Aku Juga Bukan Kegemaran Dia II

Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-juga-bukan-kegemaran/).

Atas permintaan beberapa orang pembaca (walaupun ada beberapa orang saja hahaha), aku sambung kisah aku.

Memang kisah aku sebelum ni tak details sangat sebab aku sebak bila teringat semua yang berlaku dulu. Bayangkan masa aku baca kisah kak lang, aku boleh teresak-esak menangis. Memang aku jadi seorang yang sangat sensitif dan peka dengan sekeliling.

Sambung sedikit kisah masa kecil aku, mak aku memang taklah kejam secara zahir. Dia jarang pukul aku tapi dia ambil tak kisah pasal perasaan aku kiranya secara psikologi la orang putih kata.

Mak jarang nak dengar apa yang aku nak ceritakan. Yang pelik juga bila dengan adik beradik yang lain mak boleh siap bergelak ketawa.

Aku juga pernah menangis di riba mak tapi mak tolak. Alasannya mak geli. Aku hanya mampu berhuhu jela masa tu. Nak merasa pelukan dan belaian mak memang tak dapatlah.

Masa adik-adik nak membesar pula, tinggal aku saja dalam rumah tu sebab yang lain bersekolah asrama penuh. Jadi mak minta tolong aku ajar adik bongsu aku.

Biasalah adat la kan bila kakak marah adik masa belajar tapi mak paling pantang bila aku marah adik-adik aku. Mak akan marah aku balik dan cakap aku tak layak nak marah adik.

Hasilnya seorang saja adik aku yang hormat aku sekarang ni.

Dengan kakak- kakak aku pula, mak selalu cakap aku kena hormat kakak dan minta maaf bila buat salah. Masalahnya bila adik-adik buat salah tak pula mak nasihatkan supaya minta maaf dengan aku. Pernah satu kejadian adik lelaki aku tumbuk aku. Kami berperang mulut masa tu.

Betul kami dua-dua ada salah masa tu tapi mak masih menangkan adik seorang. Entah aku tak faham sampai sekarang tapi aku berdamai saja dengan takdir aku. Luahan ni pun triggered lepas aku baca luahan kak lang. Baru aku terpanggil nak cerita kisah aku pula.

Luahan yang lepas, aku berhenti sampai aku kahwin kan? Ada kisah yang jadi masa aku nak bertunang. Aku langkah bendul kakak-kakak aku.

Sebelum putuskan nak kahwin, aku dah minta pendapat dan izin dorang nak kahwin. Kononnya atas dasar hormat seorang adik, dorang kata ok saja masa tu.

Tapi ada kejadian sedih yang jadi bila dah dekat majlis aku tu. 3 bulan sebelum bertunang, aku dah tanya mak macam mana nak uruskan majlis tu nanti, mak kata biar dia uruskan makan dan khemah. Aku hanya uruskan pelamin dan hantaran sahaja.

Aku ikutkan kata mak tapi bila lagi sebulan nak majlis baru mak cari catering dan khemah. Lagi haru semua yang mak call kata dah penuh sebab tarikh yang aku pilih tu kebetulan masa cuti umum.

Aku memang tertekan masa tu, mak pun cuba minta pertolongan kakak-kakak aku. Masa perbincangan bersama tentang majlis aku tu, semua orang macam tak nak dengar pun pendapat aku.

Semua kata-kata aku dibidas oleh kakak dan lepas tu terkeluarlah kata-kata aku, ini adalah majlis aku dan aku berhak untuk menyatakan pendapat aku juga.

Mak dan ayah pula sebelahkan kakak aku masa tu. Akhirnya semua adik beradik boikot majlis aku tu. Hahaha aku hanya mampu tertawa dalam tangisan masa tu.

Lepas bertunang, aku bersyukur dapat bakal suami yang memahami situasi aku. Cepat-cepat dia cari rumah sewa untuk kami duduk lepas kami berkahwin dan kami sepakat akan rancang sendiri majlis pernikahan dan persandingan di sebelah pihak aku tanpa bantuan keluarga aku.

Alhamdulillah sampai sekarang kami berpuas hati dengan usaha kami.

Ada satu lagi kejadian sedih masa aku tengah mengandungkan anak sulung. Aku alami alahan yang sangat teruk waktu awal-awal mengandung tu dan kebetulan pula dapat gangguan mistik bila duduk di rumah sewa kami.

Jadi suami cadangkan aku duduk dengan mak ayah sementara waktu sampai dia cari rumah lain. Aku ok saja sebab dalam masa yang sama ayah ada untuk jaga aku waktu suami bekerja.

Pada mulanya, mak dan ayah setuju saja. Yela eksited nak dapat cucu sulung. Tapi lepas seorang kakak aku persoalkan kenapa nak kena susahkan mak ayah lagi sedangkan dah kahwin dan ada suami. Mak ayah langsung tak kata apa. Ayah cuma kata tak tahu nak buat macam mana.

Sekali lagi aku beralah dan keluar dari rumah tu. Suami hantar pula aku pergi balik kampung dia. Keluarga sendiri tolak aku last sekali keluarga baru aku yang jaga aku.

Kakak aku tu memang ada kifarah yang dia kena atas perbuatan dia tapi tak perlulah aku ceritakan kat korang semua ye.

Setelah aku berkahwin dan duduk di rumah sendiri, mak jarang sangat datang ke rumah aku.

Suami aku selalu cakap kami tak berduit mungkin mak tak pandang tapi cepat-cepat aku pintas dan bagitahu mungkin sebab kami pun kerap ziarah mak hampir setiap hujung minggu sebelum pandemik covid ni melanda.

Suami perasan saja mak lebihkan anak-anak yang lain bila setiap kali berbual mesti mak akan sebut mengenai anak-anak dia yang lain. Aku cuma nak sedapkan hati suami cakap mungkin niat mak hanya nak bercerita.

Kepada yang kata tunggu sampai aku jadi mak orang, makcik saya dah ada 3 orang anak dan ada seorang saja anak perempuan yang saya namakan along.

Betul aku pun ada khilaf aku sebagai seorang mak. Masa anak-anak kecil memang aku manjakan dorang bertiga tapi along kurang sikit dimanjakan sebab jarak umur dia dan adik hanya 2 tahun.

Cuma aku akan pastikan apa yang adik dapat semua along akan dapat. Masa along tadika, aku yang hantar dia ke sekolah.

Dalam kereta aku pastikan dia bercerita hal sekolah dan kawan-kawan dia pada aku sebab aku rasa masa tu sahaja yang aku ada untuk along. Aku juga pastikan aku ambil berat pada ke semua anak-anak terutama dalam pelajaran mereka.

Aku selalu galakkan mereka untuk belajar bersungguh-sungguh, selalu puji mereka bila mereka dapat capai sesuatu kejayaan. Mungkin ada yang kata baru 3 anak, ye tiga ni sahajalah kurniaan Allah untuk aku, syukur alhamdulillah.

Sikap aku sekarang yang mudah marah dan emosi yang tak stabil, aku tak pasti adakah itu adalah akibat dari rasa kurang kasih sayang atau apa tapi anak-anak memang kerap kena marah dengan aku. Cuma aku akan pastikan aku tak berat sebelah kalau anak-anak bergaduh.

Sampaikan yang bongsu pun turut kena rotan bila mereka bertiga buat hal. Dengan anak yang kecil aku akan suruh mereka hormat kakak dan abang tapi bila kakak dan abang buat salah tetap mereka juga kena mengaku bersalah.

Memang aku sangat ambil pengajaran dari kisah silam aku. Aku selalu pesan pada anak-anak, jangan jadi seperti adik beradik aku sebab dorang dah besar dan dorang sendiri nampak apa yang berlaku dalam keluarga aku.

Aku dan suami juga selalu pesan jangan dengki kalau nampak kami manjakan adik bongsu sebab masa dorang kecil pun dorang dapat layanan yang sama.

Aku pun tak benarkan anak-anak berjauhan lama-lama daripada aku. Kalau dulu mak selalu hantar aku ke rumah pengasuh walaupun hari minggu dan cuti sekolah,

Sekarang aku jarang benarkan anak-anak bermalam di rumah orang lain lebih dari 2 hari. Ye memang aku tak boleh berjauhan dengan anak-anak aku.

Susah macam mana pun kehidupan aku tetap nak anak-anak bersama aku dan suami. Anak-anak jadi lebih berterus terang dengan kami lepas apa yang kami pratikkan pada mereka. Luahkan apa yang mereka rasa dan jangan simpan apa-apa perasaan dendam pada ibu dan ayah.

Memang betul, mereka juga ada komen tentang kami tapi bila diterangkan secara baik, mereka dapat terima apa yang kami ajar.

Sekarang suami dan anak-anak adalah kekuatan aku. Walaupun perkahwinan aku ada turun naik tapi aku bersyukur dapat suami yang mampu bersabar dan bertahan dengan aku sampai sekarang.

Aku minta jasa baik semua pembaca doakan aku jadi ibu, isteri dan anak yang lebih baik selepas ini. Terima kasih juga yang telah doakan aku pada luahan sebelum ni.

Aku sayang kedua-dua mak ayah aku yang masih sihat. Lepas kahwin memang aku jadi seorang yang berterus terang semua yang aku rasa pada mak dan ayah.

Aku cerita apa yang aku terasa selama ni pada mak dan ayah. Aku tak pernah salahkan mak sepenuhnya atas apa yang jadi sebab aku tahu mak pun mungkin tak sedar apa yang dia buat sebelum ni.

Alhamdulillah mak pun dah banyak berubah walaupun masih ada ternampak pilih kasih tu daripada mata suami aku tapi aku bersyukur saja dengan semua yang aku ada sekarang.

Aku bersyukur masih punya mak dan ayah. Macam mana pun mereka tetap ibu ayah kandung aku. Aku tahu mak tetap sayang aku sebab aku nampak mak cuba untuk berubah. Mak pun dah pandai luahkan perasaan dia yang rindu dan sayang pada semua anak-anak sama rata.

Tak macam dulu, mak banyak diam sahaja. Sekarang pun aku tengah emosi sebab tak boleh ziarah dorang macam dulu-dulu ikut perintah ‘Ulul Azmi’. Duduk di rumah ontok-ontok semua hehe.

Mengenai adik beradik pula, ada saja pergaduhan dan perselisihan faham yang berlaku dalam adik beradik aku dari dulu sampailah sekarang. Aku sayang saja adik beradik aku. Aku tetap pegang ‘air yang dicincang tak akan putus’.

Tapi aku biar Tuhan saja yang atur perjalanan hidup aku. Aku dah berusaha untuk berbaik dengan semua adik beradik aku tapi aku redha dengan ketentuan Allah.

Pada yang mempersoalkan betul ke cerita aku ni, percayalah hanya yang benar sahaja yang aku cerita ni dari segi pengalaman aku la kan bukan pengalaman orang lain.

Aku berceritakan ni pun hanyalah luahan hati aku. Terpulanglah pada sesiapa pun yang nak kecam atau persoalkan luahan aku ni.

Buat semua yang ‘sekasut’ dengan aku, aku doakan korang bertabahlah dan kita sama-samalah cuba untuk lupakan semua kisah silam yang pahit itu sebab yang lebih penting kita cari redha Yang Maha Esa. Assalamualaikum.

– Uda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *