Assalamualaikum dan terima kasih kepada admin IIUMC jika confession ini disiarkan. Aku terpanggil untuk menulis confession ini lepas baca confession yang bertajuk Sisi Gelap Guru oleh Cikgu Tia, (https://iiumc.com/sisi-gelap-cikgu/).
Aku scroll comment yang ada dan baca. Banyak yang menafikan tapi aku sebagai murid dan anak kepada seorang cikgu, mengakui perkara itu adalah sebuah realiti,
Yang mungkin cikgu sendiri susah nak terima kenyataan itu dan orang luar yang bukan cikgu tak nak buka mata untuk percaya.
Pertama sekali aku nak tegaskan, cikgu bukan maksum, anak murid bukan maksum. Dua-dua pihak ada jugak yang salah. Berdasarkan pengalaman Cikgu Tia, aku nak cerita dari sudut kami murid pula.
Kisah yang aku nak cerita adalah kisah aku di sekolah rendah sebab sekolah menengah aku boleh cakap, cikgu-cikgu sangat bagus dan suasana toksik ni hampir tiada.
Cikgu sangat baik dan kalau cikgu tegur kasar pun teguran tu memang teguran membina (sebab aku pernah ditegur dengan teguran pedas dan itu jadi semangat aku untuk dapat A+ dalam subjek Matematik semasa SPM).
Kisah ni ketika aku di sekolah rendah. Ayah aku meninggal awal sewaktu aku darjah dua. Ibu aku juga merupakan seorang guru tetapi aku tidak mahu berpindah ke sekolah yang ibu aku mengajar.
Sekolah aku boleh dikategorikan sekolah pinggir bandar dan muridnya tak ramai di sebuah bandar bahagian utara Malaysia.
Aku akan cerita sisi guru yang toksik dan guru yang sangat berjiwa pengajar. Aku akan mulakan dengan guru berjiwa pengajar dahulu.
Cikgu yang paling aku ingat, cikgu Bahasa Inggeris aku sewaktu aku darjah enam. Beliau sangat komited dalam tugas beliau. Seorang pendidik berbangsa Cina tetapi sangat sayangkan muridnya.
Disebabkan oleh beliau yang ajar aku dan kawan-kawan tanpa penat lelah, keputusan Bahasa Inggeris kami boleh dikatakan bagus.
Disebabkan beliau aku memperoleh A dalam Bahasa Inggeris. Cikgu aku ni mengajar semua pelajar beliau di sekolah aku hanya terdiri dari bangsa Melayu dan India tetapi disebabkan jiwanya seorang pendidik, beliau ajar kami seikhlasnya dan tidak memilih bulu.
Beliau akan pastikan kami betul-betul faham apa yang beliau ajar. Bimbing kami untuk menulis essay dengan baik.
Kami sangat menghargai dan ingat jasa beliau sampai hari ini. Terima kasih teacher. Kalau bukan sebab teacher mungkin saya tak dapat A untuk subjek English suatu ketika dahulu.
Seterusnya aku akan ceritakan sebuah pengalaman yang membunuh diri aku yang dahulu sehingga terbentuk diri aku sekarang.
Dulu, aku seorang extrovert. Sangat aktif dan mesra dengan guru dan kawan namun disebabkan satu peristiwa, aku berubah. Aku jadi introvert.
Masuk ke sekolah menengah, aku takut untuk berkawan. Aku takut untuk dekati mana-mana cikgu hatta untuk bertanya soalan yang aku tak faham.
Ya aku boleh dikatakan budak pandai di sekolah rendah. Aku masuk ke salah sebuah sekolah menengah elit di negeri yang aku tinggal ni.
Apabila masuk ke alam sekolah menengah, mustahil aku akan faham semua dengan mudah sebab silibus pun dah lain dan aku kerap juga tak hadir ke kelas atas alasan aktiviti kokurikulum.
Sepatutnya aku pergi berjumpa cikgu dan minta cikgu terangkan kalau ada yang aku tak faham, tapi aku tak mampu berbuat demikian. Aku jadi takut.
Aku jadi risau disebabkan peristiwa lalu. Aku taknak cikgu kenal aku. Biarlah tiada seorang guru pun yang kenal aku at least perkara sama takkan berulang. Hatta aku masuk ke matrikulasi, aku takut berjumpa pensyarah disebabkan hal yang sama. Aku jadi inferior.
Aku jadi pasif dan mudah gugup seolah aku taknak siapa pun pengajar aku kenal aku. Biarlah aku kenal mereka, hargai jasa mereka tapi jangan mereka kenal aku sebab aku tersangat bimbang hal yang sama terjadi.
Tahun 2009,
Pada suatu petang balik dari sekolah, ibu aku panggil aku. Pada tahun tersebut aku akan menduduki peperiksaan UPSR.
Ibu aku tanya aku bermacam soalan dan akhirnya, ibu aku menceritakan sesuatu yang betul-betul menghancurkan kepercayaan aku terhadap guru dan diri aku sendiri.
Ya aku seorang murid dan kanak-kanak yang PERLU BIMBINGAN BUKAN UMPATAN. Segala kesalahan aku disenaraikan. Segala perubahan diri aku.
Ibu aku bertanya soalan yang takkan aku lupa, ‘awak sedar tak seolah cikgu sekian sekian benci dengan awak?’ Saat itu baru aku tersedar dan teringat segala perkara.
Ya, betul tapi kenapa? Ibu aku terangkan segalanya baru aku tersedar segala kesilapan aku. Tapi segalanya sangat menyakitkan. Salah satu perkara yang aku ingat, kawan-kawan aku bukan semua yang suka berkawan dengan aku.
Mereka jumpa cikgu dan mengata hal buruk belakang aku dan cikgu-cikgu pulak menggunakan segala info tersebut untuk mengumpat aku dalam bilik guru.
Aku seorang pelajar yang perlu bimbingan. Andai cikgu-cikgu mengumpat akan muridnya, adakah disitu ada jalan penyelesaian?
Bagi aku tiada. Jalan yang terbaik adalah cikgu menegur murid tersebut. Tapi hakikatnya cikgu aku yang lantang mengutuk aku itu tak pulak panggil aku untuk sedarkan aku malah hal yang kecil dibesarkan oleh dia.
Ya. Suatu hari di dalam kelas, sewaktu cikgu subjek Sains mengajar, kawan aku panggil untuk bertanyakan soalan. Aku jawab, “Satgi aku explain. Cikgu tengah mengajar ni.”
Serta merta cikgu panggil nama aku, marah aku dengan kata kamu suka ganggu kelas saya sedangkan seingat aku itu pertama kali aku jawab soalan kawan aku dalam kelas beliau.
Hal ini dibawak masuk ke bilik guru dan cikgu tersebut mengatakan aku ganggu kawan-kawan aku sampai mereka tak dapat belajar. Sampai hati seorang GURU berbuat demikian.
Banyak sangat perkara yang jadi dulu. Antaranya, program mentor mentee di sekolah aku, semua cikgu taknak aku jadi mentee mereka. Mereka serahkan aku kepada guru praktikal tapi sejujurnya aku sangat bersyukur Allah hantar cikgu tu untuk jadi mentor aku.
Dia seorang cikgu yang sangat caring dan beliaulah yang bimbing aku. Terima kasih cikgu (bila ingat memang berair mata aku).
Seingat aku, mentor aku katakan pada aku, aku perlu berjaya buktikan aku mampu dapat 5A untuk UPSR. Andai cikgu lain membenci aku, beliau ada dan percaya aku mampu. Cikgu lain mengatakan aku takkan dapat 5A.
Nak dapat 1A pun mustahil. Hebatkan seorang cikgu mampu mengatakan begitu sehingga lupa Allah tu ada. Sedangkan takdir manusia itu Allah yang pegang dan kau hanyalah manusia dan juga hamba Allah sama seperti aku wahai cikgu.
Tapi aku hargai apa yang kau ajar wahai guru sekalipun kebencian itu lebih tinggi dari gunung Everest (sigh). Yang aku tahu aku disekolah tu, mungkin semua cikgu benci aku.
Tapi seorang cikgu yang merupakan guru kelas aku sewaktu aku darjah satu panggil aku dan cakap, ‘xxx, saya kenal awak. Saya yakin awak bukan macam yang orang lain cakap’. Terima kasih cikgu, saya tak pernah lupa. Sikit pun tak lupa.
Alhamdulillah akhir sekali aku mampu dapat 5A untuk UPSR, dan masuk ke salah sebuah sekolah elit dan kisah yang seterusnya, alhamdulillah disekolah menengah, guru yang aku jumpa tidak toksik seperti aku bersekolah di sekolah rendah.
Terima kasih semua cikgu yang hadir dalam hidup aku dan mengajar aku untuk matang akan soal dunia seawal usia aku 12 tahun tetapi meninggalkan kesan dan luka yang paling dalam sehingga hari ini tak sembuh walaupun kini umur aku sudah menginjak 23 tahun.
Sejujurnya, disebabkan peristiwa ini, aku blok semua kenangan aku di sekolah rendah. Aku hampir lupa semua kenangan indah aku tapi yang pahit ni aku tak mampu lupa.
Pesan aku kepada insan bergelar guru, cikgu, kami murid adalah manusia, tidak maksum, penuh dengan salah silap kerana baru belajar mengenal dunia, maka bimbinglah kami cikgu.
Tegur kami jangan cikgu biarkan kami ingat tiada apa yang salah dengan tindakan kami. Jangan cikgu umpat kami seolah kami ini tunggul kayu tanpa perasaan.
Sekian, aku murid yang hina.
– Anak Murid (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit