Assalamualaikum wbt. Terima kasih admin jika sudi siarkan penulisan aku ni. Aku Qis, umur 21 tahun. Aku tergerak menulis selepas membaca penulisan dari Siti yang menjaga ibunya yang sakit stroke. Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/ke-syurga-atau-neraka/).
Aku pernah merasai menjaga bapa aku yang diserang stroke beberapa bulan yang lepas. Keadaan dia yang tidak dapat bercakap dan tidak dapat berjalan seperti biasa (lumpuh separuh badan).
Situasi aku ni lebih kurang sama seperti Siti, tapi yang bezanya dalam masa yang sama aku pun tengah sakit (menghidapi tumor) Namun, masih dapat melakukan kerja harian.
Aku punyai 8 abg, dan 1 kakak. Tapi penjagaan ke atas bapaku diserahkan sepenuhnya kepada aku. Adik beradik ku yang lain? Alhamdulillah mereka tahu menjalankan tanggungjawab masing-masing menolong apa yang mereka mampu.
Wallahi, tidak sedikitpun aku mengeluh ataupun meminta adik beradik yang lain untuk menjaganya. Sebab, kebanyakan mereka semuanya sudah berumah tangga, bekerja dan ada yang tinggal berjauhan. Dan aku tidak yakin untuk menyerahkan bapa aku dalam jagaan mereka. Itulah aku.
Sejujurnya, aku bukanlah seorang yang kuat dan masih bertarung dengan mental sendiri sampai ke hari ini. Aku bukan sahaja sakit, malah mengalami depression, anxiety dan personality borderline disorder. Tapi aku sembunyikan semua dan jalani hidup seperti biasa.
Aku tahu, aku satu-satunya harapan bapa aku untuk menjaganya pada masa itu. Segala apa tentang diri aku, aku tolak tepi dan focus sepenuhnya kepada dia.
Acap kali aku menangis saat menjaganya. Kadangkala aku curi-curi melihat matanya yang sayu memendam perasaan. Aku dapat merasai seakan hati aku dapat memahami. Itulah kekuatan aku, aku gagahi fizikal dan mental dalam tempoh waktu menjaganya.
Tiap hari aku jerangkan air untuk bagi dia mandi air yang suam-suam, aku pakaikan pakaian, sapu bedak, minyakkan rambut, bagi makan ubat. Akhir sekali barulah aku mengurutnya.
Aku sempat buat research bagaimana urutan bagi pesakit stroke. Sebab stroke yang dialami oleh bapaku waktu itu masih lagi awal tetapi jika dibiarkan mungkin akan jadi lumpuh kekal. Begitulah aku menjaganya seperti sedang menjaga seorang bayi. Nikmat sangat.
Aku bersyukur sangat-sangat sekarang bapaku sudah sihat seperti biasa. Doakan kedua ibu bapaku dipanjangkan umur serta diberi kesihatan agar mereka dapat terus menunaikan ibadah.
Itulah kenangan paling indah dimana aku dapat berbakti menjaganya walau hanya seketika. Aku rindu nak jaga dia lagi. Kalau boleh aku nak jaga kedua ibu bapaku sampai di akhir nafas mereka.
Kalian doakan aku supaya panjang umur ya kerana itulah satu-satunya harta dunia akhirat dan saham untuk aku disana nanti.
Sakit aku? Aku tengah jaga tiap pemakananku. Itu yang aku mampu. Kenapa tidak buat operation? Aku bukan dari keluarga yang senang. Doakan yang baik-baik. Insha Allah, Allah ada jalan yang terbaik buat aku. Allah tahu apa yang lebih baik.
Bagi kalian yang mengalami seperti aku, satu aku nak kata ;
“Jiwa aku sudah lama mati untuk teruskan kehidupan di atas dunia ni, tapi aku masih bertahan hingga sekarang kerana aku punyai SATU SEBAB untuk teruskan perjalanan yang amat memeritkan ini iaitu ALLAH”.
Tiada lagi sebab lain. HANYA ALLAH SEBAB AKU MASIH BERTAHAN.
Untuk kalian diluar sana, jagalah nikmat kesihatan itu sebaik-baiknya ya. Tanpa kesihatan hidup kalian tiada makna. Jadi, bersyukurlah dengan apa yang kalian miliki sekarang.
Bersabarlah dengan setiap ujian, pandanglah ujian tu dengan penuh hikmah. Pasti kalian akan rasa nikmatnya. Yakinlah, kalian yang menerima ujian hebat ini adalah pilihan dari Allah dalam kalangan hamba²-Nya yang lain dan kalian mampu untuk tanganinya.
Sedih ini tidak akan kekal,
Derita ini tidak akan berpanjangan,
Jika disertakan ikhlas dan sabar,
Yakinlah, dipengakhiran nanti ada kebahagiaan yang menanti kalian.
Jaga diri kalian.
Maafkan salah dan silap dalam penulisan.
Moga kalian yang membaca ni sentiasa dalam lindungan Tuhan.
– Qis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit