aku tak sedih sangat, tapi bila mak ayah aku cakap depan aku, aku sedih.

Aku ni jenis nak apa-apa semua aku beli sendiri. Masa lori Nestle datang sekolah bagi makan free semangkuk HoneyStar dan Koko Krunch, aku dekat klinik, balut buku lali sebab terkehel jatuh tangga.

Jadi aku save duit belanja sekolah semata nak beli Koko Krunch sebab tak pernah rasa. Aku dapat beli sekotak Koko Krunch dengan susu kotak lepas tu terus bawa balik rumah.

Sampai je dekat rumah, aku letak Koko Krunch dan pegi mandi. Aku keluar je bilik, tengok Aina dengan Afiq tengah makan Koko Krunch aku sambil jelir lidah.

Aku pegang kotak tu dah kosong dengan plastik aluminium dah koyak-koyak, air mata aku menitis. Mak aku terus cakap, “lain kali jangan la bawa balik kalau rasa tak boleh orang lain makan halah, benda macam tu pun nak menangis”.

Aku ni tak kisah kongsi makanan, tapi tinggalkan lah sikit untuk aku. Dorang ejek aku, siap cakap nak jadi “mak batu belah batu bertangkup la tu”.

Aku tak pernah minta makanan dorang even terdetik teringin. Tak dipelawa, aku tak nak la. Aku sanggup usaha sendiri tak nak susahkan orang.

Ayah aku pulak bila sabtu ahad, dia suka pergi memancing. Bila adik aku main pancing dia, rosak, aku yang kena. Berbirat badan aku atas benda yang aku tak buat.

Mak aku pulak, ada 1 kepercayaan karut yang asal usulnya dia baca dari majalah dekat rumah makcik aku.

Dia percaya, anak sulung tu sifat tanah, baik tak melawan. Anak kedua air, dengar cakap. Anak ketiga api, bermasalah dan keempat angin, mudah urus. Kelima? tanah balik. Keenam air, ketujuh api, ha korang ulang-ulang lah sampai anak yang ke berapa pun.

Jadinya aku selalu jadi target mak aku, apa-apa, semua salah aku, aku jela yang tak betul, ‘panas’ dengan adik-beradik dan sebagainya.

Sedangkan aku dengar ceramah ustaz, “perwatakan itu datang dari individu itu sendiri.” “Ibu jangan pernah keluarkan ayat tak baik pada anak, bimbang ianya jadi doa betul-betul akan terjadi”.

“Kalau aku tahu kau ni menyusahkan, dari kau kecik aku tenyeh sampai mati”, “Kenapa laa bodoh sangat??” , “Lantak kau la situ” , “Menyusahkan betul”, “Tak habis-habis masalah”.. ni antara ayat aku selalu dengar sampai aku rasa betul-betul nak minta Allah ambil nyawa aku.

2) PILIH KASIH MASA SEKOLAH

Kak Long dari Tingkatan 1 masuk asrama, lepas tu dia masuk U. Angah pergi sekolah naik basikal, ayah aku belikan sebab dia pandai.

Aku? Jalan kaki. Alasan mak ayah aku, “sebab kau sekolah petang, cuaca terang benderang jalan kaki jelah bukan kereta tak nampak kau”.

Nasib baik la masa tu tak banyak kes culik macam sekarang. Aku pergi sekolah jalan kiri kanan hutan, kalau jadi apa-apa masa tu, culik ke rogol heret masuk hutan ke, tak tahu la dorang risau ke tak.

Macam biasa, mak aku utamakan tuisyen untuk Angah yang nak PMR. Dan aku yang nak UPSR masa tu tak perlukan tuisyen katanya sebab sedia bodoh nanti habiskan duit.

Kak Long masa ni dah ada lesen motor. Bila dia cuti sem, dia balik rumah. Aku minta tolong dia datang ambik aku pukul 6 petang bila habis sekolah. Dia kata ok.

Lepas tu aku tunggu dia datang, dah 6.40 petang, tak nampak batang hidung dia, aku pun jalan kaki balik. Masa dalam perjalanan tu, aku nampak dia naik motor, aku lambai, dia pun nampak aku, dia terus pusing dan balik rumah. Aku terpinga.

Sepanjang jalan aku nangis. Dah sampai rumah, dia tengah tengok tv sambil cakap, “tadi Kak Long tertidur, bangun-bangun nak ambik kau, tengok kau dah jalan kaki tu, ok la Kak Long balik je terus”.

Mak aku yang nampak aku nangis masa tu terus cakap, “lain kali kalau nak orang ambik, kau tunggu jela pukul berapa sekalipun!”.

Sampai sudah aku tak minta Kak Long ambik aku dah. Serik betul rasa. Hujan ke, panas ke, aku jalan kaki sendiri. Nak beli basikal sendiri tak mampu. Duit belanja cukup-cukup makan je.

3) PILIH KASIH MASA DI UNIVERSITI

Kak Long dengan Angah belajar dekat U, dapat motor, dapat laptop ayah belikan. Aku belajar dekat U, kena keje kedai makan, partime katering, dah masuk sem 3 baru dapat beli laptop, beli motor pun 2nd hand guna duit ptptn aku berjimat tak makan, puasa untuk simpan duit.

Sebab aku dah penat bila ada urusan luar, aku kena tunggu lama nak naik bas dingdong, banyak habis duit naik kereta sewa. Ada motor senang sikit nak bergerak.

1 hari, motor Kak Long hilang kena curi dekat rumah sewa dia. Motor Angah total lost sebab accident. Dia keluar tengah malam pergu mana entah. Motor aku jugak yang mak ayah suruh pinjamkan.

Aku belajar sampai diploma je. Nak sambung degree, mak ayah aku cakap tak payah, aku kena kerja cepat untuk bantu mak ayah tampung perbelanjaan Kak Long dengan Angah dekat U.

Tapi Kak Long belajar sampai Master boleh pulak. Angah belajar sampai degree pun boleh. Sekarang Aina dengan Afiq belajar sampai degree pun boleh.

Masa awal-awal dulu nak lapor diri dekat U, mak ayah aku pesan, “Jangan nak bercouple bercinta bagai. Pegi belajar je, jangan tiba-tiba bawa balik perut ada isi. Jangan nak habiskan duit PTPTN tu, guna sejimatnya. Jangan nak berjalan ke sana ke mari berjoli dengan duit tu.”

Aku tak pernah join apa-apa program U yang libatkan ke pantai, ke taman tema air, ke pusat bowling. Sebab bagi mak ayah, aku ni ke sana tu sekadar nak bersuka ria bukan sebab tuntutan akademik.

Kelas aku buat jamuan akhir sem di taman tema air, duit kutipan bulanan kelas part aku burn macam tu je sebab aku tak dapat izin mak ayah untuk pergi.

Macam tu juga dengan kokurikulum bowling, aku tak dapat pergi ke pusat bowling, nanti mak ayah kata aku berdating dekat sana. Pointer untuk kurikulum memang out.

Bila aku tengok Aina dengan Afiq yang belajar dekat U asal cuti sem je bagitau mak ayah, dorang nak bercuti dengan kawan-kawan release stress. Takde halangan. Takde syarat.

Pantai, pulau, taman tema air, taman tema hiburan semua boleh. Masing-masing siap couple gayut fon 24, jam, takde kena marah.

4) PILIH KASIH MASA NAK KAHWIN

Aku berkawan dengan bakal suami aku dari aku keje swasta. Masa tu tak sampai bercinta sebab aku sangat takut dengan arahan mak ayah aku, keje, keje je jangan menggatal.

Sampai la bakal suami aku minta nak jumpa mak ayah aku, nak masuk meminang. Aku serba salah, takut, semua ada. Dia bagi kata-kata semangat, minta aku doa semua supaya semua dipermudahkan.

Mak aku letakkan syarat kalau nak kahwin, kena kerja. Bila aku dah dapat kerja swasta, katanya aku kena dapatkan kerja kerajaan.

Kerja swasta tu jadi kerani pulak, mak kata tak menjamin masa depan. Sedangkan Angah tengah study, mak aku bagi je dia kahwin. Bini dia pun student jugak. Langsung mak tak marah bila kedua-duanya tak bekerja. Mak ayah aku tanggung dorang.

Allah itu adil, Allah permudahkan urusan aku dan niat aku nak kahwin, aku dapat kerja kerajaan, baru mak ayah aku izinkan kahwin. Tu pun dia bebel gred tak setaraf diploma.

Syarat lain muncul, dia tak bagi aku mengandung dulu, katanya bagi bini Angah bersalin dulu sebab dia tengah mengandung. Boleh pulak mak aku nk tanggung anak menantu dan bakal cucu nya sekali.

Masa aku nikah, semua aku urus sendiri. Duit aku guna hasil titik peluh aku simpan sepanjang kerja swasta dulu. Suami aku pun ada bagi sikit duit untuk top up apa yang tak cukup.

Mak aku minta macam-macam dekat suami aku, hantaran, pelamin, kena macam ni macam tu. Kenduri dekat rumah nak buat, kat dewan, kat kampung. Sampai 3 tempat.

Masa Angah kahwin dulu takde pun dia campur tangan, dia ikutkan je kehendak Angah dan keluarkan belanja berapa banyak Angah nak. Anak kesayangan kot.

5) PILIH KASIH PEKERJAAN ANAK

Masa aku kerja swasta tu, aku kerani di syarikat binaan. Mak ayah aku bising, suruh aku kerja kerajaan.

Aku bukan tak isi SPA9 masa tu, dah isi, tapi faham-faham la, bukan senang nak dapat kerja kerajaan. Bertahun dah aku isi, baru sekali je dipanggil interview, tu pun ramai yang datang, jawatan kosong 1 je.

Kak Long dapat kerja kerajaan, pangkat besar, gaji besar. Sebab tu mak aku nak aku kerja kerajaan, terjamin. Kak Long kahwin dengan laki dia pun keje kerajaan, lagi la mak aku bangga dengan dia.

Tapi, mak selalu cakap, “kesian Kak Long tu susah”. Pelik jugak aku, apa yang dia susah? Dia boleh beli kereta mahal, rumah besar, ada dua rumah, satu buat homestay, satu lagi duduk, masihkah ‘susah’?

Mak marah bila aku tanya apa maksud mak, yang Kak Long ‘susah’ tu? Mak kata, “yela dia buat loan beli rumah, kereta lagi nak bayar, anak lagi 3 orang semua sekolah bagus-bagus, kerja sampai bawa balik ke rumah, kau ape tahu!”.

Keje aku sekarang memang keje kerajaan yang tak libatkan bawa keje balik ke rumah, tapi aku ditempatkan di pedalaman, memang susah nak dapat kediaman yang berdekatan untuk aku sewa.

Pilihan yang aku ada, ulang alik dari rumah suami aku ke tempat keje.

Tempat keje aku jauh dari rumah, bertolak lepas subuh dan bila balik aku selalu sampai rumah 11 malam, dengan gaji aku kecik ni, gred taraf SPM, belum dapat beli rumah sendiri, kereta pun beli 2nd belum habis bayar, so siapa lagi susah?

Mak jugak suka cakap dekat kawan-kawan dan sedara mara, “Qistina ni keje biasa je, taraf SPM je gaji dia, tak macam Kak Long nya” , walaupun orang tak bertanya.

Aku tak kenal kawan mak tapi dorang kenal aku sebagai anak yang bermasalah. Aku ni ibarat kalau bantu family dari kecik pun kena kutuk, kalau tak bantu lagi lah.

6) PILIH KASIH MASA BERSALIN

Masa KakLong bersalin, tiga-tiga anak dia, mak aku datang jaga dia dekat pantai timur tu sepanjang berpantang 3 bulan.

Masa Bini Angah bersalin, walaupun menantu, mak aku sanggup datang jauh-jauh nak jaga dia berpantang.

Bila aku bersalin, mak aku tak datang. Dia kata ada hal la, nak jumpa kawan la, nak urus pejabat la. Anak 1st memang aku tak reti apa, aku jadi stress bila makan minum tak jaga, anak mudah kembung, tak tidur malam. Badan tak berurut.

Ada je ayat menyakitkan hati macam “Orang beranak, kau pun nak beranak, tak reti jaga anak !”. Benda ni buat aku bertambah stress. Tapi suami dan anak penguat semuanya.

7) PILIH KASIH CUCU

Aku didik anak aku, sentiasa ucap terima kasih, minta maaf, salam orang tua. Alhamdulillah ringan mulut dia selalu ucap semua tu.

Anak Kak Long dengan Angah kasar, buat salah tak mengaku, lagi nak tuduh orang lain buat, yang tu yang mak aku bangga-bangga kan.

Pasu rumah dia pecah dibuat anak Kak Long, anak aku yang di salahkan. Hanya sebab anak aku perati, dia kata anak aku tak halang anak Kak Long buat pasu dia macam tu.

Habis tu macam mana dengan anak Kak Long? Dibelai-belai la, dibeli macam-macam sedang anak aku melopong tengok, sekarang dah pandai, dia akan tanya atuk dan nenek tak sayang dia ke?

Makanan pun dibeza-bezakan, apetah lagi duit raya yang tak pernah dapat dari ahli keluarga sendiri.

Bila difikirkan semula, aku penat jaga hati dorang. Sekarang, aku bahagia dengan suami dan anak aku, jauh dari dorang.

Aku sedar bila jauh, aku kurang terasa. Ada, tapi tak sekuat dulu. Aku banyak habiskan masa dengan anak dan suami. Kami tak mampu nak bercuti ke sana ke mari macam adik-beradik lain, tapi aktiviti di rumah eratkan hubungan kami.

Ada lagi benda memeritkan yang jadi, tapi aku stop di sini sahaja dulu, kalau aku taip, aku risau mengalir air mata, maka aku taip babak yang tak berapa sedih sahaja.

Buat Along, aku faham kamu. Kuatkan diri, walau susah pada mulanya, cuba lah… sebelum tidur ucap di bibir dah maafkan semua.

Aku lepas solat tak pernah miss doa untuk suami, ibu bapa, adik beradik dan anak. Meski dilayan tanpa belas ihsan, aku harap pengakhiran aku lebih menyenangkan.

– Qistina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *