Assalamualaikum. Terima kasih kepada admin sebab akan menyiarkan luahan aku ni. Pertama sekali, aku benar benar ingin meminta maaf kepada kalian sang pembaca semua andai apa yang bakal kalian baca nanti, mungkin ada yang terasa. Namun aku sangat berharap yang kalian mungkin sekali dapat pengajaran yang sangat berguna melaluinya. Walaupun aku tahu luahan ini agak panjang. Tapi, luahan memang panjang :P
Aku kini merupakan seorang graduan keluaran universiti tempatan dan bakal melanjutkan pengajian berikutnya di salah sebuah universiti di negara yang pernah menjajah Tanah Melayu satu ketika dahulu. Silamnya, aku pernah menyarung identiti sekadar kanak- kanak biasa yang penuh sifat inkuiri, remaja perempuan yang juga kadangkala bersifat pemberontak (rebellious) dan juga seorang gadis yang turut mengalami kekeliruan tentang keutamaan dan kehendak ketika aku mengalami fasa membesar. Namun yang pasti, aku juga pernah mempercayai bahawa diriku bodoh.
Ketika aku darjah 1 sehinggalah darjah 6, aku seringkali dilabel budak pandai, pintar dan baik kerana aku sentiasa mendapat tempat pertama atau kedua di dalam kelas (kerana aku selalu juga berlumba-lumba dengan seorang budak lelaki di dalam kelas aku). Pengakhirnya, keputusan UPSR aku, 5A. Masuk sahaja alam persekolahan menengah rendah, aku ditawarkan untuk belajar di salah sebuah MRSM, namun aku tolak dan memutuskan untuk berada di salah sebuah sekolah asrama harian berdekatan rumahku sebagai pelajar asrama. Sekolah itu, kata orang antara sekolah yang terbaik. Benar juga kata orang itu. Kalau bukan kata orang, aku pun percaya juga sebab sekolah itu selalu juga mendoktrin para pelajarnya bahawa sekolah itu yang terbaik berbanding sekolah- sekolah lain di bawah kategori yang sama di dalam daerah tempat tinggalku. Sekolahnya satu jantina sahaja. All girls school. Guru-gurunya bagus. Disiplinnya, tiptop. Satu yang aku warisi daripada sekolah ini, antaranya sifat aku yang pantang nampak sampah kerana di sekolah ini, aku sudah belajar disiplin terhadap sampah. Kalau dahulu, hanya fikir sampah sendiri, namun sekarang fikir sampah lain. Aku belajar di sekolah ini sehingga habis Tingkatan 5. Ketika aku di peringkat menengah rendah, aku boleh dikatakan baik juga. Namun agak merundum prestasi aku jetika aku di Tingkatan 3, tapi masih okay lagilah juga. Itu pun kerana aku semakin sedar bahawa PMR aku makin hampir. Aku juga ketika itu agak nakal dan di sekolah itu, nakal itu definisinya samalah juga dengan pemahaman kita terhadap definisi ‘jahat’. Melanggar peraturan yang simple pun dikatakan tidak berdisiplin. Dan itulah yang aku faham sampai sekarang. Yalah. Sekolah perempuan. Perempuan kan kena baik, santun terjaga, adabnya molek belaka.
Dan akhirnya aku punya keputusan PMR pun juga mencatatkan 8A. Tak sangka juga. Emak aku pun tak menyangka. Yalah, waktu aku nakal sebelum PMR, aku pernah dengan mak aku cakap dekat kakak aku yang lebih ‘pintar’ daripadaku yang aku tidak akan dapat keputusan yang bagus nanti dalam PMR. “Tengoklah adikmu itu. Percubaan Matematik pun hanya C. Kalau macam tu, takkan ke manalah adikmu.” Tak siapa tahu, kecuali Tuhan betapa aku sangat terasa dengan mak aku. Aku merintih seorang dalam bilik mengenangkan ketidakadilan itu. Sejurus keputusan PMR keluar, mak aku terkocoh-kocoh menanyakan sama ada aku berpeluang lagikah untuk meloloskan diri ke dalam golongan budak ‘lebih lebih pintar’ di MRSM atau SBP itu? Responsku hanyalah, “tak mengapa emak. Saya akan teruskan perjuangan saya hingga SPM di sekolah yang sama.” Ayahku hanya ikut sahaja. Katanya dia tak kisah. Asalkan aku belajar.
Sewaktu aku menginjak ke fasa menengah tinggi, aku makin gayat. Banyak kali aku telan air liur. Sekeliling aku sudah target yang aku mesti straight A lagi. Sewaktu pemilihan subjek dan aliran, aku tanya emak, minta sedikit nasihat. Hatiku menginginkan kelas yang ada subjek ekonomi asas. Dan akaun. Tapi mak aku tak bagi peluang. “Kamu ambillah aliran sains. Lebih bagus.” Kakak aku menyokong. Cikgu di sekolah, lagilah. Kalau pelajar yang dapat 8A PMR, harus bagi surat tunjuk sebab kenapa tidak mahu ambil aliran sains kalau kita berbuat demikian. Benar, ini semua ingin menjaga reputasi punya pasal. Masih segar lagi ingatan aku, cikgu kaunseling aku tanya kenapa nak ambil aliran sains. “Kamu dapat 8A. Takkan nak bersaing dalam golongan budak kelas ‘belakang’.”
Waktu aku sudah mula buat pandangan jelik. Dan pelik. Benarkah kaunselor yang mendapat tauliah untuk menjadi seorang yang layak memberi kaunseling kepada pelajar berkata sedemikian? Kelas belakang? You gotta be kidding me. Bagaimana kita semudah itu sahaja melabelkan kelas belakang. Jika aliran yang diambil oleh pelajar pun berbeza. Tang mana belakangnya..? Oh, mungkin sekali kerana mereka tidak mengambil aliran sains. Maka, mereka pun terkebelakanglah.. begitu?
Aku yang ketika itu, tersepit dengan impian aku, berkorbanlah. Fikir dan benakku yang masih berusia 16 tahun itu merasionalkan bahawa mungkin dengan mengikuti kata ibu dan guru guru di sekeliling, aku boleh berjaya lebih lagi. One thing for sure about taking this risky decision is Additional Maths. Aku ini, orangnya bukanlah tidak suka matematik. Aku bukan pembenci numerik, formula atau kuantitatif, namun aku sangat lambat dengan angka. Aku cumanya tak suka ianya menjadi satu perkara yang boleh memberikan aku tekanan. Aku harus belajar dengan lebih masa. Sebab itu, aku mengelakkan diri dengan matematik dalam SPM. Kerana melibatkan semua nombor, dan bukan aplikasi tentang apa yang aku boleh guna dengannya. Bukan seperti fizik, akaun ataupun ekonomi. Namun, aku masih ‘berkeras’ untuk melakukan yang terbaik.
Lewat satu pagi untuk kelas matematik tambahan yang pertama, aku masih ingat lagi, seorang guru yang agak berusia, lewat 50an serasaku, melangkah masuk ke dalam kelas paling ‘ hadapan’ aku. Dialah guru matematik tambahan aku. Awal pengenalan dia membuka kata saja, aku sudah nampak yang aku tak akan mampu ‘survive’ dalam caturan kelas ini. “Awak semua kena ingat ya, ini kan kelas pertama, jadi saya akan ajar awak semua laju. Siapa yang lambat saya tinggal aje. Macam trenlah. Awak kena kejar tren ikut jadual yang ditetapkan. Lambat, bye bye.” Ujarnya penuh semangat.
Aku, yang duduk di tengah kelas menikus, merundum semangat terus. Ini bukan tren ikut jadual ni. Ini tren terlebih awal drp jadual biasa. Lantas terfikir nasib aku bagaimana agaknya sehingga pertengahan tahun. Pulang saja dari sekolah, aku buka saja loker buku aku, terus air mata keluar. Aku lari ke telefon awam, lantas nombor telefon rumah ditekan. Aku adu pada emak, yang aku tak mahu di sini. Mahu pulang, belajar menjadi pelajar harian biasa. Dan jika masih juga mahu aku ambil aliran ini, aku mahukan tuisyen. Mak aku sekadar mengiakan sahaja kehendak aku. Namun, itulah. Ya itu sekadar waktu itu sahaja. Lama juga kupujuk emak. Setiap minggu. Namun, masih macam tu ja. Aku fed up. Fokus aku makin berbinar. Apa yang aku nak buat kalau aku belajar pun masih terkontang kanting. Aku lambat dengan segalanya. Aku bukan minat matematik sebagai aliran aku. Kalau aku nak belajar bukan dengan laluan formal sebegini. Tak lama lepas itu, aku pun mula memberontak. Kerja sekolah tak buat. Tak hantar. Buat lagi banyak aktiviti yang melanggar peraturan sekolah dan juga asrama. Malas. Warden aku membebel pun aku melawan. Haha. Waktu itu, aku bangga dengan diriku. Yalah sudah senior. Duduk di asrama pula tu. Rumah pun aku sudah lama tak telefon melainkan waktu pulang ke kampung dan aku kena minta ayah untuk ambilku.
Naik tingkatan 5, sama sahaja. Malah, perangaiku masih menjadi. Lagilah aku menyampah tatkala aku sudah turun ke kelas nombor 2. Hahaha. Sudah kuranglah prestasiku. Lagi berita buruk, guru matematik tambahan sama yang mengajarku. Ditambah dengan guru fizik yang telah membuatkan daripada aku menggemari subjek terus kepada merasakan fiziklah subjek paking neraka.. Guru ini, aku tak tahulah masalah dia. Aku fikirkan dengan bertudung labuh, dia memungkinkan aku untuk belajar lebih bersemangat tetapi ternyata tidak. Pertama, satu kes dulu dia menamparku. Waktu itu prep malam. Dia yang juga seorang warden ketika itu, membuat kelas tambahan. Sampailah habis, dia memanggil aku dan seorang kawanku lagi. Sekasar mahu menguji dan bertanyakan beberapa soalan. Ya, mungkin kerana aku dan kawanku itu antara pelajar yang masih mendapat markah rendah. Dia bertanya kepada aku tentang satu konsep elektrik untuk sebjek elektrik. Aku menjawabnya dengan jawapan yg salah. Terus dibilangnya, “Pandailah kamu” dengan diikuti tamparan keras di pipi. Aku tak mengerti. Beginikah yang seharusnya dilakukan andai kita salah.Aku tak faham terus dengan tindakannya. Lantas, aku pun terus terkesima. Aku tak melawan. Namun hanya tersenyum sinis. Mungkin dia perasan dengan senyuman itu dan terus mengakhiri pertemuan itu. Keesokannya, dia mengajar di kelas. Sempat lagi tatkala dia melewati tempat duduk aku, dia tanya kamu faham ke? Belum sempat aku menjawab, dia terus kata, ” kamu semua benda pun tak faham”. Aku keliru sebentar waktu tu. Antara terfikir aku beradapan dengan seorang guru atau sekadar org yang mahu melihatku jatuh. Kerana nadanya sinis sekali. Tak tahulah. Mungkin sudah malas mahu mengajar pelajar yang bodoh ini.
Aku terus masih dengan sifat pemberontak. Namun dalam masa sama, aku study hard juga untuk subjek yg lain. Yang aku gemar dan gurunya sangat baik dengan aku. Yang tidak judge aku ketika aku di dalam kelas dan di luar kelas. Yang masih punya nurani sejati seorang guru. Kerana menjadi guru itu bukan memaknakan kita ialah guru yang sebenar. Bukan yang mengajar di hadapan kelas namun juga yang sentiasa mahu pelajarnya berjaya tanpa mengira situasi. Yang tidak pernah mengeji ketika pelajarnya dihimpit fasa kejatuhan. Yang tidak sekadar ada di waktu dia dianggap pandai. Dan tak pernah sekali menganggap kelas belakang ciptaan masyarakat sosial itu sebagai ‘terkebelakang’.
Aku juga waktu ini, bertarung dengan penghakiman guru guru. Waktu ini, aku ada banyak kes melanggar peraturan . Waktu ini, heboh juga sekolah kerana adanya pelajar yg tidak berdisiplin hidup bernafas di sekolah itu. Maka akulah pelajar yang selalu menjadi bahan buah mulut guruku di dalam kamar guru. Aku tahu pun sebab guru kelasku yang sentiasa mempertahankanku beritau aku. Dia percaya yang aku tidak bodoh despite markah aku yang makin merendah. Dia percaya yang aku baik walaupun aku masih diberitakan sebagai pelajar bermasalah yang bercampur aduk dengan masalah langgar undang undang. Waktu itu, aku sudah mahu tenggelam, karam kerana sudah tak larat dengan caturan itu ini. Caturan yang penuh dengan idea bahawa kamu tidak akan berjaya andai terus menyarung sikap sebegini. Namun, cikgu cikgu macam inilah yang telah memberi aku semangat untuk terus beejuang sehingga habis spm. Dengan itu, aku masih segera melangsungkan usaha dan melipatgandakan usaha untuk persiapan terakhir sebelum spm.
Sehinggalah keputusan SPM keluar, aku sudah jangkkakan keputusan aku. 4A sahaja. Subjek elektifku hanya 2 saja yang kredit. Malah lebih teruk, Add Maths aku gagal. Aku tak menangis pun, malah terkejut dengan sikap guruku yang seorang ini. Belumpun aku dapat result aku, dia dah menyibuk tunggu keputusan aku di tepi meja. Padahal bukan guru kelasku. Belum sempat slip itu sampai di tangan aku, dia yang pegang dulu. Sambik mulutnya giat menyebut “ish ish ish, ruginya kamu, dengan result macam ini kamu takkan ke mana- mana”.
Aku pulang lepas itu. Aku tidak menangis. Aku hanya kecewa. Aku tak menjangkakan sebarang pengakhiran gembira pun daripada keputusan aku sebenarnya. Aku cuma kecewa yang aku sebenarnya masih menyampah dengan sikap guru aku yang masih ingin memandang jelik terhadapku walaupun aku sudah keluar daripada sekolah tersebut. Aku kalau boleh tak mahu ada apa apa sebarang dendam dengan cikgu cikgu aku. Tapi, masih berbekas lagi sakit hati aku. Dengan judgements mereka. Aku senyap. Pulang ke rumah, aku tahu yang mak ayah aku kecewa, tapi tak terlalu kecewa dengan aku, tapi sebaliknya dengan sikapnya yang tak kisah dengan permintaan aku dari awal tingkatan 4 lagi. Aku pun sudah malas memikirkannya lagi. Aku sudah berkira kira mahu melanjutkan pengajian aku di mana selepas itu. Walaupun aku masih teringat dengan kata kata cikgu yang tadi. Yang katanya aku takkan mampu ke mana mana. Aku masih keliru dalam waktu ini. Benar. Siapa kata apabila mendapat keputusan yang teruk, kita pasti ada penguat di belakang. Maksudnya masih ada yang menyokong kita dari belakang. Nah, ini situasi yang lain aku berikan. Kakak kakak aku marah. Mak aku kecewa. Banyak hari juga tak bercakap dengan aku. Makcik makcik yang kepoci turut mula membandingkan aku dengan yang lain. Mesti dengan kata kata “ingatkan kamu pandai sangat”. Ramai lagi. Seriously, aku hairan. Rupanya, tatkala aku jatuh, lebih ramai orang yang kecewa dengan keputusan aku berbanding aku sendiri. Aku kecewa juga. Tapi banyak kecewa aku dengan manusia sebegini. Bukan dengan result.
Rupanya, benar juga ya. Time heals. Aku tak ambil masa lama pun untuk balut luka SPM aku. Aku pun bukan kecewa sangat dengan diriku. It was just a matter of a main examination. Aku tak hilang diri aku. I have a lot more qualities yet to offer. Bukan setakat beberapa kertas yang aku failed to get A, and so, I am stupid. Takkan aku nak pandang rendah diri aku macam tu je. Hei, Tuhan cipta aku ni ada banyak jalan yang aku kena lalui. Bila aku kena hadapi kegagalan, barulah hidup aku lengkap.
Aku bangkit balik. Aku ni kiranya banyak juga sifat optimis dalam diri. Positif manjang waktu ini. Aku tak dapat satu pun tawaran upu. Diploma dalam uitm satu pun tak lekat. Aku tak kisah sangat. Aku tak rasa itu bermakna aku dah tak ada harapan. Aku memang sudah sasarkan untuk masuk Tingkatan 6. Dapat sekolah lama, ramai juga cikgu yang nampak aku sekadar senyum sinis bila aku kembali ke sekolah semula dengan baju sekolah dan kasut kanvas. Aku tak peduli pun. Sekolah ini ironi sikit. Banyak saja cikgu yang memandang rendah terhadap pelajar Tingkatan 6. Aku pun pelik. Kata sekolah terhebat, tapi kebolehan sistem pendidikan yang ada di sekolah termasuklah tingkatan 6 pun dipandang jengkel dan enteng. Aku tak dapat duduk asrama kembali, maka aku ambil keputusan untuk pindah sekolah yang lebih dekat dengan rumahku.
Aku masih di aliran sains, namun selepas aku berpindah ke sekolah baharu, aku memutuskan untuk menukar jurusan yang sememangnya aku ingin ambil sejak dari menengah rendah lagi. Emak aku tak menghalang pun. Aku hanya berjanji dengan diri sendiri supaya aku dapat belajar bersungguh-sungguh supaya aku dapat peluang untuk mendapatkan pendidikan terbaik dan dapat jadi orang yang lebih baik untuk membantu menjadikan masyarakat kita semua ke arah yang lebih baik. Aku lebih banyak bercakap kepada Tuhan waktu itu. Tak peduli sangat dengan kata kata orang yang masih cari peluang untuk downgrade aku terutamanya lepas tahu aku ambil STPM sebagai hala aku yang berikutnya. (Ramai sebenarnya yang tak suka STPM ni :P).Aku tak pernah berjanji kepada orang pun aku mahu dapat keputusan 4.00. Malah, aku taklah want it badly. Apa yang aku fikir biarlah dengan hala baru ini, aku dapat belajar dengan cara aku. Biar bukan org lain termasuk mak, kakak dan kawan aku yang tentukan cara aku belajar. Biar aku belajar untuk timba ilmu yang utamanya. Bukan sekadar mahu dapat A belaka. Itu cara belajar yang terbukti aku tak mampu ukir kejayaanya. Alhamdulillah di sekolah baharu, guru gurunya supportive. Sekolahnya bagus juga. Persekitarannya membantu. Tidak mengeji ketika jatuh. Aku suka dengan itu.
Lantaran, buat aku lebih semangat. Di sekolah baharu juga aku jumpa kawan yang lebih ramai sifat nya sama malang malah lebih malang daripadaku. Tapi kita semua belajar sama sama. Tidak telalu memikirkan tentang persaingan. Ini STPM kot. Lagi gah daripada SPM. Tapi kita semua laluinya dengan baik sekali.
Akhirnya, alhamdulillah, aku berjaya dapatkan keputusan aku dengan jayanya. Aku bangga dengan pencapaian aku. MAlah lebih gembira daripada mendapat keputusan UPSR dan PMR sebelum ini. Bukanlah 4.00 pun, tetapi bolehlah aku dapat masuk sampai ke menara gading. Yang tempatanlah. Bukan yang luar negara pun. Mungkin perasaan ini berbeza sebab keringat aku terbayar kerana kos yang aku laburkan ketika mengharungi perjalanan 1 tahun setengah itu begitu perit sekali. Lain sekali kerana bukan tahap kesusahan kertas yang aku perlu jawab tetapi mainan emosi yang dicaturkan. Dan jiwa yang kental harus dibekalkan untuk lepasi semua itu.
Dan kini, aku masih cuba untuk memotivasikan diri dengan peristiwa yang aku lalui dengan mengingatkan diri kembali tentang segala pengalaman aku. Walau taklah besar mana, sebab aku pun masih muda lagi, namun aku tahu pengalaman ini bermakna. Aku tahu kegagalan aku tak membawa aku ke tempat yang lebih gagal. Aku tak mahu jadi orang yang memandang aku dengan pandangan pesimis satu ketika dahulu. Itu orang yang kejam. Dia menutup segala potensi individu itu utk lebih berjaya dengan bakat sendiri, kebolehan sendiri, cara sendiri dan lebih penting kepercayaan terhadap diri sendiri. Aku kalau boleh, mahu bantu semua orang boleh lalui kegagalan yang selalunya mengunci diri sendiri daripada terus meghalang kita untuk mencipta kejayaan. Kerana keluar daripada kegagalan itu sudah menjadi kejayaan juga. Aku masih ingat lagi cikgu yang sama berasa sangsi dengan keputusan spm aku tu , aku terserempak dengannya di sekolah tersebut semasa hari sukan sekolah. Salamnya agak longgar dan terus bertanya aku di manakah aku belajar sewaktu aku di Tingkatan 6. Aku menjawabnya dengan rendah hati. Yang aku memilik Tingakatan 6 selepas tak dapat sebarang tawaran dari upu. Aku juga menolak tawaran politeknik kerana ayahku kata dia suka untuk aku mengambil Tingkatan 6. Aku terkejut dengan jawapan yang diberikan. ” Apeke bodoh awak ambil Tingkatan 6. Awak tahu tak politeknik ni bagus lah. Bla bla bla” malas aku menaip yang selebihnya. Namun yang pasti aku tahulah sudah ke mana pemikiran guru ini. :)
Baiklah, secara keseluruhannya aku mahu katakan bahawa ada 4 perkara yang aku mahu hiris betul- betul isinya. Pertama sekali aku. Aku yang merasai kegagalan ini mahu juga berpesan, yang kita manusia tak pernah berbaloi untuk berputus asa dengan sebarang kegagalan yang terhunus dalam peluang diri kita. Look at the brighter sides. Aku faham ramai antara kita kisahnya tidak sama. Tapi Tujan beri ujian sebegini rupa bukan untuk kita tangisi hingga ke akhirnya. Terperosok dengan kata kata negatif orang di fikiran. Potensi diri kita juga tak berbaloi untuk dibandingkan dengan prestasi di sekolah. Markah merundum, turun kelas, dijadikan bahan gosip guru di sekolah. Itu semua tak perlu diambil pusing. Aku tak lah suruh kalian buat macam aku langgar peraturan sekolah walaupun aku tahu remaja siapa pun tak pernah ada kisah pemberontakannya. Kita semua ada mental breakdown. Tapi tak bermakna kita jahat selamanya. Dan jangan selalu sangat kisahkan negativity yang kita pernah buat. Bila waktunya kita sedar, itulah turning point yang Tuhan dah kata itulah waktu untuk kita berubah. Orang akan terus bercakap, tapi kamu tahu kamu siapa. Dan apa kamu lakukan.
Keduanya, sekeliling. Aku sudah ceritakan bahawa orang sekeliling aku banyaknya yang tak membantu. Bukan aku merungut atau mengungkit jauh sekali mengutuk. Sebab in the end aku menjadi manusia juga. Sebab aku tak mahu cepat melatah dan downgrade diri aku macam tu je. Aku ada nilai lagi. Tapi aku bercakap apakah salahnya menjadi manusia yang membantu membaikpulihkan manusia di sekeliling kita. Jadi guru, jadilah sehabis baik. Bukan sekadar itu saja profession terakhir yang boleh kita lakukan sebab dah tak ada kerja. Apalah salahnya menjadi masyarakat yang supportive dan tidak menghentam tatkala orang lain di fasa kesusahan, terutama sekali mental breakdown. Kalau aku mungkin tak terkesan sangat tapi cubalah fikir ada banyak yang terkandas tu bukan sebab dia tak mampu untuk melakukannya tetapi dia mempercayai sepanjang masa dengan kata kata orang yang dia tak akan mampu lakukannya. Sampai ke sudah dia begitu. Kalau aku percaya dengan kata kata cikgu aku takkan ke manamana, sampai ke sudah aku tak percaya yang aku boleh lepasi Tingkatan 6 dan seterusnya mendapat degree seperti sekarang. Jadilah masyarakat yang baik.
Ketiga, aku tak mahu yang kalian anggap aku menghentam golongan guru ataupun mencerca profession guru. Aku mengatakan bahawa ini kisah pengajaran. Dan aku merasakan aku harus cakap sesuatu tentang ini. Sebab aku alaminya dan aku tak mahu yang lain turut terkena. Kerana aku tahu guru yang aku hadapi ini bukan menggambarkan keseluruhan imej guru. Tetapi,sebagai seorang guru, harus ada nilai seorang guru yang membantu anak muridnya menghampiri kejayaan. Kerana tugas mereka mengajar anak nusa bangsa. Kalau terusan bersifat pesimis dan tidak memberi sebarang bantuan kepada pelajar yang ‘terkebelakang’ kononnya, atau pelajar yang markahnya rendah, ironinya. Bukankah itu menarik mereka ke lembah kegagalan, dan bukan lereng kejayaan? Moralnya, harus tahu jika mahu menjadi seorang guru, bukan sekadar mengajar ilmu di dalam buku, juga pada tutur bicara. Contoh moralnya. Ini bukan suruh ambil alih tugas ibu ayah, tapi kita semua tahu kan, di sekolah ada 6 jam bersama guru. Kalau 6 jam itu tidak menghasilkan yang positif, tak berguna 6 jam di sekolah. Ingat, sebarkan ilmu bukan sekadar ilmu dari buku saja. Beyond than that!
Keempat, ialah idea tentang perlunya perlumbaan mendapatkan keputusan peperiksaan yang terbaik. Aku pelik dengan idea ini. Kita, masyarakat ini, hidup dengan idea yang mana bila anak dapat keputusan terbaik, bangga dan mula bertanyakan keputusan anak kau pula. Jika baik, tahniah, jika tak baik, pandang tepi mata pun tak nak. Adakah benar keputusan terbaik upsr, pmr, spm itu semua menjanjikan ilmunya juga sebegitu baiknya. Jika ya, aku ingin bertanya juga apa yang mereka belajar selama hari ini, aku nak juga tanya soalan geografi tingkatan 3, soalan bahasa melayu yang mudah itu. Apa benarkah dapat menjawabnya kembali? Kita yang pentingkan ialah kelestarian ilmu itu, kualiti ilmu yang diperoleh itu, bukan hanya kuantiti A yang dapat dalam slip SPM. Sudah sudahlah dengan sifat pesimis dan pandangan jengkel kita terhadap orang lain yang tak mampu capai tahap ‘terbaik’ buatan kita itu.
Dapat berapa A?
Sekolah tu je dia dapat?
Anak dia memang kurang sikit..
Tak dapat u overseas ke?
Eh ambik subjek itu? Kenapa tak ambik doktor ke… jurutera ke?
Makin lama bukan jadi makin terbaik. Malahan menjadi bobrok. Persaingan yang kononnya sihat ini tak pernah menyihatkan. Kita membiarkan anak anak lebih mengejar keputusan akhir, tapi bukan input yang diperoleh untuk diproses menjadi output bermakna dalam hidup.
Aku cuma mahu berkongsi kisah silam aku yang aku rasa ada pengajarannya yang tersendiri. Aku juga bikin silap. Tapi, di kala aku berada dalam fasa kegagalan, aku kecewa kerana tak siapa yang datang bagi bantuan, nasihat untuk aku terus bangkit. Sekalipun kakak- kakakku. Ramai yang menghentam. Bila kita mengecap kejayaan, ramai pula yang datang. Itulah kehidupan. Tapi kehidupan seperti ini tak akan membuatkan lingkungan semangat anak anak lain menjadi subur. Yang ada bakat kain ditidakkan. Yang pandai sains dimenangkan. Padahal, Tuhan sudah menciptakan kita itu berbeza- beza.
Kenapa kena hidup untuk sama dengan yang lain? Kenapa hidup tak boleh kalau lain? Kalau tak sama, nanti…
Akukah yang bodoh?
– Haqita
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit