Aku Juga Punya Perasaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih admin atas siaran confession ini.

Aku terbaca confession, Sombongkah Aku? (https://iiumc.com/sombongkah-aku/).

Aku pun pernah ada pengalaman dipandang rendah ketika sekolah rendah hanya kerana aku anak seorang penoreh getah.

Kalau confessor tu hanya seorang guru yang tak suka dia, tapi aku pula ada beberapa guru yang selalu hina aku. Mungkin penampilan aku yang agak selekeh, baju aku selalu kedut sebab kat rumah tak ada iron.

Tapi cikgu hina aku depan kelas macam aku buat salah yang besar. Semua tu aku telan sendiri sebab tak nak mak ayah aku sedih.

Lepas tu aku kutip iron rumah sedara yang dah tak digunakan, aku salotape balik wire yang dah pecah dan aku guna dengan rasa bersyukur. Baju adik-adik pun aku iron setiap hari supaya nasib mereka tak sama dengan aku.

Bayangkan time tu aku baru darjah 4, masih belajar untuk mengenal dunia. Cikgu pernah kata dalam kelas, aku asal dari kawasan estet, tempat yang penuh dengan budak-budak yang rosak akhlak, aku pun nanti jadi macam tu juga.

Aku masih ingat kata-kata tu sampai sekarang. Allah, aku yang berusia 10 tahun retak hati dengan kata-kata seorang guru.

Pernah sehari tu, aku dipanggil oleh cikgu aku ke satu kelas kosong, aku dihina di situ. Rupanya ada cikgu-cikgu mengadu baju aku kedut, busuk dan cikgu bagitahu nak lucut aku dari jawatan pengawas sekolah.

Walaupun aku salah seorang pelajar yang wakil sekolah dalam acara pidato sehingga ke peringkat kebangsaan dan petah berkata-kata, namun aku lemah bila selalu dihina oleh guru aku sendiri.

Betapa aku hilang keyakinan diri sehingga aku kuburkan minat ini ketika melangkah ke sekolah menengah. Aku hanya belajar dan memencilkan diri. Tak berkawan kerana rasa rendah diri, takut dihina lagi.

Di alam universiti aku belajar sungguh-sungguh. Sekarang aku bekerja di sektor swasta dan sudah pun memiliki keluarga sendiri.

Walaupun ayah aku tak sempat merasa kesenangan dunia, aku harap doa anak-anak sampai kepadanya. Adik-adik aku pun sudah berjaya menjadi pendidik, peguam dan jurutera serta dapat ubah nasib keluarga kami.

Aku pernah jumpa salah seorang cikgu di rumah kenduri, dia pun masih kenal aku time tu. Dia bawa pinggan nasi duduk semeja dengan aku tapi aku tak mampu tengok dia, aku bangun dan duduk di meja lain. Aku biarkan kawan-kawan aku layan cikgu tersebut.

Walaupun dah lama dan ramai antara cikgu dah tiada di dunia, tapi hati ni masih terasa. Aku masih menangis bila kenangkan masa kecil aku dirobek oleh seorang bernama guru.

Harapan aku supaya semua pendidik dapat ikhlaskan diri dalam pekerjaan anda kerana seorang guru akan membentuk masa depan pelajar-pelajar anda.

– Cempaka Humairah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *