Assalamualaikum semua. Aku sebenarnya dah terlalu lama pendam perasaan ni. Kali ni, aku betul betul kecewa dengan sikap ibu mertua aku.
Selama ini, memang aku dah perasan bila apa apa terjadi pada mana mana anak kandung dia, memang dia akan menangkan anak anak dia dan menyalahkan pihak lain 100 peratus.
Aku agak kurang senang dengan sikap ini, tapi memilih untuk berdiam diri dan memerhati saja berbanding memberi komen komen atau membalas dengan kata kata yang kurang enak walaupun itulah hakikatnya.
Lain pula kalau salah itu datangnya dari pihak menantu. 7 keturunan pun belum habis cerita dia perihal menantu menantu ni.
Kalau menantu ni, yang betul pun boleh jadi salah. Entahlah, aku pun tak tahu mana silapnya.
Aku ni dah takde mak ayah. Aku memang menumpang kasih pada ibu dan ayah mertua saja. Aku juga harapkan mereka untuk jadi rujukan dan mendoakan aku andai ada apa apa yang terjadi.
Selalu mak mertua aku ni mengumpat dan mengata perihal menantu lain depan aku.
Sebab aku lah menantu yang paling dekat dan paling selalu berjumpa dengan dia. Sebab tu aku banyak dengar benda kurang enak pasal menantu lain tu.
Bukan sebab aku menantu kesayangan ya.
Aku biasanya malas nak ambil port dan cuba ubah topik atau buat buat tak dengar je bila topik pasal menantu ni begitu begini mula keluar dari mulut dia. Serba serbi tak kena pada mata dia.
Baik menantu perempuan mahupun lelaki. Menantu perempuan suruh suami cebok berak anak, dituduhnya menantu tu manja sampaikan berak anak pun nak suruh laki cuci. Padahal aku tengok anak perempuan dia pun dua kali lima je.
Menantu tapau makanan kat luar, katanya menantu perempuan ni malas, tau nak habiskan duit anak dia je. Boros. Padahal anak perempuan dia pun boleh kira dengan jari berapa kali je memasak dalam setahun.
Menantu lelaki tak tolong bini buat kerja rumah, dikatanya menantu lelaki tu tak nak tolong menolong, dah sama sama keluar cari duit, sama sama lah buat kerja rumah.
Cuba kalau situasi yang sama jadi kat menantu perempuan dan anak lelaki dia, tiba tiba hilang segala common sense dan hujah hujah dalam rumahtangga ni semua benda kita kena buat sama sama.
Aku sebenarnya bosan dengar dia bercerita buruk pasal menantu menantu ni. Sakit telinga.
Dan aku memang dah expect, belakang aku, dia duk sakan mengata aku pulak dengan anak anak dia. Haha.
Aku dah banyak kali kena macam ni. Kantoi dia dan anak anak perempuan dia duk sakan mengumpat pasal aku. Apa aku buat?
Aku lalu kat sebelah dia macam takde apa jadi jelah. Right after they were all talking about me behind my back. Kau rasa muka masing masing masa tu?
Of course lah cuak. Pastu sibuk duk pelawa aku makan, minumlah. Aku senyum je.
Sebab aku dah expect dan when you expect something kadang it hurt less. So aku memang tak kisah sangat. Mentaliti diorang memang macam tu.
Semua orang salah, diorang je betul. Semua orang dengki dengan hidup diorang anak beranak, sebab hidup diorang anak beranak lah terpaling kaya, terpaling hebat, terpaling perfect. Hidup orang lain semua huru hara.
Sebab tu satu Malaya ni dengki dengan diorang. Haha. All this while, mak mertua aku ni sejenis suka mengatur hidup anak anak dia.
Geran motor laki aku pun dia pegang. Everytime nak renew roadtax, memang dia akan buatkan, laki aku nanti transfer je berapa amount nya. Aku pelik tengok benda ni masa mula mula kahwin dulu.
Sebab aku ni dibesarkan dengan parents yang ajar pasal kebertanggungjawaban. Umur 12 tahun, dapat IC, IC tu simpan sendiri. Kalau kau hilangkan, kau kena bertanggungjawab sendiri.
Apatah lagi geran motor, kereta. Semua sendiri sendiri uruskan. Sekarang pula mak ayah aku dah meninggal.
Lagi lah segala benda kena uruskan dan fikir sendiri. Tapi berbeza dengan family laki aku. Nak pergi interview, sijil SPM pun tanya mak, kat mana mak simpan.
Apo. Pahamlah eh macam mana mak mertua aku dan anak anaknya ni. Bapak mertua aku on the other hand, sangat baik.
Sangat menjaga hati menantu menantu. Sama rata je sayangkan semua cucu cucu dia. Ikhlas.
Kita dapat rasa keikhlasan orang tu sayangkan dan terima kita kan. Kasih sayang seorang bapak tu aku dapat rasa dari bapak mertua aku.
Cuma tulah kadang aku tengok bapak mertua aku ni banyak diam bila berdepan dengan mak mertua aku ni.
Sebab mulut mak mertua aku ni agak lancang.
Aku perasan juga, ada masanya bapak mertua aku ni macam terasa dan malas nak layan mulut dia. Aku ni dari mula kahwin, banyak benda yang dia cuba aturkan.
Masa ayah aku ada lagi, aku nak balik beraya dengan ayah aku pun dia perli perli.
Mula mula macam tak bagi, tapi laki aku ni jenis tak dengar sangat cakap mak dia. Aku ni duduk berjiran dengan mak mertua aku.
So sekali sekala, nak lah jugak balik ke kampung halaman aku. Spend time lama sikit kat sana.
Masa mula mula kahwin dulu, asal aku baru balik dari kampung aku, memang berdas das lah perlian mak mertua aku kat aku. Bernanah hati tuhan je yang tau. Haha.
Tapi aku jenis yang malas nak layan. Malas nak pikir lebih lebih. Aku diamkan aje. Sampailah baru baru ni, aku duduk berborak dengan dia dan biras biras aku.
Fyi, aku ni tengah tunggu hari nak bersalin. Aku sajalah tanya biras aku, sekarang dah boleh ke suami teman dalam LR. Dengan tak semena mena, soalan aku tu terus dipintas ya oleh mak mertua aku.
Katanya, tak payahlah susah susah suruh laki aku teman aku bersalin. Anak dia tu penggeli. Takut darah katanya.
Kang pengsan, susah. Lagipun apalah sangat, beranak je pun. Masuk sorang sorang sudahlah.
Dia dulu beranak sorang sorang je. Takde sapa teman pun. Keluar juga budaknya.
Walhal beberapa tahun lepas, masa dua orang anak perempuan dia nak bersalin, suami masing-masing tak dapat masuk teman sebab berada kat luar kawasan,
Dialah yang beriya datang dari kampung, nak teman anak perempuan dia bersalin dalam LR. Macam aku cakaplah, time anak dia , semua takpe. Time menantu, semua jadi salah pula.
Aku betul betul terasa kali ni. Selama ni aku diam je bila dia cuba nak nafikan hak aku sebagai isteri kepada anak dia. Tapi kali ni, aku agak tersinggung dan betul betul terasa.
Mungkin sebab aku tengah sarat. entahlah. Cuma yang pastinya aku dah penat jadi kuat, aku dah penat jadi tunggak kekuatan diri aku sendiri, aku dah penat berdikari.
Kadang kadang aku pun nak juga rasa dimanjakan. Nak juga dapat layanan istimewa dari suami aku. Salah ke aku nak suami aku teman aku dalam LR nanti?
Mak mertua aku cakap, nanti anak anak ko yang lain sape nak jaga. Aku dah plan nak mintak tolong adik adik aku jagakan anak anak aku nanti. Takpe, aku takkan menyusahkan mak mertua aku pun.
Aku sedar, aku ni menantu je. Aku pun dah takde mak ayah. Aku ada adik beradik je nak mintak tolong.
Cuma tulah, bila dia cakap macam tu, aku jadi sedih sangat. Macam besar sangat je permintaan aku tu. Macam menyusahkan sangat je aku ni.
Aku mengaku aku memang sensitif sikit lately ni. My previous birth experience was very unpleasant. Beranak time PKP, paham paham jelah.
Semua kena handle sendiri. So kali ni, aku harap sangat lah laki aku dapat teman aku bersalin dan dapat tolong bagi aku makan minum dulu dalam wad sebelum dia balik rumah. Tu je.
Bukan aku nak mengada ngada sangat pun. Sedih tau. Bila kau dah takde mak ayah, kau menumpang kasih dengan mak ayah orang lain, dan mereka tak ikhlas pun terima kau.
Sumpah sedih. Aku cuma tak faham kenapa hak aku sebagai isteri untuk mintak suami aku teman aku bersalin pun dia nak nafikan, nak pertikaikan. Masa aku bersalin kan anak sulung aku dulu, lagi lah.
Anak aku kena masuk wad pemantauan sehari lepas bersalin tu. Sebab air ketuban aku pecah awal. So aku dibenarkan balik dulu, anak aku masih kat wad.
Esoknya, hospital call suruh aku datang ambil anak aku. Masa tu aku berpantang kat rumah mak mertua aku. Yelah, kan aku cakap aku dah takde mak.
Suami aku pun takde experience nak handle orang lepas bersalin. So aku pun decide nak pantang kat rumah mertua aku lah. Plus rumah dia besar dan adik beradik suami aku pun, semua duduk jauh, jarang balik.
Agak selesa lah, takde isu aurat ke apa. Tapi tulah, Mak mertua aku beriya tak bagi aku pergi ambil anak kat hospital. Dia cakap orang dalam pantang mana boleh keluar rumah.
Mana boleh jalan jalan. Duduk je rumah diam diam. Tergamam jugak aku.
Memang terasa. Macam hak aku sebagai mak dinafikan. Hospital tu agak jauh dari rumah mertua aku, lebih kurang sejam lebih.
Aku ni dengan berat hati, duduk lah kat rumah tunggu suami dgn mak mertua aku pergi ambil anak aku. Dengan berlagak nya dia pergi berdua dengan laki aku.
Dah sampai hospital laki aku call, dia cakap nurse tak bagi anak discharge selagi tak tengok aku menyusukan anak.
Yang boleh ambil baby dari wad tu cuma ibubapa baby sahaja. Allahuakbar. Besar kuasa Allah tu.
Dan betullah Allah mendengar dan menjawab doa doa hambaNya yang teraniaya. Dan you know what, gaya dia macam rigid sangatlah kan pantang regime dia untuk aku. Tidak ya tuan-tuan dan puan-puan.
Tidak sama sekali. Start dari anak aku balik hospital, aku yang mandikan anak aku sendiri, aku takde bertungku, berparang pilis bagai. Berbengkung pun ikut dan je.
Makan pun apa yang ada je. Takdenya dia nak masak lauk pantang beriya untuk aku. Takdenya dia nak jaga aku betul betul dalam pantang.
2 hari lepas bersalin, aku dah sapu bilik. Angkat bakul kain nak sidai. Angkat kain baju nak basuh.
Dia tengok je. Bila jiran jiran datang melawat aku, jiran jiran tanya, kenapa aku buat kerja rumah. Dia cakap aku yang tak dengar cakap.
Budak budak sekarang mana nak pantang betul betul. Padahal dia langsung tak offer nak tolong. Aku menyapu pun dia tengok je.
Aku basuh kain, sidai kain pun, dia buat tak tau je. Tapi bila orang datang, naahhhh aku yang bersalah dimata masyarakat ya, haha. So this time, memang aku dah decide baik aku pantang sendiri je.
Upah CL lagi bagus. Takpun upah daily maid untuk tolong aku uruskan rumah. Serik dah aku.
Jadi aku harap sangat kali ni, semoga masa aku nak bersalin nanti, ada orang yang ikhlas dan bertanggungjawab yang akan jaga anak anak aku dengan baik.
Semoga anak anak aku diberikan kesihatan yang baik dan kesejahteraan, keselamatan dari semua perkara yang berbahaya, tenang jiwa mereka semasa aku berada di hospital untuk melahirkan.
Semoga urusan bersalin aku juga nanti dipermudahkan.
Semoga semuanya cepat selesai dan suami aku dapat bersama sama teman aku dalam LR dan bantu apa yang patut setibanya di wad usai proses bersalin.
Semoga semuanya dipermudahkan dengan izin Allah. Aku dah takde sapa sapa.
Aku harapkan doa suami dan orang orang yang menyayangi aku je. Aku perlukan suami aku kali ni. Aku perlukan kekuatan dan semangat dari dia.
Korang sama sama amin kan doa doa aku ni ya. Semoga urusan Korang semua pun akan dipermudahkan dan dimurahkan rezeki kalian sekeluarga. Aminn3 ya Rabbal Alamin.
Terima kasih korang, dengar luahan aku.
– Mawar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit