Aku Ingin Bahagia Juga

Hi, selamat pagi kepada semua pembaca. Terima kasih jika luahan saya ini disiarkan. Tujuan saya menulis disini bukanlah ingin membuka aib sendiri. Cuma ingin meluahkan apa yang terbuku dihati setelah sekian lama memendam.

Harapnya yang membaca dapat memberi pendapat. Kecaman juga saya terima, kerana ini luahan dari saya, mungkin ada dari para pembaca yang melihat dan memahami dari sisi lain kisah saya ini.

Sedikit pengenalan mengenai saya, wanita bujang, berumur dalam lingkungan awal 30an, mempunyai kerjaya. Saya merupakan anak ketiga daripada 5 beradik.

Kesemua adik beradik saya sudah mendirikan rumah tangga dan masing-masing sudah mempunyai cahaya mata. Saya juga masih mempunyai seorang ibu tunggal (kematian suami) yang sangat saya hormat dan saya sayang berumur dalam penghujung 50an.

Sejak ayah meninggal, kehidupan kami agak susah ketika itu. Ibulah yang menjadi ketua keluarga keluar bekerja, manakala saya pula yang mengambil tugas ibu. Sejak disekolah rendah lagi saya mengambil tugas ibu menjaga pakai minum adik beradik saya ketika ibu keluar bekerja.

Ketika itu, kerap juga saya mendapat surat amaran dari pihak sekolah daripada warna kuning, biru sehingga warna merah pun ada oleh kerana selalu tidak hadir kesekolah.

Tetapi bukanlah saya membuat perkara yang tidak baik. Cuma duduk dirumah menguruskan rumah agar ibu pulang kerja ada makanan atas meja, rumah dikemas, dan segalanya rapi.

Tetapi alhamdulillah, walaupun jarang hadir kesekolah, setiap kali peperiksaan saya akan mendapat tempat pertama dan juga antara yang tersenarai sebagai penerima anugerah akademik di sekolah setiap tahun.

Dipendekkan cerita saya mendapat tawaran untuk menyambung pengajian selepas habis SPM. Untuk pengetahuan para pembaca semua, sepanjang tempoh saya menyambung pengajian, saya hanya bergantung dengan wang biasiswa saya.

Kadang kala jika ada lebihan, saya akan hulurkan sedikit kepada ibu. Ibu kadang kala ada juga memberi saya duit belanja. Pada ketika itu, RM50 untuk seminggu sangat cukup untuk saya. Alhamdulillah Allah cukupkan.

Pernah sahaja tidak cukup duit untuk dahulukan keperluan lain, tetapi tidaklah sehingga tidak makan dan saya juga tidak pernah meminta-minta pada ibu.

Antara adik beradik saya, hanya saya yang menyambung pengajian keperingkat yang lebih tinggi. Manakala adik beradik lain ada yang terus bekerja dan ada juga yang bekerja sendiri. Masing-masing berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Ibu sudah berhenti kerja ketika saya masih menyambung pengajian, dan adik-adik juga sudah tamat zaman persekolahan ketika itu.

Saya bersyukur sangat dengan segala pengorbanan dan pertolongan dari ahli keluarga saya. Tak pernah saya lupakan setiap jasa mereka kepada saya. Menghantar saya ke universiti, dan mengambil saya ketika cuti semester. Tak mungkin dapat saya balas hatta dengan wang ringgit sekalipun. Demi allah saya ingat dan saya hargai.

Alhamdulillah, setelah tamat pengajian allah mudahkan saya mendapat rezeki pekerjaan tetap. Saya tinggal berasingan dengan ibu walaupun dalam negeri yang sama. Cuma berlainan daerah sahaja oleh kerana tuntutan kerja yang memerlukan saya untuk tinggal berhampiran dengan tempat kerja.

Ada masa cuti kadang kala saya akan melawat ibu dikampung. Ada masa juga ibu dan adik beradik lain akan datang kerumah saya.

Ibu duduk berseorangan buat masa ini. Tetapi setiap minggu adik beradik lain akan melawat ibu dikampung. Jarang la ibu keseorangan dirumah kerana adik beradik akan datang melawat ibu saya.

Untuk pengetahuan pembaca , ibu juga mempunyai penyakit kronik yang tidak terkawal. Sering kali dimasukkan ke hospital disebabkan bacaan gula yang tidak terkawal dan terlalu tinggi. Bukan saya tidak menasihati nya untuk menjaga pemakanan, malah saya akan dimarahi juga kerana terlalu mengawalnya.

Ibu sangat tidak percaya pada ubat-ubatan hospital, tetapi percaya pula pada ubat-ubatan yang dijual secara online. Ibu juga adalah seorang yang mudah melenting dan suka memaki hamun dengan perkataan kesat seperti orang-orang tua zaman dahulu.

Mungkin sesetengah pembaca tahu ada sesetengah ‘negeri’ yang biasa mencarut dengan bahasa loghatnya tersendiri bila mereka berbicara antara mereka dan itu dianggap biasa. Kadangkala malu juga saya bila ibu mencarut dan menganggap itu perkara biasa.

Ibu menjadi seorang yang seperti sangat materialistik dan berubah seolah mengawal saya apabila saya mula bekerja. Ibu seolah fikir pendapatan saya sangat tinggi. Sedangkan saya bekerja dengan gaji dan pangkat yang biasa-biasa sahaja.

Pada awal mula bekerja, saya hanya mampu untuk menetap sementara di kuarters oleh kerana kesempitan wang awal mula bekerja. Sepanjang beberapa bulan sebelum mendapat gaji, saya hanya bergantung dengan wang simpanan saya ketika itu.

Oleh kerana fikir ingin membalas jasa ibu bersusah payah membesarkan kami adik beradik selama ini, pada tahun pertama bekerja saya memberi ibu duit belanja hampir RM800 setiap bulan tanpa culas.

Untuk saya, hanya berapa ratus sahaja yang tinggal selepas membayar segala komitmen dan lebihan duit selebihnya saya akan simpan. Bukanlah terlalu sedikit, tetapi tidaklah juga terlalu banyak. Bagi saya perlu juga ada saving sedikit untuk apa-apa keperluan kemudian hari.

Kadang kala, balik kampung saya akan hulurkan duit secara tunai lagi pada ibu, dan beli barang keperluan dapur. Seronok dapat beri ibu dan ahli keluarga lain makan apa yang mereka mahu.

Cuma pada tahun kedua bekerja, saya mula memberikan ibu separuh daripada duit bulanan dan kadang kala lebih lagi oleh kerana saya mula menyewa rumah sendiri dan mula membayar komitmen kereta dan lain-lain keperluan. Kadang kala juga saya bagi lebih.

Dan sehingga kini saya masih mengamalkan rutin memberi ibu duit sampingan ketika pulang kekampung. Setiap kali adik beradik berkumpul di rumah ibu juga, sayalah yang paling banyak mengeluarkan belanja kerana bagi saya seronok dapat berbelanja untuk orang-orang yang saya sayang. Tetapi bukanlah bermakna saya banyak duit.

Adik beradik lain juga ada memberi ibu duit belanja. Cuma kadang kala sahaja. Bukan setiap bulan seperti saya berikan kepada ibu. Tetapi saya faham, mereka sudah berkeluarga dan perlu dahulukan keperluan keluarga mereka dahulu. Ibu juga tidak pernah meminta mereka duit belanja daripada mereka.

Pernah sekali saya agak susah pada bulan itu, dan hanya mampu memberikan ibu RM350 sahaja,

Terus ibu menghantar pesanan whatsapp kepada saya dan bertanya mengapa hanya memberikan wang banyak itu sahaja, dan menceritakan kesusahan ibu yang tidak bekerja dan tiada pendapatan. Ibu mengeluh, sedangkan ibu tidak meminta pada adik beradik yang lain.

Buat pengetahuan para pembaca semua, ibu mempunyai pendapatan melalui duit pencen yang diterimanya. Cukup sahaja untuk ibu seorang. Malah ibu mampu membeli barangan online ratusan ringgit dan kadang kala bagi saya barang yang tidak perlu ada pun.

Hampir setiap hari barang akan dihantar kerumah. Ubat-ubatan online ratusan ringgit juga mampu ibu beli. Tetapi dengan saya ibu mengeluh seolah ibu terlalu kesmpitan wang.

Tidak tahu mengapa, saya rasa ibu seperti bergantung dan berharap kepada saya sepenuhnya.

Bulan lepas, ibu memaki hamun dan memarahi saya di dalam group whatsapp family gara-gara saya menegurnya untuk tidak membeli ubat secara online lagi.

Ibu terus mengherdik saya dan berkata bukannya ibu mahukan duit saya, ibu boleh beli sendiri. Sedangkan hampir setiap minggu ibu akan menghantar link shoppe atau tiktok untuk saya bayar. Bukan itu sahaja, ada beberapa lagi keperluan lain ibu minta untuk saya bayarkan.

Bukan saya mahu berkira, tetapi adakah hanya saya anak ibu? Adakah saya tidak mempunyai kehendak untuk keperluan saya sendiri? Adakah sebab saya masih bujang, oleh itu saya dilihat seperti tiada komitmen?

Pernah juga, masa awal saya mula bekerja dan masih dalam tahun percubaan, ibu meminta saya membuat loan rumah untuk ibu. Tersentap sangat saya ketika itu.

Adakah saya perlu mengabdikan seumur hidup saya untuk memenuhi keperluan ibu semata? Adakah ibu mahu saya kekal bujang sampai bila-bila?adakah ibu berharap saya tidak berkahwin? Bukan saya mahu menyalahkan ibu. Tetapi saya hanya mahu membaca apa yang bermain difikiran ibu ketika itu.

Sehinggalah saya menjelaskan bahawa gaji saya biasa-biasa sahaja. Cukup untuk keperluan saya dan ibu. Tetapi tidaklah sehingga perlu membuat loan untuk membeli rumah.

Lagi pula harga rumah sekarang bukan rendah bayaran bulanan nya. Paling tidak mungkin 1k lebih saya perlu belanjakan untuk rumah ibu sahaja. Habis itu, bagaimana pula dengan saya?

Kadang kala saya hairan juga, sedangkan abang-abang saya juga semuanya bekerjaya dan sudah lama bekerja, Sudah tentu pendapatan mereka lebih tinggi berbanding saya. Tetapi kenapa ibu hanya berharap pada saya.

Ada juga salah seorang abang saya yang seolah menyindir saya, apabila saya isukan perkara ini. Sedangkan dia lebih dari mampu daripada saya, tetapi seolah meletakkan beban untuk menyara ibu hanya pada bahu saya. Bukankah saya ini adiknya dan masih bujang sepatutnya masih bawah tanggungjawab nya juga?

Dia juga sudah berhenti memberi ibu belanja bulanan selepas dia mendirikan rumah tangga. Tetapi hanya menyalahkan saya jika ibu tidak sihat. Menyindir saya seolah saya tidak bertanggungjawab langsung dengan kebajikan ibu.

Memang saya bekerja dalam negeri yang sama. Tetapi waktu bekerja saya tidak tentu. Kadang kala saya tidak cuti langsung dalam seminggu oleh kerena tuntutan kerja.

Tahun ini, buat pertama kalinya saya membawa kawan lelaki untuk berjumpa ibu. Saya pun tak tau sama ada lelaki ini adalah tepat dan terbaik untuk saya. Cuma kami memang merancang untuk disatukan pada tahun ini. Tetapi cuma dalam perancangan sahaja.

Awalnya ibu seperti terima sahaja, tetapi sejak dua menjak ini ibu seperti mengawal saya. Sejak ibu tahu saya mempunyai teman lelaki dan ingin serius, ibu seperti berubah.

Ibu mendesak saya memenuhi kehendak ibu dan ingin majlis dibuat besar-besaran. Sedangkan ibu tahu saya tidak suka berada ditempat yang ramai orang. Pada saya biarlah majlis seringkas yang mungkin dengan kenalan dan saudara mara sahaja. Kerana yang akan mengeluarkan segala perbelanjaan adalah saya.

Bukan itu sahaja, ibu juga seperti suka mencari salah saya. Baru-baru ini, ibu ada menghantar pesanan ringkas kepada teman lelaki saya. Tetapi tidak dibalas. Mungkin kerana banyak kali didesak ibu. Jadi dia seperti tidak tahu apa perlu dibalas kepada ibu dan membiarkan sahaja mesej tersebut dan terlupa untuk membalasnya.

Ibu terus memarahi saya dan menyuruh saya mencari teman lelaki lain kerana fikir teman lelaki saya seorang yang tidak serius. Ibu seperti mendesak saya beberapa kali.

Ibu juga berkata ‘Ada orang yang inginkan saya, saya tolak. Yang tak mahukan saya dan tidak serius tu lah yang saya tunggu-tunggu. Jangan jadi seperti lembu dicucuk hidung sudah’.

Saya jadi geram dengan sindiran ibu dan terus bertanya kepada ibu, apa yang ibu tidak berpuas hati lagi dengan saya. Saya ada buat salah apa. Ibu terus melenting seolah mengingatkan saya supaya jangan jadi anak derhaka. Kerana saya sedang bercakap dengan ibu, bukan adik-adik saya mahupun sesiapa. Ibu seolah mahu dia dihormati.

Salah ke saya bertanya seperti itu? Oleh kerena desakan ibu pada malam itu, saya berterus terang sahaja kepada ibu yang saya takkan berkahwin. Saya akan putuskan hubungan dengan teman lelaki saya.

Ibu berkata lagi dan menyindir dengan berkata saya sekarang susah untuk ditegur dan angkuh kerana sudah banyak wang dan ibu takkan masuk campur lagi urusan saya.

Saya menangis semahunya ketika itu dengan kata-kata ibu. Seolah saya ini anak derhaka. Sedangkan seumur hidup saya, ibu adalah orang yang paling penting dalam hidup saya. Sesusah mana keadaan saya, tidak akan saya bebankan ibu dengan masalah saya. Setiap solat saya ada doa untuk ibu.

Apakah saya berdosa? Seumur hidup saya, masa saya banyak dihabiskan dirumah sahaja. Semua saya korbankan untuk ibu dan adik beradik saya. Tidak seperti remaja lain. Bercinta juga tidak pernah. Hanya di universiti sahaja baru saya didedahkan dengan dunia luar.

Di universiti juga saya langsung tidak pernah bekenalan dengan mana-mana lelaki walaupun ada sahaja yang cuba mendekati. Cuma diumur ini sahaja saya saya baru terfikir untuk ada keluarga sendiri. Salahkah?

2 minggu berlalu, ibu tidak lagi mendesak saya seperti selalu. Saya juga sudah seperti 50/50 dalam membuat keputusan meneruskan hubungan ini. Saya juga kerap kali mencari salah supaya teman lelaki saya marah dan tidak menghubungi saya lagi.

Kerap juga saya meminta supaya hubungan ini ditamatkan, tetapi dia masih bersabar dan tetap tenang melayan kerenah saya. Serba salah saya dibuatnya. Tetapi saya seperti nekad ketika ini untuk berpisah dengannya.

Bukan apa, jika kelak saya berkahwin, jika suatu masa nanti jika saya mempunyai keluarga sendiri, sudah tentu perbelanjaan saya akan bertambah pada komitmen keluarga.

Bukan saya tidak akan memberi ibu belanja bulanan lagi, cuma mungkin akan perlu dikurangkan sedikit oleh kerana komitmen pada keluarga. Saya risau ini akan menjadi isu kelak. Oleh itu saya takut untuk meneruskan hubungan ini. Saya sudah redha jika ditakdirkan saya tidak berjodoh dengan sesiapa didunia ini.

Baru-baru ini saya mendapat berita daripada adik yang kaki ibu sudah teruk akibat luka lama dan bernanah. Ibu perlu dibawa segera kehospital. Sekali lagi saya disalahkan oleh abang saya kerana tidak memantau keadaan ibu. Sedangkan mereka tahu saya adalah yang paling tegas menegur cara pemakanan ibu.

Tetapi bila saya tegas, ibu memaki hamun saya. Dan mereka fikir saya biadap dengan ibu pula. Abang saya juga menegaskan supaya tidak menyalahkan ibu kerana perkara sudah terjadi dan tidak boleh dielakkan. Habis itu, memarahi saya kerana tidak menjaga ibu mengapa pula?

Ketika itu cadangan abang hanya lebih berat kepada kami adik perempuan nya sahaja, sedangkan anak lelaki masih hidup sihat dan ada juga yang tinggal berhampiran.

Abang saya meminta saya untuk tinggal bersama ibu dan jika boleh minta untuk pindah dengan segera ke tempat berkerja yang berhampiran dengan rumah ibu jika perlu. Sedangkan mereka tahu bagaimana pekerjaan saya.

Jika saya dipanggil bila-bila masa sahaja untuk datang bertugas, mana sempat untuk sampai dalam masa yang singkat. Jika sempat sekalipun mungkin nyawa saya pula jadi taruhan di atas jalan raya kerana saya bukanlah pemandu yang cekap.

Adakah hidup saya tiada nilai dimata mereka?dia juga meminta saya untuk berjumpa ketua jabatan untuk meminta pindah dengan segera untuk menjaga ibu. Terlalu sakit hati saya ketika itu. Jika semudah itu, mengapa tidak dia sahaja yang meminta tukar dengan segera untuk menjaga ibu.

Ketika itu, saya nekad. saya usulkan yang saya boleh berhenti kerja untuk menjaga ibu, tetapi mereka semua perlu tanggung segala perbelanjaan saya dan ibu. Saya pula dimarahi dan dianggap berfikiran bodoh.

Sedangkan pada tahun ini, saya telah menolak tawaran untuk sambung belajar kerana bimbang jika tidak mempu memberikan ibu belanja bulanan jika saya menyambung pengajian lagi.

Ketika itu saya memberikan alasan kepada ketua jabatan yang saya tidak mahu menerima tawaran tersebut kerana merancang untuk berkahwin. Sedangkan saya fikirkan ibu. Kasihankan ibu.

Mengapa saya dilayan sebegini rupa?

Adakah saya tidak layak untuk hidup macam orang lain? Perlukah saya abdikan seluruh hidup saya untuk menjaga ibu sahaja? Tipulah jika saya katakan saya tidak mahu berkahwin, mempunyai zuriat sendiri. Saya dibesarkan tanpa melihat sosok seorang ayah. Sudah pasti saya mahukan belaian dan kasih sayang dari seorang lelaki.

Tetapi pada mereka saya seperti tidak layak untuk ada semua itu. Mungkin pada mereka saya lebih bagus jika tidak berkahwin supaya mereka boleh letakkan tanggungjawab menjaga ibu hanya pada saya.

Alhamdulillah, kini kesihatan ibu semakin baik. Ibu tiada apa-apa. Cuma perlu berulang alik ke klinik berdekatan untuk mencuci dan memantau keadaan luka sahaja. Saya tahu ibu terasa dengan saya, dan saya juga rasa berdosa. Tetapi tidaklah saya mengabaikan ibu.

Saya sudah meminta maaf pada ibu cuma tidak sekerap dulu saya mesej bertanyakan khabar ibu. Saya cuma sering bertanyakan keadaan ibu dari adik beradik yang lain. Saya masih menjalankan tanggungjawab saya sebagai anak. Cuma agak terasa dengan keluarga sendiri.

Ya saya tahu inilah ujian dari Allah untuk saya.

Apa yang bermain difikiran saya ketika ini, cuma ingin pergi jauh, mungkin pindah ke negeri yang lebih jauh, ketempat yang tiada sesiapa mengenali saya dan ingin mulakan kehidupan yang baru. Biarlah saya berjauhan dengan ibu buat semntara waktu. Bukan ingin menjadi anak derhaka. Cuma untuk kebaikan semua orang.

Tidak mengapa jika saya tidak berkahwin sekalipun, tiada sesiapa yang menyayangi saya sekalipun, setidaknya saya perlu sayang diri saya sendiri sebelum saya berkorban apa-apa untuk orang lain.

Kerana jika mereka sakit, apa-apa berlaku pada mereka, ada orang untuk jaga mereka. Saya? Jika apa-apa berlaku pada saya, saya hanya ada diri saya untuk bertahan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Pendapat pembaca semua pula bagaimana? Adakah saya perlu tinggal bersama ibu dan menerima sahaja segala kata kesat dan makian yang akan saya terima setiap hari jika saya berkorban untuk menjaga ibu seumur hidup saya?

Atau adakah saya perlu teruskan dengan perkahwinan ini?

Atau saya pergi sahaja jauh dari keluarga saya tetapi masih menjalankan tanggungjawab sebagai anak?

Saya buntu. Terasa ingin sekali ada seseorang ketika ini untuk saya hamburkan rasa sakit ini dan menangis sepuasnya. Setidaknya ada seseorang untuk saya bercerita.

Saya sayang ibu, saya sayang adik beradik saya. Sampai bila-bila mereka masih darah daging saya. Cuma saya buntu. Bantu saya.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. Berat betul ye ujian awak, tapi tolong pentingkan diri sis sendiri, kahwin je sis kalau dah jumpa lelaki yang tepat and bagi je semampu yang mungkin pada mak sis biarlah dia nak maki ke apa. Jangan lemah sis, lawan balik abg sis tu jangan biar orang pijak kita! Stay strong okehhh

    • Setuju dgn sis tulip…kejarlah kbhgiaan awk sndri cnfessor…jgn jd sprti akak nh…dh umur 38 msh terumbang ambing dgn khdpn…blm berjodoh, xda rzki keja ttp…komitmen pn byk…last skli dh ltak tepi soal jodoh…kdg trpikir ada lg ke org nak org y dh berusia mcm akak nh?….😢

  2. Dik akk cdgkn keraskan hati sambung belajar. Lepaskan tjwb tu pd anak lain pula. Jgn jadi lilin membakar diri. Sayangi diri awak dulu baru fikir lain. Sambung belajar adalah alasan paling hormat utk pindahkan tjwb pd adik beradik lain. Cubalah cadangan akk ni..

  3. Sungguh sedih bla membaca cerita awk.. sbg ibu yg bnyak pengalaman hidup, sepatutnya dia fhm dgn tuntutan kehidupan ini dan kebahagiaan anknya sendiri.. mngkin dia sebenarnya tidak mahu membiarkn awk hidup dgn org lain, krn nt fokus awak akn pergi kpd kluarga baru, suami & ank2 awk nt, tapi awk juga berhak utk semua tu, bkn selama nya awk bole hidup sendiri tanpa ada orang lain yg mngambil berat ttg diri awk.. sebenarnya dlm islam (klaw awk beragama islam lah), tanggung jawab menjaga ibu adalah anak lelaki, tambahan lg jika dia ank sulung, adik2 yg lain boleh membantu, tetapi jika ibu itu memerlukn sesuatu, dia yg patut bertanggungjawab, tlg terangkn hal ini kpd dia, atau hantar ceramah atau ustaz sendiri atau org yg dia percayai utk bgitau kod dia.. jgn ‘brgaduh’ dgn adk beradik, tp terangkn dgn jelas bhw awk juga ingin berkeluarga spt mrk, dan awk perlu seseorang utk menjaga awk juga.. selalu lah solat sunat spt: solat tahajud, dhuha, istiqorah dll utk memohon petunjuk & pertolongn dar Allah SWT.. org lain (termasuk ibu awk), mngkin tidak memahami isi hati dan kehendak awak, tetapi Allah sentiasa tahu dan sentiasa ada utk mndengar msalah dan rintihan dari awak, jadi mngadulah kpd-Nya dgn juraian airmata serta panjatkan doa, Inshaa Dia akn makbulkan (aamiin3 YRA).. selain dpd itu sentiasa ‘istighfar’, bkn shj utk pengampunan dosa2 kita, tetapi juga utk kesejahteraan kesihatan, dimurahkn rezeki dan penyelesaian kpd msalah yg awak hadapi, masalah tetap ada, tetapi awk akn merasakan ‘kebesaran’ Allah yg maha agung, & masalah itu akn terasa ‘kecil’ dan insha Allah akn dpt diselesaikn dgn baik, yakinlah, dgn izin Allah SWT jua.. Wallahua’lam bissawab.. wasalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *