Aku Hanya Cucu

Assalamualaikum pembaca semua. Aku sangat-sangat jarang menulis di media sosial dan dimana-mana, dek kerana kesibukan menguruskan hidup dan keluarga, aku hanya menjadi pembaca tegar semata. Jadi gaya penulisanku ini mungkin menjadi barah dimata kalian, maafkan aku.

Tapi kali ni aku sangat bertekad untuk meluahkan apa yang sudah lama aku pendamkan. Kalau penulisan aku ini caca merba, maafkan aku ya. Dan aku akan cuba sebaik mungkin untuk buat kalian faham isi kandungan ‘Aku Hanya Cucu’ ini dengan berharap dengan sangat, akan disiarkan oleh pihak admin. Tolong lah wahai admin..

Untuk pengenalan ringkas, aku Intan dan dah tentu bukan nama sebenar, umur 27, sudah berumah tangga, mempunyai 3 orang anak, tinggal di negeri S dan tidak bekerja.

Ringkaskan cerita, baru-baru ini suami aku outstation selama seminggu, dan aku ambil keputusan pulang ke kampung halaman tinggal dengan mak ayah aku buat sementara waktu ini. Dalam rumah mak ayah aku juga, ada adik2 aku, dan juga nenek aku.

Dalam luahan ini, sudah tentulah nenek aku yang jadi watak utamanya. Dan aku hanya sampingan sahaja. Nenek aku, Allah kurniakan kesihatan yang amat baik padanya Alhamdulillah. Nenek akan bergilir-gilir tinggal bersama anak-anaknya yang lain juga. Turn mak aku, akan beralih kerumah maklang aku, makteh, pakcik, maksu dan juga anak2 yang lain, macamtu lah kitarannya sejak 2 tahun lepas selepas kematian atok kerana sakit tua.

Dipendekkan cerita, maaf aku cakap dan mungkin aku agak judgemental dalam soal ini, apa yang aku perasan, keikhlasan anak-anak nenek dalam menjaga syurga mereka ini, tak ada. Anak-anak nenek aku hanya menjaga nenek, semata-mata takut nanti orang cakap apa pula kalau mak sendiri pun tak boleh jaga.

Mak aku, dan kebanyakan adik beradik mak aku, tinggal di dalam negeri yang sama, jadi sebab itulah mudah untuk mereka bergilir-gilir ambil turn masing-masing menjaga nenek. Kalau mereka nak hantar nenek ke rumah orang tua-tua, takut dilabel anak derhaka pula walhal kejadian anak derhaka ni dah pun terjadi even dalam rumah dorang sendiri dek layanan dingin mereka pada nenek, ini yang aku dapat lihat.

Untuk semua tahu, nenek aku sihat walafiat saja orangnya, masih boleh berjalan laju, boleh uruskan semuanya sendiri. Basuh baju, sidai kain, lipat kain, cuci pinggan, memasak, kemas rumah semuanya nenek boleh buat. Nenek aku bukanlah orang yang terlantar baring, sakit dan perlu ditukarkan lampinnya, atau diberi makan oleh orang lain. Nenek sihat, masih kuat, hebat bertaranum cuma memorinya saja sikit demi sikit hilang sebab usianya dah pun mencecah 80 tahun hujung tahun ini.

Apa yang aku perhatikan, anak-anak nenek, bila berbincang soal nenek sesama mereka, sesi mengutuk saja yang aku dengar, bukan sesi mencari solusi kepada ibu yang mengandungkan mereka adik-beradik. Padahal anak-anak nenek kesemua mereka hebat-hebat belaka, gaji berpuluh ribu sebulan pun ada, jadi pegawai tinggi pun ada, ada driver kehulu-kehilir, hidup senang lenang dan duit bukan masalah langsung.

Umur anak-anak nenek masing-masing pun dah mencecah 40 hingga 50 tahun lebih, dah tua, ada yang dah pencen dengan akaun jutaan ringgit, ada yang berpuluh kali menunaikan haji dan umrah, ada antara mereka juga yang baca alquran tak tinggal, pergi kelas mengaji dan kuliah setiap hari, tapi tetap juga menperlakukan ibu mereka sebegini. Wang ringgit yang banyak sudah mengaburi mata-mata mereka, asyik mengutuk ibu mereka dengan kata-kata yang tak suka aku nak dengar.

Mungkin ada antara pembaca yang akan kata, kenapa tak bawa nenek tinggal dengan aku saja…? Jawapannya aku tak kisah, cuma adik beradik nenek akan susah nak menziarahi nenek sebab rumah aku tinggal berjauhan yang memerlukan khidmat penerbangan sekiranya nak ziarahi nenek aku kalau dia tinggal bersama aku. Itu saja.

Kadang kala, anak-anak nenek mengutuk nenek dalam bahasa inggeris nak mengelakkan daripada nenek aku faham. Terkebil-kebil mata nenek aku tak faham sepatah kata. Sambil berbisik-bisik, bergelak ketawa sesama mereka, walaupun didepan nenek. Apakah mereka lupa, yang melahirkan mereka siapa, yang mengasuh dan mendidik mereka siapa, yang mendoakan mereka siangdan malam siapa…?

Tapi bila masing-masing dah jadi hebat-hebat, mereka guna nikmat yang mereka ada, nikmat dunia yang mereka dapat melalui doa-doa nenek aku, untuk melawan ibu mereka semula. Astaghfirullah. Aku sebagai cucu, aku jadi terkilan, sangat sedih bila nenek yang selalu mendoakan anak-anaknya diperlakukan sedemikian rupa.

Nenek aku dah dilabel dengan pelbagai gelaran, antaranya orang gila sebab nenek dah banyak lupa. Bila mereka bercakap dengan nenek, seolah-olah nenek itu tidak punya hati dan rasa, seolah-olah nenek bukan ibu mereka. Marah nenek, bentak nenek, bercakap kasar. Pantang nenek salah, macam perang dunia jadinya.

Itu yang selalu aku dengar walaaupun aku sekali sekala sahaja ada disini. Pernah di rumah makteh aku ada majlis berbuka puasa, jemput ustaz datang ketuai solat tarawikh bersama-sama, dan beri tazkirah. Semua anak-anak nenek juga ada bersama-sama.

Aku dalam diam, meminta jasa baik ustaz tersebut untuk memberi tazkirah bab anak derhaka ini, tapi apa yang aku dapat lihat, segala nasihat dan teguran itu tidak langsung terkesan dihati mereka anak-anak nenek walaupun mereka semua ada ketika sesi tazkirah itu diadakan. Apa nak jadi dengan anak-anak nenekku, aku buntu sebab masing2 dah tua bangka. Sedih.

Kata-kata ustaz pun dipandang sinis, apatah lagi nasihat aku yang tidak berpangkat ini bagai ditiup angin lalu saja. Kosong. Menurut nenek, menantu-menantunya semua baik dengannya, tidak meninggi suara, bercakap baik dan sopan dengan nenek, tapi yang jadi masalah adalah anak-anak nenek sendiri.

Mungkin juga ada yang kata, ada salah silap nenek pada anak-anaknya sampai sebegitu anak-anak melayan nenek. Bagi aku, yang sudah lepas tu, lepas lah. Mungkin betul ada silap nenek diman-mana, tapi adakah dengan dendam pada ibu sendiri itu membawa bahagia…? Dan sampai bila mahu berdendam dengan ibu sendiri sedangkan bila mati pun nama ibu yang akan disebut bersama nama mereka…?!

Meleleh air mata aku bila aku terkenangkan masa aku hanya tinggal beberapa hari saja lagi disini. Kadang-kadang, aku berbual dengan nenek. Bila cerita tentang anak-anak, nenek akan sebut satu persatu nama anak-anak dengan linangan airmata. Memang nenek aku sentiasa didepan mata anak-anaknya kerana giliran mereka menjaga nenek, tapi keikhlasan dalam menjaga nenek tu tak ada.

Bagi mereka, mereka dah jaga nenek, cukuplah. Tapi mereka tak sedar, dalam diam mereka menderhaka. Aku berharap dengan sangat, aku tak terbawa-bawa sikap sebegini. Cukuplah. Aku bimbang dalam diam aku juga menjadi anak derhaka sebab banyak contoh didepan mata. Nauzubillah.

Jadi pembaca sekalian, aku hanya cucu. Apa aku mampu buat untuk mereka yang tidak mengahrgai ibu mereka sendiri ini? Percayalah, aku bukan niat untuk membuka aib sesiapa. Tapi aku buntu mencari jalan. Kalau boleh, jangan lah dikecam mereka yang bersalah dalam hal ni. Sebab mungkin pintu hati mereka belum terbuka untuk menghargai ibu mereka sendiri.

Tolong aku pembaca sekalian. Nasihat yang aku perlu sekarang ni. Mungkin ada nasihat kalian yg akan aku usahakan buat, Allah izinkan dan akan menjadikan anak-anak nenek kembali menyantuni ibu mereka. InsyaAllah.

Salam akhir Aidilfitri, maaf zahir batin.

– Cucu nenek (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *