Assalamualaikum. Terima kasih jika tersiarnya tulisan ini. Bahasa aku mungkin tidak sebaik mana sebab aku budak sains, bahasa adalah subjek yang aku paling tidak minat. Ini ada kaitan juga dengan cerita yang akan aku ceritakan dengan lebih panjang.
Aku berumur 40an. Seperti tajuk di beri aku bersekolah rendah sekitar tahun 80an. Keluarga aku masa tu sangat fanatik sekolah pondok, aku dan kakak-kakakku di hantar ke sekolah pondok. Ayah aku hendak sangat anak-anak dia belajar ilmu akhirat.
Bagi ayah aku ilmu akhirat sangat penting, dia tak nak nanti besar anak-anak akan jadi orang buta agama. Kakak-kakakku di hantar sekolah pondok dari mula sekolah rendah dan sekolah menengah. Jarak umur aku dan kakak-kakakku beza dalam 4 dan 5 tahun.
Aku pula ayah aku membuat keputusan untuk hantar sekolah pondok bersama kakak-kakakku aku bila ayah aku ternampak aku pakai seluar panjang.
Ayah aku cakap budak ni besar nanti aku mungkin akan jadi liar, sebab budak perempuan tidak boleh pakai pakaian macam lelaki, reason tu lah ayah aku hantar aku masuk sekolah pondok. Takut aku besar nanti tak pandai bab agama.
Darjah 2 aku di hantar ke sekolah pondok. Memang tak pandai nak menyesuaikan diri. Baru-baru masuk sekolah tersebut aku tak jumpa kumpulan dulang makan (makan dalam talam yer masa tu, 1 talam 4 orang) , ada la 2 hari jugak aku tak makan nasi, makan kuih-kuih je.
Kakak-kakakku memang bersekolah pondok dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah hinggakan kakak sulungku tidak tahu menulis rumi dengan betul sehinggalah beliau perlu menduduki peperiksaan SPM.
Tapi nasib aku agak baik, bila naik sekolah menengah ayah ku menghantar aku ke sekolah menengah aliran agama yang ada akademik, jumlah mata pelajaran yang aku belajar masa tu 22 subjek, jenuh jugak lah aku mengharungi 3 tahun di sekolah tersebut.
Untuk pengetahuan pembaca Ibu bapa aku berkerja jauh dari sekolah aku dan kakak-kakakku belajar (sewaktu aku masuk ke sekolah menengah aliran agama dan akademik, kakak-kakakku juga ayah ku pindahkan dari sekolah pondok yang hanya aliran agama sama dengan sekolah aku) Kami duduk di dalam pondok.
Kalau siapa-siapa pernah duduk di pondok, tempat tu lah tempat tidur, tempat mengulangkaji, tempat lepak dengan kawan-kawan. Mandi di kolah yang di sediakan oleh pihak sekolah.
jadi setiap cuti sekolah aku dan kakak-kakakku akan balik kampung sebelah ibuku sebab nak balik ke rumah ibu bapaku agak jauh dan juga memerlukan perbelanjaan.
Ibu dan bapa saudara kami sering balik tengok nenek di kampung hampir setiap minggu. Ada seorang ibu saudara yang tinggal bersama-sama nenek dah telah berkahwin. Kami sering di perli.
Ya lah nasib cucu-cucu yang menumpang rumah nenek. Apa yang mereka tak cakap pasal kami, malas, nakal, tak hormat orang tua, makan percuma dll.
Di sebabkan kami ni sekolah pondok maka ibu-ibu saudara kami sering memerli kami.
Kata mereka kami ni belajar agama saja takkan ke mana, kalau lelaki boleh jadi imam atau tok siak di surau atau masjid, kalau yang perempuan nanti akan jadi suri rumah saja, tak payah belajar agama teruk-teruk.
Aku pula sering di momok kan akan jadi ustazah saja (mungkin sebab keputusan peperiksaan aku lebih baik dari kakak-kakakku). Ye, masa tu pun memang aku dah set kan dalam otak aku yang aku nak pergi sambung belajar ke Mesir dan balik akan jadi ustazah. Itu lah cita-cita aku yang paling tinggi masa tu.
Aku juga sering di perlekehkan kerana pakai tudung dalam rumah (auratkan) bila sepupu-sepupu aku juga ada di rumah nenek aku. Aku ingat lagi masa tu sepupu-sepupu panggil aku dengan gelaran ustazah sambil gelak-gelak dengan nada mengejek.
Mereka juga sering speaking ‘omputeh’ depan kami, ya lah kami kan sekolah pondok mana pandai english. Mereka memang sering merendah-rendahkan sekolah aku dan kakak-kakakku belajar.
Aku pula memang jenis tak banyak cakap, jadi aku memang tak melawan apa yang mereka cakap pasal aku.
Ibu saudara aku pula sering memuji-muji anak2 mereka, sekolah menengah di sekolah yang terkenal di negeri kami, pandai dan moden berbanding kami yang bersekolah pondok ni.Biasa aku pekakkan ja telinga, malas nak bergaduh dengan orang yang lebih tua.
Waktu di rumah nenek tu, aku lah yang di tugaskan untuk basuh pinggan mangkuk yang ibu saudara dan sepupu2 ku makan (zaman dulu mana ada sinki, jadi kena basuh dalam bilik air, sambil cangkong atas papan kekuda).
Kerja2 rumah aku dan kakak-kakakku yang kena buat. Padanlah adat menumpang kan. Bagus juga nenek aku suruh tu, persediaan nanti bila dah berumahtangga(hehe). Tapi masa tu kan masih awal-awal sekolah menengah, asyik terasa kena buli dan memberontak.
Aku ni walaupun sekolah pondok, otak aku tidak lah seteruk mana. Mungkin dengan belajar 22 mata pelajaran tu Allah bagi otak aku ni kelebihan. Walau pun bahasa inggeris aku tunggang langgang tapi aku masih boleh faham serba sedikit.
Aku rasa berkat doa ibu ku dan berkat belajar ilmu dunia dan akhirat Allah mudahkan laluan kehidupan aku dan kakak-kakakku.
Aku dapat keputusan yang baik sewaktu SRP kecuali bahasa inggeris. Aku memang meminati matematik dan sains dan aku cemerlang dalam matapelajaran tersebut. Aku nak keluar dari sekolah pondok dan menerokai dunia luar.
Dengan keputusan yang baik itu aku memohon sekolah menengah yang terkenal di daerah kami. Alhamdulillah aku diterima masuk.
Di sebabkan ibu dan ayah ku berada jauh jadi serba serbi aku dan kakak-kakakku perlu uruskan sendiri. Aku pergi mendaftar di sekolah menengah tersebut dengan sahabat ku dengan menaiki bas.
Membawa segala borang- borang yang di perlukan, aku berjumpa dengan cikgu yang bertugas bahagian pengambilan pelajar baru.
Aku masih ingat cikgu tersebut bertanyakan soalan samada aku betul – betul ingin masuk kelas sains tulen, alasannya kerana aku dari sekolah pondok yang tidak ada kemudahan makmal, hanya mengenal alat-alat sains daripada buku, tidak pernah melihat atau memegang tabung uji, silinder kaca, bikar, penunu bunsen dll.
Aku di syaratkan untuk tempoh percubaan 1-2 bulan di dalam kelas sains tulen tersebut, jika tidak ada kemajuan dalam pelajaran aku akan di tukarkan ke kelas aliran sastera.
Seperti yang aku bagitahu aku memang pandai matematik dan sains (angkat bakul sendiri pulak kan) Setiap bulan ada ujian bulanan. Jadi aku memang score matematik dan sains. Cuma kelas english memang aku duduk dalam kelas paling corot.
Ada beberapa kawan-kawan seangkatan dengan ku yang perlu di tukar kan ke kelas aliran sastera selepas ujian tersebut. Aku kekal dalam kelas sains tulen.
Alhamdulillah SPM aku dapat keputusan yang membanggakan. Masa zaman tersebut kalau dapat pangkat 1 dah dikira sangat baik, bukan seperti zaman sekarang, perlu straight A. Dengan keputusan tu aku di terima masuk ke universiti tempatan.
Sewaktu aku di terima masuk ke Universiti tersebut, aku sujud syukur, seperti tidak percaya aku dapat masuk universiti yang sangat aku idam-idamkan dari kecil.
Aku nekad ubah hidup aku. Aku buang semua sifat introvert dalam hidup aku. Walaupun sewaktu di Universiti aku seolah -olah ‘culture shock’ dengan persekitaran, pergaulan dan lain-lain, aku cuba hadap dan hadamkan semua tu.
Aku menjaga batas-batas agama dalam pergaulan. Aku tahu hukum hakam dalam kehidupan seharian. Aku bersyukur aku di bekalkan ilmu agama dari awal.
Berapa banyak tumpah air mata aku (mau 2 ke 3 baldi kalau boleh di kumpulkan). Pelbagai dugaan dan cabaran aku lalui dan aku rempuh jua.
Bayang kan aku dari sekolah pondok yang tidak mempunyai kemudahan dan fasiliti, dengan kekurangan tenaga pengajar aku berjaya juga ke menara gading.Aku ambil ijazah dalam bahagian sains dan sambung sampai ke master.
Aku bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Banyak kali berpindah randah mengikut arahan orang atasan. Adalah 18 tahun aku kerja dengan kerajaan. Tiba-tiba aku mendapat tawaran dari sektor swasta dengan gaji yang 3 ke 4 kali ganda dari sektor kerajaan.
Susah untuk aku membuat keputusan dan lepaskan jawatan aku (masa tu aku dah pegang jawatan gred 54), tapi di sebabkan masalah birokrasi di tempat kerja aku, maka aku membuat keputusan untuk menukar persekitaran kerja aku di sektor swasta.
Gaji asas yang di tawarkan Berpuluh ribu sebulan. Alhamdulillah dah 5 tahun aku bekerja di sini, aku bahagia walaupun kerja aku tak kira waktu, siang atau malam. Kerja aku ni jarang boleh dapat cuti, contactable for 24 hours and 7 days. Penat tapi berbaloi.
Sekarang gaji aku boleh mencecah 6 angka setiap bulan. Aku bukan kerja dengan MLM tau. Aku dah di kira sebagai senior consultant di bahagian department aku.
Kakak-kakaku juga berjaya, mereka bekerja sebagai tenaga pengajar di sekolah menengah kerajaan setelah balik dari Mesir.
Oh ya sepupu-sepupuku, Alhamdulillah mereka juga berjaya dalam kerjaya masing-masing, seorang menjadi tenaga pengajar di sekolah, seorang lagi menjadi pensyarah, ada yang bekerja sendiri dan yang lain-lain menjadi kakitangan kerajaan.
Aku tak pandai mana pun sebenarnya, cuma aku rajin dan sabar. Yang paling penting berkat doa ibu dan ayah tanpa henti. Allah mudahkan laluan aku sampai aku berjaya.
Aku harap aku tidak sombong dan bongkak (tak pasti lah pandangan staff-staff dan kawan-kawan sekerja tempat aku) kerana aku tahu bagaimana rasanya susah dan derita.
Aku baik dengan makcik-makcik cleaner, aku boleh buat kawan borak dengan kakak dan adik-adik kafe tempat aku kerja.
Apa yang aku nak ceritakan di sini, bukan gaji yang dibanggkan, kejayaan hidup bukanlah semata-mata harta dunia.
Walau susah dan teruk kehidupan kita sekarang. Kita perlu ada sifat ingin berubah, istiqamah, sabar dan kuat semangat. Ini jugaklah yang aku sering pesan pada adik-adik dan anak-anakku. Tidak ada benda yang datang bergolek, perlu ada usaha dan azam.
Yang paling penting, hantar lah anak-anak belajar agama di peringkat awal, kerana dengan pengangan agama itulah mereka tahu halal haram hukum hakam dalam pergaulan dan dalam kehidupan sosial mereka, sekurang-kurangnya boleh membaca Al-Quran dengan baik dan ilmu asas fardhu ain.
Ada banyak lagi sisi perit dan derita dalam hidup aku yang aku tak sempat nak kongsikan dengan pembaca semua sebab aku tidak banyak masa terluang.
Untuk tok – tok guru ku sekolah pondok, cikgu-cikgu ku di sekolah menengah, pensyarah-pensyarah ku di Universiti, kesejahteraan dan kebahagiaan kalian sentiasa dalam doaku selepas solat.
Sejak PKP ini sahaja yang aku ada masa terluang untuk menulis walau masih bekerja setiap. Maaf ayat-ayat aku agak berterabur.
Pada kawan-kawan yang aku pernah aku kongsikan cerita ni korang duduk diam-diam je lah. Sebab aku tahu ramai kawan-kawan seperjuangan aku yang jadi pembaca iiumc ni.
– Saera (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit