Aku Isteri Pendosa

Ya, aku isteri pendosa. Disini aku ringkaskan perjalanan sebuah mahligai indah sepanjang perkahwinan. Dikurniakan tiga cahaya mata.

Harap coretan aku ini menjadi iktibar pada orang lain. Setiap perkahwinan masing-masing ada ujian tersendiri. Aku ingat lagi mula-mula diuji asbab kewangan.

Kapal yang dikelola dibadai gelora ombak. Kehidupan ketika itu sangat tertekan dan berlaku pelbagai perbalahan. Aku lalui dan tempuhi bersama pasangan, hidup berpindah-randah dek mencari sesuap nasi.

Beberapa tahun selepas itu alhamdulillah hidup semakin baik. Pasanganku mendapat pekerjaan yang tetap di tengah kotaraya. Syukur nikmat yang diungkapkan.

Namun, langit tak selalunya cerah. Ujian baharu pula datang menimpa. Bagai gelap duniaku. Saat itu aku bukan lagi diriku.

Hati aku menjadi hitam sehitam-hitamnya. Hati dan fikiranku sarat dengan rasa sakit hati dan dendam.

Hidupku berterusan begitu selama hampir tiga tahun. Tiga tahun itu perjalanan yang sangat singkat kurasakan dan penuh panca roba.

Selama itu juga aku menjadi isteri yang derhaka, yang sentiasa membuka aib rumahtangga ku kepada orang lain. Makian, cacian adalah makanan harianku. Kenapa aku menjadi sedemikian rupa? Begitu lancang sekali bibirku.

Puncanya adalah apabila diuji orang ketiga. Yakni mereka pernah bersekedudukan yang aku tidak tahu perkara yang terjadi ketika mereka bersama. Ujian kewangan bagi aku tak serumit ujian apabila hadirnya orang ketiga.

Kerana masalah kewangan kita mampu cari menggunakan kudrat yang ada. Orang ketiga melibatkan hati perasaan dan pihak lain. Sangat berat. Aku berdendam kerana aku sanggup berhujan panas bersama.

Tapi inikah balasan kepadaku? Dendam membuak-buak hingga kini yang memakan diriku sendiri. Lancangnya mulut ini membuatkan hubungan ku dan pasangan semakin musnah.

Pasanganku sehingga saat akhir sangat baik dan bertanggungjawab dalam melaksanakan hal rumahtangga serta anak.

Cuma beliau belum sepenuhnya meninggalkan pihak ketiga itu. Beliau sangat-sangat baik, selalu bawa aku dan anak berjalan-jalan dan sebagainya.

Bahkan sehingga sekarang pon masih begitu jua walaupun kami sudah tidak lagi memegang status sebagai suami dan isteri.

Ya, perceraian sudah pun berlaku beberapa bulan yang lalu. Beliau selalu ungkapkan masih menyayangiku.

Tetapi aku begitu ego dengan membawa dendamku walau hati aku masih menyayangi beliau.

Kini aku sendirian menjaga anak-anak di tengah kota. Hidup aku kini berbolak balik dengan tekanan yang sangat hebat.

Mungkin inilah kifarah dosaku pada beliau ketika menjadi suamiku dulu. Hatiku tidak tenang dek kerana dendam.

Beliau masih tidak berputus asa menasihatiku agar buang rasa dendam dan ikhlas memaafkan beliau yang pernah berbuat salah. Supaya aku tidak jatuh tersungkur. Aku tetap aku.

Mohon doa kalian agar aku menjadi diriku yang dulu, seorang ibu yang sangat periang, rajin membuat pelbagai juadah buat keluarga. Jauh sekali diriku yang dulu dan sekarang.

Jika kalian berada didalam kasutku, ambil la sedikit iktibar jika masih sayangkan pasangan dan rumahtangga.

Buanglah segala dendam walaupun pasangan melakukan sesuatu yang sangat-sangat menyakitkan. Maafkanlah beliau. Muliakanlah beliau sebagai suami. Lihatlah keburukan diri sendiri sebelum menghukum orang lain.

Mungkin kita lihat pasangan yang bersalah, namun nilai semula mungkin itu ujian buat diri mereka dan sebaliknya ia juga merupakan ujian buat diri kita juga.

Di uji sejauh mana ketaatan seorang isteri terhadap suaminya. Dan yang paling utama adalah kembali kepada Allah swt.

– Lily (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *