Assalamualaikum. Terima kasih kepada admin sekiranya confession aku disiarkan. Rasanya ini kali ketiga aku menulis di sini, dan contentnya adalah sama. Maaf kalau penulisan aku agak panjang.
Dari tajuk mungkin orang beranggapan aku ni terlalu membanding hidup aku dengan orang lain atau tak bersyukur. Tapi aku sebenarnya tak tahan dengan hidup aku dan aku buntu apa perlu aku buat. Aku tahu menulis di sini tak dapat selesaikan masalah aku tapi aku perlu meluah.
Aku seorang lelaki, berusia awal 20an, baru bekerja sebagai penjawat awam di pantai barat semenanjung. Masalah aku sekarang ni adalah keluarga. Aku tak dapat rasa bahagia, harmoni & kasih sayang dalam keluarga aku. Aku ada menyewa bilik tapi sejak PKP aku bercuti dan tinggal dengan keluarga.
Di rumah, aku memang jarang bercakap, walaupun kami tinggal berlima, tapi jarang sekali kami berbual. Jauh sekali nak bergurau. Dalam keluarga, aku paling rapat dengan kakak sulung aku. Walaupun aku label sebagai rapat, bukanlah bermakna kami mesra. Masih juga kurang bercakap dan kami masing masing suka memendam.
Cuma apabila aku tiada di rumah, kakak sulung aku la yang selalu contact aku cerita perihal di rumah. Mak aku, abang aku & kakak aku lagi satu memang tak pernah berhubung dengan aku bila aku habis cuti.
Aku gaduh dengan abang aku masa umur aku 10 tahun. Atas alasan apa aku dah lupa. Tapi mak aku tak pernah cuba nak berbaikkan kami. Malah, aku boleh cakap yang mak aku ni bertuankan anak, iaitu abang aku. Segala makan pakai dia yang siapkan walaupun usia abang aku dah hampir 30 tahun. Sekarang dah besar, kami cuma bertegur bila dirasakan perlu je.
Aku ada belikan hadiah untuk dia bila aku ada duit lebih, dia pun ada hulurkan duit bila aku nak balik kampus (waktu belajar). Tapi hubungan kami cuma sekadar itu. Abang aku berpelajaran, tapi kerja kampung saja. Aku cuba apply banyak kerja untuk dia, tapi setakat ni memang belum ada rezeki.
Kakak aku yang kedua, dari dulu suka cari gaduh dengan keluarga. Suka cakap buruk & doakan yang buruk buruk untuk keluarga. Dulu masa dia masih belajar, setiap kali balik kampung mesti dia gaduh dengan mak aku, atau kakak aku atau dengan aku, kemudian balik kampus macam biasa bila habis cuti. Bila cuti lagi dia balik macam takde apa apa berlaku, act normal.
Dah dekat setahun aku tak bertegur dengan dia, puncanya sebab aku marah dia balik ke rumah sewa masa raya tahun lepas tanpa bagitau mak aku. Dia order grab & keluar senyap senyap. Bila aku tegur dikatanya aku ni biadap.
Sekarang ni dia tinggal di rumah, dah hampir setahun tak bekerja. Dan aku yakin dia ada masalah mental. Sebelum PKP, kakak sulung aku beberapa kali chat aku bagitau yang kakak aku yang kedua ni mengamuk menangis nangis salahkan kakak sulung aku.
Dia cakap kakak aku tak pedulikan dia, tak sayangkan dia tak pernah ambil tahu pasal dia. Siap marah kakak sulung aku nak kahwin. Puncanya aku tak pasti. Tapi aku dah boleh agak dia akan ada masalah mental, sebab dia berkurung di bilik sejak berhenti kerja, tak keluar bercakap walaupun dengan keluarga sebab semua dia nak cari gaduh.
Hari pertama aku balik cuti PKP ni dia dah buat perangai. Memang aku nampak dia tak waras, bercakap pun macam tak normal. Aku cuba yakinkan mak aku yang kakak aku tu sakit, tapi mak aku tak peduli.
Aku tahu mak aku takde kesedaran pasal kesihatan mental. Mak aku bukannya ada facebook ada whatsapp, cuma orang kampung biasa yang tak berpeluang explore teknologi.
Pernah sekali dia marah kakak sulung aku sebab tak cuci barang dapur, mak aku pertahankan kakak sulung aku. Bila aku dengar bising bising, aku keluar bilik dan semua diam. Kemudian dua hari dia berkurung di bilik. Sejak aku balik cuti ni memang dia tak pernah tunjuk perangai gila dia tu.
Sejak aku balik cuti, kakak sulung aku tidur di sofa je. Mak aku tumpang tidur di bilik aku sebab kakak aku yang kedua tak buka kunci. Sebelum ni mereka tinggal bertiga di master room. Tapi sebab kakak kedua aku yang berperangai pelik, memang takde yang berani hadap dia.
Dan masalah aku sekarang, aku betul betul rasa sunyi. Aku rasa aku cuma bersendiri je kat dunia ni. Aku takde tempat meluah, takde tempat bercakap, nak kongsi semua perit aku. Aku takde kawan baik sebab aku ada trust issue. Aku memang rasa tak dipeduli, tak disayangi, takde siapa kisah tentang kewujudan aku.
Kalau dengan kawan, aku boleh bergelak sakan bergurau melompat menari terpekik apa semua, tapi bila dengan keluarga aku jadi lain. Aku yakin takde seorang pun kawan aku tahu tentang keluarga aku. Aku tak bahagia.
Semalam, hari kedua ramadan, aku berbuka dengan roti bun & secawan kopi. Bila rumah dah gelap, means semua dah tidur baru aku keluar makan nasi. Aku tak keluar makan waktu maghrib sebab aku rasa mental aku betul betul down sekarang. Memang takde siapa pedulikan aku.
Hari ni dah dua hari aku berkurung di bilik, dah dua hari aku tak bercakap dengan siapa siapa, dan memang takde seorang pun ahli keluarga aku yang nak tanya tentang aku. Dari semalam aku menangis dalam bilik sampai ke malam, sebab aku tak tahan hidup macam ni.
Ini bukan kali pertama jadi kat aku, tahun lepas aku tak pergi konvo sebab aku rasa keluarga aku tak pedulikan aku, aku menangis macam nak gila dalam bilik tapi takde siapa pun tahu. Aku memang ada suicidal thought. Tapi aku tak pasti macam mana aku boleh jadi OK balik. Mungkin sebab masa tu aku kerja part time, jadi aku ada kawan untuk bersembang
Kami bukan keluarga senang. Sepupu sepupu bahkan pakcik makcik aku pun jarang jumpa kami. Aku yakin nombor aku takde yang save.
Memang aku akui keluarga kami agak tersisih sebab kami susah, sampai sekarang belum ada kereta, tinggal di rumah kecik. Tak setanding dengan saudara mara lain. Walaupun tinggal berdekat dengan saudara, tapi kami memang tak mesra macam orang lain.
Aku perasan aku ni cepat trigger dengan benda yang aku takde. Contohnya aku deactivate IG sebab aku taknak tengok life kawan kawan yang aku takleh ada. Aku mute status whatsapp kawan yang share benda yang aku tak dapat.
Kalau masa raya, memang aku avoid dari buka FB & status whatsapp sebab aku tak boleh tengok orang lain bahagia, aku jadi sedih, kepala aku jadi serabut & kadang kadang aku teremosi sampai menangis sorang sorang.
Aku tak salahkan orang untuk kongsi kebahagiaan mereka, itu hak mereka cuma yang jadi persoalan kenapa bukan aku yang dapat hidup macam mereka? Aku penat bandingkan hidup aku dengan orang lain tapi apa lagi aku boleh buat? Aku betul betul bersendiri.
Buat masa sekarang, memang aku fikir nak balik ke rumah sewa, sebab aku beranggapan aku tak boleh tinggal lama lama dengan keluarga. Tapi disebabkan PKP, aku takde pilihan. Mungkin aku pentingkan diri, mungkin aku banyak salahkan orang atau mungkin aku cuba play victim tapi apa tindakan aku boleh ambil?
Aku selalu salahkan mak aku, aku label dia gagal dalam parenting tapi aku tak pernah cakap. Aku tahu mungkin fikiran aku ni salah dan orang tak setuju untuk salahkan mak tapi aku tak rasa kasih sayang mak aku macam orang lain. Aku tak pernah ingat mak aku pernah peluk cium aku atau tak. Dia memang jarang tanya soal aku.
Siapa kawan aku, macam mana aku di sekolah, macam mana aku di tempat belajar, OK ke aku di tempat kerja semua tu tak pernah ditanya. Mak aku tak pernah cuba nak ambil tahu masalah aku, walaupun aku berkurung di bilik menangis dalam selimut tetap jugak dia tak kisah. Benda ni buat aku jadi iri jadi cemburu dengan orang lain.
Aku jadi sedih bila tengok keluarga orang lain bahagia. Kami ni keluar makan sama sama pun tak pernah, tengok TV sama sama pun tak pernah, bergambar pun tak pernah, nak ambil tahu sesama sendiri pun susah. Aku rasa betul betul terseksa. Dan aku tahu mak aku pun terkesan dengan semua ni.
Aku selalu nampak mak aku duduk termenung. Bila aku tegur, nak mulakan perbualan mak aku tukar topik. Aku pernah ajak mak aku tinggal dengan aku di rumah sewa lepas kakak sulung aku kahwin, tapi dia tak respon.
Aku kesian dengan mak aku, aku dapat rasa dia pun terseksa. Sampai aku syak yang kami sekeluarga ni ada masalah mental sebab masing masing memendam masalah.
Apa apa pun aku masih doakan yang terbaik untuk keluarga aku. Aku berharap Allah boleh selamatkan keluarga aku. Aku plan selepas habis PKP mungkin aku takkan balik kampung sehinggalah aku bersedia. Maaf kalau penulisan aku panjang & merapu. Salam.
– TF (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit