Nama aku Maya. Seorang ibu dan mempunyai anak lelaki berumur 3 tahun. Pernikahan aku menginjak masuk 5 tahun bersama suami yang merupakan seorang Tentera.
Aku bernikah seawal usia 25 tahun, perkenalan bersama suami yang singkat selama 6 bulan tanpa berfikir panjang dan membuat keputusan untuk berkahwin. Masa kami berkenalan, aku tidak tahu suami sudah mempunyai pilihan keluarga. Suami tidak jujur.
Oleh kerana aku hadir dalam hidup suami, suami memilih aku dan memutuskan pertunangan dengan wanita pilihan keluarga.
Pada ketika itu, aku tahu budaya keluarga, lifestyle, cara pemikiran aku dan suami jauh berbeza tapi aku nekad meneruskan perkahwinan sebab aku rasa aku boleh menyesuaikan diri walhal kami tidak sekufu.
6 bulan pertama kahwin semua indah. Masuk bulan ketujuh, aku sudah mula tawar hati pada suami. Mungkin pada aku, ada atau tiada suami keadaan tetap sama.
Tak dinafikan, sebagai isteri seorang tentera aku banyak berdikari dan sering ditinggalkan berbulan. Ini tidak menjadi isu kerana aku sedia maklum tugas tentera. Cuma suami kurang peduli, kurang consent hal aku dan anak.
Aku juga ditinggal waktu pantang menguruskan anak sendiri dalam keadaan aku bersalin caeser. Hampir juga terfikir untuk bunuh anak aku sendiri waktu aku berpantang sebab tidak berhenti nangis. Luka caesar belum sembuh, jaga anak seorang diri, aku jadi tertekan.
Oleh kerana aku berkerja dan komitmen aku sebagai seorang Pengarah Syarikat menuntut aku lebih kerap outstation dan kerap balik lewat malam.
Aku sibuk. Suami aku tidak endah, tidak peduli, tidak ambil tahu diri aku. Aku sambung belajar course apa dia tak tahu, aku dapat straight A exam pun dia tidak tahu. Jarang bertanya hal aku. Jarang komunikasi. Jarang tidur sekatil.
Urusan Semua aku uruskan sendiri hantar anak ke pengasuh, beli barang keperluan dapur, pergi ke klinik dan lain lain. Nafkah duit, ada potongan untuk isteri tentera sebanyak RM500 dan duit itu aku gunakan untuk beli barang keperluan anak.
Sejujurnya, perbelanjaan anak ketika itu tinggi. Mungkin kerana gaji aku besar berbanding suami, suami tidak menghulur duit lebih kepada aku. Itu bukan isu besar, kerana aku mampu menyara makan pakai aku dengan gaji sendiri.
Masuk tahun keempat, aku mula sedar aku kemurungan. Aku di diagnose Depression & Anxiety Disorder. Berapa kali percubaan untuk bunuh diri tapi hingga hari ini aku masih hidup.
Aku terlalu kuat berkerja, keadaan suami yang ambil tidak endah hal aku dan sejarah lampau aku yang dahulu buat aku depression. Terlalu banyak beban yang aku tanggung. Ya, aku pernah hampir dirogol masa aku tingkatan 2.
Aku pernah diraba kemaluan oleh pakcik aku sendiri ketika aku darjah 4. Hal ini aku tidak pernah bercerita dengan suami, sebab kami mempunyai masalah dari segi komunikasi. Suami lebih banyak menghukum dari mendengar. Mungkin disebabkan pendidikan kami berbeza.
Aku pelajar master, suami pula SPM membuatkan kami berfikir tidak selari. Jadi segala masalah di pejabat, rutin harian aku simpan sendiri.
Kami hanya bercakap bila berkaitan dengan hal anak sahaja. Tiada pillow talk, tiada cuddle, tiada gurau senda suami isteri. Yang hanya suami tahu, dapat seks tiap minggu tanpa peduli perasaan aku.
Aku rasa hubungan semakin hambar. Aku rasa beban aku pikul berat. Aku rasa aku menyara diri aku sendiri tanpa ada suami disisi. Jadi apa fungsi seorang suami? Keadaan aku makin hari makin teruk sehingga aku memohon cerai.
Ya, suami aku menolak permintaan tersebut. Aku pukul suami, aku acu pisau pada suami aku sendiri. Aku jadi separuh gila kerana permintaan aku ditolak. Tiap hari aku fikir ingin bunuh suami aku sendiri. Sehingga aku jumpa psikitari untuk mendapatkan rawatan.
Akhirnya, suami bersetuju untuk menceraikan aku. Tiada wanita yang inginkan penceraian, tetapi jika perkahwinan itu memakan diri, tidak membawa kebahagiaan, jalan terbaik adalah berpisah.
Aku impikan keluarga yang bahagia, apabila aku keluar terlihat pasangan suami isteri main dengan anak, aku terdetik kenapa hidup aku tidak seperti itu. Kenapa aku dengan suami tidak sehaluan?
Adakah perkahwinan kami ini tidak mendapat restu keluarga atau kerana ego kami berdua mengatasi segalanya.
Jalan kehidupan kadangkala tidak seiringan dengan apa yang kita idamkan. Kadangkala, untuk jiwa kita menjadi kuat, ia perlu diuji. Terkadang ujian itu akan buatkan hati kita hancur. Tapi dari hati yang hancur tu kita akan menjadi lebih baik.
Doakan aku terus kuat. Doakan aku sembuh dari sakit.
– Maya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit