Aku Kecil Hati Dengan Ibu

Assalamualaikum pembaca yang dikasihi Allah sekalian. Sebelum bercerita dengan lebih lanjut izinkan aku perkenalkan diri dulu.

Nama aku Sarah berasal dari utara dan umur dah 28 tahun. Masih lagi berstatus cik dan bekerja sebagai guru di sekolah menengah.

Aku bekerja di negeri kelahiranku. Jarak dari rumah sewa ke rumah orang tua aku lebih kurang 3 jam. Sebelum ni aku akan balik kampung hampir setiap minggu untuk bawa ibu dan adik-adik makan angin.

Apa yang mereka mahu semua aku tunaikan memandangkan orang kata jika nak rezeki yang melimpah ruah kenalah mewahkan ibu.

Kami dulu hidup dalam kemiskinan, mujurlah aku berjaya bekerja dalam sektor awam. Jadi aku adalah bread winner dalam keluarga.

Untuk pengetahuan, Ibu tak bekerja dan adik masih bersekolah jadi semua kos aku yang tanggung. Kos bulanan untuk ibu dan adik-adik hampir RM1k telah aku habiskan biarpun gaji aku tidaklah banyak.

Oh ya, aku ada adik beradik lain yang sudah bekerja tetapi mereka jarang pulang disebabkan merantau di negeri orang.

Baru-baru ni aku dilantik sebagai warden asrama di sekolah aku. Jadi beban tugas makin banyak dan aku perlu patuh akan jadual yang diberikan.

Alasan yang diberi oleh orang atasan sangat cliche iaitu aku masih bujang dan tinggal berhampiran sekolah. It’s okay, aku akur.

Yang menjadi masalah ialah aku hanya boleh pulang ke kampung dua minggu sekali tetapi ibu selalu menghubungi aku untuk pulang ke kampung setiap minggu.

Malah ibu turut call supaya aku balik pada hari minggu hanya untuk membawanya shopping.

Sudah berkali-kali aku jelaskan mengenai tugas aku sebagai warden tapi ibu tak faham. Walaupun aku tak pulang ke kampung tapi aku tetap bank-in duit kepada ibu.

Sejak aku bertugas sebagai warden ibu dah kurang mesra dengan aku. Aku perasan jika aku pulang ke kampung ibu kurang bercakap dengan aku tetapi mesra dengan adik beradik yang lain.

Nak dijadikan cerita, dua minggu lepas adik aku call untuk minta gambar ic aku.

Setelah didesak baru aku tahu adik aku jadikan aku sebagai penjamin loan moto dia. Aku marah teruk sebab adik aku beli moto yang mahal.

Moto lama masih elok lagi tapi nak juga moto baru. Aku yakinkan dia untuk ambil moto biasa sahaja tapi ibu tetap menyebelahi adik. Ibu sanggup membayar loan bulanan yang hasilnya daripada aku juga.

Ibu kata aku juga mampu untuk bayar loan adik kerana aku bujang tiada komitmen sedangkan hanya aku yang tahu duit makan aku sendiri pun tak cukup.

Puas aku jelaskan tetapi ibu dan adik masih tak faham sampai ibu tarik muka dengan aku.

Last-last aku mengalah dan proceed dengan loan tu dengan syarat adik akan berusaha belajar bersungguh-sungguh.

Aku jadi terbeban dengan semua keinginan ibu dan adik. Aku stress sampai kerja terjejas. Aku jadi kurang bergaul di tempat kerja, banyak diam, kerap lupa dan sebagainya.

Ibu selalu minta aku belikan barang kemas tapi tetap tidak berpuas hati jika barang kemas tu kecil. Ibu nak gelang dan rantai besar. Manalah aku mampu.

Aku pun hanya ada cincin emas yang bernilai RM300, telefon pintar yang dah retak sana sini, makan pakai bercatu. Ibu langsung tak faham keadaan aku.

Ibu ingat semua cikgu kaya sedangkan hanya aku yang tahu berapa banyak komitmen bulanan.

Pernah sekali ibu jual gelang emas yang aku hadiahkan hanya untuk memberi wang kepada adik. Kata ibu gelang tu kecil, malu nak pakai. Jual pun berapalah sangat.

Jujur aku sangat berkecil hati. Bagi aku, ibu langsung tak pernah menghargai aku. Ibu hanya sayangkan adik.

Aku sampai sekarang masih belum berkahwin disebabkan tanggungan aku banyak, aku takut tak mampu nak berkeluarga. Saving pun tak ada.

Ibu aku pun tak menggalakkan aku bersuami sebab nanti susah nak balik kampung dan bawa ibu jalan-jalan.

Aku pun teringin nak ada suami, keluarga macam orang lain, ada ibu yang memahami tetapi mungkin Allah belum izinkan.

Aku terima semuanya dengan hati terbuka. Walaubagaimanapun ibu tetap ibu. Orang yang melahirkan aku.

Setakat itu sahaja dulu coretan aku, maaf ayat tunggang langgang disebabkan nak kejar masa. Niat di hati hanya nak meluahkan perasaan.

Maaf jika ada salah dan silap. Doakan aku murah rezeki dan dipertemu jodoh yang boleh menerimaku seadanya. Terima kasih semua semoga dipermudah semua urusan kalian.

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *