Aku Ibu Tak Berguna

Assalamualaikum, nama aku Nana (bukan nama samaran) berumur pertengahan 20an. Aku berkahwin diusia muda dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang comel.

Aku tahu cabaran membesarkan anak adalah satu ujian dan amanah yang besar. Aku percaya tak ada ibu yang nak sanggup kehilangan anak. Begitu jugak aku.

Aku tewas dalam emosi. Anak aku yang masih kecil tak tahu apa-apa selalu jadi mangsa kemarahan aku. Aku ibu yang bodoh. Aku selalu berpesan pada diri “kenapalah aku pukul anak aku, dia tak berdosa, dia masih kecil dan tak faham apa-apa”.

Aku tinggal bersama mertua aku. Belum ada rezeki nak ada rumah sendiri/sewa. Sejak anak aku lahir aku berhenti kerja sebab nak jaga anak aku.

Korang mesti pelik kenapa aku tak hantar anak ke pengasuh. Aku ada masalah trauma dari kecik iaitu sexually harrasment dari adik beradik sendiri dan itu membuat aku tak percayakan orang.

Jadi aku surirumah sepenuh masa. Duduk dengan mertua bukan perkara mudah tambah-tambah suami masih ada adik-adik lelaki yang belum berkahwin dan aku sentiasa perlu menjaga aurat 24/7.

Tekanan aku rasai sangat bila semua kerja rumah aku uruskan. Aku sedar menumpang rumah mertua tak kan nak goyang kaki je

Makin lama aku makin tekanan. Tidur malam tak pernah cukup sebab anak aku jenis menyusu botol setiap malam walaupun tengah tidur.

Suami aku boleh kira jarang sangat nak bangun tolong aku bancuh susu anak kecuali kalau aku gerakkan dia. Aku ni mudah terjaga kalau anak merengek sikit pun

Dan akibat tu aku kadang marah anak aku yang tengah tidur. Ibu apa aku ni. Fasa membesar ni anak aku suka mengutip apa saja dan masukkan dalam mulut.

Aku tak boleh tengok dan mudah marah. Aku kerap lempang pipi anak aku sebab ni. Aku tak faham kenapa aku susah kawal tangan dan kemarahan aku. Anak yang tak berdosa ni menangis dan setiap kali tu aku menyesal perbuatan aku

Anak aku kalau menangis kuat selalunya dia akan muntah. Aku marah dia sebab dia muntah sebab aku fikir aku lah yang nak kena buat semua dari lap muntah sampai la mencuci baju.

Tak ada orang tolong aku pun walaupun suami ada. Anak aku salah pakai kasut pun aku marah sambil jerit padahal dia tengah dalam fasa belajar lagi. Aku letih sangat.

Aku jadi letih dengan rutin aku. Aku tak ada masa untuk diri sendiri. Aku sakit tak boleh bangun sekalipun aku juga uruskan anak. Anak sakit aku jugak yang uruskan. mana masa untuk aku rehat kecuali tidur.

Itupun tak pernah aku dapat nikmat satu malam untuk aku tidur tenang tanpa gangguan apa pun.

Masak dan suap anak aku juga yang buat. Suami cuma tidur dan tak fikirkan aku yang setiap hari kerja tanpa gaji. Aku faham dia letih berkerja tapi aku ni macam mana. Mungkin bagi suami aku ni buat kerja rumah saja tak letih langsung macam dia kerja diluar.

Bukanlah aku tak redha semua ni tapi aku pun manusia. ada rasa penat dan letih. ada rasa nak ada masa untuk diri sendiri untuk satu hari je. Tak boleh ka?

Aku banyak membaca kesan bila kita pukul anak dan mungkin akan effect tumbesaram dia tapi aku dah cuba kawal diri dan aku gagal lagi.

Ada masa aku happy dengan anak. Bawa jalan-jalan, aku jugak suka peluk anak, suka ungkapkan kata-kata sayang tapi bila emosi aku datang anak aku jadi mangsanya.

Aku marah bila anak tak dengar cakap aku walaupun anak aku tak faham apa yang aku nak. Aku selalu cubit atau tampar dia. Aku memang ibu yang tak guna.

Baru-baru aku balik rumah mak aku dikampung sebab aku nak hilangkan tekanan aku dirumah mertua.

Ingatkan semuanya akan ok dan aku cuba lagi untuk kawal kemarahan aku rupanya sama saja. Bahkan lebih teruk berbanding dirumah mertua.

Ramai bertanya aku tak nak tambah anak ke. Satu ja aku jawab, “aku perlu stabilkan emosi aku dulu baru fikir anak lain”

Aku tak nak anak-anak aku yang lain jadi mangsa kemarahan aku. Aku tak nak ulangi kesilapan aku terhadap anak lain.

Aku perlu ruang untuk diri aku. Tak kira la berapa tahun lagi pun. Bukanlah aku menidakkan rezeki Allah tapi aku betul-betul tak mampu

Keadaan aku dirumah mak aku dan rumah mertua sama saja. Tak ada sapa membantu. semuanya aku buat sendiri. Tambah bila suami aku selalu tinggalkan kami buat aku lebih presure. Anak aku sangat rapat dengan suami.

Jadi bila suami aku tinggalkan dia, dia menangis tak henti sampai aku tak tahu nak pujuk macam mana lagi. Aku kurung dia dalam bilik dengan harapan dia behenti menangis tapi tidak, makin bertambah teruk. Aku ibu yang bodoh.

Anak tu masih kecil dan aku buat dia macam tu. Bila aku masuk bilik dia terus peluk aku sambil menangis dan ketika itu aku faham yang anak ini perlukan pelukan dan kasih sayang bukannya menghukum kesalahan yang dia sendiri tak tahu maksudnya.

Aku selalu berdoa, “Ya Allah janganlah engkau ambil anak ini dari aku, sesungguhnya aku sayangkan anakku, Kau kuatkanlah imanku dan emosiku dan Kau jagalah serta lindungilah anakku dari segala kejahatan dunia”

Buat anakku maafkanlah ibu. Ibu gagal menjadi ibu yang baik. andai suatu hari kalau anak ibu dah besar dan benci ibu. Ibu redha mungkin ini adalah kifarah atas kesilapan ibu.

– Nana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *